Advertorial
Home » TAZKIRAH HATI » TIDAK MARAH DAN BERSABAR MENJADIKAN KITA LEBIH SIHAT

TIDAK MARAH DAN BERSABAR MENJADIKAN KITA LEBIH SIHAT

 

Berwaspadalah dengan kesan penyakit hati kepada kesihatan kita. Sifat dengki, sombong, suka menfitnah dan berdendam adalah sifat mazmumah yang akan meningkatkan risiko untuk merosakkan kesihatan. Ia manifestasi rasa marah. Ia mengganggu keseimbangan hormon dan merosakkan fungsi utama organ. Al Ghazali menyatakan rasa marah boleh menyebabkan marah.

 

Marah adalah salah sifat syaitan yang mengimpikan manusia tinggal bersamanya di dalam neraka, lantas melakukan apa saja untuk mencetuskan rasa marah dan seterusnya membangkitkan sifat mazmumah yang lain.

 

Rasulullah SAW selalu menasihati kita agar jangan marah. Dalam sebuah hadis, ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: “Berikanlah aku nasihat.” Baginda bersabda: “Jangan marah.” Maka orang itu mengulangi permintaannya tadi beberapa kali. Nabi menjawab: “Jangan marah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

 

Dalam hadis lain, diriwayatkan pada satu ketika ada dua orang saling mencela di sisi Rasulullah SAW. Salah seorang mencela lawannya dengan penuh kemarahan sehingga berubah wajahnya. Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku akan ajarkan satu kalimah yang jika diucapkan, akan hilang apa yang ada padanya. Iaitu sekiranya dia mengucapkan: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” (Muttafaq ‘alaih)

 

Kita harus sentiasa memohon kepada Allah SWT supaya dilindungi. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A’raf, ayat 200)

 

Rasulullah SAW juga menganjurkan umat Islam yang sedang dikuasai marah mengubah keadaan fizikal mereka. Apabila seorang sedang marah dalam keadaan berdiri, dianjurkan dia duduk. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kamu marah sedang pada saat itu dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah dia berbaring.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

 

Selain itu, kita dinasihatkan agar diam daripada berkata-kata ketika sedang marah. Bayangkan, jika rasa marah tidak dapat dikawal, pelbagai kata-kata kesat dan kurang sopan akan terhambur keluar daripada mulut.

 

Bersabarlah. Tidak rugi orang yang bersabar kerana Allah SWT sentiasa bersama-sama golongan yang sabar. “Dan (ingatlah) Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 66).

 

Bersabar menandakan kita berjaya menundukkan nafsu. Rasulullah SAW bersabda “Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergaduh, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

 

Tanpa kekuatan dalaman yang kuat dan ikhlas dalam menempuh dugaan, kita akan tewas dengan hasutan itu. Bersabarlah bukan untuk kemenangan orang lain, tetapi untuk kemenangan diri kita sendiri, agar kita sentiasa mendapat keredhaan Allah SWT dan menjadikan kita lebih tenang dan sihat.

 

Semoga bermanfaat.

 

#sihatdgnimandanibadahdrzubaidi

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: