Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Vaksin BCG tidak berkesan

Vaksin BCG tidak berkesan

 

 

“As Salam mu alaikum doktor, saya lengkap divaksinasi. Tapi baru-baru ini saya didiagnosa sebagai penghidap TB setelah saya batuk berterusan selama lebih dua bulan. Sekarang saya masih dalam rawatan. Alhamdulillah rawatan ini berkesan dan ia bertambah baik.

Pertanyaan saya ialah mengapa walaupun saya telah divaksinasi, tetapi masih lagi dijangkiti oleh kuman TB”.

 

Wa alaikum mus salam. Saya berdoa agar puan dipermudahkan oleh ALLAH untuk mendapat kesembuhan. Saya juga mengucapkan tahniah atas kesabaran puan menghadapi ujian yang ALLAH berikan.

 

Vaksin TB yang sekarang digunakan dikenali sebagai BCG (bacille Calmette-Guérin), yang diperkenalkan semenjak 1920an. Ia dibuat daripada bacteria yang dilemahkan dari jenis bacteria TB yang menjangkiti haiwan lembu dan secara genetiknya menyerupai 98% serupa dengan kuman TB yang menjangkiti manusia.

Ketika di awal penggunaannya, vaksin BCG sangat berkesan 80 peratus melindungi manusia dari jangkitan kuman TB yang sering menyerang paru-paru.

 

 

Oleh kerana pada masa itu tiada kemudahan penyimpanan menggunakan peti sejuk, maka vaksin TB ini dihasilkan melalui proses “sub-cultures” daripada vaksin BCG yang asal.

 

 

Lama kelamaan keberkesanan vaksin ini terjejas dan ada kalanya tidak berkesan melindungi dari penyakit TB yang menyerang paru-paru. Ini kerana kuman yang telah dilemahkan tadi, yang menjadi bahan utama bagi vaksin TB telah mengalami perubahan genetik.

 

 

 

Banyak laporan menunjukkan bahawa vaksin BCG tidak dapat  lagi melindungi daripada penyakit Pulmonary TB, penyakit TB yang menyerang paru-paru. Ia lebih berkesan untuk kanak-kanak dari serangan “disseminated TB” yang menyerang organ-organ lain pada tubuh mereka.

 

(rujuk: McShane, H (12 October 2011). “Tuberculosis vaccines: beyond bacille Calmette–Guérin“. Philosophical transactions of the Royal Society of London. Series B, Biological sciences 366 (1579): 2782–9).

 

 

Maka vaksin BCG harus diberikan kepada kanak-kanak sebaik saja mereka dilahirkan bagi melindungi mereka dari penyakit “disseminated TB” yang lebih berbahaya dan boleh mengancam nyawa.

 

Di negera maju seperti Canada, United Kingdom, dan Amerika Syarikat, suntikan vaksin BCG hanya diberikan kepada orang yang berisiko tinggi saja, terutamanya bayi yang baru dilahirkan.

 

(rujuk: Teo, SS; Shingadia, DV (2006 Jun).”Does BCG have a role in tuberculosis control and prevention in the United Kingdom”. Archives of Disease in Childhood 91 (6): 529–31).

 

 

Vaksin BCG ini diberikan di kebanyakan negara yang meliputi 90% kanak-kanak di dunia. Walau bagaimana pun keberkesanan perlindungan yang diberikan oleh vaksin ini akan berkurang selepas sepuluh tahun. Dalam banyak kajian menunjukkan bahawa vaksin ini melindungi bayi selama sepuluh hingga lima belas tahun saja.

 

(rujuk: Lawn, SD; Zumla, AI “Tuberculosis“. Lancet 378 : 57–72.)

 

 

Bagi orang dewasa yang pernah disuntik dengan vaksin BCG, mereka masih mempunyai kebarangkalian untuk dijangkiti TB, sama ada pada paru-paru atau pada organ tubuh yang lain.

 

 

Cara terbaik bagi mengelakkan dari jangkitan TB ialah dengan mengelakkan diri daripada bersama dengan penghidap TB atau mengambil langkah berjaga-jaga ketika bersama dengan mereka.

 

 

Walau bagaimana pun penyakit TB dapat disembuhkan dengan rawatan antibiotic yang diberikan sekarang.

 

 

Jadi bagi orang dewasa yang belum disuntik lagi dengan vaksin BCG, maka tiada manfaat jika mereka mendapatkan suntikan itu sekarang.

 

 

Kecuali jika beliau bercadang untuk melawat ke sebuah negara yang mempunyai pesakit TB yang ramai, berada di sana berada lebih tiga bulan, maka saya cadangkan melakukan pemeriksaan Mantoux test di mana-mana hospital dan kemudian mendapat vaksin BCG jika perlu.

 

Para saintis pula sedang mencari penemuan baru bagi mencipt Vksin TB yang lebih baik untuk mengurangkan jumlah jangkitan TB yang semakin meningkat setiap tahun.

 

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!