Silap Potong Ketika Berkhatan!

Terkejut saya membaca akhbar Harian Metro hari ini (22 december 2011). Mulanya saya ingatkan kanak-kanak yang dikhatan itu dipotong keseluruhan kemaluannya.

Tetapi setelah selesai membaca berita itu, rupanya mereka dilaporkan telah dikhatankan menggunakan teknik yang salah oleh seorang doktor wanita ketika menyertai program berkhatan di Alor Setar, pada 26 November lalu.

Ini mengakibatkan hujung kulit zakar mereka tidak dipotong sepenuhnya. Mereka juga dilaporkan mengalami luka yang masih belum kering dan terpaksa memakai kain. Luka itu menjadi punca mereka akan merasa sakit setiap kali mahu membuang air.

Kedua-dua orang kanak-kanak itu Mohd Iskandar Zulkifli, 10, dan adiknya, Mohd Shah Ikmal, 7, bertambah kecewa apabila doktor memberitahu mereka terpaksa dikhatankan sekali lagi dalam tempoh setahun akan datang.

Dalam hal ini saya teringat beberapa insiden yang pernah berlaku dalam hidup saya. Seorang bapa membawa anaknya yang berumur 14 tahun. Remaja itu agak pendiam mungkin malu kerana terpaksa menurut kemahuan bapanya ke pusat kesihatan tempat saya bertugas untuk diperiksa kemaluannya.

“Doktor, anak saya sekarang berumur 14 tahun. Doktor ingat lagi tak dia? Saya yang minta doctor mengkhatankan anak saya 4 tahun lepas. Tapi masa itu doktor bercuti. Jadi saya bawa ke klinik lain untuk berkhatan”.

Saya melihat wajah bapanya agak kemarahan. Mesti ada masalah.

“Doktor tahu tak, apa yang doktor itu telah lakukan pada anak saya?”

Saya cuba memahami perasaan bapanya.

“Saya akan saman doktor itu kalau saya tidak dapat menimang cucu. Anak saya tidak boleh menimang cahaya mata. Doktor itu telah salah potong…

Dari perasaan marah kepada linangan air mata.

“Kenapa ? Terus putus ke? Salah potong?” terbeliak mata saya mendengar penjelasan itu.

Saya hanya membayangkan bagaimana keadaan remaja itu apabila dia besar kelak dengan zakarnya telah terpotong habis. Bagaimana dia mahu berkahwin nanti dan mempunyai anak?

“Bukan potong habis. Tapi potong tak habis..!”

“Oooo… maksudnya ada sisa kulit hujung itu ke’? Kalau macam itu, jangan risau sebab tidak ada kena-mengena dengan kesuburan. Orang bukan Islam yang tidak berkhatan pun ada ramai anak..”

Saya cuba meyakinkan.

Saya memeriksa remaja itu. Mulanya dia enggan, tetapi atas desakan bapanya dia beralah.

Saya mendapati memang ada sisa kulit namun saya tidak rasa ia perlu dibuang semula. Sisa kulit itu tidak menutupi kepala zakar dan keseluruhan zakarnya bersih.

“Macam mana doktor? Perlu dibuang ke sisa itu. Saya takut ia mengumpulkan najis..”

Memang benar. Tujuan seorang kanak-kanak lelaki dikhatankan ialah agar kebersihan zakarnya dapat dijaga dengan mudah. Islam amat menggalakkan orang Islam menjaga kebersihan terutama personal hygiene. Malah seorang Islam harus mencukur bulu kemaluannya agar bersih dan tidak mendatangkan penyakit.

Dalil utama berkaitan ‘khatan’ adalah:

خمس من الفطرة : الختان والإستحداد وتقليم الأظافر ونتف الإبط وقص الشارب

“Lima perkara fitrah : berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak (cukur) dan memendekkan misai.” (Riwayat Muslim)

Malah telah disepakati oleh ulama mazhab Syafie bahawa khatan bagi lelaki adalah wajib dan digalakkan dilakukan ketika si anak hampir cukup umur atau akil baligh.

Malah Rasulullah s.a.w juga berkhatan. Menurut pandangan dan kajian oleh Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Zadul Ma’ad, pandangan yang paling tepat adalah Rasulullah s.a.w telah dikhatankan oleh Abd Mutalib pada hari ketujuh kelahiran baginda mengikut kebiasaan Arab.

Pendapat yang mengatakan Rasululllah s.a.w dilahirkan dalam keadaaan berkhatan adalah lemah. Begitu juga pendapat yang menyatakan bahawa Jibrail a.s. yang mengkhatankan baginda semasa membelah dada baginda.

Jadi kewajiban berkhatan tidak menjadi keraguan lagi. Hukumnya wajib bagi orang lelaki Islam bermazhab Syafie. Namun bagaimana cara dikhatankan dan siapa yang harus mengkhatankan tidak ada disebut secara jelas dalam mana-mana hadis.

Maka menurut kebanyakan ulama bahawa sesiapa saja boleh mengkhatankan kanak-kanak Islam, termasuk doktor bukan Islam, asalkan perawat itu mempunyai kemahiran dan menggunakan teknik yang tidak memudharatkan. Tidak kira sama ada menggunakan teknik jahitan biasa, clamp, atau laser, asalkan teknik yang digunakan adalah teknik yang cepat dan selamat.

“Macam mana doktor tahu yang anak saya tidak perlu dikhatan semula?”

Saya terdiam sebentar mengumpul ayat-ayat untuk menjawab soalan. Alhamdulillah, saya pernah menghadiri muzakarah mengenai khatan ini yang dianjurkan oleh sebuah hospital awam.

Ramai di antara kita hanya faham bahawa berkhatan bermakna memotong lebihan kulit pada hujung batang zakar yang dikenali sebagai prepuce.

Bagaimana pula dengan persoalan ‘berapa banyak kulit yang harus dibuang yang dikehendaki syarak?’ Isu ini menjadi perdebatan ringan di kalangan ulamak. Kebanyakan ulama mazhab Syafie mengatakan bahawa kesemua kulit haruslah dibuang. Oleh itu membuang sebahagian kulit tidak memadai.

Namun ada sebahagian kecil ulama mazhab Syafie  yang mengatakan memotong sebahagian kulit juga mencukupi,  asalkan kepala zakar tidak ditutup oleh sisa kulit prepuce itu.

Ulama’ mazhab Hanbali juga bersependapat dengan cara ini, iaitu mesti membuang keseluruhan kulit prepuce.

Bagi ulama mazhab Hanafi, membuang ‘melebihi separuh kulit’ dan tidak menutupi kepala zakar, telah mencukupi. Membuang kurang dari separuh kulit dan masih menutupi kepala zakar, dianggap tidak mencukupi.

Saya suka pada pendapat Imam Al-Mawardi yang lebih berlapang dada. Menurut Imam Al-Mawardi, “cara terbaik (berkhatan) adalah membuang keseluruhan kulit bermula dari kepala zakar (glans of penis), dan  (setidak-tidaknya) paling kurang ialah (membuang) kulit (agar) tidak menutupi kepala zakar itu”

(Nama sebenar Imam Al-Mawardi ialah Abu al-Hasan Ali Ibn Muhammad Ibn Habib al-Mawardi  (972-1058 ), adalah ulama’ berbangsa Arab bermazhab Shafie)

Mungkin apa yang dimaksudkan oleh beliau, apabila kulit telah dibuang dan kepala zakar tidak lagi ditutup, maka kebersihan zakar secara keseluruhan dapat dijaga.

Saya juga berpendapat khatan kali kedua adalah tidak perlu sekiranya ia akan memberikan mudharat terutamanya kepada kanak-kanak yang terlalu trauma (takut) pada pengalaman khatan yang lalu atau mengalami masalah pembekuan darah yang boleh menyebabkan pendarahan yang tidak berhenti.

Saya mengambil pendapat apabila seseorang yang telah dikhatan, kepala zakar (glan of penis) haruslah boleh dilihat dan tidak lagi dilindung oleh lebihan kulit atau prepuce tadi, maka khatan itu telah sempurna.

Walau bagaimana pun boleh bertanyakan kepada ulama yang lebih arif mengenai keperluan untuk membuang semula sisa kulit hujung zakar itu. Dari segi kesihatan, khatan semula tidak diperlukan.

Wa allahu a’lam.

Bacaan :

  1. Bigelow, J. The Joy of Uncircumcising, Hourglass Books 2nd edition 1995 p55
  2. Yellen, H.S. Bloodless circumcision of the newborn. Am. J. Obstet. Gynecol. 1935; 30:146-47
  3. Hunter R.H. Notes on the development of the prepuce. J. Anat. 1935; 70:68-75

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (261211)

2 comments

  1. Askum doc, saya telah d khatankan cara kg sewaktu umur 15 tahun. Saya tidak berpuashati kerana bahagian kulit masih menutupi kepala zakar. Akibat malu dan takut berkatan d hospital dan klinik, niat saya telah tetangguh sehinnga umur saya 37tahun baru datang semula ke klinik untuk minta dikatankan. Selepas saya berkhatan d klinik tersebut, saya mendapati kulit luar masih menutupi sebahagian besar kepala zakar. Alasan doktor yang mengkhatankan saya ialah beliau takut terpotong urat yang boleh menyebabkan pendarahan yang banyak. Adakah cara penyelesaian lain untuk masalah saya ini doc?

Leave a Reply

error: Content is protected !!