PEMBENTUKAN OTAK BAYI DAN MAKANAN YANG TERBAIK UNTUK MEREKA

PEMBENTUKAN OTAK BAYI DAN MAKANAN YANG TERBAIK UNTUK MEREKA

1. Soalan:  Sejak usia kandungan berapakah ibu hamil boleh mula merangsang perkembangan otak bayi dalam kandungan?

Pembentukan organ-organ dalam tubuh manusia berlaku sebaik saja persenyawaan berlaku. Otak adalah antara organ yang paling awal. Dalam kajian embryology menunjukkan pada usia kehamilan 4 minggu, sel neural progenitor atau dipanggil neural plate mula terbentuk dan membahagi. Ia memanjang dan membentuk dua bahagian penting. Di bahagian kepala ia membentuk otak, sementara di bahagian belakang ia membentuk saraf tunjang.

Perkembangan ini terus berlaku, dan pada usia kehamilan 6-7 minggu, saraf di bahagian kepala tadi telah membahagi kepada otak depan, otak tengah dan otak belakang. Sementara di bahagian belakang saraf ini mula membahagi membentuk neuron dan synapse bagi membentuk sel-sel saraf tunjang yang matang.

Pada trimester kedua iaitu pada usia kehamilan antara 13-28 minggu kehamilan, otak mula berfungsi. Terutamanya pada otak belakang (hindbrain) yang akan berkembang menjadi cerebellum. Bayi dalam Rahim mula menelan dan menghisap pada usia kehamilan 16 minggu. Pada usia 21 minggu, bayi mula menelan air tuban (amniotic fluid). Pada trimester ini juga bayi mula bernafas, apabila otot pernafasan seperti otot diaphragm dan otot dada mula berfungsi. Bayi juga mula mendengar dan struktur.

Pada trimester ketiga iaitu usia kehamilan antara 29-36 minggu, perkembangan otak berlaku dengan cepat. Pada masa ini permukaan otak sudah mula berkelok dan terbahagi kepada otak sebelah kanan dan kiri.  Cerebellum pula mula berfungsi, oleh itu bayi mula menendang.

Jadi pembentukan otak berlaku bermula dari sejak awal persenyawaan kira-kira sebulan iaitu kira-kira 4-6 minggu. Pada masa ini seorang wanita tidak mengetahui yang beliau sedang hamil kerana pada masa ini beliau belum lagi mengalami miss period.  Oleh itu seorang wanita harus sentiasa bersedia dengan menjaga pemakanan, apatah lagi jika ada niat untuk hamil.

2. Soalan:  Makanan yang bagaimanakah sesuai ibu hamil ambil untuk rangsang otak anak dalam kandungan?

Secara spesifik untuk perkembangan otak anak dalam rahim, dua nutrien yang utama perlu ambil dalam pemakanan. Jika tidak dapat diambil secara natural dalam pemakanan, mereka harus mengambil dalam bentuk suplemen pil iaitu asid folik dan omega 3.

Asid folik penting bagi mengelakkan kecacatan ketika pembentukan otak dan saraf bayi. Kecacatan ini dikenali sebagai neural tube defect. Asid folik sangat penting dalam pembentukan DNA dan neurotrismitter pada otak, dan ia juga sangat penting dalam penghasilan tenaga dan sel darah merah. Dos supplement acid folik yang dicadangkan adalah 400 – 600 mikrogram ketika sedang cuba hamil dan meneruskannya apabila disahkan hamil. Asid folik juga banyak dalam sayur-sayuran berdaun hijau, dan bijiran penuh seperti beras perang.

Selain itu saya juga menggalakkan pengambilan makanan yang mengandungi banyak omega 3 bagi pembentukan otak yang sempurna. Ini kerana organ otak sendiri mengandungi tahap lemak yang tinggi. Omega 3 membantu pembentukan neural synapse dan menghubungkan sel-sel otak ini. Omega tiga banyak terdapat dalam ikan laut bebas seperti ikan salmon, kacang almond dan walnut, dan avocado. Ia juga boleh didapati dari suplemen yang banyak dijual di farmasi. Dos yang boleh diambil adalah 1000mg.

3. Soalan:  Selain pemakanan, apakah perkara lain yang boleh dibuat oleh ibu hamil untuk merangsang perkembangan otak janin?

Kita harus ingat bahawa bayi berada dalam kandungan adalah anak kita yang sedang berfungsi sebagai manusia. Dia mendengar, dan “merasa sentuhan” ibubapa. Dalam kajian yang dilakukan, kedua-dua suara dan sentuhan, bukan saya meningkat degupan jantung bayi dalam kandungan (menunjukkan bayi ini aktif bila mendengar suara atau ibubapa menyentuh abdomen ibu yang hamil) tetapi ia juga menunjukkan tindak balas perlakuan seperti pergerakan tangan, pergerakan bibir dan kaki. Perlakuan yang ditunjukkan ini memberitahu bahawa terdapat stimulasi pada otak bayi ini. Perlakuan ini dapat dirasakan terutamanya selepas 20 minggu kehamilan.

Rujuk: Marx V, Nagy E. Fetal Behavioural Responses to Maternal Voice and Touch. PLoS One. 2015;10(6):e0129118. Published 2015 Jun 8. doi:10.1371/journal.pone.0129118

Oleh itu saya mencadangkan agar ibubapa memperbanyakkan aktiviti seperti:

1. bercakap, bernyanyi atau membaca ayat Quran kerana bayi dapat mendengar dan memberikan tindakbalas.

2. Pegang, usap atau sekadar sentuh abdomen juga cukup memberikan mesej pada bayi dalam kandungan.

3. Memberikan masa bersama bayi dengan membayangkan perkara-perkara yang baik ketika bersendiri sambil memegang abdomen, bernyanyi dan bercakap dengan bayi.

4. banyak melakukan perkara yang baik. Menulis dalam diari, melakukan sedekah dan membaca buku juga mempengaruhi perkembangan otak baik secara tidak langsung.

4. Selain makanan untuk rangsang otak anak, apakah ada makanan lain yang amat digalakkan untuk ibu hamil ambil sepanjang kehamilan untuk kesihatan janin dan juga ibu itu sendiri?

Untuk diri mereka sendiri, nutrient lain seperti mineral kalsium yang boleh didapati dengan minum susu, produk tenusu dan telur. Jika mereka mengalami alahan pada susu dan produk tenusu, mereka boleh ambil suplemen kalsium iaitu antar 1200-1500mg sehari. Pengambilan kalsium yang secukupnya penting untuk bayi bagi pembentukan tulang, dan ia juga melindungi ibu dari masalah pre-eclampsia.

Eclampsia adalah keadaan di mana seorang wanita yang hamil mengalami tekanan darah yang tinggi, di samping terdapat protein dalam air kencingnya pada usia kehamilan selepas 20 minggu. Jika tidak ditangani segera, ia boleh membawa kepada masalah eclampsia di mana seorang itu mengalami sawan, stroke, masalah pembekuan darah, kegagalan ginjal dan boleh menyebabkan maut.

Oleh itu pengambilan suplemen kalsium dapat mengurangkan risiko ini dan bagus untuk kesihatan anak dalam kandungan.

5. Soalan: Kongsikan tip pemakanan sihat dan seimbang khusus untuk ibu yang sedang hamil?

Selain itu:

1. Banyakkan makan karbohidrat kompleks seperti bijiran penuh contohnya beras perang dan basmati bagi mengurangkan tahap gula yang tinggi,

2. Tambahkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dan buah-buahan yang membekalkan banyak fiber

3. Minum air secukupnya untuk kekal bertenaga dan mengelakkan dehidrasi

4. Ambil lemak sihat seperti minyak zaitun, minyak kelapa, telur

5. Ambil protein sihat seperti daging putih iaitu ikan, telur dan ayam.

6. Tinggalkan makanan yang dikatakan sebagai makanan pro-keradangan iaitu minuman bergas, karbohidrat berproses, makanan yang banyak pewarna, perasa dan pengawet (makanan berproses) dan makanan bergoreng menggunakan minyak yang berulang kerana ia sumber lemak trans.

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam pada 2018, menunjukkan wanita yang hamil gemar memakan makanan yang mempunyai tahap lemak trans yang tinggi, mempunyai risiko besar mendapat anak yang mempunyai masalah kanser darah, tetapi sudah pasti menyebabkan masalah pada anak seperti lembam, masalah penglihatan, tulang yang rapuh dan penyakit metabolic seperti diabetes jenis 1 dan kegemukan semasa kanak-kanak.

Rujuk : Specht, I.O., Huybrechts, I., Frederiksen, P. et al. The influence of prenatal exposure to trans-fatty acids for development of childhood haematopoietic neoplasms: a natural societal experiment and a case-control study. Nutr J 17, 13 (2018).

#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

error: Content is protected !!