Phthalates Menyebabkan Diabetes Mellitus

Seperti mana yang ramai ketahui bahawa peningkatan kes diabetes mellitus semakin menjadi-jadi di Malaysia. Saban hari saya berhadapan dengan kes-kes baru di pusat kesihatan tempat saya bekerja. Yang pelik, kebanyakan mereka berusia dalam lingkungan 30an.

Doktor bagaimana saya boleh kena diabetes. Badan saya tidak gemuk. Mak dan ayah saya tiada diabetes. Agaknya mesin yang doktor guna tersilap

Saya mengulangi pemeriksaan gula di awal pagi di mana pesakit belum lagi  bersarapan dan belum mengambil apa-apa makan semenjak pukul 10pm malam tadi. Bacaan pertama tadi 12.0mmol/L, bacaan ulangan kedua pula 12.5mmol/L.

Lebih kurang saja. Saya mencadangkan pemeriksaan semula setelah dua jam pesakit mengambil sarapan berat. Saya juga mencadangkan pemeriksaan Hb1Ac agar saya dapat memberikan diagnosa sama ada pesakit itu sudah mengalami penyakit diabetes mellitus atau tidak.

Saya termenung memikirkan fenomena yang menjadi-jadi, terutama di kalangan orang Melayu Islam. Tidak dinafikan bahawa pola pemakanan orang Melayu Islam kita, mengandungi pelbagai menu yang berlebihan kalori, yang sebenarnya hanya sesuai dimakan oleh seorang yang bekerja kuat seperti petani.

Bagi pekerja pejabat atau suri rumah, kalori yang berlebihan ini disimpan menjadi lemak dalam tubuh dan tahap kolestrol menjadi tinggi dalam darah.

Namun begitu baru-baru ini, dunia perubatan dikejutkan dengan satu berita yang agak memeranjatkan.  Satu kajian yang dilakukan oleh  Brigham and Women’s Hospital (BWH) , United Kingdom menunjukkan terdapat  kaitan antara kepekatan phthalates dalam badan seseorang dengan risiko yang bakal dihadapi oleh wanita untuk mendapat penyakit diabetes.

Phthalates adalah bahan kimia yang digunakan untuk melembutkan plastik PCV dan banyak terdapat pada produk mainan kanak-kanak seperti patung dan pelembut gusi (teething rings). Ia juga banyak terdapat dalam bekas plastik bagi produk penjagaan diri seperti pelembap, sabun, pewangi dan perkakas elektronik.

Sebelum ini terdapat kajian mendapati bahawa phthalates boleh berkumpul dalam badan dan menyebabkan kerosakan perkembangan organ pembiakan  dan Kesatuan Eropah telah mengharamkan penggunaannya dalam produk mainan kanak-kanak pada tahun 2005.

Saya ada menulis dalam blog mengenainya di https://drzubaidi.com/blog/?p=1602

Kajian ini yang dilakukan di  Brigham and Women’s Hospital (BWH), United Kingdom diketuai oleh Dr  Tamarra James-Todd, PhD, yang menganalisa kepekatan phthalates dalam air kencing  2,350 orang wanita.

Pengkaji-pengkaji ini mendapati wanita yang mempunyai kepekatan phthalates (mono-benzyl phthalate dan mono-isobutyl phthalate) yang tinggi dalam air kencing mempunyai risiko untuk mengalami diabetes dua kali ganda berbanding dengan wanita yang mempunyai kepekatan phthalates yang rendah.

Walaupun kajian ini belum lagi menjadi suatu yang sahih bahawa phthalates menjadi punca diabetes, malah memerlukan lebih banyak kajian yang mendalam, tetapi telah cukup untuk menjadikan kita sebagai pengguna agar lebih berhati-hati dalam memilih produk penjagaan diri.

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

error: Content is protected !!