Selamatkah Makan Mi Segera?

Saya sangat geram jika ada ibubapa bertanya pada saya, bolehkah anaknya yang berusia 5 tahun dan sedang demam memakan mi segera. Saya faham niat ibubapa yang cuba memberikan sesuatu pada anak yang menghadapi kelesuan  dan tidak selera makan akibat demam. Namun itu bukanlah langkah yang bijak.

Masih ingat tentang khabar angin mengenai kerajaan Taiwan telah mengharamkan mi segera yang dikeluarkan oleh satu syarikat dari Indonesia? Walaupun ia setakat khabar angin, ada iktibar yang dapat kita pelajari oleh mayarakat kita. Adakah mi segera kita selamat?

Pengharaman itu disebabkan kadar bahan pengawet yang terdapat pada mi segera itu melebihi daripada kadar yang dibenarkan. Walaupun bahan pengawet itu (methyl p-hydroxybenzoate dan benzoic acid) dikatakan selamat, namun jika digunakan pada kadar  yang terlalu tinggi dikhuatiri akan memberikan kesan yang buruk pada kesihatan.

Sebenarnya produk mi segera dikawal ketat oleh satu badan dunia Codex Alimentarius Commission (CAC) yang menetapkan syarat penggunaan semua bahan awet. CAC mengawal penggunaan pengawet dalam industri makanan di mana hampir 90% produk makanan  menggunakan bahan itu.

Bahan ini penting untuk menjadikan produk makanan menjadi tahan lama. Ia juga mencegah makanan itu dari dicemari bakteria dan fungus yang boleh menyebabkan penyakit keracunan makanan.

Oleh itu, bahan pengawet adalah selamat jika digunakan dalam kadar tertentu. Tetapi kadar yang dibenarkan ini berbeza antara satu negara dengan satu negara yang lain. Sebagai contoh pengawet methyl p-hydroxybenzoate yang dibenarkan oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Singapura adalah 1.000 mg per kg, sementara di Hongkong pula 550 mg per kg.

Ini disebabkan cara pemakanan di setiap negara adalah berlainan. Sebagai contoh di Amerika, rakyatnya hanya makan mi segera seminggu atau dua kali seminggu. Di Hong Kong pula rakyatnya memakan mi segera setiap hari. Sudah tentu mereka akan terdedah kepada kesan buruk bahan pengawet itu lebih daripada rakyat Amerika.

Pengumpulan bahan pengawet ini dengan begitu banyak dalam masa yang pendek akan memberikan kesan yang tidak baik dalam jangka masa panjang terutamanya kepada sistem fisiologi seseorang.

Oleh kerana sistem ini agak sempurna, kebanyakan bahan pengawet ini dapat dikeluarkan dari tubuh kita melalui rembesan air peluh, air kencing dan najis. Sebagai contoh pengawet makanan, Methylparaben bersifat mudah larut air. Ketika proses pencernaan, ia mudah diuraikan. Ia mudah diserap dan dikeluarkan melalui kulit atau najis.

Namun kuantiti bukanlah faktor tunggal yang mempengaruhi badan. Ada beberapa faktor lain yang turut menyumbang kemudharatan seperti jenis pengawet yang diambil dan keadaan si pengambil (orang yang memakannya).

US Food and Drug Administration (FDA), sebuah badan yang mengawal pemakanan dan ubat-ubatan di Amerika Syarikat telah mengkategorikan pengawet methyl p-hydroxybenzoate dan benzoic acid sebagai kategori Generally Recognized as Safe (GRAS), iaitu pengawet ini selamat digunakan pada kadar yang dibenarkan dalam produk makanan.

Sungguh pun setakat ini belum ada lagi kajian ilmiah dan saintifik yang menunjukkan kesan buruk pengawet jika diambil pada kadar yang minima, namun kita harus berjaga-jaga terhadap kesan-kesan yang tersembunyi.

Ada beberapa perkhabaran (yang belum dibuktikan) mengatakan pengawet-pengawet ini boleh menyebabkan kerosakan sistem penghadaman terutamanya usus kecil dan besar. Ia menyebabkan pendarahan dalam usus malah ada yang mengatakan ada kemungkinan boleh mendatangkan kanser colon.

Tiada bukti sainstifik (buat masa sekarang) tidak bermakna ianya selamat untuk dimakan tanpa diawasi. Oleh itu pemakanan mi segera haruslah diminimakan. Jumlah yang berlebihan pasti akan mengganggu fisiologi tubuh manusia.

Bayangkan jika mi segera dimakan setiap hari oleh kanak-kanak atau orang tua yang mempunyai sistem pencernaan yang tidak baik. Apabila sistem fisiologinya tidak berjalan sempurna, perkumuhan bahan pengawet ini tidak dapat dibuang dari tubuh dan akan tersimpan dalam tubuh lalu mengganggu fungsi organ yang lain.

Pendedahan-pendedahan yang dilakukan seharusnya memberikan peringatan kepada masyarakat supaya berhati-hati terhadap pemakanan kita.

Bukan setakat mi segera, mi kuning dan kway tiow yang dijual di pasar-pasar juga harus diawasi. Penggunaan bahan pengawet yang digunakan harus mengikut kadar yang ditetapkan oleh kerajaan.

Kita tidak mahu generasi akan datang bakal mengalami pelbagai perubahan genetik dan memberikan pelbagai kecacatan sejak lahir (congenital defect) akibat kesan pemakanan yang tidak sihat ini.

Wallahu a’lam

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (090311)

5 comments

  1. bagaimana dengan pasta yg dijual dipasaran?
    adakah sama bahan pengawet yg digunakn?
    terima kasih.

  2. Bagaimana pula dengan mee segera yang tanpa perasa,atau dikenali sebagai mee kering?.

  3. bagaimana pula dengan ‘instant noodles’ seperti SEDAP MiGoreng???

  4. salam.. dr. ade x sumber2 or kajian yg sahih berkenaan keburukan dan isi kandungan mee segera ini???
    kalo ade juga sumber yg menyatakan perbincangan kesan dan juga pandangan dari sudut Islam..
    harap dapat berkongsi ilmu…

  5. dah tahu benda nie tak elok, asal pergi jual juga dekat super market. mcm2 artikel keluar tapi masih jual juga kenapa?!

Leave a Reply to MakbondaCancel reply

error: Content is protected !!