Selamatkah Wanita Hamil Menaiki Kapalterbang?

Doktor saya ada emergency ni..”

”Isteri saya sudah mahu check in tapi tidak dibenarkan. Dia hamil 28 minggu. Kami mahu balik ke Sarawak.”

”Jadi apa yang emergency?” saya kehairanan.

”Pintu gate sudah mahu ditutup. Saya dan isteri nanti tidak akan dibenarkan masuk. Tolonglah..”

Ok, tapi saya masih keliru. Apa yang emergency nya? Isteri kamu sakit perut kah?”

Tidak ! Saya mahu surat pengesahan segera. Saya mahu cepat!!”

Saya gelihati bila teringat perbualan saya dengan seorang penumpang penerbangan AirAsia yang mahu balik Sarawak. Kebetulan, saya bertugas di sebuah cawangan poliklinik yang berhampiran dengan Lapangan Kapalterbang Antarabangsa Senai.

Saya menulis keterangan berdasarkan buku antenatal yang dibawanya. Banyak maklumat yang saya dapati membantu saya menentukan sama ada isterinya layak (fit) untuk berada di dalam pesawat. Nasihat saya, semasa merancang untuk membeli tiket pesawat, berbincanglah dahulu dengan doktor.

Apasallah syarikat penerbangan di Malaysia ini mengada-ngada. Saya semasa hamil 36 minggu dulu, syarikat penerbangan antarabangsa di US, benarkan saya menaiki pesawat. Tapi di Malaysia, adik saya tidak dibenarkan menaiki pesawat walaupun hamil hanya 35 minggu” seorang rakan FB berleteran di ruangan chatting setelah saya memberitahu akan menulis mengenai risiko penerbangan di kalangan wanita hamil.

Saya tidak mahu memberikan apa-apa komen mengenai syarikat penerbangan asing. Sepanjang pengetahuan yang saya ada, kedua-dua syarikat penerbangan di Malaysia iaitu MAS (mungkin termasuk Firefly) dan AirAsia mempunyai beberapa syarat yang berbeza.

Satu kenyataan dari AirAsia yang saya petik :

Adalah menjadi tanggungjawab penumpang untuk memberitahu pihak kami tentang progress kehamilan mereka ketika menempah tempat duduk dan ketika berada di di kaunter ”check-in”. Penerbangan kami hanya membenarkan penumpang yang hamil bergantung kepada faktor-faktor di bawah :

  1. Kehamilan sehingga 27 minggu : kami akan membenarkannya tanpa surat keterangan doktor dengan syarat penumpang menandatangani surat ‘Limited Liability Statement’.
  2. Kehamilan antara 28 hingga 34 minggu : penumpang harus menunjukkan surat keterangan doktor untuk mengesahkan usia kehamilan dan dalam surat itu harus menyatakan bahawa penumpang fit untuk penerbangan. Surat itu harus dikeluarkan tujuh hari sebelum tarikh penerbangan. Penumpang juga harus menandatangani surat  ‘Limited Liability Statement’.
  3. Kehamilan 35 minggu ke atas : kami tidak membenarkan.

Sementara untuk pesawat penerbangan MAS pula:

  1. Penumpang yang hamil normal (tanpa komplikasi boleh menaiki pesawat sehingga umur kehamilan 35 minggu).
  2. Surat keterangan doktor harus dibawa untuk mengesahkan bahawa penumpang fit untuk berada dalam pesawat bergantung pada tarikh kelahiran yang dijangkakan (expected due date).
  3. MAS tidak membenarkan penerbangan bagi penumpang yang hamil pada bulan terakhir kehamilan sehingga tujuh hari sebelum tarikh melahirkan yang dijangkakan.

Secara amnya American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) tidak menghalang wanita hamil yang sihat dan tidak mempunyai apa-apa komplikasi untuk menaiki pesawat. Namun badan itu mencadangkan agar ibu yang hamil tidak menaiki pesawat selepas mencapai umur kehamilan mencecah 36 minggu.

Ibu yang mempunyai kompliksi kehamilan dan berisiko tinggi tidak dinasihatkan menaiki pesawat. Antaranya ibu hamil yang mempunyai kencing manis yang tidak dikawal, penyakit sickle cell, masalah uri yang berada di bawah (placenta previa), tekanan darah tinggi  dan mereka yang berisiko untuk melahirkan pramatang.

Doktor, adakah kemungkinan saya akan mengalami keguguran jika menaiki pesawat ketika kehamilan saya baru 10 minggu?”

Ini adalah soalan yang sukar dijawab. Banyak faktor yang mempengaruhi kebarangkalian untuk mengalami keguguran. Bayangkan, ibu yang tidak menaiki pesawat juga keguguran, inikan pula yang menaiki pesawat. Jadi kemungkinan itu ada tetapi bergantung kepada diri ibu yang hamil itu.

Namun begitu, di awal kehamilan (umur kehamilan kurang dari 12 minggu), masalah utama ialah rasa loya dan muntah. Ibu yang hamil bertambah tidak selesa berada di kabin akibat tekanan rendah. Jadi pastikan 2-3 beg kertas yang disediakan untuk muntah ada bersama.

Pada kehamilan antara 12-23 minggu pula, gejala ’Morning sickness’ seperti rasa loya dan pening telah hilang, dan risiko untuk keguguran juga telah berkurangan, malah kemungkinan untuk lahir pramatang adalah mustahil. Inilah masa yang terbaik untuk terbang jika ada keperluan yang memaksa.

Selain itu bagi penerbangan yang memakan masa melebihi 4 jam, terdapat risiko untuk menghadapi fenomena ”deep vein thrombosis” iaitu masalah pembekuan darah di betis kaki. Ini terjadi apabila kaki tidak digerakkan dan berada dalam keadaan rehat pada jangka masa yang lama.

Wanita hamil mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat masalah ini. Apabila mereka duduk, rahem yang membesar menekan saluran darah besar Inferior Vena Cava menyebabkan perjalanan darah dari kaki ke jantung menjadi perlahan.

Hal ini dapat diatasi apabila otot-otot betis kaki mengecut ketika berjalan. Oleh kerana keadaan ruang kabin dalam pesawat terhad, ini menyukarkan pergerakan ibu yang hamil. Jadi janganlah duduk rehat lama di kerusi kerana ini meningkatkan risiko pembentukan darah beku di betis.

Antara petua-petua yang boleh diamalkan untuk mengelakkan pembentukan darah beku ialah :

  1. Pakailah pakaian yang selesa dan longgar.
  2. Gunakan stoking kaki khas kerana ianya membantu pengaliran darah dari pergelangan kaki ke jantung dan paru-paru. (Boleh didapati di farmasi)
  3. Jangan duduk sambil menyilangkan kaki atau melipatkan kaki pada jangka waktu yang lama.
  4. Minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi. Darah mudah beku ketika dehidrasi.
  5. Lakukan senaman regangan yang ringan dan boleh dilakukan di tempat duduk. Antaranya ialah dengan bangun dan berjalan-jalan setiap satu jam. Setiap setengah jam, lakukan regangan pada sendi lutut, pusingkan sendi pergelangan kai dan gerak-gerakkan jari-jari kaki. Ia boleh dilakukan tanpa menggangu penumpang yang duduk di sebelah.

“Doktor saya bimbang dengan keadaan abdomen isteri saya. Walaupun baru 26 minggu tapi abdomennya amat besar. Saya bimbang ruang tempat duduk amat sempit baginya”

Saya mengakui ada sesetengah ibu hamil yang mempunyai abdomen yang bersaiz besar walaupun usia kehamilan baru saja mencecah 26 minggu.

Apabila abdomen semakin besar, ibu yang hamil menghadapi kesukaran untuk bangun dan berjalan  kerana ruang tempat duduk juga semakin menyempit.

Saya mencadangkan agar bertanyakan kepada pegawai pendaftaran ketika melakukan ‘check in’. Biasanya ruang tempat duduk di bahagian tengah lebih luas. Dapatkan tempat duduk di kawasan itu. Kerusi yang paling dekat dengan ruang pejalan kaki juga membantu ibu yang hamil untuk keluar dan berjalan-jalan.

Pintu keluar semasa kecemasan juga memberikan ruang yang agak luas. Namun untuk duduk di tepi pintu kecemasan bukanlah suatu pilihan yang baik.

Penumpang yang sepatutnya duduk di situ ialah penumpang yang boleh mengangkat pintu kapal terbang yang berat itu ketika berlaku kecemasan. Jadi Federal Aviation Administration Amerika Syarikat tidak membenarkan wanita hamil untuk duduk di kerusi itu.

Doktor bagaimana nak pakai tali pinggang keselamatan. Tak merbahaya kah kalau diikat di abdomen?”

ACOG mencadangkan penumpang yang hamil untuk memakai tali pinggang keselamatan sepanjang perjalanan kerana gegaran boleh berlaku pada bila-bila masa, sedangkan ruang antara abdomen dan kerusi penumpang di hadapan sangat rapat dan boleh mengakibat kecederaan.

Ketika duduk, pastikan tali pinggang berada di bawah abdomen yang membesar, iaitu berada di atas bahagian ari-ari. Walaupun digalakkan untuk minum banyak air bagi mengelakkan dehidrasi, namun pengambilan teh, kopi dan minuman berkarbonat yang mengandungi kaffein akan menyebabkan rasa mudah untuk kencing.

Jadi elakkan minuman yang berkafeine sebelum dan sepanjang penerbangan. Kurangkan makan makanan yang menyebabkan perut berangin seperti kekacang dan kobis. Tekanan yang rendah di kabin menyebabkan gas di perut akan mengembang dan kita akan berasa lebih tidak selesa.

Bagi ibu yang hamil pada umur kehamilan 36 minggu ke atas, banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum menaiki pesawat. Ini kerana usia kehamilan 36 minggu adalah masa yang menghampiri kelahiran.

Gegaran dan tekanan dalam kabin yang rendah akan merangsangkan proses kelahiran pramatang di dalam pesawat. Faktor lain ialah jangkamasa berada dalam kabin akan menentukan sama ada seorang ibu hamil dibenarkan untuk berada di dalam pesawat. Jika penerbangan mengambil masa melebihi 6 jam, risiko kelahiran pramatang bertambah tinggi.

Penerbangan domestik selalunya mengambil masa tidak lebih dari 4 jam (jika dari Semenanjung ke Sabah). Buatlah perancangan awal sebelum membeli tiket supaya kehamilan tidak menghampiri 36 minggu di saat memasuki kabin pesawat.

Belilah insuran penerbangan jika perlu dan jangan lupa membawa buku antenatal yang berwarna merah bersama apabila menaiki pesawat. Jika terpaksa melahirkan di pesawat atau mana-mana lapangan kapalterbang berdekatan, buku ini amat membantu doktor yang menyambut kelahiran.

”Doktor, bagaimana jika tiba-tiba saya berasa sakit mahu melahirkan?”

Jika berasa sakit pada abdomen dengan tanda-tanda mahu melahirkan, jangan takut atau malu untuk memberitahu krew kabin yang berada di pesawat. Krew kabin biasanya telah dilatih dan dapat menjangkakan keadaan ini. Pendaratan kecemasan mungkin dapat diaturkan supaya mendapat rawatan perubatan di lapangan kapal terbang yang berdekatan.

Satu berita dilaporkan oleh  Associated Press pada June 2008 di mana seorang penumpang pesawat Korean Air dari Filipina ke New York telah melahirkan bayi dalam penerbangan selama 14 jam itu. Bayi itu dinamakan Jadan, disambut oleh ayahnya yang kebetulan seorang pakar bedah.

Jadan dilahirkan seberat 3 paun dibawa terus ke Hospital New York sebaik sahaja pesawat itu mendarat dan kemudiannya dipindahkan ke Pusat Perubatan Lourdes di Camden, New Jersey.

“Saya risau tentang pemeriksaan polis ketika sedang check in. Adakah alat pengesan keluli itu merbahaya kepada janin dalam kandungan?”

Ramai ibubapa yang menyatakan kebimbangan sama alat pengesan metal (metal detector) memberikan kesan buruk pada bayi. Jangan risau. Ia adalah SELAMAT! Ia bukanlah mesin X-ray.

Kesimpulannya berbincanglah dengan doktor anda sebelum menempah tiket menaiki pesawat.

Wallahu a’lam.

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (120311)

26 comments

  1. Dr sy baru di sah kan hamil.. minggu depan sy naik kapal terbang pergi ke Jakarta yg mengambil masa 2 jam lebih… bahaya tak naik kapal terbang dengan kandungan sy yang masih baru ni..

  2. saya hamil 4 minggu (anak pertama) dan akan menaiki k.terbang (perjalanan 2 jam). saya diberi pil duphaston oleh doc kerana saya ada mengatakan bahawa saya risau dgn kandungan saya yg masih awal ni. pil itu saya dinasihatkan makan 2 hari sblm bertolak. tetapi kwn saya menasihatkan tidak perlu mkn ubat itu. saya keliru. adakah perlu saya makan atau tidak?

  3. dr..sy bru di sahkn hmil..5 minggu(ank pertme)..hjung bln 5 ni sy akn mnaiki kpal trbang ke langwki..adkh akn membhyekn kndungan sy????

  4. Dr. Saya ingin bertanya kepada Dr. Saya akan menaiki pesawat dalam kandungan 35 minggu …adakah AirAsia akan membernarkan saya menaiki pesawat ??

  5. Saya kini hamil 6 minggu (anak sulung) dan akan menaiki pesawat ke alor setar makan masa dalam satu jam perjalanan. Adakah akan mbahayakan kandungan saya?

  6. Dr saya prgnt 16minggu.hujung bulan ni saya akan menaiki penerbangan ke china..adakah ianya selamat untuk saya dan juga kandungan.harap dr dapat membantu.tq

  7. Dr saya baru disahkan hamil 5 minggu (anak pertama tapi hamil kali ke-2)..saya pernah keguguran 2 1/2 tahun lepas semasa kandungan berusia 11 minggu dan sehingga kini baru hamil lg.untuk pengetahuan dr sy berusia 29thn.sy akan menaiki kpl terbang pd minggu dpn (1 1/2 jam perjalanan) dan risau ia akan membahayakan kandungan saya yg masih br ini.harap dr bole bg advice.tq

    • Jika keguguran puan disebabkan faktor hormone, saya nasihatkan agar puan berehat saja di rumah, kerana pelbagai sebab boleh menjadi punca (trigger factor) untuk keguguran seperti sebelum ini. Jika puan berhasrat untuk meneruskan perjalanan, boleh bertanyakan dengan doktor yang merawat puan.

  8. Salam..ada sesiapa boleh tolong jawab x? saya skrg hamil 7minggu, dan minggu depan akan menaiki pesawat ke padang..bahaya atau tidak utk kandungan saya? TQ

    • Wsalam. Setiap perbuatan ada manfaat dan risiko. Mengikut kebiasaan kehamilan 7 minggu tidak merbahaya, tapi ada kalanya boleh keguguran atas sebab-sebab yang lain.

  9. selamat melahirkan baby yang hot lg comel uollls…

  10. Doktr…. EDD sya 07hb Mac 2012. Sya bcdg balik kg naik pesawat pd 24hb Feb, yg mgmbil masa 50 mnit. Masa tu usia kndgn sya da 38 mgu…So, mmg x blh la saya naik psawat masa tu kn? Kalu jln darat pula kna amk masa 12 jm pjln. Jln pula x elok… Ada ka apa2 cdgn dn nasht dr doktr?

  11. akum dr saya nk nasihat kandungan sy berusia 19 minggu leh ke kalau saya naik pesawat ke luar negara selama 5 jam.. apakah nasihat dr…

  12. Dktr trik edd sya 25mac..sy bcdg nk blik sbah 12feb ms tu dah 34mnggu ada kah brbhya ngn kndngan sya..

  13. Dr. sy nak tanya, saya akan naik pesawat ke labuan 25 feb ni dan saya mengandung 28 minggu ketika itu, adakah selamat u saya dan kandungan?

  14. Salam. Dr, sy nak minta pandangan/nasihat doktor.. Saya bercadang nak balik Sabah pada bulan May nanti, masa tu, kandungan saya dah 34 minggu. Penerbangan JB-KK mengambil masa lebih kurang 2 jam 45 minit.. Pada pendapat doktor, adakah selamat untuk saya menaiki kapal terbang pada masa tu? Dan apakah risiko2 yang bakal saya hadapi?

  15. Doktor.. Sy baru disahkan hamil 5 mnggu (ank pertama)
    Walaubagaimanapun,sy akan ke Australia pd hujung April nnti..
    Adakah selamat utk sy menaiki pesawat yg memakan masa lebih 3 jam utk 1 perjalanan?
    Harap doktor dpt memberi pendapat.. Terima kasih.

  16. dr.sya bru saja menempah tiket airasia tuk blik ke Sabah bln 8 ni.bln ni saya x period lg,akhir period 2/2/12 smpai sekarang blum period lg.adakah saya mengandung?.ank saya skrg 8 n 10 thn.rasa rugi pula tiket da bli,boleh kah saya menaiki terbang??.masalahnya saya kalau mengandung pasti mabuk.boleh ke saya makan pil tahan mabuk??…

  17. Saya baru sahaja menaiki kapal terbang ke Pulau Bali, Alhamdulillah walaupun kandungan saya sudah masuk ke 23minggu. Namun tiada masalah semasa didalam pesawat, sepanjang perjalananan pergi dan balik.

    InsyaAllah info yang Dr. berikan disini menjadikan topik yang baik untuk saya kongsikan dengan kawan-kawan fb yang lain

    Terima Kasih ^_^

    Suhana Sapar
    http://www.suhanasapar.com
    http://www.facebook.com/NotaHamil

  18. Assalam doktor. Saya sekarang hamil. tetapi mengikut kiraan tarikh last piriod saya sepatutnya kandungan saya sudah 7 minggu sekarang. tetapi mengikut kiraan doktor baru 5 minggu.. yang menjadi masalahnya, pada 27.6.2012 hadapan , saya akan ke Bandung. adakah selamat kandungan saya doktor? dan ada x cara dan kaedah untuk mencegah dari keguguran ketika menaiki kapal terbang.? Tq

  19. Saya hamil 12minggu 5hari,esok sy akn ke sabah..doa kan sy n kandungan selamat pergi n pulang…

  20. BAIZURA BINTI HASNI

    saya akan menggunakan penerbangan ke penang pada usia kandungan 35 minggu. mulanya saya yakin kerana masa perjalanan hanya 2 1/2 jam. tapi mula risau bila doktor yang beri pengesahan tidak mahu bekerjasama untuk buat surat pengesahan.

  21. salam dr. sy ingin bertnyakan tentang surat limited liabity statement. flight sy akhir bln 4, dari srwak ke smnnjung… smasa kandungan umur 36 mggu.. di mana sy boleh dpatkan surat tu?

    • salam dr. sy ingin bertnyakan tentang surat limited liabity statement. flight sy akhir bln 4, dari srwak ke smnnjung… smasa kandungan umur 36 mggu.. di mana sy boleh dpatkan surat tu?

      Dr Zubaidi: Puan boleh mendapatkannya dari doktor yang merawat kehamilan puan.

Leave a Reply to halifahCancel reply

error: Content is protected !!