Salah faham mengenai “darah kotor”

Dalam  perubatan moden, tiada yang diistilahkan sebagai darah kotor. Darah kotor adalah istilah longgar yang sering digunakan bagi menggambarkan beberapa penyakit. Ia sebenarnya salah faham pada konsep hematology (ilmu tentang darah).

Antara salah faham yang mengatakan seseorang itu mempunyai darah kotor apabila:

1. Keadaan kulit bagi pesakit yang ekzema, dermatitis, kulit kering, kulit mengelupas, ruam merah, kulit gatal yang sama ada berulang atau bergerak ke tempat yang lain.

Ramai yang berpendapat bahawa apabila banyak toksin dalam darah dan ginjal tidak dapat membuang toksin itu melalui air kencing, maka toksin ini akan keluar melalui kulit dan menyebabkan penyakit kulit.

Hal ini benar bagi pesakit ginjal yang menjalani hemodialysis. Selalunya toksin yang dikeluarkan dari permukaan kulit akan hilang apabila dibersihkan dan tidak menyebabkan penyakit kulit.

Penyakit kulit kronik seperti ini biasanya disebabkan oleh genetic yang diburukkan lagi dengan ransangan dari pemakanan dan persekitaran.

2. Sering mengalami sakit kepala yang kerap berulang, padahal ianya adalah penyakit migraine.

Sakit kepala yang disebabkan oleh migraine biasanya disebabkan saluran darah yang berulang-ulang mengecut dan mengembang. Ia selalunya disebabkan oleh cuaca panas, pemakanan dan kurang air dalam tubuh (dehidrasi).

Darah yang pekat disebabkan oleh dihidrasi akan merangsangkan pengecutan dan pengembangan saluran darah di sekeliling tengkorak dan kepala.

3. Demam rendah gred yang berulang-ulang. Sebenarnya darah kotor di sini lebih bermaksud terdapat jangkitan kuman yang mana tubuh tidak menghapuskan kuman tersebut sepenuhnya.

Apabila kuman mengeluarkan toksin, maka tubuh menjadi panas dan demam. Oleh kerana daya tahan tubuh masih kuat, selalunya demam tidak tinggi tetapi berulang.

4. Sifat Pelupa dan tanda-tanda kemerosotan mental. Ramai yang beranggapan bahawa sifat mudah lupa adalah tanda darah dalam badan kita kotor. Ia sebenarnya adalah proses penuaan jika berlaku pada orang tua.

Semakin lama saraf-saraf otak menjadi tidak efektik untuk mengingat beberapa peristiwa yang berlaku pada dirinya. Ia boleh berlaku di kalangan orang pertengah umur jika mengalami penyakit kronik terutamanya diabetes.

Kehidupan yang stress juga boleh menyebabkan seorang itu lupa pada hal berkaitan “short term memory” tetapi tidak  “long term memory”. Sebagai contoh beliau lupa dimana dia meletakan kunci tereta, dan ia adalah normal. Namun jika dia tidak mengingati hari lahirnya, sebagai contoh, ia adalah sesuatu yang tidak normal. Ia tiada kaitan dengan darah kotor.

Darah yang dikeluarkan semasa berbekam sebenarnya darah yang beku setelah terdedah pada persekitaran luar. Ia bukanlah darah kotor, malah darah biasa jika berasal dari lelaki yang sihat.

WALLAHU A’LAM.

Leave a Reply

error: Content is protected !!