Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Peminum kopi menjadi lebih sihat

Peminum kopi menjadi lebih sihat

 

Baru-baru ini Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat (National Institutes of Health) telah mengeluarkan satu kenyataan pada Rabu, 16 May, bahawa peminum kopi mempunyai risiko kematian awal yang rendah.

 

Sudah semestinya ajal kematian seseorang itu hanya diketahui oleh ALLAH SWT, kerana hanya DIA yang memiliki ilmu pengetahuan terhadap perkara-perkara ghaib. Tiada sesiapa yang mengetahui dan tiada sesiapa yang dapat menghalangnya.

 

Namun begitu sebagai usaha untuk hidup lebih lama agar dapat berbakti di muka bumi ini, kita digalakkan untuk mencari ikhtiar agar dapat mencapai tujuan  usaha kita.

 

Jadi ini adalah berita baik untuk penggemar kopi. Kajian yang dijalankan oleh National Cancer Institute (NCI) Amerika Syarikat, yang menjadi sebahagian dari National Institutes of Health berpendapat bahawa warga tua yang meminum kopi sama ada mempunyai caffeine atau tidak, mereka mempunyai risiko kematian yang lebih rendah berbanding dengan warga tua yang tidak meminumnya.

 

 

Keputusan kajian ini kemudiannya telah diterbitkan pada 17 May, 2012 dalam New England Journal of Medicine.

 

Peminum kopi mempunyai kebarangkalian untuk meninggal dunia akibat penyakit jantung, paru-paru, diabetes dan jangkitan kuman, yang lebih rendah. Kajian ini tidak meliputi kematian yang disebabkan oleh kanser. Kajian ini juga tidak memasukkan faktor penghisap rokok dan peminum arak. Ini bermakna, peminum arak dan perokok, walaupun meminum kopi, tidak mendapat faedah yang sama.

 

Namun begitu saintis tidak dapat memberikan jaminan bahawa peminum kopi pasti akan lebih panjang umur.

Kajian yang diketuai oleh Prof Dr Neal Freedman,  dari bahagian Kajian Kanser dan Genetik, NCI, telah mengkaji kaitan antara peminum kopi dengan risiko kematian ke atas  400,000 orang Amerika, lelaki dan perempuan berumur antara50- 71. Data ini telah dipungut melalui pertanyaan  mengenai pengambilan kopi telah dilakukan antara tahun 1995-1996. Peserta kajian ini telah dipantau sehingga tarikh 31 Dec, 2008,  atau sehingga mereka meninggal dunia, mengikut yang mana berlaku dulu.

 

Akhirnya kajian itu mendapati bahawa terdapat kaitan yang kuat antara kopi dengan risiko kematian yang rendah. Semakin banyak kopi yang diminum semakin rendah risiko mereka. Bagi mereka yang meminum 3 cawan atau lebih dalam sehari, risiko mereka berkurangan sebanyak 10 peratus.

 

Sebagai kesimpulan Prof Dr Neal Freedman  memberitahu bagaimana amalan minum kopi boleh menrendahkan risiko kematian masih belum jelas. Namun apa yang pasti ialah meminum kopi tidak akan mendatangkan kesan yang buruk.

 

Wallahu a’lam.

 

Rujukan:

Freedman ND, et. al. “The Association of Coffee Drinking with Total and Cause-Specific Mortality”, NEJM, May 17, 2012.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top