Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Perlukah Suntikan Antitetanus Vaccine Selepas Kemalangan atau Kecederaan?

Perlukah Suntikan Antitetanus Vaccine Selepas Kemalangan atau Kecederaan?

“Aduh..aduh..aduh”

Seorang pemuda 20an sedang dibersihkan luka kemalangan jalanraya oleh pembantu klinik saya. Dia menjeling apabila saya menyediakan suntikan.

“Itu apa tu doktor? Tak boleh ke kalau tak inject?”

“Eh janganlah mengada-ngada. Kalau dah datang klinik kenalah injek. Pakai jarum besar, doctor !!”

Ada suara wanita, saya mengagak ia suara ibunya yang berdiri di belakang saya. Saya menoleh ke arahnya. Dia tersenyum.

“Jangan bagi chance, doctor. Anak saya ini memang mengada-ngada. Siapa suruh bawak motor laju-laju, nasib baik tak patah riuk”, dia menambah.

“Saya akan suntik kamu dgn suntikan anti vaksin sebab luka kamu dalam dan kotor”

Saya merujuk kepada luka yang dialaminya pada lutut, siku dan kaki, yang agak dalam sehingga menampakkan tisu di bawah kulit, bercampur darah dan tar jalan raya.

Ramai yang menganggap luka-luka yang dalam dan kotor sebagai luka yang biasa. Luka-luka ini amat berbahaya terutama jika luka ini bercampur dengan lumpur dan kekotoran jalanraya.

Membasuh luka dengan air bersih dan disapukan bahan antiseptik sahaja tidak mencukupi. Apa yang dibimbangi ialah jangkitan kuman tetanus yang mungkin menjangkiti luka itu.

Tetanus kadang kala disebut sebagai ‘penyakit kancing gigi’ disebabkan oleh jangkitan kuman Clostridium tetani. Racun yang dikeluarkan oleh bakteria ini mampu melumpuhkan fungsi saraf dan menyebabkan otot-otot pada abdomen, leher, kaki dan tangan mengecut. Pesakit berada dalam kekejangan dan mengetap gigi mereka, lalu orang ramai menamakan penyakit ini sebagai penyakit kancing gigi.

Jika tidak diberikan rawatan, pesakit akan mengalami kesukaran bernafas dan boleh meninggal dunia. Ia berlaku dalam beberapa hari hingga beberapa minggu selepas racun dikeluarkan oleh bakteria tetanus menjangkiti luka, menular dan melumpuhkan fungsi saraf.

Seorang rakan saya bertanya, “Doktor, bukankah anak-anak kita pernah disuntik dengan vaksin tetanus semasa bayi?”

Saya segera menganggukkan kepala.

Jadual suntikan immunisasi yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia memasukkan sekali suntikan anti tetanus bersama dengan suntikan untuk mencegah penyakit poliomyelitis dan batuk pertussis. Ketiga-tiga vaksin ini disatukan dalam satu suntikan.

Malah ada vaksin campuran ini memasukkan sekali vaksin untuk melawan virus H. Influenza. Vaksin ini selalunya diberikan sebanyak 5 kali, iaitu pada umur 2, 4, 6 dan 15 bulan dan satu lagi dos diberikan pada umur 6 tahun.

Oleh kerana tahap antitoksin terhadap tetanus semakin lama semakin berkurangan, vaksin “combined diphtheria-tetanus toxoid (Td)” boleh diberikan setiap 5-10 tahun.

Maka secara amnya apabila ada kecederaan yang melibatkan luka yang dalam dan bercampur dengan kekotoran (luka kotor), suntikan  vaksin tidak perlu diberikan, kecuali jika pesakit tidak pasti sama status imuniti tubuhnya terhadap bakteria tetanus.

Oleh itu saya sering bertanyakan jika dalam masa 5 tahun kebelakangan ini pesakit pernah menerima suntikan booster vaksin antitetanus atau pernahkah dia mengalami kemalangan dan diberikan suntikan antitetanus.

Jika pesakit pernah menerima suntikan vaksin antitetanus dalam masa lima tahun, suntikan tambahan tidak perlu. Namun jika diberikan, ia tidak memberikan mudharat kepada pesakit.

Wallahu a’lam.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (280811)

Rujukan :

  1. Wells CL, Wilkins TD (1996). “Clostridia: Sporeforming Anaerobic Bacilli”. In Baron S, et al. Baron’s Medical Microbiology. Univ of Texas Medical Branch.
  2. Brauner JS; Vieira SR; Bleck TP (July 2002). “Changes in severe accidental tetanus mortality in the ICU during two decades in Brazil”. Intensive Care Medicine 28 (7): 930–5.
  3. Hopkins, A.; Lahiri, T.; Salerno, R.; Heath, B. (1991). “Diphtheria, tetanus, and pertussis: recommendations for vaccine use and other preventive measures. Recommendations of the Immunization Practices Advisory committee (ACIP).”. MMWR Recomm Rep 40 (RR-10): 1–28.
  4. Porter JD, Perkin MA, Corbel MJ, Farrington CP, Watkins JT, Begg NT (1992). “Lack of early antitoxin response to tetanus booster”. Vaccine 10 (5): 334–6.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!