Advertorial
Home » Puasa » Puasa sebagai bonus untuk kesihatan

Puasa sebagai bonus untuk kesihatan

Puasa sbg Bonus untuk Kesihatan

berbuka2

Kebanyakan pakar bukan beragama Islam mencadangkan orang lain agar berpuasa kerana mendapati puasa menyumbang pelbagai manfaat kepada kesihatan.

 

Sebab itulah terdapat pelbagai jenis puasa untuk kesihatan seperti makan malam awal dan tidak mengambil sarapan atau berpuasa tetapi dibenarkan mengambil jus tertentu.  Puasa yang mereka cadangkan ialah antara 14-16 jam sehari dan paling lewat hingga mencecah 36 jam.

 

Kajian dan pemerhatian mendapati puasa bermanfaat kepada kesihatan. Antara lain puasa Ramadan yang dilakukan setiap hari didapati membantu mengharmonikan paras insulin dan merendahkan paras gula darah bagi penghidap diabetes.

 

Dengan berpuasa selama sebulan penghidap diabetes misalnya dikatakan berupaya merendahkan paras gula kepada julat normal atau sekurang-kurangnya menghampiri paras normal.

 

Berpuasa hanya sehari setiap bulan didapati berupaya menurunkan risiko arteri jantung tersumbat sebanyak 40 peratus. Ini berdasarkan sebuah kajian yang dijalankan penyelidik dari Intermountain Medical Center dan University of Utah diketuai oleh Benjamin D Home, PhD.

 

Hasil kajian dilaporkan dalam American Journal of Cardiology (2008). Penyelidik berkata bagaimana puasa membantu kesihatan jantung tidak diketahui dengan jelas. Mereka mengandaikan ia mempunyai kaitan dengan tidak mengambil makanan ketika berpuasa.

 

 

Kembalikan keseimbangan

 

Manfaat puasa terhadap kesihatan dikecap jika seseorang menunaikan puasa dengan disiplin tertentu. Berpuasa bukan sahaja sekadar tidak makan dan minum pada siang hari, tetapi makan secara ala kadar pada malam hari serta mengurangkan makanan bergula dan karbohidrat terproses.

 

Tidak merokok dan mengelakkan makanan yang bukan-bukan juga adalah faktor yang menyumbang kebaikan kepada kesihatan.

 

Dari satu segi (hanya ALLAH SWT yang tahu hakikatnya), puasa didapati membantu menyelaras dan mengharmonikan pelbagai tindak balas biokimia tubuh kepada keseimbangan sepertimana keadaan asalnya.

 

Percaya atau tidak bahawa mereka yang menunaikan ibadah puasa Ramadan dan sunat dengan tekun serta ikhlas beroleh keuntungan dunia dari segi pelbagai manfaat untuk kesihatan.

 

Selain baik dalam menyelaras paras gula dan mencegah arteri jantung daripada tersumbat berpuasa juga dipercayai berupaya mencegah penyakit Alzheimer, memperbaiki pembelajaran, memperbaiki memori, memecah lemak dan mengurangkan keradangan.

 

Antara yang terpenting berpuasa dikatakan berupaya mencegah sel jantung dan otak dari kecederaan oleh radikal bebas.

 

Ia menurunkan paras hormon ghrelin iaitu hormon bertanggungjawab untuk berasa lapar.

 

Berpuasa juga meningkatkan Hormon Tumbesaran Manusia (Human Growth Hormone). Hormon ini bertanggungjawab bagi pemuliharaan kesihatan, kecergasan dan melambatkan penuaan.

 

Penanda penuaan pada hati dan otak juga dikatakan berkurangan kerana berpuasa. Ia juga dikatakan mempercepat proses pemulihan bagi mereka yang mengalami strok dan serangan jantung.

 

Kita biasa dengar orang kata wajah seseorang yang rajin beribadah sentiasa bersih dan tenang. Mereka tidak risau dan tidak bersedih hati. Puasa dengan iman yang mantap melahirkan tahap psiko-emosi dan kesihatan fizikal yang cemerlang.

 

SUMBER : SINAR HARIAN

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: