Advertorial
Home » BERNAMA RADIO 24 » Selamatkah melahirkan anak di rumah?

Selamatkah melahirkan anak di rumah?

SELAMATKAH MELAHIRKAN ANAK DI RUMAH?

RADIO SALAM FM 17 FEB 2018, RADIO BERNAMA 22 FEB 2018

 

 

 

  1. KENAPA ADA SESETENGAH KITA MAHU MELAHIRKAN ANAK DI RUMAH?

 

Setakat interviu radio pada hari ini, belum ada dalam mana-mana akta atau undang-undang di Malaysia yang menghalang kelahiran di rumah atau di tempat-tempat lain selain dari hospital.

 

Kita belum dengar lagi ada pendakwaan terhadap ibu yang melahirkan anak di rumah, di bilik air atau di bawah pokok. Sama ada sengaja atau tidak. Ia bukan kesalahan.

 

Jadi melahirkan anak, tidak semestinya di hospital atau mana-mana kemudahan kesihatan yang lain. Ia adalah pilihan wanita yang hamil itu.

 

Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan setiap wanita ingin melahirkan anak agar melakukannya di hospital atau pusat perubatan yang diiktiraf. Dengan ini keselamatan ibu dan bayi lebih terjamin. Bukan bermaksud tiada kematian ibu dan anak yang direkodkan di hospital, tetapi apabila berlaku sebarang masalah pada ibu atau anak yang dilahirkan, kemudahan sokongan perubatan kecemasan telah tersedia. Doktor dan jururawat terlatih pula sedia membantu.

 

Namun masih ada wanita yang ingin melahirkan anak mereka di rumah. Saya membahagikan mereka kepada dua kumpulan.

 

Kumpulan pertama adalah wanita yang mungkin ada pengalaman pahit di hospital. Sebagai contohnya pernah kecil hati dimarah oleh jururawat dan menunggu terlalu lama. Ada juga yang mungkin ingin melahirkan anak di tempat yang biasa dan selesa bagi mereka, iaitu di rumah.

Pada tahu 60an atau 70an alasan ini biasa diberikan kerana perkhidmatan kesihatan yang moden masih dianggap sebagai sesuatu yang asing. Mereka selalu memberitahu bahawa persekitaran hospital atau “bau hospital” adalah sesuatu yang menakutkan. Tetapi pada masa ini, alasan ini jarang didengar kerana kita telah didedahkan pada perkhidmatan perubatan moden.

 

Ada juga yang memberikan alasan isu ‘penjagaan aurat’ semasa melahirkan anak dan bimbang proses kelahiran ini akan dikendalikan oleh doctor lelaki. Saya memahami isu ini. Ada setengah kita agak sensitive terhadap isu aurat ini dan kita perlu menghormati keputusan mereka. Tetapi selalunya pengendalian proses melahirkan anak ini yang dilakukan oleh doctor lelaki tidak dapat dielakkan atas faktor kekurangan doctor yang terlahir bagi mengendalikan kelahiran bayi.

 

Saya percaya satu masa nanti, perkhidmatan hospital terutama bagi mengendalikan proses kelahiran, akan menjadi  yang lebih mesra dan lebih Islamik , bakal ibu-ibu ini akan ingin melahirkan anak di hospital-hospital kerajaan. Banyak usaha yang dilakukan untuk mencapai matlamat ini. Kumpulan pertama ini selalunya mudah dipujuk semula untuk melahirkan anak di hospital.

 

Kumpulan kedua adalah kumpulan yang ada pegangan bahawa proses kehamilan dan proses melahirkan anak adalah proses yang natural dan semulajadi. Ia harus dilakukan oleh wanita itu sendiri kerana secara alaminya tiada makhluk haiwan yang dibantu ketika melahirkan anak. Mereka mampu melakukannya sendiri. Mereka percaya bahawa tidak perlu bantuan doctor, ubat-ubatan dan peralatan moden seperti ultrasound. Ini semua boleh memberikan kesan buruk kepada bayi dalam rahem.

 

Kumpulan ini agak sukar dipujuk kerana kerana mereka mempunyai hujah-hujah sendiri. Kebanyakan mereka adalah wanita-wanita yang berpelajaran tinggi dan banyak membaca. Mereka percaya dan terpengaruh dengan pembacaan mereka. Saya tidak menyalahkan mereka kerana mereka ada hujah dan memerlukan hujah untuk melembutkan hati mereka.

 

Sayangkan kadang-kala kita tidak memberikan hujah, tetapi maki-hamun pada golongan ini. Kita kata mereka “jumud”, “menolak kemodenan” dan ada doctor yang melabel mereka ini “bodoh”.

 

Sekali lagi saya beritahu bahawa mereka memerlukan hujah, bukan cercaan. Jadi kita di pihak perubatan moden ini haruslah bersabar dengan mereka, memberikan penerangan secukupnya dan akhirnya kita tidak boleh memaksa keputsan yang diambil. Jangan mudah mengalah dengan mereka. Insya Allah dengan hujah penerangan yang baik dan kasih saying yang ditunjukkan, mereka mungkin akan berubah.

 

Golongan ini menolak pemeriksaan doctor semasa hamil, pemberian vitamin dan vaksin, atau sebarang bantuan yang diberikan oleh doctor bagi mengurangkan risiko kehamilan.  Golongan ini juga tidak membenarkan pemberian vaksin pada anak-anak mereka kerana bimbang dengan kesan sampingan yang mungkin boleh berlaku.

 

Jadi agak sukar untuk memujuk mereka kembali ke hospital. Namun saya berharap agar golongan yang bertanggungjawab (staf kesihatan seperti doctor dan jururawat) dapat berikan terus penerangan kepada mereka. Bukan bersikap memerangi.

 

Kenapa perlu diperangi? Ini soal pandangan yang berbeza yang hanya dapat diubah dengan hujah. Tak kan setiap orang yang berlainan pandangan dari kita, kita harus perangi. Nanti penuh lokap dan penjara dengan orang yang berlainan fahaman politik, fahaman agama, fahaman mazhab dan pelbagai pandangan dan pendapat yang berbeza dengan kita.

 

Jika kita berperang, jurang pemisahan lebih ketara dan sikap menentang terhadap sistem kesihatan moden akan semakin bertambah kuat. Ini lebih bahaya. Inilah yang akan menyebabkan lebih ramai golongan yang  tidak mahu melahirkan anak di rumah, memilih hospital atau mana-mana pusat perubatan yang lain untuk melahirkan anak.

 

Penerangan harus dihebatkan dan perkhidmatan harus dipertingkatkan. Tidak ada cara lain memujuk mereka.

 

 

 

  1. SELAMATKAH MELAHIRKAN ANAK DI RUMAH?

 

Saya percaya bahawa tidak semua kelahiran di rumah itu adalah selamat walaupun banyak bukti menunjukkan ia adalah selamat dilakukan oleh bagi kebanyakan wanita.

 

Malah pada zaman dulu di era 40-50an di mana kemudahan kesihatan agak sukar didapati dan perjalanan ke hospital agak jauh.

 

Kita bergantung kepada perkhidmatan bidan kampung. Tetapi kita kena tahu bahawa pada masa itu kadar kematian ibu dan anak agak tinggi. Namun atas usaha kerajaan, Kadar Kematian Ibu (MMR) dapat dikurangkan 280 kes (1957) kepada 141 (1970) bagi setiap 100,000 kelahiran hidup.

 

Pada 2017 kadar kematian bayi dalam setiap 100,000 kelahiran hanya 12.5, berbanding 12.9 kes pada 2016 dan 13.69 pada 2014. Ini menunjukkan penurun kadar kematian bayi yang mencerminkan perkhidmatan yang terbaik diberikan.

 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia sebagai antara penyedia perkhidmatan kesihatan yang terbaik di dunia. KKM menyediakan anggota kesihatan terlatih untuk mengendalikan kelahiran, termasuk doctor, bidan dan jururawat terlahir, doctor pakar dan kemudahan peralatan kesihatan yang semakin canggih.

 

Beberapa negara di Eropah sendiri yang membenarkan amalan melahirkan anak di rumah, kelahiran yang dirancang dilakukan di rumah akhirnya kebanyakan mereka (50%) terpaksa dipindahkan ke hospital. Jadi bermakna amalan melahirkan anak di hospital adalah lebih lebih selamat dibandingkan amalan melahirkan anak di rumah.

 

Setiap kehamilan dan proses melahirkan anak mempunyai risiko yang berbeza. Wanita A mempunyai risiko yang berbeza dari risiko yang dihadapi oleh wanita B. Oleh itu tidak semua kelahiran di rumah adalah selamat.

 

Semasa pemeriksaan kehamilan (atau pemeriksaan antenatal), doctor dan jururawat terlatih akan memeriksa tahap kesihatan ibu dan anak dalam rahem. Di akhir kehamilan, doctor akan memberitahu sama ada kehamilan itu berisiko rendah (low risk pregnancy) atau berisiko tinggi (high risk pregnancy)

 

Apa perbezaan antara kehamilan berisiko? Secara amnya sungguhpun kehamilan dan proses melahirkan anak adalah suatu yang natural, namun ia boleh mendatangkan bahaya pada ibu dan anak. Sebab itu selepas pemeriksaan doctor di akhir kehamilan, doctor akan memberitahu sama ada kehamilan seorang wanita itu adalah kehamilan berisiko rendah atau berisiko tinggi. Tujuannya agar para doctor dan jururawat terlatih boleh merancang dan menyediakan keperluan sebelum proses melahirkan anak bermula.

 

Kebanyakan kehamilan adalah berisiko rendah kerana factor umur yang masih muda, pernah melahirkan anak sebelum ini, tiada masalah kesihatan sepanjang kehamilan, bukan anak kembar, berat badan ibu tidak berlebihan, bayi di rahem tidak bersaiz besar,  ketinggian tubuh tidak terlalu rendah dan banyak lagi. Kehamilan sebegini mungkin selamat dilahirkan di rumah, tetapi masih memerlukan bantuan dari bidan atau jururawat terlatih. Namun jika melahirkan di hospital lebih baik.

 

Bagi kehamilan berisiko tinggi pula selalunya bayi dan ibu dalam keadaan yang bahaya dan perlu dipantau sepanjang kehamilan sehingga selepas melahirkan anak. Proses kelahiran pula wajib dilakukan di hospital yang ada doctor pakar sakit puan dan perbidanan dan kemudahan bilik bedah.

 

Oleh itu, sebagai doctor kita mencadangkan agar wanita yang hamil agar melahirkan anak di hospital kerana kemudahan kesihatan sekarang mudah didapati dan murah.

 

Bayaran di hospital juga masih rendah keran disubsidikan oleh kerajaan. Bil bayaran yang mungkin mencecah puluhan ribu ringgi di hospital swasta, tetapi di hospital kerajaan bayaran hanya perlu dibayar beberapa ratus saja.

 

Kesimpulannya bagi menjawab soalan ini, kelahiran di rumah hanya boleh dilakukan leh wanita hamil berisiko rendah dan mendapat bantuan dari jururawat atau bidan terlatih. Tetapi di Malaysia kelahiran di rumah walaupun berisiko rendah tidak digalakkan.

 

Bagi mereka yang mempunyai kehamilan berisiko tinggi, jangan ambil risiko bersalin di rumah, sama ada dibantu oleh bidan terlatih atau tidak.

 

 

  1. APA ITU PERKHIDMATAN DOULA?

 

Perkataan DOULA adalah perkataan Greek yang bermakna  pembantu wanita. Perkataan ini digunakan bagi maksud pembantu wanita yang membantu wanita lain yang sedang hamil, sepanjang kehamilan mereka, ketika dalam proses kelahiran anak dan selepas proses melahirkan anak.

 

Amalan sebegini telah dilakukan sejak berabad dan sangat membantu wanita yang ingin melahirkan anak pada zaman silam. Namun dengan pengetahuan yang terhad dan kemudahan terbatas, ramai ibu dan bayi yang meninggal dunia ketika proses melahirkan anak.

 

 

Pada masa ini, perkhidmatan doula adalah perkhidmatan pembantu yang berbayar yang membantu si ibu sebelum, semasa dan selepas proses melahirkan anak dalam hal yang bukan berkaitan dengan perubatan.  Perlu diingat bahawa doula bukanlah pembantu yang mempunyai latar belakang perubatan.

 

Jadi kehadiran mereka di sisi si ibu bukan bertujuan untuk membantu proses kelahiran tetapi bagi memberikan sokongan emosi dan fizikal, bagi membantu jururawatan atau bidan terlahir dalam kelahiran berisiko rendah (di rumah atau di hospital).

 

Jadi ia pembantu tambahan kepada doctor atau  jururawat atau bidan terlatih di hospital. Namun ia bukannya sebahagian dari pasukan yang menyambut kelahiran itu. Doula sebenarnya hanyalah peneman ibu hamil ketika proses kelahiran dan kehadiran mereka diharap dapat membantu wanita bersalin dengan tenang.

 

Doula juga kadang kala memberikan sokongan kepada keluarga si ibu, sebagai contoh membantu memasak, membasuh dan mengemas rumah sepanjang kehamilan dan selepas melahirkan anak. Oleh kerana mereka tidak melakukan tugas-tugas khas ketika proses kelahiran, jadi mereka tidak memerlukan sebarang lesen pengamalan seperti mana jururawat. Mereka menjalan latihan untuk beberapa hari atau minggu.

 

Dengan bantuan sebegini, ia sangat membantu para ibu yang baru melahirkan sepanjang tempuh berpantang. Berbeza pada zaman dahulu, para ibu melahirkan anak di rumah ibubapa masing-masing atau ada ibu mereka akan berada di rumah sepanjang tempuh berpantang ini. Pada masa ini, amalan ini tidak dapat dilakukan lagi atas pelbagai factor, maka doula yang berbayar inilah yang digunakan untuk membantu mereka.

 

Bantuan yang diberikan dikatakan dapat meningkatkan tahap kesihatan ibu dan bayi dan mengurangkan kadar kematian bayi yang berumur sebulan ke bawah.

 

Rujukan: Hodnett, Ellen D.; Gates, Simon; Hofmeyr, G. Justus; Sakala, Carol (2012-10-17). “Continuous support for women during childbirth”. The Cochrane Database of Systematic Reviews. 10: CD003766.

 

Inilah sebenarnya peranan dan tugas doula.

 

Di beberapa negara, kelahiran di rumah dibenarkan. Ia dilakukan oleh bidan atau jurawat yang terlatih. Mereka bukan doula. Mereka dilatih dalam mengendalikan proses kelahiran berisiko rendah di rumah dengan sokongan dari pihak hospital. Jadi perkhimatan melahirkan anak di rumah bukanlah perkhidmatan yang berasingan. Mereka sebahagian dari perkhidmatan yang diiktiraf. Sebarang masalah selalunya terus dirujukkan ke hospital dengan bantuan perkhidmatan ambulan.

 

Oleh kerana bidan terlatih ini adalah sebahagian dari kakitangan kerajaan dari kementerian kesihatan, semua pemeriksaan antenatal dikendalikan oleh beliau. Setiap ibu yang hamil mempunyai bidan terlatih yang khas. Setiap bidan mempunyai beberapa wanita hamil di bawah jagaan mereka yang mana mereka tahu secara perinci berkaitan dengan wanita di bawah jagaannya.

 

(Tidak seperti di Malaysia, wanita yang hamil diperiksa oleh ramai jururawat yang tidak dikhaskan. Tiada bidan khas untuk seorang wanita).

 

Wanita hamil yang berisiko tinggi akan dirujukkan ke hospital untuk pemerhatian doctor pakar. Bidan terlatih ini tidak mengendalikan kes kehamilan berisiko tinggi.

 

Ketika mengendalikan proses kelahiran, bidan terlatih ini akan dibantu oleh pembantu wanita (doula) yang dipilih oleh wanita yang hamil ini.

 

Doula ini adalah seseorang wanita dibayar perkhidmatannya bagi menggantikan peranan “seorang ibu”, yang sentiasa dekat dengan wanita ini, tempat untuk meluahkan perasaan, mendapat urutan dan nasihat semasa kehamilan. Jadi mereka memahami wanita dan kesihatan yang dialami oleh wanita yang bakal melahirkan anak.

 

Mereka tidak berperanan sebagai bidan terlatih atau doctor untuk mengendalikan proses kelahiran. Jadi kehadiran mereka adalah pilihan terbaik bagi membantu  menguruskan ibu yang telah melahirkan, membantu menguruskan anak dan membantu menguruskan kehidupan dengan memasak, membasuh dan membantu serba sikit kerja membersihkan rumah.

 

Kemudian muncullah satu gerakan yang membawa fahaman atau pegangan bahawa “kehamilan dan proses melahirkan anak adalah proses yang semulajadi dan alami”. Ia tidak harus diganggu oleh orang lain (termasuk bidan terlatih atau doctor). Wanita harus melahirkan anak mereka dengan semangat dan kudrat seorang wanita bagi menjadikan proses kehamilan dan peroses melahirkan anak adalah proses yang indah dan dapat dikenang sampai bila-bila.

 

Mereka (golongan ini) memberikan nasihat, mengendalikan proses kelahiran dan menolak bantuan perubatan moden. Mereka mengendalikan proses ini bagi menggantikan peranan bidan terlatih dan doktor pakar.

 

Mereka menasihatkan bakal-bakal ibu ini menjauhkan hospital, doctor dan perkhidmatan pemeriksaan antenatal yang disediakan. Ia adalah sesuatu yang bahaya.

 

Di Malaysia fenomena menggunakan khidmat doula adalah sesuatu yang baru.   Perkhidmatannya boleh di dapati di hospital swasta yang besar atau pusat penjagaan selepas bersalin yang semakin banyak di bandar-bandar besar di Malaysia. Namun tugas doula ini adalah tugas yang tidak lebih sebagai pembantu sepanjang tempuh kehamilan untuk memasak, menyediakan makanan, memandikan anak, dan menjagaan kesihatan si ibu yang tiada kena mengena  dengan masalah perubatan. Doula (pembantu wanita) ini dibenarkan.

 

Malangnya pada masa kini terdapat golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai doula yang membawa pegangan yang menolak perubatan moden. Mereka mengambil idea dan pegangan yang dibawa oleh pelopor dari barat.

 

Mereka mengambil alih tugas doctor dan jururawat. Mereka tidak menggalakkan para ibu menjalani pemeriksaan di hospital atau pusat bersalin, menghalang pengambilan vitamin atau pemerikaan ultrasound.

 

Mereka mampu meyakinkan bakal ibu bahawa sebarang kelahiran (termasuk kelahiran berisiko tinggi) boleh dilakukan di rumah tanpa kehadiran doctor. Mereka juga tidak menggalakkan pembedahan Cesarean dan episiotomy bagi memudahkan proses kelahiran yang bermasalah.

 

Mereka juga percaya dengan amalan melambatkan pemotongan tali pusat sehingga berjam-jam lamanya, tidak segera mengeluarkan uri dari rahem selepas melahirkan anak dan tidak memberi suntikan ubat yang membantu pengecutan raim. Mereka juga menghalang pemberian vaksin kepada bayi.

 

Jadi doula sebegini adalah gerakan yang berbahaya kepada masyarakat. Ini boleh mengundang bahaya kepada ibu dan anak yang bakal dilahirkan.

 

 

  1. Dilaporkan melahirkan anak di rumah adalah suatu kebiasaan di beberapa negara Eropah. Adakah ia sesuai dilakukan di Malaysia?

 

Ya benar. Kelahiran anak di rumah  adalah suatu kebiasaan di beberapa negara di Eropah. Ia adalah sebahagian dari polisi kesihatan negara itu. Cuma kehamilan yang berisiko tinggi akan dilahirkan di hospital.

 

Namun pengendali proses kelahiran ini dilakukan oleh bidan atau jururawat terlatih. Mereka sebahagian dari kakitangan hospital atau kementerian kesihatan di negara itu. Jadi pengendali adalah sebahagian dari pasukan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan. Ia bukanlah perkhidmatan yang berasingan.

 

Mereka melakukan pemeriksaan kehamilan dan proses kelahiran seperti mana di hospital, cuma ia dilakukan di rumah saja. Selain dari itu, semua kelahiran yang bermasalah akan segera dirujukkan ke hospital.

 

Di Malaysia, kelahiran di rumah tidak digalakkan kerana KKM telah menyediakan pelbagai kemudahan. Tiada bidan yang ditauliahkan untuk  menyambut kelahiran di rumah.

 

Jadi apa yang dilakukan oleh gerakan doula yang ada sekarang adalah suatu yang berasingan, tidak mendapat restu dan sokongan dari KKM. Apatah lagi mereka menolak perkhidmatan perubatan moden yang disediakan oleh KKM sendiri.

 

Buat masa ini memang kelahiran di rumah (walaupun kehamilan berisiko rendah) dianggap sebagai kelahiran yang tidak selamat kerana dikendalikan oleh mereka yang tiada pengalaman dan pengetahuan dan tiada peralatan sokongan jika berlaku masalah ketika proses kelahiran.

 

  1. Apakah saranan doktor terhadap mereka yg ingin melahirkan anak di rumah?

 

KKM tidak menggalakkan kelahiran di rumah. Tiada bidan, jururawat atau doctor yang mengendalikan kes kelahiran di rumah, kecuali jika terpaksa. Tiada kemudahan bantuan kecemasan yang disediakan di rumah. Oleh itu, tiada kelahiran yang selamat di rumah walaupun ia adalah kehamilan yang berisiko rendah.

 

Oleh kerana KKM telah menyediakan perkhidmatan yang senang diperolehi dan murah, mengapa tidak kita menggunakannnya?

 

Cuma saya berharap untuk golongan yang kedua yang berpegang pada pegangan yang menolak perubatan moden, saya harap ada dialog yang dilakukan oleh pihak KKM bagi mendengar hujah mereka dan menerangkan semua masalah yang mungkin dihadapi jika masih melakukan kelahiran di rumah.

 

Tanpa penerangan dan hujah dari pihak berautoriti seperti pihak KKM sendiri, ia akan mengujudkan gerakan “bawah tanah” yang lebih berbahaya. Ia akan berkembang tanpa disedari dan mempengaruhi lebih ramai wanita.

 

Jadi jangan berperang di media social saja, harus bersemuka dan berbincang bagi kebaikan orang ramai.

 

Semoga bermanfaat. Terima kasih

 

 

Lawati facebook kami dengan klik

–> NEEDS VENUE SDN BHD

–> FACEBOOK NEEDS VENUE SDN BHD

MOHON KE KEDAI ONLINE KAMI BAGI MENDAPATKAN PRODUK YANG HALAL, BERKUALITI DAN NATURAL. KLIK DI NEEDS VENUE SDN BHD

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: