Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Motivasi » Ujian Kesihatan Memerlukan Kesabaran

Ujian Kesihatan Memerlukan Kesabaran

Tawakal bermakna berserah kepada Allah dengan sebulat hati, atas takdir yang ditentukanNYA setelah kita berusaha.

Seperti mana seorang pelajar sedang menjalani pengajian di universiti. Setelah berusaha mendalami dan memahami bahan kuliah, maka tibalah masa untuk menghadapi peperiksaan. Maka pelajar itu menjawab soalan-soalan itu dengan cara yang terbaik. Akhirnya berserah dan menunggu sahaja keputusan yang bakal diumumkan oleh pensyarah.

Begitu juga sebagai seorang hamba yang berusaha untuk memuaskan hati tuannya. Terserahlah kepada tuannya menilai pekerjaan yang dilakukan. Sabar dalam menerima keputusan yang bakal diterima setelah melakukan yang terbaik.

Untuk mendapat kesembuhan penyakit, seorang pesakit harus berusaha mencari ubat dan rawatan terbaik buat dirinya.

Selain itu kesabaran juga membantu proses penyembuhan penyakit. Saya melihat ramai pesakit yang tidak sabar dan sentiasa merungut terus menderita kesakitan berbanding dengan pesakit yang bersabar dan redha.

Malah dalam usaha mendapatkan rawatan juga ramai yang tidak sabar dalam pelbagai hal. Ada yang tidak sabar menunggu masa dirawat, ada yang tidak sabar memakan ubat dan ada yang tidak sabar menanggung penderitaan sakit. Inilah bentuk-bentuk ujian yang ALLAH berikan kepada orang yang sakit.

Jika kita percaya pada konsep bahawa penyakit ini datangnya dengan keizinan ALLAH, saya percaya tiada pesakit yang akan merungut terhadap ujian Allah ini. Allah memberikan ujian sakit, ketakutan dan kebimbangan ini sebagai tanda kita layak menerima ujian yang kelak akan diberikan ganjaran besar jika kita tabah menghadapinya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara kebajikan), serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Surah Ali Imran: 200)

Ujian yang berupa kesakitan dan kebimbangan ini adalah ujian yang mampu kita hadapi. Jika kita bandingkan dengan pesakit lain yang diuji dengan kanser dan kematian mengejut, tentu kita akan bersyukur.

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah: 286)

Sifat sabar ini amat perlu disemai dan dibajai dalam diri setiap muslim kerana kehidupan ini pada hakikatnya adalah medan perjuangan dan penuh dengan ujian yang menuntut pengorbanan dan kesabaran yang bukan sedikit.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Taghabun: 11).

Maka sesiapa yang dapat menghadapinya dengan sabar dan tenang, bermakna dia lulus dalam ujian itu dan akan terus diuji oleh Allah sehingga dia menjadi muslim yang benar-benar bertakwa kepada-Nya.

Kenyataan ini selari dengan Rasulullah SAW apabila baginda ditanya sahabat yang bermaksud:

“Siapakah orang yang paling banyak sekali terkena ujian?” Jawab baginda: “Nabi dan seterusnya orang yang seumpama mereka. Maka barangsiapa yang tebal imannya, nescaya banyaklah ujian yang akan menimpanya dan barangsiapa yang lemah imannya, sedikit pula ujiannya.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Ada kalanya kita berasakan dugaan yang Allah berikan kepada kita amat berat. Banyakkan bersabar dan terimalah segalanya dengan redha.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 216 )

Paling penting, jangan mudah putus asa untuk mendapatkan rawatan yang betul dan sempurna. Allah melarang kita berputus asa dengan musibah yang menimpa.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yg beriman.” (Surah al-Imran: 139 )

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” (Surah al-Baqarah: 45)

Teruskan mendapat rawatan dan jadikan segala musibah yang menimpa sebagai suatu titik perubahan untuk kita lebih dekat dengan Allah.

“… dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.” (Surah Yusuf: 12 )

Wallahu a’lam

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: