Saya Diabetic, Tolong Saya!

Saya dilanda keresahan sepanjang minggu lalu. Banyak isu kesihatan yang selama ini saya tangguhkan. Sibuk dengan pelbagai aktiviti. Nasib baik saya telah menarik diri daripada aktiviti politik dan NGO yang sentiasa memerlukan komitmen yang berpanjangan.

Umur 40 ibarat lampu kuning

Apabila memasuki umur 40 tahun saya berazam untuk menjadi manusia lebih baik dan lebih sihat. Saya perlu berhati-hati dan lebih berazam kuat kearah itu.

Secara logiknya saya masih lagi ada 15 tahun sebelum bersara, insya Allah. Namun kerjaya doktor selalunya berkhidmat sehingga akhir hayat. Saya harus menukar jadual kerja. Tidak mampu lagi bekerja selama 14 jam sehari, berada dalam ruang sempit di dalam klinik. Dengan terpaksa, saya perlu memberikan masa untuk diri sendiri.

Saya perlu mengurangkan masa merawat pesakit dan banyakkan masa merawat diri sendiri. Merawat fizikal, mental dan emosi. Perlu banyakkan senaman, bertanya khabar pada sanak saudara dan mengambil bahagian dalam perkembangan anak yang semakin membesar.

Saya perlu mengakui kelemahan diri saya. Saya bukannya malaikat yang sentiasa tunduk pada KhalikNya dan tiada keperluan duniawi. Saya juga manusia yang pelupa. Masalah kesihatan mula merisaukan  apabila berat saya semakin bertambah. Saya semakin risau apabila kehilangan stamina menaiki tangga. Saya semakin kehilangan kekuatan untuk berdiri lama.

Masalah ini harus segera diselesaikan sebelum pelbagai penyakit kronik bertandang dan memberi salam. Saya harus lakukan sesuatu.

Umur 40 ibarat lampu kuning yang memberikan amaran untuk berjaga-jaga sebelum lampu merah. Ibarat cahaya kuning selepas asar dan beransur ke maghrib.

Saya tidak mahu menghabiskan sisa hidup selepas bersara dengan terlantar di rumah akibat penyakit-penyakit yang kronik. Saya mahu aktif dan memperbanyakkan masa dan menghabiskan tenaga dengan berada dalam jalan Allah. Menyibukkan diri di masjid, bukannya di katil wad hospital. Kematian? Itulah hakikatnya. Kita menuju ke arahnya sama ada cepat atau lambat.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. Daripada Ibn Abbas r.a., sabda Nabi s.a.w.,

“Dua nikmat yang tidak disedari oleh kebanyakan manusia, kesihatan dan kelapangan masa.” (al-Bukhari)

Mempercepatkan qada’ kematian dengan banyak beralasan

Minggu lepas seorang rakan sekolah, Abdul Rahim meninggal dunia tanpa diketahui puncanya. Saya percaya ianya disebabkan oleh masalah jantung. Silent Heart Attack.

Masalah kerosakan jantung selalunya berpunca dari penyakit diabetes, darah tinggi dah kolestrol yang tinggi dalam darah dan tidak terkawal. Malah ramai yang tidak menyedarinya. Ada juga yang menafikannya dan bersikap denial.

”Iskh, takkan saya ada diabetes doktor. Doktor biar betul. Mak dan ayah saya semuanya sihat. Mereka tiada diabetes. Alat yang doktor gunakan tu rosak kot”. Denial tahap maksimum!

Kalau bacaan glucometer 15.6 mmol/L berserta dengan simptom-simptom lain seperti cepat dahaga, kerap kencing dan bangun malam untuk kencing, saya pasti diabetes telah bertandang.

Semasa berbual dengan Abdul Rahim beberapa bulan yang lepas, beliau mengadu sering letih, kerap dahaga dan pemandangan matanya semakin kabur. Diabetes Mellitus !

Datanglah klinik, nanti aku check darah kau. Jangan dibiarkan”

Aku takutlah kalau aku ada darah tinggi atau kencing manis”

Saya menghela nafas panjang. Sudah lali dengan pelbagai alasan orang Melayu kita. Kata-kata itu menggambarkan bahawa kita sebenarnya PENAKUT.

Akibat ketakutan itu, kita mahu lari dari masalah yang kita hadapi. Atau kita mahu melupakannya. Semuanya ’mahu disapu dan disimpan di bawah tikar’. Bila sudah busuk dan berulat, tentu kita sukar untuk membersihkannya.

Penyakit adalah ujian yang Allah berikan untuk hambaNya. Ia harus dihadapi dengan sikap terbuka dan menyelesaikannya dengan betul.

Ibarat menjawab soalan metamatik dalam peperiksaan. Kita harus berusaha menyelesaikannya. Jangan ditinggalkan soalan itu, nanti kita gagal.

’Takut pada penyakit’ dan melupakannya ibarat ’pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk’. Penyakit kronik yang tidak boleh dirawat seperti sakit buah pinggang dan sakit lemah jantung akan menjerat kita bila kita alpa pada umpannya. Umpan? Apa lagi kalau bukan cara hidup yang sedentary dan pemakanan yang bermewah-mewah.

Pergi tidak kembali

”Rahim sudah meninggal dunia di balai polis!”

Saya terperanjat mendengar berita itu. Abdul Rahim kena tangkap polis dan dibelasah dalam lokapkah?

Rupanya Abdul Rahim meninggal dunia di atas kerusi pangkin menunggu di balai polis. Selepas dia bergelut dan menangkap seorang pencuri yang memasuki rumahnya, beliau menyerahkan pencuri kepada pihak polis.

Beliau mengadu pada rakan-rakannya yang sama pergi ke balai polis bahawa dia penat dan mahu berbaring menghilangkan penat. Rakan -rakan yang lain sibuk membuat laporan polis.

Selesai urusan di balai polis, Abdul Rahim masih lagi berbaring dan tidur. Rupanya beliau telah meninggal dunia tanpa disedari. Premature death ketika berumur 35 tahun. Pergi tak kembali.

Tolong saya…

”Doc, tolong I doc. I rasa macam tak bertenaga sekarang ini. Bila balik rumah, rasa mahu tidur saja. Lemah satu badan. Entah apa makhluk yang masuk dalam badan I ni. Semua ubat dah I try. Tongkat Ali, Ginseng dan pelbagai herba…”

Saya mencadangkan teman yang mempunyai ’jadual aktiviti harian yang sibuk’ ini melakukan pemeriksaan darah.

”Doc, sori. I nak buat pengakuan. I diabetic. Dah sebulan I tak makan ubat I. I nak try ubat kampong dulu”

Selepas melakukan ujian ringkas dan mendapati bacaan glucometernya 18.5 mmol/L, saya menasihatkannya agar mulakan gaya hidup yang lebih sihat. Ubat diabetes jangan ditinggalkan.

Sorry bro, the herb doesn’t works on you. ”

Nasib baik beliau tidak pengsan akibat komplikasi diabetis. Kalau tak, beliau akan menambahkan lagi senarai rakan-rakan yang pergi meninggalkan alam fana’ ini lebih awal.

Turning point, masa untuk berubah.

Tahun 2011   akan menjelang tidak lama lagi. Ianya suatu turning point yang bagus untuk saya dan rakan-rakan lain untuk mengubah diri.

Langkah pertama ialah lakukan pemeriksaan darah, ECG stress test dan pulmonary function test. Ini semua untuk menguji setakat mana tahap kekuatan dan kemampuan jantung dan paru-paru kita.

Jom lakukan jogging yang ringan. Mungkin dapat lakukan beberapa pusingan di sekeliling rumah. Tidak perlu berlari beberapa kilometer jika kita baru saja mahu memulakan senaman. Kita bukanlah mahu berlatih untuk memenangi medal emas di sukan Olympik.

Kita cuma mahu memulakan rutin beriadah dan mahukan jantung berdegup laju sedikit daripada biasa. Mungkin 120 degupan per minit selama beberapa minit adalah langkah terbaik bagi mereka yang sudah lama meninggalkan kasut jogging.

Mungkin kita boleh dapatkan dumbbell yang semakin murah harganya di mana-mana hypermarket. Mahu jimat lagi? Boleh cari bongkah batu-bata dan dibalut kemas. Dengan mengangkat benda-benda berat ianya akan menguatkan otot-otot tangan. Angkatlah 10-15 bagi setiap pusingan dan lakukan 3-5 pusingan bagi setiap tangan.

Cara ketiga ialah dengan melakukan push-ups dan sit-ups. Ini adalah senaman asas  untuk membantu otot-otot abdomen dan pinggang. Mulakan dengan melakukan secara ringan dan jangan paksa otot yang lama berehat itu. Lakukan 10-20 dan ulangan sebanyak 3 kali.

Cara yang lebih fancy ialah berbasikal sama ada secara static atau menjelajahi beberapa kilometer. Ianya kan mencepatkan degupan jantung dan berpeluh malah dikira lebih ringan daripada workout yang lain.

Yang lebih penting ialah sikap kita dalam beristiqomah dengan aktiviti riadah yang kita lakukan. Semua aktiviti yang dilakukan tidak akan berjaya jika tidak ada keazaman yang kuat.

Walaupun hanya 30 minit setiap hari sudah tentu membuatkan kita berasa lebih sihat. Tidak perlulah kita mengabiskan masa jam-jam sehari dan membelanjakan beribu ringgit untuk membeli peralatan yang mahal. Bimbang peralatan itu akan menjadi tempat sidaian tuala atau perhiasan di sudut ruang tamu.

Semoga Allah memberikan kekuatan untuk saya dan tuan puan untuk terus memandang serius masalah penyakit kronik ini dan berusaha menghindarkannya.

Ameen..

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (281210)

3 comments

  1. Zainuri Remali

    Assalamuakaikum…Doktor Zubaidi

    Ayah saya pening kepala tak berhenti akibat penyakit stroke dah hampir 1 tahun setengah. Walaupun telah diberi bermacam ubat namun sakit tidak berhenti malah semakin diberi semakin teruk sakit kepala. Saya telahpun membawanya berjumpa doktor pakar, CT scan dan ujian darah telahpun dibuat namun doktor menasihatkan supaya hanya memakan ubat. Dah banyak ikhtiar cara tradisional dan moden dilakukan namun peningnya masih ada namun sedikit kurang. Mohon nasihat dan jasa baik doktor untuk membantu saya. Sekiranya saya perlu membawa ayah saya berjumpa doktor sendiri, saya akan pergi.

    Saya amat memerlukan nasihat doktor. Sekian Terima Kasih.

    Zainuri dari Kelantan dan Kuala Lumpur.

    • Rahimi Abdullah

      saya menghadapi saperti diatas juga. selalu pening kepala siang/mlm kepala ringgan/berpusing akibat stroke. Hospital memberi ubat kecing manis,kolestrol,darah tinggi dan cair darah. Tak apakah makan panadaol.Darah & oxygen tidak lancar keotak ke.

  2. Doc,what do u think about herbalife????I saw many people reversed their diabetic…

Leave a Reply to Zainuri RemaliCancel reply

error: Content is protected !!