Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Motivasi » Penggunaan Perkataan ‘KITA’ Ketika Salah Faham

Penggunaan Perkataan ‘KITA’ Ketika Salah Faham

Saya sering ditanya melalui e-mail untuk mendapat nasihat dan panduan bagi pasangan suami isteri yang menghadapi konflik rumahtangga.

Kebanyakan yang bertanya adalah suri rumah yang tidak tahan lagi dengan pertengkaran dengan suami mereka, sama ada yang hanya melibatkan ’verbal’ atau pertengkaran yang melibatkan kekerasan fizikal.

Sayang sekali kebanyakan pertengkaran ini melibatkan pasangan yang masih muda dan tempoh perkahwinan mereka baru saja memasuki separuh dekad.

Bagi pasangan muda seperti ini, konflik keluarga yang tidak diselesaikan dengan baik, ia boleh menjurus ke arah penceraian.

Walaupun ada juga pertengkaran ini melibatkan pasangan yang lebih berusia, namun pasangan ini lebih matang ketika bertengkar dan mudah berdamai.

”Apakah nasihat doktor tentang ini? Perlukah kami berpisah?”

Soalan yang pertama saya akan tanyakan, “ketika bertengkar, adakah puan dan suami menggunakan perkataan ‘kau’ dan ‘aku’ atau istilah pengganti diri yang sewaktu dengannnya?”

“Apa maksud doctor?”

“Sebagai contoh,adakah puan atau suami menggunakan ayat seperti ‘ini semua disebabkan salah awak’ dan ‘saya menjadi mangsa dalam salah faham ini’ ?”

“Atau puan atau suami menggunakan ayat ‘ini semua disebabkan salah kita’ dan ’kita menjadi mangsa dalam salah faham ini’..?

Pasangan yang selalu menggunakan perkataan ‘kita’ yang merujuk kepada mereka berdua, selalunya mudah berdamai ketika berlakunya salah faham antara suami isteri.

Bukan mudah untuk menggunakan perkataan ‘kita’ ketika emosi sedang menyala dan membara. Hanya pasangan yang biasa menggunakan perkataan ini ketika sedang bahagia saja yang mampu menggunakan perkataan yang sama ketika sedang berkonflik.

Pasangan ini selalunya sudah mempunyai ‘sifat kekitaan’ dan ’perlakuan suami isteri yang positif’ seperti berkasih sayang, bertolak ansur, mengambil berat masalah pasangannya dan tidak mudah marah, sebelum terjadi suatu pertelingkahan.

Mereka akan berfikir banyak kali sebelum mengambil sesuatu keputusan yang melibatkan mereka berdua (suami isteri) dan menganggap konflik yang terjadi berpunca dari kesalah mereka sendiri. Mereka mudah menuduh pasangan mereka yang menjadi punca.

Oleh itu mereka yang menggunakan perkataan ‘kita’ ketika berbincang tentang konflik keluarga akan kelihatan lebih tenang dan tidak mempunyai ‘physiological stress’ yang tinggi ketika bertengkar dan berselisih faham.

Sementara pasangan yang menggunakan perkataan yang memfokuskan diri masing-masing seperti, ‘aku’, ‘kau’, ’saya’ dan ’awak’  selalunya melihat punca konflik itu disebabkan kesilapan pasangan masing-masing.

Oleh itu masing-masing akan bersifat ‘mementing diri sendiri’ dan ‘tidak mahu menanggung kesalahan’ yang mereka dilakukan. Perkataan ‘kau’ dan ‘aku’ sendiri akan memisahkan lebih jauh emosi kedua suami isteri. Mereka tidak lagi menjadi entiti ’pasangan’ tetapi bertindak sendirian dalam mencari penyelesaian. Masing-masing mahu mendapat ’kemenangan diri’ dalam pertengkaran itu.

Tidak hairanlah jika pertengkaran sebegini boleh disusuli dengan perlakuan fizikal yang agresif, seperti menampar,mumukul dan mencekik.

Perlakuan agresif ini akan menyebabkan emosi mengalami luka yang lebih dalam. Oleh itu mereka akan mengambil masa yang lebih lama untuk berdamai dan mudah untuk menghadapi penceraian.

Perkataan ‘kita’ sebenarnya merapatkan kembali jiwa mereka secara tidak sedar. Mereka akan sering diingatkan bahwa ’masalah yang dihadapi ini masalah ’kita’ (mereka berdua) dan bukan masalah ‘dia’ atau ‘saya’.

Satu kajian yang agak relevan pernah dilakukan oleh sekumpulan ahli psychologist terhadap 154 pasangan yang mengalami konflik dalam perkahwinan pertama mereka di Amerika Syarikat. Semua pasangan ini berumur antara 30an hingga 50an.

Pertelingkahan mereka selama 15 minit ini dirakam dengan perakam video. Dalam masa yang sama, pasangan-pasangan  ini dipantau degupan jantung mereka dan suhu badan mereka bagi menganalisa perubahan fisiologi ketika mereka berada dalam pertengkaran.

Kemudian pakar psychologist bersama kumpulannya memeriksa data-data dan video-video yang dikumpulkan untuk menganalisa perubahan fisiologi di samping melihat perubahan pada perlakuan emosi kedua-dua pasangan seperti ‘raut muka’ dan ‘nada suara’.

Dalam kajian ini, mereka mendapati pasangan yang menggunakan perkataan ’kita’ mempunyai perubahan fisiologi yang tidak ketara, berbandingan dengan pasangan yang menggunakan perkataan ’kau’ dan ’aku’.

Begitu juga dengan nada suara yang digunakan oleh pasangan yang menggunakan perkataan ’kita’ agak lebih rendah. Tiada perlakuan agresif dilihat dalam kumpulan pasangan ini.

Pasangan yang menggunakan perkataan ’aku’ dan ’kau’ lebih banyak menjerit, menggunakan nada suara yang tinggi dan beberapa pasangan ini dilihat mula mahu menggunakan perlakuan agresif.

Apa yang lebih ketara ialah ialah pasangan yang lebih berumur selalunya menggunakan perkataan ‘kita’ berbandingan dengan pasangan yang lebih muda yang lebih suka menggunakan perkataan ’kau’ dan ’aku’.

Oleh itu tidak hairanlah pasangan yang berumur ini kelihatan lebih stabil walau pun menghadapi konflik rumahtangga, sementara pasangan mudah lebih goyah dan lebih berisiko untuk menghadapi penceraian.

Wallahu a’lam.

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (300312)

2 comments

  1. Bila tengah baik Yang2 Dr..tapi bila marah Melayang..

    Tapi bila bergaduh perkataan Kau dan Aku tu biasa dah..
    Semua diungkit mcm tak ada yg baik langsung semuanya buruk belaka..

  2. sekejeb je tu….yang penting jangan ego sangat,kena mengalah,dah dapat nanti,ok la tu….

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: