Spirulina Sebagai Makanan Tambahan

Hampir setiap syarikat jualan langsung menjual produk makanan kesihatan spirulina. Ia adalah produk yang amat laris di pasaran kerana dikatakan mempunyai kadar protein yang tinggi dan bagus untuk pembangunan minda.

Spirulina sebenarnya adalah tumbuhan microalgae berwarna biru kehijau-hijauan yang dimakan oleh manusia dan haiwan sebagai suplemen nutrisi. Kebanyakan algae ini dari jenis Arthrospira platensis dan Arthrospira maxima yang dikeluarkan di United States, Thailand, India, Taiwan, China, Pakistan, Myanmar dan Chile.

(rujuk: Vonshak, A. (ed.). “Spirulinaplatensis (Arthrospira): Physiology, Cell-biology and Biotechnology”. London: Taylor & Francis, 1997)

Di Amerika Syarikat spirulina dianggap sebagai suplemen atau makanan kesihatan yang diwar-warkan sebagai nutraceutical, atau makanan yang mempunyai manfaat kesihatan.

Sesetengah pengeluar mendakwa spirulina boleh merawat penyakit, dan memantapkan kesihatan fizikal dan mental seseorang yang mengamalkannya. Tidak dinafikan spirulina kaya dengan protein, vitamin dan mineral, namun banyak kajian saintifik yang lebih sahih harus dilakukan untuk membuktikan dakwaan ini.

Spirulina mengandungi kira-kira 60% protein dan terdiri daripada semua jenis amino acid yang diperlukan oleh tubuh manusia. Tetapi spirulina mempunyai kandungan amino acids methionine, cysteine dan lysine yang kurang berbanding dengan protein pada daging haiwan, telur dan susu.

(rujuk: Ciferri O (December 1983). “Spirulina, the edible microorganism”.Microbiol. Rev. 47 (4): 551–78.)

Oleh itu spirulina yang diwar-warkan sebagai kaya dengan protein, sebenarnya mempunyai kandungan protein yang kurang dari sumber daging, telur dan susu, tetapi ia lebih baik dari sumber tumbuh-tumbuhan.

Secara perbandingan, spirulina adalah 30 kali ganda lebih mahal daripada daging. Ini bermakna jika satu gram protein ayam berharga 10 sen, untuk mendapatkan 1 gram protein dari spirulina terpaksa membelanjakan RM3.

(rujuk: Babadzhanov A.S. et al.. “Chemical Composition of Spirulina Platensis Cultivated in Uzbekistan”. Chemistry of Natural Compounds 40 (3): 2004.)

Bukan itu saja, spirulina juga bukanlah sumber vitamin B12 yang baik. Menurut American Dietetic Association (ADA), spirulina sebenarnya membekalkan pseudovitamin B12, yang tidak aktif dan tidak dapat digunakan dalam tubuh manusia. Maka ADA memberitahu bahawa spirulina bukanlah sumber terbaik untuk mendapatkan bekalan vitamin B 12.

(rujuk: Watanabe F, Katsura H, Takenaka S, Fujita T, Abe K, Tamura Y, Nakatsuka T, Nakano Y (1999). “PseudovitaminB(12) is the predominant cobamide of an algal health food, spirulina tablets.”. J. Agric. Food Chem. 47 (11): 4736–41)

Selain itu, isu keselamatan produk juga dibahaskan oleh pihak pengguna. Di Amerika Syarikat sendiri, pengeluaran suplemen spirulina tidak dikawal oleh mana-mana undang-undang. United States Food and Drug Administration (USFDA) tidak menjalankan pemeriksaan ketat terhadap pengeluaran spirulina kerana suplemen spirulina dianggap sebagai bukan ubat. Jadi pengeluran spirulina dimasukkan ke dalam undang-undang pengeluaran suplemen yang mana pemantauannnya lebih longgar.

Jadi tidak hairanlah jika ada khabar-khabar angin tentang pencemaran toxin dan bahan logam dalam pengeluran suplemen ini.

Spirulina mempunyai potensi untuk bercampur dengan bahan logam berat, seperti merkuri yang merbahaya. American Pregnancy Association (APA) melaporkan pengambilan logam berat merkuri secara tidak sengaja ketika hamil boleh merosakkan otak bayi dalam rahem dan melambatkan perkembangan otak apabila dilahirkan nanti.

Agency for Toxic Substances and Disease Registry US pula memberitahu pencemaran merkuri tidak harus melebihi 0.3 mcg merkuri dalam setiap per kilogram berat badan dalam sehari. Jika ia melebihi tahap kepekatan ini, ia boleh menyebabkan kerosakan otak pada bayi dalam rahem.

Oleh kerana ada bukti-bukti pencemaran spirulina yang melebihi180 mcg merkuri dalam setiap 20 g spirulina, maka USFDA dan APA menyarankan agar suplemen spirulina tidak diambil oleh wanita yang hamil.

(Sebagai perbandingan, USFDA juga tidak menggalakkan pengambilan minyak ikan Salmon yang kaya dengan omega 3 untuk wanita yang hamil atas risiko pencemaran merkuri)

Spirulina juga boleh dicemari oleh toksin microcystins yang dikeluarkan oleh cyanobacteria.Toksin ini boleh mengganggu sistem penghadaman menyebabkan sakit perut, muntah dan ceret beret terutama di kalangan kanak-kanak.

Oleh itu pemberian sprulina kepada kanak-kanak dan bayi harus dengan berhati-hati kerana mereka lebih sensitif terhadap kesan sampingan spirulina ini. Jika ada tanda-tanda seperti ini, pengambilan spirulina harus dihentikan serta merta dan harus dibawa untuk pemeriksaan doktor. Pendedahan toksin microcystins dalam jangkamasa yang panjang pula boleh menyebabkan penyakit kanser hati (liver cancer).

(rujuk: Gilroy, D., Kauffman, K., Hall, D., Huang, X., & Chu, F. (2000). “Assessing potential health risks from microcystin toxins in blue-green algae dietary supplements”)

Spirulina juga tidak boleh diamalkan oleh semua orang. Spirulina mengandungi kandungan Vitamin K yang agak tinggi. Vitamin K bertanggungjawab mempercepatkan pembekuan darah.

Jadi pesakit yang menjalani rawatan pencairan darah seperti pesakit yang baru dibedah menukarkan injap jantung, dinasihatkan tidak mengambil spirulina sebagai suplemen. Darah yang cepat membeku merbahaya kepada pesakit seperti ini kerana ia akan menyebabkan thromboembolism, yang mana dikhuatiri berlaku stroke.

Spirulina juga mempunyai kandungan amino acid phenylalanine yang tinggi. Bagi pesakit genetic yang mengalami penyakit phenylketonuria tidak boleh mengamalkan spirulina kerana tubuh pesakit ini tidak dapat menghadamkan amino acid phenylalanine ini. Kesan jangka panjang juga boleh menyebabkan kerosakan otak.

Walaubagaimanapun saya tidak menolak manfaat dari pengambilan spirulina. Spirulina dikatakan sebagai makanan tambahan yang mempunyai manfaat kesihatan yang sangat baik seperti meningkatkan daya imuniti terhadap penyakit, mengurangkan kolestrol dan membantu menghalang penyakit kanser.

Menurut U.S. National Institutes of Health, walau pun spirulina diakui boleh meningkatkan tahap kesihatan seseorang kerana kandungan protein, zat besi (iron) dan mineral yang lain, banyak kajian yang perlu dilakukan bagi membuktikan dakwaan ini.

Oleh itu bagi pengamal spirulina, nasihat saya ialah pilihlah supplemen spirulina yang dikeluarkan oleh syarikat yang dapat menjamin tahap keselamatan suplemen ini dari pencemaran logam berat merkuri dan toksin microcystin.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (130312)

30 comments

  1. noriza satriman

    dr. saya ingin bertanya…. saya ada ibu yg menghidap kencing manis. dia selalu memberitahu sa bahawa badannya lemah . baru baru ni saya ada membelikannya multivitamin. bolehkah? apa cadangan doktor…

    • Sangat bagus kerana multivitamin terutama B compleks dalam mengurangkan rasa kebas akibat kerosakan saraf pada pesakit diabetik. saya ada menulis mengenainya dalam blog ini, semoga bermanfaat.

  2. salam doktor..
    bagaimana dgn liquid chlorophyll? sesuai tak dijadikan minuman harian..?tq

  3. salam DR.

    Dr. mengatakan Spirulina mengandungi Vitamin K yg tinggi yg berfungsi utk mempercepatkan pembekuan darah. Saya skg sedang menghadapi masalah High Platelet Count dan masih dlm rawatan.. Adakah sesuai utk saya mengambil spirulina pd masa skg? apa cadangan DR..Tq

  4. Dr,
    Anak saya pernah kena stroke pada usia 7 tahun, usia anak saya sekarang 9 tahun, dia terpaksa makan aspirin untuk mencairkan darah kerana saluran darah ke otaknya sempit akibat pembengkakkan, sehingga kini tiada perubahan pada salur darah tersebut dn kata doktr dia terpaksa mengambil aspirin sepanjang hayatnya. Jadi adakah ini bermakna anak saya tidak boleh mengambil spirulina? takut nanti darahnya beku…

  5. salam dr.

    saya berumur 30 tahun dan mengandung anak yg pertama. saya pergi ke klinik ibu dan anak kerajaan dan doktor mengira usia kandungan saya sekarang baru 4 bulan lebih, dan due pada 11/10/12. disebabkan HB darah saya agak menurun hingga ke HB 10, doktor menyarankan saya makan 2 biji obimin setiap hari. baru-baru ni, saya tergelincir dan terjatuh..jadi saya untuk menhilangkan risau, saya pergi ke klinik swasta untuk scan dan doktor disitu menerangkan, bahawa usia kandungan saya skrg adalah 21 minggu dan due adalah 24/9/12..saya confius, mana satu yang betul.. dan doktor disitu menerangkan saya tidak boleh makan obomin lebih dari sebiji sehari, akan menyebabkan overdose. dan dia juga x mengalakkan saya makan spirulina(elken), kerana tidak elok ubat herba dicampurkan bersama ubat lain. dia memberikan saya ubat IBERET FOLIC MADE IN INDONESIA, dan menyarankan saya makan sebiji sehari untuk tambah darah dab sebiji obomin. Dr, saya betul2 keliru dengan pendapat kedua-dua doktor tersebut. dan saya tidak berani untuk makan ubat IBERET FOLIC yang diberikan lebih2 made in indonesia. minta penjelasan..TQ

    • Saya tiada komen ttg usia kehamilan puan sebab saya tidak memeriksa puan. Obimin dan Iberet adalah multivitamin dan Hb 10 masih dikira normal bagi kebanyakan ibu hamil kerana kecairan darah akibat water retention, malah WHO juga memberitahu, diagnosa kekurangan darah anemia berlaku apabila Hb kurang dari 10. Jadi makan sebiji sehari saja Obimin atau Iberet.

  6. Salam Dr.
    Saya nak bertanya,apakah jenama spirulina yang ada di pasaran Malaysia yang baik untuk dimakan? Saya baru sahaja membeli Spirulina dari Elken.
    Terima kasih doktor.

  7. doc, adakah pengambilan spirulina sesuai utk ibu yg menyusukan anak?

    Terima kasih.

  8. salam Dr.
    saya ingin bertanye adakah spirulina boleh hilangkan masalah buasir bg ibu hamil?
    2minggu lepas saya ada amalkan mkn spirulina hpa utk hilangkan masalah buasir, selepas seminggu amalkan masalah tersebut berkurangan..Namun minggu ke2 saya mengalami masalah pembuangan air besar dan muntah2 yang menyebabkan masalah buasir saya makin menjadi teruk dan saya berhenti mkn spirulina 3-4hari dan sekarang saya rasa masalah tersebut hilang..

  9. salam DR saya nk tahu individu yang ingin mengambil ‘new obimin’ untuk tambah darah dan mengalami kanser rahim adakah ia memberi sebarang kesan sampingan pada individu tersebut????

  10. Noor Amalina Ramlee

    Salam Dr,

    Saya ada baca tentang spirulina dlm blog Dr ni..cuma saya ingin bertanya tentang pengambilan supplement Neurogain minyak ikan yg mempunyai DHA yang baik untuk wanita mengandung dan menyusukan..jadi apa pendapat Dr mengenai vitamin ini? adakah kesan sampingan. Sebab sekarang saya sedang menyusukan anak ada perancangan untuk mengambilnya sebelum ini semasa mengandung saya ada mengambilnya semasa kandungan mencecah 5 bulan dan saya makan 2 botol sahaja sepanjang kehamilan. Terima kasih Dr

  11. Salam Dr,

    Saya ingin bertanya, ibu saya mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis, serta jantung. Adakah beliau sesuai untuk makan supplement spirulina?

    Terima kasih

  12. shafiqah shazman

    Dr,

    Abang saya mengidap anemia, apa vitamin yang sesuai utk beliau, boleh kah beliau mengambil spirulina?

  13. Hai Dr,

    Saya ingin bertanya, saya baru sahaja membeli spirulina keluaran amway untuk suplement anak anak saya yg berumur 3 tahun sehingga 1 tahun. Untuk pengetahuan Dr,anak anak saya sudah lama batuk dan selsema ( hampir 3 bulan). telah byk doktor yg saya jumpa dan byk ubat yg anak anak saya makan… saya ingin bertanya adakah spirulina ini dapat menyembuhkan batuk & selsema & adakah terdpt effect

  14. dr.. Kalau baby g6pd ibu boleh makan spirulina x? Ibu bf baby

  15. Hai doktor,

    Saya ingin nak tahu kenapa setiap kali lepas pengambilan spirulina(5 biji pada waktu pagi, sekali sehari saja), tapi memang susah utuk mebuang najis. Kalau berhenti mengambil ia akan seperti biasa satu hingga dua kali setiap hari pembuangan. Adakah ia tak sesuai bagi saya?

    • Hai doktor, Saya ingin nak tahu kenapa setiap kali lepas pengambilan spirulina(5 biji pada waktu pagi, sekali sehari saja), tapi memang susah utuk mebuang najis. Kalau berhenti mengambil ia akan seperti biasa satu hingga dua kali setiap hari pembuangan. Adakah ia tak sesuai bagi saya?

      Dr Zubaidi: Spirulina harus diambil dengan air yang secukupnya, jika tidak boleh menyebabkan sembelit.

  16. Assalamualaikum doktor…
    Sy ingin bertnya boleh ke sy mengambil spirulina dan untuk pengetahuan doktor sy jg mempunyai masalah fibroid dan tiub tersumbat……

  17. dr. anak saya HIE grade 1 dan mengalami masalah perkembangan dan tumbesaran yang lambat.boleh tak doktor terangkan tentang HIE grade 1 dan bagaimanakah caranya untuk saya menaikkan dan membesarkan badan anak saya yang berusia 9 bulan dengan berat 5.6 kg sahaja

    • dr. anak saya HIE grade 1 dan mengalami masalah perkembangan dan tumbesaran yang lambat.boleh tak doktor terangkan tentang HIE grade 1 dan bagaimanakah caranya untuk saya menaikkan dan membesarkan badan anak saya yang berusia 9 bulan dengan berat 5.6 kg sahaja

      Dr Zubaidi: Insya ALLAH jika dipermudahkan dan diberi kelapangan masa, saya aklan menulis mengenainya.

Leave a Reply

error: Content is protected !!