Remaja dan Kitaran Haids yang Tidak Teratur

Bila mula kedatangan pendarahan haids?

Saya tidak mempunyai anak gadis. Jadi pengalaman membesarkan anak gadis atau remaja perempuan memang tidak pernah ada dalam sejarah hidup saya sehingga kini.

Kadang-kala saya kasihan melihat remaja perempuan yang tidak diberikan perhatian oleh ibubapa mereka. Bila seorang kanak-kanak perempuan mulai meningkat remaja, banyak perkara yang perlu diberikan perhatian oleh ibubapa. Sama ada dari aspek fizikal atau emosi.

Namun saya mengucapkan tahniah pada ibubapa yang bersungguh-sungguh ingin mengambil bahagian dalam tumbesaran fizikal dan mental anak mereka. Banyak soalan-soalan yang ditanya melalui email.

Antaranya bertanyakan bilakah anak gadis mereka akan mula kedatangan pendarahan haids.

Kebiasaannya pendarahan haids bermula apabila remaja itu mula menunjukkan perubahan emosi dan fizikal. Tanda yang paling mudah dilihat oleh ibubapa mereka ialah perkembangan payudara mereka yang semakin membesar dan terasa sakit. Ini menunjukkan tubuh mereka sudah mula mengeluarkan hormone wanita.

Selalunya pendarahan haids akan bermula dalam masa 2-3 tahun selepas perkembangan payudara itu. Maka jika tiada pendarahan haids selepas itu, perkara ini perlulah dirujukkan kepada doktor.

 

Kitaran haids tidak menentu adalah normal bagi remaja

Ramai juga bertanya dengan soala-soalan seperti “Mengapa anak saya mengalami pendarahan haids hanya sekali dalam masa dua bulan?” atau “Mengapa pendarahan haids anak gadis kami dua kali dalam sebulan?” atau “Mengapa pada bulan ini hanya dua hari pendarahan haids sedangkan bulan lepas selama sepuluh hari?”

Persoalan-persoalan ini juga bermain di fikiran para remaja perempuan dan jika tidak boleh dijawab dengan baik oleh ibubapa mereka, tentunya ianya akan menjadi suatu tanda tanya bagi mereka dan mungkin akan mengalami kemurungan kerana menyangka mereka tidak normal.

Sebenarnya ianya adalah suatu yang normal bagi remaja perempuan yang mengalami kitaran haids yang tidak teratur. Kitaran haids selama 28 hari hanya purata bagi kebanyakan wanita saja. Ianya bukanlah suatu kemestian. Tidak bermakna kitaran haids yang tidak teratur menunjukkan penyakit pada remaja itu.

Setiap individu adalah berlainan. Kitaran haids yang masih dikatakan normal adalah antara 21 (paling pendek) hingga 35-40 hari (paling panjang). Kitaran yang tidak tetap ini berlaku dalam masa 2-3 tahun selepas bermulanya pendarahan haids. Selepas dari itu ianya mula menjadi tetap dan teratur.

Pendarahan haids pula berlangsung antara 3 hari hingga 7 hari. Jarang mereka mengalami pendarahan haids selama 14 hari. Asalkan pendarahan itu tidak terlalu banyak, ianya masih dikira normal.

Sukar untuk mengagak jumlah darah yang keluar secara normal bagi mereka. Namun ianya dianggarkan sebanyak ¼ cawan bersamaan dengan 10-15 pad yang basah dalam setiap kitaran haids mereka.

Namun ia juga  bergantung kepada individu. Ada yang selesa menukarkan pad walaupun terdapat pendarahan yang sedikit. Ada pula yang tidak sempat menukarkannya akibat jadual sekolah yang padat. Jadi bilangan pad juga terlalu subjektif.

Pendarahan yang banyak berlaku pada hari kedua dan ketiga, mungkin akan menggunakan 6 atau 8 pad pada hari itu. Kemudian ianya akan berkurangan. Namun jika pendarahan haids ini memerlukan lebih 15 pad pada kitaran haids itu, elok juga dibawa berjumpa dengan doktor untuk membincangi masalah ini.

Maka jangan risau jika kitaran haids, atau hari pendarahan atau banyaknya darah yang keluar itu berbeza dari kitaran haids sebelumnya.

Harus difahami bahawa panjang atau pendek kitaran haids bagi anak remaja perempuan biasanya dipengaruhi hormone wanita yang mana mempengaruhi tumbesaran mereka sendiri.

Biasanya ia disebabkan oleh ketidakseimbangan hormone yang sementara. Hormone ini dikawal oleh kelenjar pituitary di otak dan banyak perkara yang boleh mengganggu kitaran ini.

Emosi yang stress ini adalah akibat tekanan persekitaran. Contohnya berpindah ke rumah baru dan sekolah baru, keluarga yang bercerai dan tekanan rakan-rakan. Jarang disebabkan oleh masalah kesihatan yang serius seperti thyroid atau masalah endocrine yang lain.

Antara sebab lain ialah makan ubat-ubat termasuk herba, perubahan berat badan yang mendadak, bersenam keterlaluan, kurang zat makanan, diet yang mempunyai banyak karbohidrate, penyalahgunaan dadah, dan masalah kurang selera makan.  

Cara yang terbaik, ajarkan mereka mengenalpasti tanda kedatangan haids. Ini akan menyiapkan diri dan mental mereka untuk menerima kedatangan hari pendarahan haids. Mereka boleh membawa pad di dalam beg sekolah sebagai persediaan dan mula menggunakannnya apabila terdapat tanda-tanda kedatangan pendarahan haids.

Minta mereka tandakan pada kalendar bila kitaran haids bermula dan tamat. Ini sangat penting kerana jika ketidakteraturan kitaran haid itu menjadi lebih parah dan disebabkan oleh penyakit, maka doktor akan bertanyakan carta itu.

 

Jadi apakah yang dikatakan kitaran haids yang tidak normal?

Jika remaja perempuan itu tidak mengalami kedatangan pendarahan  haids melebihi 3 bulan, dikhuatiri mempunyai masalah perubatan dan perlulah bertanyakan doktor. Keadaan ini dinamakan amenorrhoea. Dibimbangi ianya adalah tanda awal kegagalan fungsi ovari yang mana akan menjadi masalah kesuburan yng serius apabila dia meningkat dewasa.

Selain dari masalah perubatan itu, dibimbangi anak gadis itu hamil. Pengalaman saya ada juga anak gadis yang kelihatan sempurna dan innocent didapati hamil samada ada dengan kerelaannya sendiri atau kezaliman dan penginayaan yang dilakukan kepadanya.

 

Bagaimana membantu mereka yang senggugut?

Sekurang-kurangnya 50 % dari remaja perempuan mengalami senggugut atau dinamakan sebagai “dysmenorrhea”.  Ada di antara mereka yang terpaksa ponteng sekolah akibat senggugut yang serius. Adakah mereka ditakdirkan untuk menerima semua ini?

Banyak perkara yang boleh anda nasihatkan kepada anak-anak gadis anda. Cara yang paling mudah ialah berikan mereka tablet Panadol yang biasa dijual di farmasi. Atau jika terlalu kuat boleh berikat Cap Ponstan 250mg tiga kali sehari.

Jadi kesimpulannya ibubapa haruslah memberikan perhatian dan sokongan mereka pada remaja perempuan. Setidak-tidaknya mereka akan rasa dihormati, diharga dan dikasihi.

Ini penting bagi pertumbuhan emosi mereka. Tambahkan sedikit informasi agar dapat membantu menjawab persoalan-persoalan yang adakalanya remaja wanita itu malu bertanyakan lalu mendapat informasi yang salah dari kawan-kawan mereka.

Wallahu a’lam.

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (030910)

http://www.facebook.com/drzubaidi

https://drzubaidi.com/blog/

One comment

  1. saya berumur 23-an, period saya pada bulan lpas 02.08.2011 dan hingga kini msih blum dtg utk bln 9.adakah ianya normal?bagaimana cara pengiraan kitaran haid yang dikatakan 21-25 hari?

Leave a Reply

error: Content is protected !!