Advertorial

Sakit di Tulang Ekor (Coccydynia) Selepas Melahirkan Anak

Seorang wanita bertanyakan tentang masalah yang dihadapi oleh beliau setelah melahirkan anak secara normal. Beliau mengalami sakit di hujung tulang belakang (tulang ekor) yang berlarutan beberapa minggu. Akibat daripada ketidakselesaan dan kesakitan ini, beliau tidak dapat melakukan kerja-kerja rumah dengan sempurna.

Kehamilan dan melahirkan anak adalah proses fisiologi yang normal. Wanita yang hamil dan melahirkan anak bukanlah dianggap pesakit. Namun begitu proses yang normal ini adakalanya mendatangkan kemudharatan diri. Oleh itu banyak perkara yang perlu diambil perhatian dalam kedua-dua proses ini.

Salah satu punca kesakitan pada tulang ekor (coccyx) ialah proses melahirkan anak. Kesakitan pada tulang ekor ini dinamakan coccydynia. Ia kerap berlaku pada kelahiran normal melalui faraj.

Tulang ekor (coccyx) ialah sekumpulan tulang yang terakhir pada tulang belakang kita. Ia  mempunyai 5 tulang yang berbeza. Adakalanya tulang-tulang ini bercantum menjadi 2 atau tiga segmen. Ia dicantumkan pada tulang belakang yang lebih besar oleh ligamen, yang membenarkan pergerakan antara tulang belakang dan tulang coccyx.

Ketika melahirkan bayi, bayi dikeluarkan melalui saluran peranakan (rahem dan faraj). Pergerakan bayi dari rahem ke luar melalui faraj memberikan tekanan fizikal pada tisu di sekeliling. Tekanan ini boleh menyebabkan bengkakan dan koyakan pada tisu-tisu tersebut.

Jika tekanan itu terlalu kuat, ia boleh menyebabkan tulang coccyx terseliuh (dislocate). Dalam kes yang jarang berlaku ia boleh menyebabkan tulang coccyx ini patah. Dalam kes-kes yang agak ekstrem, tulang yang patah boleh menusuk ke saluran dubur dan menyebabkan pendarahan.

Selalunya wanita yang sedang sakit ketika proses melahirkan tidak perasan tulang coccyxnya patah. Ini kerana kesakitan ketika melahirkan lebih kuat dari kesakitan akibat patah tulang coccyx. Setelah beberapa hari, barulah sakit di bahagian hujung tulang belakang dapat dirasakan. Walaubagaimanapun kadang-kala patah tulang coccyx dapat dikesan ketika lahir apabila terdengar bunyi seperti ranting yang patah.

Oleh itu wanita yang hamil anak yang bersaiz besar dinasihatkan menjalani pembedahan Caeserean kerana fizikal yang besar boleh menyebabkan tulang coccyx tercedera. Begitu juga jika  bayi dilahirkan secara songsang. Proses kelahiran yang sukar akan memudahkan kecederaan ini.

Adakalanya wanita yang hamil itu sendiri mempunyai tulang coccyx yang tidak normal. Kelima-lima tulang itu mungkin bercantum menjadi satu dan melekat pada tulang belakang menyebabkan ia tidak boleh lagi bergerak bagi memberikan laluan ketika ketika bayi dilahirkan. Ia mudah patah atau terseliuh apabila wanita meneran bayi keluar.

Wanita yang pernah mengalami kecederaan tulang coccyx perlu memberitahu doktor yang menyambut kelahiran bayi bagi mengelakkan kerosakan tulang tulang coccyx lebih teruk. Kecederaan tulang coccyx biasa berlaku pada wanita yang agak obese dan terjatuh dari tangga dengan posisi duduk. Hentakan pada tulang coccyx menyebabkan tulang itu cedera. Sekiranya wanita itu hamil dan melahirkan bayi bersaiz besar, ia akan menyebabkan kecederaan pada tulang coccyx ini bertambah teruk .

Kesakitan akibat kecederaan tulang ini semasa proses kelahiran selalunya ditanggung beberapa minggu terutama apabila ketika duduk atau berubah posisi dari bangun ke posisi berdiri. Kesakitan ini membuatkan pesakit tidak dapat melakukan kerja rutin seharian dengan baik.

Saya menasihatkan wanita yang mengalami kesakitan pada tulang coccyx akibat melahirkan anak harus berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Pemeriksaan fizikal dan xray akan dilakukan untk mengesahkan kerosakan pada tulang coccyx. Selalunya kecederaan sebegini akan pulih dalam masa beberapa minggu. Kebiasaannya 6 hingga 8 minggu.

Saya merasa simpati jika musibah ini berlaku pada wanita yang melahirkan. Tidak banyak yang boleh dilakukan kecuali doktor akan memberikan ubat penahan sakit sama ada berbentuk tablet atau suntikan. Pembedahan tidak membantu kecuali mengeluarkan tulang yang patah. Pembedahan bukanlah rawatan terbaik kerana banyak ligament dan otot yang melekat pada tulang coccyx ini. Ia boleh membawa komplikasi yang lebih teruk.

Saya menasihatkan wanita yang hamil banyaklah berdoa agar proses kehamilan dan kelahiran anak mereka dipermudahkan. Banyak doa-doa dari hadis yang sahih boleh diamalkan. Jika susah untuk berdoa dalam bahasa Arab, berdoalah dalam bahasa yang mudah difahami.

Contoh doa yang boleh diamalkan ialah :

Ya Allah, peliharalah anakku selama ia berada di dalam kandunganku dan sihatkanlah dia, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada penawar melainkan penawar-Mu, penawar yang tidak meninggalkan penyakit.

Ya Allah, Engkau perelokkanlah kejadiannya yang sempurna dan tetapkanlah hatinya agar beriman kepada-Mu dan kepada Rasul-Mu.

Ya Allah, zahirkanlah dia ke dunia dengan mudah dan selamat .

Ya Allah anugerahkanlah dia kesihatan yang sempurna, berakal dan bijaksana, alim dan beramal.

Ya Allah, panjangkanlah umurnya dalam ketaatan, sihatkanlah tubuh badannya, dan indahkanlah akhlaknya, fasihkanlah lidahnya, perelokkanlah suaranya untuk membaca al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhamad s.a.w. dan segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam .”

Selain dari menggunakan ubat penahan sakit, banyakkan rehat dan boleh tuamkan ice pack pada kawasan itu beberapa kali untuk mengurangkan bengkakan dan sakit.

Ketika tidur, posisi yang sesuai ialah berbaring mengiring untuk mengurangkan tekanan pada punggung dan tulang coccyx. Bagi mengurangkan kesakitan ketika dalam posisi duduk, boleh gunakan bantal berbentuk doughnut supaya tulang coccyx tidak menekan pada lantai.

Berendam dalam kolam air panas atau dalam tab mandi boleh membantu merehatkan otot-otot pelvis yang melekat pada tulang coccyx itu. Jika tidak dapat, berendamlah dalam basin (warm sitzbath) bagi mendapat faedah ini.

Pesakit harus menjaga pemakanan bagi mengelakkan sembelit. Sembelit akan menyebabkan kesakitan yang lebih teruk pada tulang coccyx yang tercedera. Pastikan banyak minum air dan makan makanan yang banyak serat bagi mengelakkan sembelit.

Bagi kehamilan seterusnya, pesakit harus memberitahu doktor masalah yang dihadapinya. Saya percaya doktor akan mencadangkan pembedahan Ceserean bagi mengelakkan kecederaan tulang coccyx berulang. Namun haruslah berbincang pro dan kontra sebelum memilih cara kelahiran itu nanti.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (061011)

Rujukan:

  1. Foye P, Buttaci C, Stitik T, Yonclas P (2006). “Successful injection for coccyx pain.”. Am J Phys Med Rehabil 85 (9): 783–4.
  2. Kim NH; Suk KS] (1999 Jun). “Clinical and radiological differences between traumatic and idiopathic coccygodynia”. Yonsei Medical Journal (40:3).
  3. Postacchini F, Massobrio M] (Oct 1983). “Idiopathic coccygodynia. Analysis of 51 operative cases and a radiographic study of the normal coccyx”. The Journal of bone and joint surgery (65(8)).

5 comments

  1. Dr…saya selalu alami sakit di bahagian tulang belakang bermula dr pinggang hingga ke bawah sekiranya saya duduk atau berdiri dalam tempoh yg agak lama. ini adalah kesan akibat terjatuh dlm bilik mandi ketika umur saya 15thn. kini saya berumur 34thn. adakah ia akan memberi kesan buruk seiring dengan penambahan usia saya?

  2. assalamualaikum doktor…
    Dr…artikel Dr diatas adalah lebih kepada sakit tulang ekor utk wanita2 yg hamil…saya seorang ibu yg berumur 32thn dan mempunyai seorang anak berumur 5thn…sekarang(hr yg saya tulis komen in), sedang mengidap sakit tulang ekor yg begitu terok…sampaikan saya meminta injection utk mengurangkan sakit…jika saya duduk, saya x boleh nak bangun..jika tidur terlentang x boleh nak mengiringkan badan dan x boleh bangun tanpa bantuan dr suami….saya ada pergi berurut dgn seorang bidan kg dan kesannya, keesokkan hari saya mengidap skit tulang ekor yg lagi serius …saya disarankan oleh doktor disebuah klinik supaya pergi buat rawatan dihospital kerana di bahagian ekor tulang belakang saya lebam2 dan bengkak kerana berurut…dan doktor ada memberitahu saya, bahawa saya tidak sepatutnya pergi berurut. jadi, apakah procedure yg perlu saya buat untuk saya dapatkan rawatan di hospital selain meletakkan beban dikaki utk membetulkan kembali ekor tulang belakang saya..jika boleh saya xmahukan pembedahan….harap dapat ulasan dr pihak Doktor…utk pengetahuan Dr juga..saya terlalu byk kali jatuh terdudukdgn keadaan kaki lurus kedepan…dan pernah jatuh pada hamil 6bulan…terima kasih doktor sebab luangkan masa membaca komen saya….

  3. saya menyedari tulang pinggul saya agak timbul selepas melahirkan anak pertama (normal).sekarang saya sedang hamil anak keempat (due mac 2012).keadaan tulan pinggul tersebut semakin ketara sehingga ada rakan yg menyindir ‘dh boleh letak cawan’.adakah boleh sekiranya tulang tersebut diperbetulkan semula?ianya menyukarkan saya utk membeli seluar dan memakai tshirt.(ukuran dada-38,pinggang-36,punggung-44,tinggi-159cm)

  4. tulang ekor sy patah selepas terlibat dlm kemalangan. Adakah ini punca saya sukar hamil?Untuk pengetahuan doktor saya baru berkahwin dan 3 bulan masih belum dikurniakan rezeki untuk hamil.

  5. Ya Allah.. sy pun alami mcm puan ni ms umur sy 13 thun. 2x jatuh, atas batu masa mndi sungai n trduduk sbb kawan main tarik kerusi ms nk duduk.. jatuh btul2 berlunjur.. Sakitnya tuhan sj yg tau. brbulan2 sy alami. Cuma dpt ubat penahan sakit ja n lama2 baik sndiri. Tp ms period sakit balik, smpi jln senget2 nk thn sengal2 sakit kat situ.. Ms mengandung – lgsung x leh tdo/duduk tempat yg flat atau tilam nipis. sakit sgt, tdo x boleh lunjurkn kaki… Lps brsalin sakit kat situ punyala teruk, smpi nk menyusukan anak pun susah. nk menangis sedih/takut/perit bila teringat semula. Pulak tu sy teran kuat smpi usus bengkak x boleh buang air besar… Luka brsalin pun trbuka n bengkak sbb byk gerak utk bgun jg anak n nk adjust kdudukn punggung spy x sakit… Seriously sy boleh thn sakit brsalin sbb sekejap, dr tahan sakit punggung ni… smpi hbis pantang msih sakit lg… skrg ank dh 4thun tp bila period je mula sakit balik n klu berat naik sikit tmbh sakit pulak… Takut sgt2 tmbh2 klu nk mngndung lg… Tp sy akan ikut saranan doctor spy bgtau yg kita problem tulang tu… tq doc 4 d info.. stlh 19thun bru sy tau ini rupanya sakit yg sy alami dulu n effect smpi skrg…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top