Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bina Keluarga » Scoliosis Dan Kehamilan

Scoliosis Dan Kehamilan

Permasalahan tentang scoliosis semakin menjadi perhatian. Ada beberapa persoalan yang ditanyakan rakan-rakan saya di FB berkenaan dengan penyakit ini. Setakat ini saya ada menulis 2 artikel mengenainya.

Pembaca boleh rujuk di http://drzubaidi.com/blog/?p=2302 dan http://drzubaidi.com/blog/?p=2358.

Saya percaya tentu ramai pesakit scoliosis yang menderita secara senyap dan tidak tahu bagaimana hendak meredakan kekeliruan. Semoga penerangan saya ini dapat dijadikan panduan.

“Doktor, saya ada membaca artikel penulisan doktor mengenai scoliosis. Kebetulan saya adalah salah seorang daripada pesakit ini. Saya telah berkahwin selama 3 tahun, tetapi belum ada rezeki lagi, saya belum dikurniakan anak. Saya ingin tahu adalah masalah scoliosis ini menyebabkan saya tidak dikurniakan zuriat?”

Seperti yang saya tulis sebelum ini, scoliosis adalah kecacatan sejak kecil pada tulang belakang (spine) pesakit yang menyebabkan bengkokan tulang belakang berbentuk ‘S’ atau ‘C’ apabila pesakit mengalami pembesaran fizikal.

Setakat ini tiada kes kematian yang disebabkan secara langsung oleh scoliosis, namun ia memerlukan rawatan yang sempura.

Jika tidak, scoliosis boleh menyebabkan kecacatan yang teruk. Ia biasanya berlaku ketika pesakit menghampiri usia pertengahan (50an) di mana komplikasi scoliosis menyebabkan organ paru-paru, jantung dan saraf mengalami masalah akibat terhimpit.

Antara masalah yang bakal dihadapi mereka ialah:

  • kesukaran bernafas kerana fungsi paru-paru terjejas akibat bengkokan tulang belakang yang teruk
  • mengalami sakit belakang di kawasan pinggang (lumbar) atau di bahagian aras dada pada tulang belakang (thoracic)
  • mengalami beberapa masalah sendi pada tulang belakang.
  • menyebabkan masalah kebas, atau rasa ‘mencucuk-cucuk’ kerana tulang belakang yang bengkok memberikan tekanan pada saraf.

Jadi persoalan yang sering ditimbulkan adakah scoliosis boleh menyebabkan ketidaksuburan?

Secara amnya, saya berpendapat masalah scoliosis bukanlah punca utama bagi masalah kesuburan. Bagi pasangan yang telah berkahwin melebihi dua tahun dan telah mencuba pelbagai cara, saya mencadangkan agar berjumpa dengan pakar kesuburan yang profesional.

Doktor akan melakukan beberapa ujian bagi memeriksa punca ketidaksuburan ini. Saya juga ada menulis punca-punca masalah ketidaksuburan di kalangan pasangan muda di http://drzubaidi.com/blog/?p=1955

Seperti yang selalu saya beritahu bahawa masalah ketidaksuburan ini amat kompleks. Ada kalanya ia mungkin disebabkan oleh faktor isteri sahaja, atau faktor suami sahaja dan mungkin juga disebabkan oleh kedua-dua suami dan isteri.

Oleh itu suami dan isteri perlu melakukan pemeriksaan bagi mengesan masalah sebenar. Apa yang penting berfikirlah secara positif dan kedua-dua suami dan isteri haruslah serius dalam mencari rawatan untuk masalah ini.

Saya pernah berjumpa dengan beberapa orang pesakit scoliosis wanita yang mempunyai beberapa orang anak. Ada juga pasangan telah berkahwin melebihi 5 tahun yang telah diuji dengan masalah ketidaksuburan tetapi cekal berusaha dan akhirnya hamil. Apa yang perlu ialah sentiasa berfikiran positif, berdoa dan berusahalah untuk mendapatkan rawatan yang berkesan.

Bagi pesakit scoliosis dan bimbang untuk hamil, saya beri jaminan bahawa scoliosis tidak memberikan kemudharatan secara langsung sepanjang kehamilan dan ketika proses kelahiran.

Scoliosis bukanlah alasan untuk tidak hamil. Banyak kajian yang menunjukkan bahawa scoliosis tidak menyebabkan kecacatan kepada bayi dalam rahem. Scoliosis juga tidak menyebabkan keguguran dan kematian bayi dalam rahem (stillbirth).

Sebelum tahun 1950, ramai doktor yang percaya bahawa kehamilan boleh memberikan mudharat kepada pesakit scoliosis. Mereka bimbang apabila hamil akan menyebabkan bengkokan tulang belakang pada wanita hamil akan bertambah buruk.

Namun banyak kajian sepanjang 40 tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa perkara ini sebenarnya tidak benar. Bengkokan pada tulang belakang tidak menjadi lebih teruk ketika hamil.

Selain itu banyak juga kajian yang mendapati bahawa wanita yang hamil, sama ada mempunyai scoliosis atau pun tidak, mempunyai risiko kehamilan yang sama.

Malah proses melahirkan anak secara biasa (melalui faraj) atau  dikenali sebagai spontaneous vaginal delivery juga tidak bermasalah kerana bengkokan hanya melibatkan tulang belakang bukannya tulang punggung. Jadi ‘jalan untuk melahirkan anak’ tidak sempit.

Cuma isu yang biasa ditimbul oleh pesakit scoliosis ketika hamil ialah masalah sakit pinggang yang lebih dirasakan berbanding dengan wanita normal.

Ia mula dapat dirasa apabila usia kehamilan mencapai 12 minggu kerana rahem mula membesar dan selalunya wanita hamil akan cuba mengimbangi kedudukan rahem itu dengan menarik bahunya ke belakang dan menyebabkan lengguh di bahagian pinggang (lumbar).

Oleh itu saya mencadangkan agar mereka menggunakan alat bantuan bagi menyokong tulang mereka, untuk mengelakkan rasa sakit belakang. Perkara ini boleh dibincangkan dengan doktor perbidanan yang merawat dan physiologist yang membantu sepanjang tempoh kehamilan.

Ubat mengurangkan rasa sakit belakang, saya tidak menggalakkan penggunaan ubat tahan sakit. Jika tidak tahan dengan rasa sakit bolehlah menggunakan pil paracetamol. Paracetamol adalah antara ubat penahan sakit yang selamat bagi wanita hamil, namun kadang kala ia tidak berkesan.

Pembaca boleh membaca artikel tentang paracetamol dan kehamilan di http://drzubaidi.com/blog/?p=1308.

Selain itu boleh menggunakan ubat krim panas untuk disapukan pada bahagian yang sakit bagi mengurangkan kesakitan.

Apa yang penting, pesakit scoliosis harus menjaga kesihatan semasa hamil dengan lebih sempurna terutama dalam penjagaan pemakanan, mendapat rehat yang cukup, melakukan senaman ringan dan rawatan berkala (antenatal) yang lengkap dengan doktor perbindanan di hospital.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (301211)

3 comments

  1. doktor,saya di sahkan menghidap scoliosis sejak berusia 21 tahun..skg saya dah 28 tahun dan dah berumah tangga..Alhamdulillah…saya kini hamil anak pertama saya dan usia kandungan saya dah nak masuk 3 bulan..kesakitan pada pinggang mmg sgt terasa sejak kandungan saya berusia 6 minggu..tapi yg saya bimbangkan,lutut saya semakin hari semakin sakit..adakah ini berkaitan dengan scoliosis saya? atau pun saya kekurangan kalsium..utk pengetahuna doktor,saya merujuk kes kehamilan saya di hospital pakar.dan doktor ada memberi saya pil kalsium utk saya..dan saya juga meminum susu utk ibu mengandung setiap hari..yg menjadi kerisauan saya,lutut saya semakin hari semakin sakit..

  2. DR sy telah menjalani pembedahan posterur fusion bg membetulkan kedudukan tulang LUMBAR sy yg membengkok melebihi 50°.. Sekarang pemnedahan tersebut sudah 5 bln berlalu.. Sy ingin bertanya.. Adakah tulang belakang sy akan bergerak ke kedudukan asalnya.. Memandangkan tulang sy difuse daripada T10 HINGGA L3.. L3 HINGGA L5 Masih lg mempunyai degree…

  3. salam Dr?
    saya adalah pnderita scoliosis yg agak ketara curvenya?saya telah berkahwin dan alhamdulilah mendapat cahayamata pertama setelh 3thn berkhwin.kelahiran pula.mellalui ceaserean ini kerana bayi saya songsang.alhamdulilah semua selamat dan anak saya sempurna seperti bayi lain.sewaktu mengandung saya agak risau juga dan byk researh pada internet.kbetulan Dr yang o&g dan ortho yg saya jumpa waktu itu blm pernah handle masalh yg teruk sperti saya.tpi igauan ngeri dah berakhir disini kekuatan mental fizikal,sokongan suami keluarga dan Dr juga penting.alhamdulilah saya dipertemu dgn mereka semua.sekarang stelah ank saya berusia 2 tahun saya hamil lagi;-) MOGA SEMUANYA SELAMAT DIBAWAH LINDUNGANNYA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!