Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Fiqh Perubatan » Tidak Boleh Menderma Darah Setiap Bulan
Tidak Boleh Menderma Darah Setiap Bulan

Tidak Boleh Menderma Darah Setiap Bulan

Banyak berita yang mewar-warkan keperluan pendermaan darah. Setiap hospital awam di seluruh negara menggesa masyarakat setempat mendermakan darah bagi menampung keperluan rawatan yang semakin berkurang.

Darah diperlukan untuk menggantikan darah mangsa kemalangan jalanraya, pesakit yang sedang menjalani pembedahan, atau pesakit-pesakit kronik yang memerlukan darah seperti leukemia atau thalassemia.

Dalam hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-4 yang bersidang pada 13-14 Apr 1982 telah membincangkan ‘Derma Darah Dan Penggunaan Darah Orang Islam Kepada Orang Bukan Islam Dan Sebaliknya’. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Menderma darah hukumnya harus.
  2. Tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam
  3. Penghargaan dalam bentuk bayaran kepada penderma darah adalah tidak digalakkan.

Sementara Sheikh Yusuf al Qardhawi pula menyatakan bahawa menderma darah merupakan sedekah yang paling tinggi nilainya. Seseorang yang sedang sakit, memerlukan darah dan jika seseorang menderma darah kepada pesakit itu, ia merupakan satu amalan yang mendapat ganjarann yang cukup besar di sisi Allah SWT.

Masalah yang sering ditanyakan kepada saya ialah berapa kerap kita dibenarkan menderma darah tanpa memudharatkan diri?

Seorang rakan FB bertanya kepada saya.

“Salam, Dr Zubaidi. Saya ingin bertanya, bilakah masa yang sesuai utk saya menderma darah lagi selepas bulan Julai 2011 yg lalu?  Boleh tak saya menderma darah setiap bulan sekiranya kesihatan saya memuaskan?”

Sebenarnya perkataan ‘sihat’ adalah terlalu subjektif. Secara amnya, semua orang layak menderma darah dengan syarat-syarat seperti berikut :-

  • Berasa sihat pada hari pendermaan darah.
  • Berumur di antara 18-60 tahun.
    • Bagi yang berumur 17 tahun, perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibubapa atau penjaga.
    • Bagi yang berumur 61-65 tahun, perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada doktor mengenai tahap kesihatan badan.
  • Berat badan melebihi 45 kg.
  • Tidur melebihi 5 jam pada malam sebelum hari pendermaan.
  • Tiada masalah kesihatan (penyakit kronik eg diabetes, hypertension).
  • Tidak mengambil sebarang ubat-ubatan
    • Tidak mengambil antibiotik dalam tempoh 7 hari sebelum hari pendermaan
  • Telah mengambil makanan sebelum menderma darah (tidak berpuasa)
  • Tidak terlibat di dalam sebarang kegiatan berisiko tinggi seperti seks bertukar-tukar pasangan, hubungan seks sejenis atau kedua-dua jantina, hubungan seks dengan pelacur atau pekerja seks komersial, salah guna dadah dan menjadi pasangan kepada golongan tersebut.

Masalah utama penduduk Asia (termasuk Malaysia), kita mempunyai ramai pesakit anaemia yang tidak didiagnosa. Mereka tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai tahap haemoglobin dan sel darah merah yang kurang. Mereka ini tidak mengalami apa-apa simptom, cuma mungkin kelihatan pucat dan sukar bernafas apabila melakukan riadah atau kerja berat.

Anemia adalah penyakit di mana seseorang mengalami bilangan sel darah merah atau tahap kepekatan haemoglobin yang kurang.

Definasi anemia oleh WHO bagi wanita yang tidak hamil, ialah tahap haemoglobinnya kurang daripada 12.0 g/dl. Manakala bagi  wanita hamil Hb 11.0  g/dl dan bagi lelaki ialah Hb kurang daripada 13.0 g/dl.

(rujuk : World Health Organization (2008). Worldwide prevalence of anaemia 1993–2005)

Oleh itu walaupun seseorang individu berasa sihat, pihak yang menganjurkan pengumpulan darah haruslah memeriksa kandungan haemoglobin dalam darah.

American Association of Blood Banks memberi syarat bagi seseorang yang mahu mendermakan darah haruslah mempunyai minima haemoglobin sebanyak 13.5 g/dl bagi lelaki dan 12.5 g/dl bagi wanita. (1)

Ini kerana apabila seseorang itu mendermakan darah, tahap kepekatan darahnya akan berkurang dengan serta-merta. Darah yang didermakan haruslah diganti dengan serta-merta juga. Kebolehan menggantikan darah yang hilang bergantung pada bekalan zat besi (iron) yang berada dalam badan seseorang.

Dalam tubuh seorang yang sihat terdapat lebih kurang lima liter darah dalam badannya. Hanya sepuluh peratus yang dibenarkan untuk didermakan dalam satu sesi pendermaan darah. Kebiasaannya seseorang penderma darah akan diambil satu pain atau 450ml darah.

Satu gram haemoglobin mengandungi 3.4 mg zat besi. Dalam badan individu normal yang mempunyai 15 g haemoglobin per dl, 100 ml darah mengandungi kira-kira 50 mg zat besi. Oleh itu dengan mengambil 2 ml darah akan menyebabkan kehilangan 1 mg zat besi. (2)

Bagi pendermaan darah sebanyak 450 ml, tubuh akan kehilangan kira-kira 225 mg zat besi. Jika tubuh mempunyai simpanan zat besi yang banyak, selalunya bilangan sel darah merah dan tahap kepekatan haemoglobin akan kembali normal selepas 3–4 minggu. Oleh itu simpanan zat besi dalam tubuh amat penting bagi mengekalkan kesihatan seseorang penderma.(1)

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Journal Transfussion, saintis mendapati bahawa cecair dalam darah yang dipanggil plasma akan kembali pulih selepas 2–3 hari sementara sel darah merah mengambil masa yang agak lambat iaitu purata 36 hari.(3)

Berbanding dengan keadaan biasa, sebanyak 2.4 juta sel darah merah dihasilkan dalam tubuh setiap saat melalui proses erythropoiesis yang berlaku di tulang sum-sum. Sel-sel darah ini akan hidup selama 100-120 hari.

Oleh itu kebanyakan saintis mencadangkan agar kekerapan pendermaan darah hanya dibenarkan sebanyak dua atau tiga kali dalam setahun. Wanita yang subur dan masih mengalami kitaran haids haruslah berhati-hati kerana mempunyai risiko untuk mengalami kekurangan tahap haemoglobin dalam darah.(4)

Satu artikel yang diterbitkan dalam Journal terkenal, JAMA, saintis memberitahu bahawa lelaki yang sihat dan tidak mempunyai masalah bekalan zat besi dalam tubuh, boleh menderma darahnya sehingga 5 unit dalam setahun. (Satu unit bersamaan dengan satu pain atau 450 ml. 5 unit bersamaan 2250 ml setahun)

Manakala bagi wanita yang masih mempunyai kitaran haids, mempunyai risiko kekurangan darah jika menderma darah melebihi satu unit dalam setahun.(5)

Walaupun sel darah merah dapat digantikan dalam masa kira-kira sebulan, seseorang individu memerlukan 3 bulan untuk mengekalkan semula simpanan zat besi selepas mendermakan darah.

Walaupun seseorang itu mengamalkan  supplement zat besi, namun itu bukanlah alasan untuk membenarkannya menderma darah sebulan sekali.

Oleh kerana terlalu bimbang dengan kemudharatan menderma darah, beberapa saintis mencadangkan agar pendermaan darah hanya dua kali setahun bagi lelaki dan sekali setahun bagi wanita. (6)

Walau bagaimana pun di Malaysia, biasanya seorang pendema dibenarkan menderma darah semula selepas 3-4 bulan.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (241011)

Rujukan:

  1. Huestis DW, Busch S.“Selection of blood donors. In: Practical blood transfusion”. 2nd ed. Boston: Little Brown and company; 1976. p.7-48.
  2. Ranney HM, Rapaport SI. “The red blood cell. In: Best and Taylor’s Physiological basis of Medical practice”. 12th ed., Baltimore: Williams & Wilkins; 1991. p.369-384
  3. Pottgiesser T, Specker W, Umhau M, Dickhuth HH, Roecker K, Schumacher YO (Jul 2008). “Recovery of hemoglobin mass after blood donation“. Transfusion 48 (7): 1390–7.
  4. Hewitt PE, Wagstaff W. “ABC of transfusion”. Br Med J 1989; 299: 1391-1394.
  5. Simon TL, Garry PJ, Hooper EM. “Iron stores in blood donors”. JAMA 1981; 245: 2038-2043.
  6. Jacobs A, Kaltwasser JP, Crosby WH, Conrad ME, Nusbacher J. “How much blood, relative to his body weight, can a donor give over a certain period, without a continous deviation of iron metabolism in the direction of iron deficiency”. Vox Sang 1981; 41(5-6): 336-343.

5 comments

  1. masih belum pernah derma darah sbb takut dgn jarum yg agak besar tu, mgkn dengar mcm pentingkan diri sendiri kan tp tu la hakikatnya..sya sgt takut jarum even hnya utk check glucose pun kena fikir byk kali..

    • fiza pun mcm misshan jugak… mmg fobia dengan jarum… tp setiap kali derma darah mesti bawak bantal lain… sbb nk tutup muka punya pasal….xnk tengok jarum punya pasal…. sampai nurse2 kt situ da kenal da….

  2. Norazura Burham

    Saya tertarik dengan artikel Doktor berkaitan dengan derma darah. Saya suka menderma darah tetapi selalu gagal apabila zat besi di dalam darah tidak mencukupi. sedih betul…bagaimana cara untuk meningkatkan zat besi dalam darah..terima kasih

  3. kalau hari kedua period boleh derna darah tak..?!

  4. pesakit diabetes boleh derma darah ke???

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!