Sering Haus ketika Menyusukan Anak

Saya sangat kagum terhadap kesabaran yang ditunjukkan oleh wanita yang hamil. Kehamilan adalah suatu proses fisiologi yang normal di mana seorang wanita mengalami perubahan dalam dirinya bagi memberi peluang untuk bayi di dalam rahem membesar sebelum dilahirkan.

Namun begitu perubahan yang dialami oleh mereka boleh menyebabkan mereka menderita dan merasa ketidakselesaan. Jadi saya mengharapkan agar banyakkanlah bersabar atas ujian Allah. Setiap kesusahan Insya Allah akan berakhir dengan kesenangan.

Sesungguhnya orang-orang yang sabar akan diberikan pahala mereka tanpa hitungan.”

Bagi diri saya sendiri, semakin saya mengkaji perubahan-perubahan ini, saya menjadi manusia yang mengakui kehebatan Allah yang mencipta setiap kejadian makhluknya dengan sempurna.

Benarlah firman Allah,

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (surah at-Tin ayat 4)

Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih pada rakan-rakan FB yang bertanya. Adakalanya soalan-soalan mereka walaupun agak pelik dan tidak pernah terlintas oleh mana-mana doktor, tetapi ada penjelasannya yang sangat kompleks. Saya cuba menjelaskannya dalam bahasa yang mudah, agar akhirnya keimanan kita semakin kuat pada Allah, tuhan yang menjadikan kita dengan sempurna.

Salam Dr Zubaidi,

Saya mengucapkan terima kasih atas perkongsian ilmu dan pengalaman yang doctor tuliskan dalam blog doctor. Saya ada satu kemusykilan terhadap terdiri saya.

Untuk pengetahuan doctor, saya seorang ibu yang sedang menyusukan bayi saya. Masalahnya saya cepat dahaga dan kerap minum air.

Walau bagaimana pun saya rasa air yang saya minum tidak menyerap dalam badan saya kerana saya dapati kulit saya menjadi kering, saya kerap kencing dan susu badan saya tidak begitu banyak.

Saya telah menjalankan pemeriksaan gula dalam darah dan doctor mengatakan bahawa gula dalam darah saya agak rendah. Malah saya juga diberitahu mengalami tekanan darah yang agak rendah menyebabkan saya kadang kala rasa seperti mahu pitam.

Bolehkah doctor menjelaskan keadaan saya?

Terima kasih.

Ida

Sebenarnya saya banyak belajar dari soalan sebegini. Masalah-masalah yang beliau hadapi sebenarnya berpunca dari hormone oxytocin yang banyak dikeluarkan dalam badan oleh wanita yang menyusukan anak.

Dalam satu jurnal Clinical  Endocrinology, memberitahu bahawa kehausan yang dirasakan oleh wanita yang menyusukan bayi mereka ada kaitan dengan proses fisiologi yang menjaga keseimbangan cecair dalam tubuh (osmoregulation). Ini berlaku apabila bayi mula menghisap susu ibunya (suckling) menyebabkan kepekatan hormone oxytocin meningkat dalam darah dan seterusnya menyebabkan rasa haus pada ibu dan menggalakkan mereka untuk minum lebih banyak air.

(Rujuk: Clinical  Endocrinology (Oxf). 1995 Sep;43(3):277-82).

Walaupun terdapat fakta yang mengatakan bahawa hormon oxytocin menyebabkan air kencing menjadi sedikit kurang kuantitinya, tetapi dalam kajian yang dilakukan terhadap tikus-tikus dalam makmal mendapati bahawa oxytocin juga merangsangkan pembentukan urine dengan kuantiti yang banyak kerana ia menyebabkan garam sodium dikeluarkan dari (bahagian distal tubule dan collecting duct) dalam ginjal. Garam sodium ini kemudiannya menarik lebih banyak air dari tubuh untuk keluar melalui ginjal bersama-samanya. Kerana itu, adakalanya hormone oxytocin yang dikeluarkan menyebabkan wanita yang menyusukan anak mudah mengumpul air kencing di pundi kencing dan cepat rasa mahu kencing.

(rujuk: Huang, W., S. L. Lee, and M. Sjöquist. Natriuretic role of endogenous oxytocin in male rats infused with hypertonic NaCl. Am. J. Physiol. 268 (Regulatory Integrative Comp. Physiol. 37): R634–R640, 1995)

Oleh kerana air kencing banyak dikeluarkan, dengan proses osmoregulation, keadaan di mana tubuh mengalami kekurangan air akan menyebabkan rasa haus dan lebih banyak air yang dikeluarkan melalui air kencing. Akhirnya kulit dan bibir boleh menjadi kering.

Bagitu juga apabila hormon oxytocin meningkat dalam tubuh, ia memberikan kesan yang berbeza-beza kepada setiap wanita. Jika beliau sensitif terhadap hormon ini, sudah tentu ia memberikan kesan yang lebih dirasai olehnya berbanding dengan wanita lain.

Selain itu, hormon oxytocin juga menyebabkan rasa panas (hyperthermia) dalam tubuh kerana memberikan kesan mengembangkan saluran darah. Jika terlalu banyak salur darah yang mengembang, ia alan menyebabkan tekanan darah menjadi rendah .

(rujuk: Richard, P., F. Moos, and M. J. Freund-Mercier. Central effects of oxytocin. Physiol. Rev. 71: 331–370, 1991).

Saya rasa dalam hal ini puan Ida tidak perlu bimbang. Cara terbaik ialah meminum air yang secukupnya dan mengelakkan dari minum air yang berkaffein seperti teh, kopi dan coklat kerana minuman ini akan menyebabkan rasa mudah untuk buang air kecil dan memburukkan lagi masalah puan.

Wa allahu a’lam

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad ( 010112)

One comment

  1. salam dr.
    saya merupakan seorang ibu yg sedang hamil 8 bln utk ank yg ke-2. Bg kndungan ke-2 sya ini kdg2 sya mrasakan sukar utk bernafas tmbahan apabila berada dlm bilik yg berpenghawa dingin. Adakah perkara tersebut normal bg seorang wanita hamil seperti sya atau sya mengalami masalah lain? Utk pengetahuan dr. sya tidak mempunyai penyakit lelah ataupun penat.

Leave a Reply

error: Content is protected !!