Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Farmasi » Ubat penahan sakit dan keguguran

Ubat penahan sakit dan keguguran

“Doktor saya sering mengalami sakit kepala dan telah didiagnosakan oleh doctor sebagai migraine. Kadang kala saya tidak tahan menanggung sakit kepala saya, seolah-olah ada batu berat yang berada pada kepala saya. Adakalanya saya rasa mahu menghantukkan kepala saya bagi mendapatkan kelegaan. Sakit kepala sangat mengganggu kerja saya sehingga saya terpaksa MC beberapa hari dalam sebulan. Nasib baik saya menjalankan perniagaan sendiri.

Doktor yang merawat saya telah memberikan ubat penahan sakit bagi meredakan sakit kepala saya. Ia sangat mujarab. Setiap kali saya sakit, saya akan cepat-cepat menelan ubat itu. Jika tidak saya akan menaggung sakit kepala sepanjang hari.

Baru-baru ini seorang rakan memberitahu saya bahawa ubat penahan sakit ini boleh menyebabkan keguguran pada wanita yang hamil.

Masalahnya saya baru berkahwin dan sedang hamil 10 minggu. Berita ini amat merisaukan saya. Adakah ia benar?”

 

 

Wa alaikum mus salam. Tahniah kerana puan sedang hamil, semoga ALLAH memudahkan kehamilan puan dan mendapat anak yang sihat dan soleh/solehah.

 

Saya juga ada membaca berita itu. Mungkin rakan puan maksudkan satu artikel diterbitkan dalam Canadian Medical Association Journal pada 6 September , 2011, bertajuk “Use of nonaspirin nonsteroidal anti-inflammatory drugs during pregnancy and the risk of spontaneous abortion”

 

(rujuk :Nakhai-Pour HR, Broy P, Sheehy O, et al. Use of nonaspirin anti-inflammatory drugs during pregnancy and the risk of spontaneous abortion. CMAJ 2011;183:1713–20)

 

Dalam kajian ini mendapati bahawa ubat penahan sakit yang dibeli dari farmasi secara tanpa preskripsi (‘over the counter’) seperti Ibuprofen, diclofenac (voltaren),naproxen (synflex), celecoxib (Celebrex) dan rofecoxib (Vioxx) boleh menggandakan kebarangkalian untuk keguguran pada wanita hamil.

 

 

Ubat-ubat ini dikategorikan dalam kumpulan NSAIDs (Non-Steroidal Anti-Inflammatory Drugs), dan banyak digunakan sebagai ubat penahan sakit dijual di farmasi.

 

Dalam kajian itu, mendapati bahawa lebih dari 4,700 wanita yang keguguran menggunakan ubat penahan sakit NSAIDs berbanding dengan wanita yang melahirkan anak dengan selamat.

 

Secara kesimpulannya, didapati kebarangkalian untuk seorang wanita hamil untuk keguguran apabila menggunakan ubat NSAIDs itu adalah dua atau tiga kali ganda berbanding dengan wanita yang tidak menggunakan ubat penahan sakit itu.

 

Oleh kerana kajian ini hanya berdasarkan kepada rekod-rekod pesakit dan  bukan kajian secara langsung, maka kesahihan kajian ini masih dipersoalkan.

 

Walau bagaimana pun lebih baik jika wanita yang hamil menghentikan pengambilan ubat NSAIDs ini, kecuali atas nasihat doctor, terutama bagi pesakit yang tidak mampu lagi menahan rasa sakit kepala yang keterlaluan.

 

Tetapi jangan mudah panik kerana wanita hamil juga adakalanya memerlukan ubat yang mampu menghilangkan atau mengurangkan sakit kepala. Tanpa ubat penahan sakit mungkin mereka menderita sepanjang kehamilan.

 

Saya ada menulis tentang masalah sakit kepala di kalangan wanita hamil dan cara mengurangkannya. Boleh baca di http://drzubaidi.com/blog/?p=2188

 

Nasihat saya kepada wanita hamil dan mengalami sakit kepala, berbincanglah dengan doctor sebelum mengambil ubat NSAId untuk sakit kepala terutama di awal kehamilan. Elakkan mengambil apa-apa ubat dari farmasi atau ubatan herba yang boleh menyebabkan bahaya pada bayi dalam rahem.

 

Bagi wanita yang sering dilanda migraine ada baiknya sebelum hamil berbincang dengan doctor. Meninggalkan ubat-ubat ini boleh mengundang lebih bahaya berbanding dengan terus mengambil ubat-ubatan itu.

 

Kehamilan yang sihat tidak bermakna kehamilan tanpa ubat (medication-free pregnancy). Setiap orang mempunyai keperluan yang berbeza. Maka berbincanglah dengan orang yang lebih berilmu.

 

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: