Psoriasis boleh diwarisi?

Salam doctor, Saya bakal mendirikan rumahtangga. Pasangan saya menghidap penyakit kulit yang serius iaitu Psoriasis selama 10 tahun, terutama pada kaki, badan dan kulit kepala. Adakah bakal zuriat saya nanti akan mengalami psoriasis juga ? Adakah ia penyakit genetik ? Sekian .

Saya amat bersimpati dengan ujian yang diterima oleh pasangan puan dan mengucapkan tahniah atas kesabaran beliau menghadapi ujian itu selama ini.

Sebenarnya agak sukar untuk menjawab soalan puan kerana ia adalah kebarangkalian yang belum dapat dipastikan.

Firman Allah bermaksud, “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yg ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dia sahaja.” (Surah Al-An’am: 59)

ALLAH AWT berfirman lagi “Sesungguhnya di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang hamil). Dan tiada seorang pun yang betul-betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati, Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui, Lagi Amat Meliputi Pengetahuannya.” (Surah Luqman: 34)

Ertinya dalam hadis ini Nabi s.a.w. menyebut bahawa terdapat lima kunci perbendaharaan segala yang ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT, tidak diketahui oleh orang lain.

ALLAH sahaja yang mengetahui sebenar-benarnya apa yang ada dalam kandungan seorang ibu termasuk berkait dengan zuriat keturunan, jantina janin, kesihatan dan sebagainya.

Apa yang dilakukan oleh para doktor dan saintis adalah menilai kebarangkalian untuk berlakunya sesuatu berdasarkan faktor-faktor kemungkinan.

Untuk penyakit Psoriasis, mereka mengandaikan kebarangkalian bagi seorang anak mendapat penyakit itu dari salah seorang dari ibubapa, berdasarkan faktor genetik.

Setiap gene mengawal bagaimana sesorang bayi mewarisi segalanya dari ibubapa mereka, dari ketinggian hingga ke warna mata dan rambut, dengan izin ALLAH.

Setiap orang mempunyai sifat fizikal yang berlainan kerana setiap gene ibarat kod-kod yang menentukan  bagaimana satu sel berfungsi. Jika sel-sel ini berfungsi dengan normal, maka tubuh akhirnya berfungsi dengan normal. Jika berlakunya kerosakan pada genetik atau kesilapan sel membaca kod-kod arahan maka menyebabkan penyakit-penyakit genetik akan berlaku.

Para saintis mendapati bahawa setiap orang yang mempunyai genetik penyakit psoriasis akan mudah mendapat penyakit ini. Banyak kajian yang masih dijalankan dalam bidang genetik untuk mencari punca penyakit ini.

Namun begitu tidak semua orang yang mempunyai genetic psoriasis akan mendapat penyakit itu. Mereka yang terdedah dengan ‘faktor pemula’ (trigger factor) saja yang akan mengalami penyakit ini.

‘Faktor pemula’ inilah yang menjadi punca bagi penyakit ini. Para saintis percaya hanya 10 peratus dari bayi yang dilahirkan dari ibubapa yang mempunyai genetik psoriasis akan mewarisi genetic ini.

Malah hanya 2-3 peratus saja yang akan mengalami penyakit ini apabila dirangsangkan oleh faktor pemula.

Ia boleh jadi makanan yang kita makan, terdedah pada bahan-bahan kimia pada kosmetik yang dipakai, bahan pencuci atau pendedahan pada bahan kimia di tempat kerja. Banyak faktor pemula dan ia tidak sama bagi setiap orang.

Faktor pemula ini lah yang akan merangsangkan system daya tahan tubuh pesakit, terutamanya komponen sel darah putih yang dinamakan T-cells menjadi terlalu aktif.

T-cells ini akan menyerang kulit dan menyebabkan lapisan kulit akan menggandakan pembentukannya dan menyebabkan kulit-kulit yang mati dibiarkan di lapisan luar dalam masa 3-6 hari.

Selain itu T-cells juga mengeluarkan bahan biokimia yang menyebabkan lapisan kulit mengalami radang. Oleh itu kulit pesakit psoriasis akan menjadi merah dan menggelupas.

Wallahu a’lam.

1. Liu, Y., et. al. “A Genome-Wide Association Study of Psoriasis and Psoriatic Arthritis Identifies New Disease Loci .” Public Library of Science Genetics 4:3 (2008).

2. Rahman, P., and J.T. Elder. “Genetic Epidemiology of Psoriasis and Psoriatic Arthritis.” Annals of the Rheumatic Diseases 64:2. (2005) 37-39.

3. “The Role of Genetics in Psoriasis.” Psoriasis.org. Oct 2007. National Psoriasis Foundation. Accessed 3 Jun 2008.

2 comments

  1. assalamualaikum domtor, terima kasih krn menjawab persoalan ini. Saya adalah salah seorang penghidap psoriasis sejak 15 tahun dlu cuma psoriasis saya tidaklah terlalu teruk, dan sejak bbrp tahun yg lalu sy bergantung kpd krim yg diberikan doktor spt bethametasone (dermasole) , daivobet dan syampu polytar. Sy telah mendirikan rumahtangga selama 4 tahun dan masih berusaha utk mendapatkan zuriat. Soalan saya adakah penggunaan krim spt yg sy nyatakan td akan memberi kesan kpd saya untuk mendapatkan zuriat? dan saya ada mencari maklumat mengenai kesan sampingan krim itu dan kebanyakan mempunyai kesan sampingan ttp berbeza kpd setiap penghidap. Apakah kesan sampingah ini lama kelamaan akan menjadi makin teruk? Terima kasih doktor.

    • salam , marinahunny, saya juga salah seorang penghidap psoriasis….dah lebih kurang 10 tahun…alhamdulillah..dah 6 tahun saya berkahwin dan telah dikurniakan 2 cahayamata lelaki ..dan setakat ini dua zuriat saya itu tidak ada tanda-tanda menghidap psoriasis. Saya juga telah berjumpa doktor pakar kulit dan pelbagai ubat berkaitan psoriasis yang saya cuba..psoriasis saya pun tidaklah terlalu kritikal cuma agak teruk sedikit dibahagian kulit kepala, kadang-kadang saya jadi putus asa dan lemah semangat juga..sebab penyakit ni agak sukar utk diubati walaupun pelbagai jenis ubat yang saya dah cuba hingga kini..tapi kadang-kadang saya muhasabah diri…setiap ujian yang Allah takdirkan…tentu ada hikmahnya..
      saya pernah bertanya doktor pakar berkaitan psoriasis..jika kita mengambil ubat dalam bentuk krim , sebab ia hanya luaran..dan ia tidak mengganggu sistem dalaman utk memperolehi zuriat..tetapi jika kita mengambil suntikan untuk psoriasis..doktor pakar tu kata..mungkin kita tidak boleh mengandung dalam tempoh 3-4 tahun. Itu yang saya faham dari penerangan doktor. Sebab dalam pemilihan ubat utk psoriasis doktor pakar itu menerangkan saya dengan jelas pilihan ubat samada dalam bentuk krim, pil atau suntikan.
      Jadi berusahalah untuk mendapatkan zuriat..dan psoriasis bukanlah halangan

Leave a Reply

error: Content is protected !!