PENYAKIT VASKULITIS

PENYAKIT VASKULITIS

Vaskulitis adalah radang pada saluran darah. Ia boleh menyebabkan penebalan dan penyempitan saluran darah dan mengakibatkan sekatan aliran darah sehingga akhirnya terjadi kerosakan tisu dan organ yang terlibat. Vaskulitis boleh melibatkan semua jenis saluran darah pada badan. Ini termasuk arteri besar dan saluran darah halus. Kerosakan yang lebih serius akan berlaku sekiranya saluran darah yang lebih besar terlibat dalam vaskulitis.

PUNCA-PUNCA

Vaskulitis boleh disebabkan oleh jangkitan kuman, ubat-ubatan, kanser, penyakit darah atau penyakit autoimun seperti sistemik lupus eritematosus. Walau bagaimanapun, separuh daripada kes vaskulitis tidak dapat dikenalpasti puncanya. Jangkitan kuman seperti virus atau bakteria boleh menyebabkan vaskulitis. Ubat-ubatan yang boleh dikaitkan dengan vaskulitis termasuk antibiotik, antisawan, diuretik dan ubat tahan sakit.

Kanser dan penyakit darah tertentu boleh meningkatkan kepekatan darah yang juga boleh menyebabkan vaskulitis. Terdapat satu lagi kumpulan vaskulitis yang dikenali sebagai Primary Systemic Vasculitis yang biasanya lebih serius dan boleh melibatkan pelbagai organ. Contoh Primary Systemic Vasculitis adalah: Wegener Granulomatosis, Penyakit Churg Strauss, Polyarteritis Nodosa, Mikroskopik Polyangitis.

TANDA-TANDA DAN GEJALA

Vaskulitis boleh melibatkan mana-mana organ seperti kulit, buah pinggang, paru-paru, usus dan otak serta boleh menghasilkan pelbagai gejala bergantung kepada organ yang terlibat. Masalah kulit biasanya merupakan tanda pertama penyakit vaskulitis.

Tanda-tanda vaskulitis kulit termasuk ruam merah yang tidak hilang apabila ditekan atau ruam seperti lebam pada kulit. Ruam ini biasanya berlaku pada kaki dan tangan serta kadang-kadang boleh terasa kesakitan. Sekiranya saluran darah bersaiz sederhana yang terlibat, ini akan menyebabkan ulser kulit atau ruam bengkak yang besar terjadi.

Gejala-gejala lain boleh juga berlaku akibat daripada penglibatan organ-organ lain dan ini termasuk demam, loya, muntah, sakit sendi dan otot, kebas tangan / kaki, sesak nafas, kencing berdarah, sakit perut dan najis berdarah.

DIAGNOSA

Biopsi tisu seperti kulit, buah pinggang, paru-paru dan saraf adalah diperlukan untuk memastikan diagnosa vaskulitis. Doktor anda juga akan melakukan ujian darah yang berkaitan untuk memastikan tahap peringkat penyakit dan punca yang menyebabkan vaskulitis.

RAWATAN

Rawatan vaskulitis biasanya bergantung kepada tahap penyakit dan organ yang terlibat. Rawatan biasanya diperlukan untuk mengurangkan keradangan dan mengawal sistem imun yang menyebabkan vaskulitis. Ubat yang terlibat harus diberhentikan sekiranya vaskulitis berpunca daripada ubat-ubatan. Vaskulitis yang berkaitan dengan jangkitan kuman biasanya akan hilang setelah jangkitan kuman tersebut dirawat. Krim steroid boleh digunakan untuk merawat kes-kes vaskulitis yang ringan dan melibatkan kulit sahaja.

Walau bagaimanapun ubat makan seperti steroid, colchicine, indomethacin, dapsone mungkin diperlukan dalam kes vaskulitis kulit yang lebih serius khasnya apabila organ lain juga turut terlibat. Ubat mengawal system imun seperti cyclophosphamide mungkin diperlukan dalam kes vaskulitis yang berkaitan dengan Primary Systemic Vasculitis.

#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

error: Content is protected !!