PENAMBAHAN BERAT BADAN KETIKA HAMIL

Saya sangat risau apabila seorang wanita yang hamil, mahu mengekalkan berat badannya supaya sentiasa kelihatan cantik. Saya faham kehendak ini, namun semasa proses kehamilan, adalah mustahil bagi seorang wanita untuk mengekalkan berat badannya.

Penambahan berat pasti berlaku. Jika tidak mencapai berat yang sesuai, doktor dan jururawat tentu akan cemas dan menasihati agar memakan lebih banyak makanan yang mengandungi kalori yang tinggi.

“Doktor, saya hamil untuk kali pertama. Saya membuat pemeriksaan kehamilan di salah sebuah klinik awam di bandar tempat saya tinggal. Jururawat di situ memberitahu saya tidak mempunyai penambahan berat badan yang cukup. Apakah yang dimaksudkan oleh jururawat yang bertugas. Saya mahu bertanyakan beliau, tapi beliau kelihatan sibuk dan tidak mesra pesakit. Boleh doktor terangkan?”

Penambahan berat badan adalah penting bagi membentuk fizikal bayi dalam rahem, penambahan saiz organ-organ ibu untuk menyokong proses kehamilan dan menyediakan simpanan tenaga untuk digunakan ketika proses kelahiran.

Sebagai contoh, penambahan berat badan sebanyak 15-16 kg diperlukan untuk:

  Pembesaran Organ Tujuan Berat(kg)
1 Fizikal bayi   3.0-3.5 kg
2. Pembesaran payudara Menyediakan penyusuan selepas kelahiran 1 kg
3 Pembesaran rahem Menyediakan ruang untuk pembesaran bayi 1kg
4 Pembentukan uri Menyediakan tapak yang menyediakan makanan pada bayi 0.7 kg
5 Penambahan isipadu air tuban (amniotic fluids) Menyediakan persekitaran yang memudahkan pertambahan saiz fizikal bayi 1 kg
6 Cecair dalam saluran darah Memudahkan oksigen dan nutrient dihantar kepada bayi dalam rahem 1.4-1.8 kg
7 Cecair dalam tubuh (selain darah) Memperbaiki system pertahan (imuniti) dalam tubuh 2.7 -3.6 kg
8 Lemak Menyediakan simpanan tenaga untuk ibu ketika proses kelahiran 2.7 – 3.6 kg

Saya suka berkongsikan panduan ringkas yang boleh digunakan. Setiap wanita mempunyai berat berbeza yang harus ditambah ketika hamil, bergantung kepada berat badannya sebelum hamil dan body mass index (BMI).

Panduan yang boleh digunakan:

Berat sebelum hamil Penambahan berat yang dibenarkan
Kurang berat badan (BMI kurang dari 18.5) Kira-kira 13 – 18 kg
Normal berat badan (BMI 18.5 – 24.9) Kira-kira 11 – 16 kg
Lebih berat (BMI 25 – 29.9) Kira-kira 7 -11 kg
Obese (BMI 30 atau lebih) Kira-kira 5 -9 kg

Bagi wanita hamil kembar, penambahan berat badan mereka berbeza.

Berat badan sebelum hamil Penambahan berat badan yang dibenarkan
Normal berat badan (BMI 18.5 – 24.9) Kira-kira 17 – 25 kg
Lebih berat badan (BMI 25 – 29.9) Kira-kira 14 – 23 kg
Obese (BMI 30 atau lebih) Kira-kira 11 – 19 kg

Doktor juga bimbang jika sebelum hamil, seorang wanita telah pun mempunyai berat badan yang berlebihan. Apabila hamil, mereka mempunyai komplikasi kehamilan yang tinggi. Antaranya kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Bagi sesetengah wanita pula, mereka mempunyai penyakit kronik sebelum hamil. Penambahan berat badan yang melampau ketika hamil akan memburukkan tahap kesihatan mereka yang sedia ada.

Ini bermakna jika seorang wanita yang mengalami diabetis sebelum hamil, penyakit kencing manisnya sukar dikawal ketika hamil dan mempunyai berat badan yang berlebihan. Ini menjejaskan kesihatan si ibu dan bayi dalam rahem.

Banyak kajian menunjukkan mereka tidak dapat melahirkan anak secara normal, tetapi harus dibedah secara Cesarean. Mereka juga sukar untuk menghilangkan berat selepas melahirkan anak.

Anak yang dilahirkan juga selalunya bersaiz besar, dan boleh menyebabkan komplikasi semasa dilahirkan. Oleh itu mereka harus kerap mendapatkan pemeriksaan berkala untuk rawatan penyakit kronik mereka dan memeriksa status kesihatan bayi dalam rahem.

Bagi wanita hamil yang sebelum hamil mempunyai berat badan yang tidak mencukupi, mereka harus berusaha mendapatkan peningkatan berat badan seperti yang sepatutnya, jika tidak mahu bayi mereka dilahirkan secara pramatang atau mempunyai saiz dan berat yang kecil.

Di awal kehamilan, kebanyakan wanita hamil tidak dapat menambahkan berat yang ketara kerana mereka tiada selera makan disebabkan oleh morning sickness. Dalam tempoh ini, penambahan berat sebanyak 1-2 kg sudah memadai dengan cara menambahkan sebanyak 150-200 kalories dalam pemakanan mereka setiap hari.

Penambahan berat selepas 12 minggu kehamilan amat penting. Wanita hamil harus menambah sebanyak 1.5-2.0 kg setiap bulan dengan memakan tambahan 300 kalori sehari dalam pemakanan mereka.

Makan makanan yang berkhasiat adalah kunci bagi penambahan berat yang terkawal. Jangan lupa bersenam secara sihat dan yang dibenarkan ketika hamil. Makan untuk dua orang tidak bermakna seorang wanita boleh makan sesuka hati.

Wallahu a’lam

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (190911)

Rujukan:

  1. Cox JT, et al. “Nutrition during pregnancy”. Obstetrics and Gynecology Clinics of North America. 2008;35:369.
  2. Olson CM. “Achieving a healthy weight gain during pregnancy”. Annual Review of Nutrition. 2008;28:411.

6 comments

  1. seronok bc blog doc..byk sgt info ttg kehamilan..thanks doc..:)

  2. Doc, saya harap doc dapat tulis article tentang perubahan pigmentasi kulit terutama di bahagian kemaluan wanita mengandung. Ada wanita yang rasa sungguh malu kerana perubahan warna yang berlaku dibahagian rahim dan kelengkang. Harap doc dpt tulis article tentang ini.

  3. Nur Syafiqah Hew

    Saya sekarang mengandung 33 minggu. Berat saya hanya naik 5kg sahaja dari mula. Adakah normal kerana saya seorang yang berbadan besar. Dari 79kg naik ke 84kg.

  4. Assalammualaikum..Dr, Kehamilan saya berusia hampir 4 bulan dan berat bdn saya naik 5.5 kg dah.. saya tak mengalami alahan dan saya boleh mkn apa sahaja.. akan tetapi saya jugak mengawal pemakanan saya.. tapi kenapa berat bdn saya naik banyak sgt? saya suka minum susu sebelum tidur.. adakah itu penyebabnya? satu lagi sejak seminggu dua ni saya suka mkn nasik lemak pasgi2.. adakah saya kena cut off nasik lemak bagi mengawala berat bdn?

  5. husna bt azis

    assalamualaikum Dr.kehamilan saya menjangkau 5 bulan, tetapi masalah saya skrg berat badan saya tidak naik..dari mula saya mengandung berat saya 51kg sehingga sekarang masih 51kg dan kadang2 berat saya 50.5kg. sedangkan saya berselera makan & tidak mengalami alahan langsung. Kenapa jadi begitu?? saya jgk tlh mempumnyai 2 ank dan sewaktu mengandung mereka berat badan saya meningkat normal mcm org lain mengandung jgk. tolong doktor selesaikan masalah saya ini. terima kasih

    • assalamualaikum Dr.kehamilan saya menjangkau 5 bulan, tetapi masalah saya skrg berat badan saya tidak naik..dari mula saya mengandung berat saya 51kg sehingga sekarang masih 51kg dan kadang2 berat saya 50.5kg. sedangkan saya berselera makan & tidak mengalami alahan langsung. Kenapa jadi begitu?? saya jgk tlh mempumnyai 2 ank dan sewaktu mengandung mereka berat badan saya meningkat normal mcm org lain mengandung jgk. tolong doktor selesaikan masalah saya ini. terima kasih

      Dr Zubaidi: Wa alaikum mus salam. Sukar untuk saya memberikan komen dalam hal ini, kerana banyak perkara yang harus dipertimbangkan. Antara punca masalah tidak meningkat berat badan ketika hamil ialah masalah metabolisme. Saya harap puan telah melakukan pemeriksaan darah untuk mengesan masalah ini.

Leave a Reply to aliaCancel reply

error: Content is protected !!