Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Kehamilan » Perlukah Buasir Ketika Hamil Dibedah?

Perlukah Buasir Ketika Hamil Dibedah?

Wanita yang hamil adalah wanita yang seharusnya sihat. Mereka bukan pesakit. Kehamilan adalah proses fisiologi yang sihat. Orang tidak pernah hamil dikatakan tidak mempunyai proses fisiologi yang normal. Namun orang yang hamil lebih mudah menderita pelbagai penyakit akibat kehamilannya.

Antara penyakit yang mudah dialami oleh wanita yang hamil ialah buasir. Ia adalah penyakit yang boleh dielakkan jika dari awal, seseorang berhati-hati menjaga kesihatan dirinya. Namun apabila telah ditimpa penyakit, banyaklah bersabar dan berusahalah untuk mendapat rawatan yang sesuai.

Saya mendapat email dari seorang wanita yang hamil dan mengalami penyakit buasir.

“Assalammualaikum, saya berusia 27 tahun, sekarang hamil 25 minggu. pada 19.10.11 saya mengalami BUASIR dan ‘ketumbuhan’ itu masih boleh ditolak masuk dubur, tetapi ia keluar dengan sendirinya. Keesokan paginya (20.10.11) ia menjadi bengkak dan sakit sehingga tak boleh ditolak masuk semula.

Selepas pemeriksaan di klinik, doktor membekalkan saya ubat suppositori. Namun saya masih mengalami sakit yang tidak tertahan  sehingga menyukarkan pergerakan.

Pada 25.10.11, saya dirujuk ke hospital kerana sakit tidak berkurangan. Setelah diperiksa pakar bedah, saya didiagnosakan sebagai “trombosed haemorrhoid stage II”. Doktor pakar surgeri cuba memasukkan semula buasir yg bengkak,tetapi tidak berjaya. Saya diberi ubat lactoluse kerana 3 hari tidak buang air besar dan dinasihatkan mengamalkan diet bubur.

Pada 26.10.11,saya membuang air besar 4 kali, najis lembut berwarna hijau dan kelabu dan tiada darah lagi. Sakit pada dubur semakin berkurangan selepas disapu dengan sapuan topikal. Akhirnya dibenarkan keluar dan dibekalkan tablet daflon, beserta liquid parafin. Sakit hilang,

Walaupun tidak lagi sakit, tetapi saya masih berasa pedih sedikit selepas buang air besar. Namun buasir tidak boleh dimasukkan semula.

Doktor, adakah saya perlu  rujuk pakar bedah semula kerana buasir masih tidak boleh dimasukkan semula walaupun tidak sakit dan tiada darah. adakah keadaan ini akan berlanjutan sehingga saya melahirkan nanti?

Harap dr dapat menjawab soalan saya,keadaan ini membuatkan saya stress ditambah lagi baru kehilangan arwah bapa akibat barah usus.Sekian,terima kasih”.

Wanita hamil, Klang.

 

Tidak ada ayat yang dapat melegakan kesakitan fizikal dan emosi yang dihadapi oleh beliau. Namun percayalah bahawa setiap ujian diberikan berbentuk penyakit dan kerisauan akan dibalas dengan kebaikan oleh Allah. Sesungguhnya, setiap manusia diuji dengan pelbagai ujian bagi menguji setakat mana keimanan mereka.

Penyakit buasir atau “hemorrhoids” biasanya dihadapi oleh mereka yang berumur 50 tahun ke atas. Mereka mudah mendapat penyakit ini berbanding dengan orang muda. Tetapi buasir boleh juga disebabkan oleh pelbagai punca. Antaranya ialah faktor keturunan, sembelit, kehamilan, dan aktiviti mengangkat berat.

Hemorrhoids boleh dikategorikan kepada dua kumpulan. ’Internal haemorrhoid’ berlaku apabila buasir bermula dari dalam saluran dubur. Sementara ‘external haemorrhoids’ pula berasal dari kawasan sekeliling lubang dubur. Buasir yang disebabkan oleh internal hemorrhoids boleh berdarah dari dalam saluran dubur dan ‘terkeluar’ (prolapse). Pesakit boleh merasa ada ‘ketumbuhan’ di luar lubang dubur (anus) mereka terutama ketika buang air besar.

Internal hemorrhoids boleh dibahagikan kepada 4 bahagian (stage).

Stage I: Buasir hanya berdarah saja, tetapi tidak terkeluar

Stage II: Buasir terkeluar dan boleh dimasukkan semula dengan sendirinya , sama ada berdarah atau tidak

Stage III: Buasir terkeluar dan perlu ditolak semula ke dalam dengan jari, sama ada berdarah atau tidak

Stage IV: Terkeluar dan tidak boleh langsung dimasukkan semula.

Pembahagian ini perlu difahami kerana doktor akan merawat buasir mengikut tahap serius buasir itu. Malangnya saya tidak memeriksa pesakit dan saya mengharapkan agar apa yang saya tulis ini akan membantu pesakit ketika berbincang dengan doktor yang merawat nanti.

Kalau mengikut cerita yang diberikan, saya percaya buasir yang puan hadapi telah memasuki stage III atau stage IV kerana buasir itu tidak boleh dimasukkan lagi. Jika boleh pun, ia agak sukar.

Isu yang dihadapi bukanlah isu sama ada buasir itu keluar atau tidak, tetapi pesakit tidak dapat menanggung lagi kesakitan. Kesakitan buasir di sekitar lubang dubur disebabkan oleh pembekuan darah (thrombosis) dalam buasir. Darah yang beku ini jika tidak dirawat boleh menyebabkan jangkitan kuman dan bernanah.

Selalu juga pesakit yang berjumpa saya mengadu lubang dubur mereka gatal akibat ada lendiran yang keluar dari situ. Ini tentunya akan menyebabkan jangkitan kuman yang agak teruk nanti. Oleh itu haruslah dibersihkan dengan cara melakukan teknik sitz-bath. Caranya ialah dengan duduk dalam basin yang mengandungi rendaman yang dicampurkan ubat bagi membersihkan lubang dubur dari jangkitan kuman.

Buasir di peringkat awal, dirawat secara konservatif iaitu dengan memberikan ubat-ubat seperti ubat mengurangkan sembelit, ointments atau suppository yang dimasukkan ke dalam lubang dubur. Pada kebiasaannya  doktor tidak melakukan pembedahan besar terhadap pesakit yang mengalami buasir yang boleh dimasukkan semula.

Pembedahan ringkas ‘daycare’ hanya dilakukan pada pesakit yang tidak dapat menahan kesakitan akibat buasirnya dan ubat-ubatan yang diberikan tidak lagi memberikan kesan yang baik. Pembedahan ringkas seperti ini sesuai untuk pesakit buasir Stage I, II, atau III.

Antara yang boleh dilakukan ialah infrared coagulation, suntikan pada buasir atau mengikat buasir dengan teknik rubber banding. Selalunya pesakit buasir pada Stage I dan II akan mendapat kesembuhan. Bagi stage III, buasir boleh berulang.

Walau bagaimana pun, buasir yang sakit atau terdapat pendarahan haruslah berjumpa dengan doktor pakar yang memeriksa. Tidak kiralah sama ada ia masih diperingkat awal, eg stage I atau stage II. Doktor pakar akan menentukan sama pesakit sama perlu dibedah atau tidak. Masalah ini bertambah sukar memandangkan pesakit sedang hamil sekarang.

Jadi perbincangan antara doktor dan pesakit amat penting kerana doktor akan menimbang manfaat dan kemudharatan. Apakah pembedahan besar ketika hamil memberikan manfaat? Atau adakah lebih baik dibiarkan pesakit menderita kesakitan sehingga melahirkan anak, memandangkan kemudaratan lebih besar bagi bayi yang berada dalam rahem? Soalan ini sukar saya jawab kerana pertimbangan antara manfaat dan mudharat hanya boleh dilakukan oleh doktor yang merawat.

Pada kebiasaannya, pembedahan yang lebih besar seperti haemorrhoidectomy harus dilakukan kepada pesakit buasir pada  Stage III atau IV hemorrhoids.

Ketika dibius pengsan, doktor boleh melakukan pemeriksaan usus colon jika  pesakit bimbang akan risiko kanser usus besar (colon) sepertimana yang dihadapi oleh arwah bapa beliau dengan teknik flexible sigmoidoscopy.

Luka pembedahan buasir tidak dijahit dan biarkan begitu saja bagi mengelakkan nanah berkumpul pada luka pembedahan. Namun ada juga beberapa benang yang mungkin dijahitkan, bertujuan untuk mengurang pendarahan yang teruk selepas pembedahan.

Risiko yang biasa dihadapi selepas pembedahan ialah pendarahan dan jangkitan kuman. Pesakit juga kadang kala merasa sakit yang kuat apabila otot dubur mengecut. Kadang kala pesakit tidak buang air besar dan tidak selera makan kerana takut untuk membuang najis dan merasa sakit.

 

Luka selepas pembedahan akan sembuh antara dua minggu hingga sebulan. Jadi sepanjang tempuh ini, pesakit masih menderita kesakitan.

Jadi sama ada wajar atau tidak pembedahan dilakukan, adalah isu yang harus dibincangkan dengan doktor pakar. Pembedahan tidak akan melegakan kesakitan kerana proses penyembuhan memakan masa yang agak lama. Walaubagaimanapun, kesengsaraan itu akan berakhir apabila luka pembedahan itu telah sembuh.

Wa allahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (031111)

Rujukan:

  1. Kaidar-Person O, Person B, Wexner SD. Hemorrhoidal disease: A comprehensive review. J Am Coll Surg. 2007 Jan;204(1):102-17.
  2. Senagore AJ. “Surgical management of hemorrhoids”. J Gastrointest Surg. 2002 May-Jun;6(3):295-8.

3 comments

  1. doc..assalamualaikum..sy ade buasir tp msih di peringkat sy boleh memasukkan ke dlm smula..dan sy sdg hamil 7 mggu..ape rawatan terbaik utk sy tentang buasir ini?

  2. saya mengalami buasir,tp tak tahu pd peringkat ke brp.skrg sy hanya menunggu saat melahirkan anak,tp pada peringkat akhir kelahiran,penyakit saya seakan terkeluar sedikit.adakah ia disebabkan tekanan pada kehamilan yg hanya menunggu saat melahirkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!