Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Sapaan Maut dengan Strok Ringan

Sapaan Maut dengan Strok Ringan

Saya masih ingat seorang sahabat tiba-tiba rajin berkopiah dan solat jemaah di masjid. Tabiat menghisap rokok juga telah dihentikan.  Dia mula menjaga makan dan minum. Semuanya tawar belaka, tiada gula dan tiada garam. Saya amat kehairanan namun tidak berani bertanya.

Rakan-rakan sekampung membisikkan kepada saya “Dia baru kena angin ahmar kecil. Doktor di hospital suruh dia berjaga-jaga !” Oh patutlah dia menukar gaya hidupnya 180 darjah. Dia ‘disapa’ malaikat maut.

 

Perjuangan mengekalkan kesihatan sering dilupakan

Namun bila saya pulang ke kampung semasa hari raya yang lepas, beliau telah berbalik semula ke perangai yang lama. Semasa singgah ke sebuah kedai mamak untuk bersarapan, saya melihat beliau tidak lekang dengan puntung rokok. Air teh tarik dan ‘roti canai special’ yang penuh dengan kolestrol berada di depannya.

Segala-galanya telah kembali seperti dulu. Nasihat yang diterima dahulu tidak diendahkan lagi. Memang sukar untuk manusia berubah. Peringatan yang berbekas di jiwa hanya kekal untuk sementara. Dia telah melupakan perjuangannya.

Inilah sebenarnya perjuangan hidup. Berjuang membetulkan diri agar ianya memberi manfaat untuk jangka pendek atau jangka panjang. Perjuangan untuk mengekalkan kesihatan, adalah perjuangan yang sering dilupai orang.

Sabda rasulullah s.a.w

Dua nikmat yang selalu dilupakan iaitu kesihatan dan kelapangan masa

Kalau nikmat wang tentu kita dapat menghargainya kerana kita mampu membeli barang dan mambayar hutang. Nikmat mendapat anak membuatkan kita seronok melihat telatahnya dan kita puas membesarkan mereka.

Namun nikmat kesihatan yang Allah berikan selalu kita lupakan, sehingga suatu hari kita terbaring di atas katil kerana demam. Atau kita sakit perut atau sakit kepala. Di kala itu tentu kita akan berkata, ”Alangkah seronoknya ketika aku bebas dari semua musibah kesakitan ini”

Ramai rakan-rakan saya telah ’pergi tidak kembali’ di usia yang muda, akhir 30an dan awal 40an hanya kerana melupakan perjuangan untuk mengekalkan kesihatan.

Banyak perkara yang perlu kita perjuangkan untuk diri kita sendiri. Selain berjuang melawan tabiat buruk agar kita dapat mempersiapkan diri berjumpa dengan Allah s.w.t, kita juga harus berjuang untuk mengekalkan kesihatan diri.

’Pemergian’ rakan-rakan saya yang masih muda itu telah memberikan kesan pada masa depan isteri-isteri dan anak-anak mereka. Apatah lagi jika isteri tidak bekerja dan anak-anak masih kecil dan bersekolah. Masa depan mereka sebenarnya di bawah tanggungjawab kita.

Andaikata jika ada janda-janda yang menjadi GRO akibat kesempitan wang dan ada anak-anak yang menjadi penagih dadah akibat tidak mendapat kasih sayang seorang bapa, sebenarnya bapalah yang bertanggungjawab secara tidak langsung walaupun dia sudah tiada lagi. Semua ini dapat dielakkan jika kita berjuang mengekalkan kesihatan kita dan terus menunaikan tanggungjawab.

 

Stroke kecil adalah peringatan maut

Ramai yang tidak menyangka bahawa ‘angin ahmar (stroke) permulaan’  adalah tanda peringatan bagi stroke yang mungkin membawa maut.  Walau pun ianya hanya sementara dan pesakit akan sembuh semula, itu tidak bermakna pesakit bebas dari ancaman stroke sampai bila-bila. Ianya ibarat bom dalam otak kita yang boleh meletup pada bila-bila masa.

Ia juga dikenali sebagai ‘mini-stroke’ atau ‘pre-stroke’. Namun dalam istilah perubatan adalah Transient Ischaemic Attack (TIA).

Oleh itu jika seseorang mengalami tanda-tanda (symptom) bermasalah bercakap secara tiba-tiba seperti susah hendak memulakan percakapan, susah untuk menyusun ayat dalam percakapan atau percakapannya tidak jelas, ia adalah tanda-tanda TIA.

Rakan yang saya sebutkan di atas mengalami rasa lemah seluruh badan dan dia tidak dapat menggerakkan tangan dan kakinya sebaik saja bangun tidur. Ketika itu beliau hanya berfikir kematian semakin hampir kepada beliau. Anak-anak sedang disiapkan oleh isterinya untuk ke sekolah. Hal keadaannya hanya disedari oleh isterinya apabila beliau belum bersiap ke tempat kerja. Sejurus selepas itu dengan bantuan jiran, dia dihantar ke hospital.

Masalah lemah anggota atau tidak boleh menggerakkan tubuh, juga menandakan seseorang itu diserang TIA. Biasanya  pesakit tidak mampu menggerakkan tangan, kaki, mukanya atau sebelah badannya.

Ada juga yang mengalami masalah penglihatan. Secara tiba-tiba penglihatannya tidak jelas atau terus tidak dapat melihat apa-apa di hadapannya. Namun ada pesakit yang hanya mengalami pandangan berkabur saja.

Saya pernah diberitahu ada pesakit ketika berjalan, yang secara tiba-tiba terjatuh kerana kakinya lemah. Ada juga yang tidak dapat mengimbangi badannya. Malah ada pula yang secara tiba-tiba ketika memandu diserang sakit kepala yang kuat. Dia menyangka dia diserang migraine tetapi sebenarnya dia diserang TIA.

Namun begitu simptom-simptom ini selalunya tidak lama, kadang kala hanya beberapa minit atau beberapa jam sahaja. Pesakit akan sembuh semula.

Namun berhati-hatilah. Ia ibarat bom yang boleh meletup pada bila-bila masa. Jika pesakit tidak mengamalkan ubat-ubatan yang diberikan dan tidak menjalani pemeriksaan untuk mencari puncanya, pasti stroke yang sebenar akan menyerang. Apabila stroke melanda, ianya akan merosakkan otak dan kecacatan itu akan menjadi kekal.

Bersyukur jika diserang stroke

Saya mendapat jelingan tajam tanda protes apabila memberitahu pesakit, ”Bersyukurlah encik diserang stroke,”. Apakah doktor ini gila, musibah minta disyukuri? Itu mungkin fikiran mereka.

Sebenarnya tidak semua pesakit yang diserang stroke akan diberikan peringatan seperti ini. Beruntunglah jika seseorang mendapat peringatan seperti TIA ini. Ini kerana jika TIA menyerang bermakna kita harus melakukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan.

Mengikut kajian perubatan, hanya satu pertiga dari pesakit stroke akan mendapat TIA. Selebihnya pesakit terus diserangkan stroke dan meninggalkan kecacatan kekal tanpa amaran dan ada yang terus meninggal dunia.

Secara pathophysiologynya, TIA disebabkan oleh darah beku yang menghalang peredaran darah ke kawasan tertentu di dalam otak. Halangan ini hanya sementara, ada kalanya tidak sampai lima minit.

Oleh kerana halangan itu dapat diatasi secara semulajadi oleh tubuh kita, tiada kerosakan otak yang berlaku dan pesakit yang mengalami TIA tidak mengalami kecacatan kekal.

Mereka yang berisiko untuk diserang TIA dan stroke adalah penghidap penyakit darah tinggi, pesakit yang mempunyai paras kolestrol yang tinggi, pesakit jantung dan saluran coronary jantung yang tersumbat, pesakit  diabetes, pesakit berdengkur semasa tidur (sleep apnea), dan pesakit migraine.

Orang ramai yang sihat juga mengalami risiko TIA jika dia seorang yang obese, tidak cukup bersenam, berumur 55.

Nasihat saya, bagi mereka yang mempunyai risiko-risiko di atas haruslah berhati-hati. Perjuangan kita untuk mengekalkan kesihatan ialah dengan melakukan pemeriksaan berkala, mengikut nasihat yang diberikan doctor, dan segeralah menjalani pemeriksaan jika terdapat masalah sakit kepala yang teruk, penglihatan, perimbangan badan atau lemah anggota badan secara tiba-tiba.

Menafikan masalah yang kita hadapi ibarat menutup ’bangkai gajah dengan pelepah pisang’. Bila terbau busuknya, ianya menjadi masalah untuk kita menanam bangkainya. Ianya bukan cara yang bijak menghadapi masalah.

 

Wa allhu a’lam.

 

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (121010)

http://www.facebook.com/drzubaidi

http://drzubaidi.com/blog

4 comments

  1. Salam Dr.,
    Saya ingin mendapatkan penjelasan dari Dr,

    Pada minggu lepas selepas saya memberus gigi, tiba2 lidah saya seperti tertarik kedalam dan urat dibahagian tengkuk dan bahu saya juga seperti kejang..
    selepas sy minta bantuan suami untuk mengurut di bahagian tengkuk dan bahu..kesakitan itu mula berkurangan dan hilang dlm 10-15 minit..
    adakah itu adalah salah 1 symptom stroke??

  2. dr, saya ingin tahu saya ada seorang sahabat yang sering pengsan dalam satu hari beberapa kali jatuh pengsan,Apabila jatuh beliau akan hilang ingatan dan tidak kenal dengan sesiapa disekelilingnya.Ingatannya akan pulih selepas dia jatuh semula.Semua sintome yang dr tulis diatas ada kena mengena dengan beliau adakah ini petanda beliau terkena serangan awal stroke dan macam mana hendak merawat beliau.

  3. carolineleton

    hai doc..sy mau tanya masalah sy..sy sllu rasa mcm pening2…n kdg2 sy duduk..sllu dekat pinggang sy sebelah kiri n bagian paha kiri sy sllu rasa kebas..sy xtau apa masalah sy…2 jg petanda stroke???

    • hai doc..sy mau tanya masalah sy..sy sllu rasa mcm pening2…n kdg2 sy duduk..sllu dekat pinggang sy sebelah kiri n bagian paha kiri sy sllu rasa kebas..sy xtau apa masalah sy…2 jg petanda stroke???

      Dr Zubaidi: Sudah lakukan pemeriksaan doktor? Jika sudah mohon diberitahu hasil pemeriksaannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!