ULAMAN YANG MEMBANTU KESIHATAN KITA

ULAMAN YANG MEMBANTU KESIHATAN KITA

Kita sekarang sudah jauh dari pola pemakanan yang ditunjukkan oleh datuk dan nenek kita.

Jika dikaji secara mendalam, pemakanan tradisional kita adalah yang terbaik kerana ia bukan saja lengkap, tetapi juga seimbang dan bersederhana.

Apa yang mungkin kita tidak perasan adalah hidangan semakin tidak mempunyai hidangan sayur-sayuran.

Perkataan ulam itu sendiri sudah menjadi sesuatu yang asing pada diri kita dan anak-anak kita.

Ulam adalah bahagian tumbuh-tumbuhan yang dimakan secara mentah, dicelur, distim atau direbus dan dihidangkan bersama hidangan nasi dan lauk-pauk yang lain.

Ini termasuklah bahagian pucuk, daun, batang, umbut, biji, buah, ubi atau bunga tanaman.

Sayur-sayuran biasa seperti timun, kubis dan terung juga boleh dianggap ulam apabila dimakan sebegitu sahaja.

Dalam erti kata lain, ulam-ulaman ini sama sahaja seperti salad dalam diet barat.

Di Malaysia, lebih daripada 150 jenis tumbuhan boleh dimakan sebagai ulam-ulaman.

Antara beberapa jenis ulam-ulaman yang popular:

1. ULAM RAJA

Ulam raja, atau nama saintifiknya Cosmos Caudatus didapati mempunyai kesan antioksidan, antidiabetes, antihipertensi, antikeradangan, antimikrob dan antikulat.

Ia juga dapat melindungi dari osteoporosis, terutamanya bagi wanita menopaus.

2. SAMBUNG NYAWA

Sambung nyawa atau dalam bahasa saintifiknya Gynura Procumbens berpotensi mengawal tekanan darah, kandungan gula dalam darah, menggalakkan kesuburan, selain mempunyai kesan antikanser, antimikrob, antioksidan dan antikeradangan.

3. DAUN SELOM

Daun selom atau nama saintifiknya Oenanthe javanica mempunyai kesan antidiabetik, antioksidan, antiradang, selain kesan melindungi hati dan memori.

Sayuran ini dihidangkan bersama nasi panas, sambal belacan, lauk ikan sungai dan ikan kering.

4. CEKUR

Cekur atau nama saintifiknya Kaempferia Galanga Linn mempunyai kesan antiradang, tahan sakit, anticacing, antioksidan, antimikrob dan antihipertensi.

5. PEGAGA

Pegaga atau nama saintifiknya Cantella Asiatica merupakan tumbuhan yang sering dikaitkan dengan rahsia keremajaan dan awet muda.

Bukti saintifik juga telah menunjukkan bahawa ulam-ulaman ini mempunyai khasiat yang memudahkan pertumbuhan tisu penghubung seperti elastin dan kolagen, yang penting untuk penyembuhan luka.

6. DAUN KADUK

Daun kaduk atau nama saintifiknya Piper Sarmentosum, agak menyerupai daun sireh tetapi tumbuhan ini tidak tumbuh memanjat sebaliknya tumbuh di atas tanah.

Makan ulam kaduk yang mempunyai rasa agak payau dan sedikit pahit ini dikatakan mempunyai manfaat untuk masalah sembelit, sakit gigi, demam malaria, lemah dan sakit-sakit dalam tulang.

7. PETAI

Petai merupakan ulam yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Petai didapati mempunyai kesan antidiabetes, antimikrob, antioksidan, antihipertensi dan berpotensi menurunkan kandungan gula dalam darah.

8. JERING

Jering mempunyai kandungan asid amino yang unik, asid djenkolic yang mempunyai kesan antidiabetes.

Kajian dalam haiwan mendapati kesan positif pada kandungan gula dalam darah, selera makan dan berat badan haiwan yang diabetes dan normal.

Terdapat banyak lagi ulam-ulaman yang popular seperti rebung buluh, pucuk betik, kacang botol dan peria katak. Semuanya mempunyai pelbagai rasa yang berbeza untuk anda terokai.

Mengapa kita patut mengamalkan ulam?

Kebanyakan ulama yang kita makan tumbuh dalam persekitaran semula jadinya, tanpa menggunakan racun serangga.

Ulam selalunya digandingkan dengan pencicah seperti cincalok, budu, sambal belacan dan tempoyak semuanya dihasilkan melalui proses fermentasi, menghasilkan produk kaya dengan probiotik (bakteria baik) yang membantu sistem penghadaman.

Jadi, mulakan makan ulam ini daripada dapur rumah kita sendiri. Rajin-rajinlah mendapatkan bekalan ulam-ulaman yang penuh khasiat ini daripada pasar tani setempat.

Kunci pada kesihatan kita apabila kita mengamalkan ulam-ulam ini dalam kuantiti sederhana dan bersilih ganti.

Semoga bermanfaat.

#HealthDrZubaidi

www.drzubaidi.com

Ikuti perkongsian pengalaman dan pengetahuan sepanjang lebih 25 tahun menjadi doktor Pengamal Perubatan Am di Telegram berkaitan kesihatan, pemakanan dan ubat-ubatan.

https://t.me/PerkongsianDrZubaidiHjAhmad

Leave a Reply

error: Content is protected !!