Pastikan Tempat Itu Selamat!

 

Saya amat sedih apabila membaca berita di akhbar harian, Utusan Malaysia dan Berita Harian pada 11 November 2011 lalu mengenai tragedi yang menyebabkan kematian empat orang dan 36 orang lagi cedera apabila sebuah bas membawa 39 penumpang terbalik sebelum dirempuh sebuah treler di Kilometer 382.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Behrang.

Menurut laporan berita, dalam kemalangan pukul 4.20 pagi itu, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan selepas melalui selekoh sederhana, beberapa meter dari tempat kejadian lalu terbalik di bahu jalan.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, sebuah treler yang sarat dengan muatan guni pasir merempuh bas berkenaan dari arah belakang ketika kebanyakan mangsa sedang merangkak keluar menyelamatkan diri.

Rempuhan ini menyebabkan keempat-empat mangsa maut ketika cuba menyelamatkan pelajar-pelajar yang tersepit selepas bas berkenaan terbalik.

Turut terkorban seorang wanita, Basarah Saad berumur 45 tahun yang kebetulan berhenti di tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan pelajar yang tersepit sejurus bas tersebut terbalik.

Saya menarik nafas berat. Kebetulan saya baru sahaja selesai memberikan tunjur ajar tentang Pertolongan Kecemasan, First Aid dan CPR kepada sebelas orang pegawai keselamatan di salah sebuah apartment di Johor Bahru.

“Doktor perlukah kita bantu dan alihkan mangsa?”

Itulah soalan pertama yang ditanya. Sangat significant dan relevant.

Saya selalu mengingatkan peserta agar tidak mengalihkan mangsa kecuali jika terpaksa. Contohnya apabila berlaku kebakaran, penyelamat atau first aider harus mengalihkan mangsa kerana jika tidak, mangsa akan hangus terbakar. Dalam keadaan terpaksa itu, penyelamat harus mengalihkan kedudukan mangsa walaupun ia mungkin boleh menyebabkan kecederaan mangsa bertambah teruk.

Dalam hal ini, nyawa mangsa lebih penting dari kecederaan yang dialami oleh mangsa. Namun jika keadaan tidak memaksa, seeloknya jangan alihkan posisi mangsa kemalangan jalanraya.

Semasa bekerja di Jabatan Kecemasan dahulu, saya pernah  menerima satu kes di mana seorang mangsa kemalangan jalan raya yang mengalami patah tulang belakang (lumbar fucture) dihantar ke situ oleh orang awam menaiki sebuah kereta. Saya terperanjat apabila melihat tulang belakangnya yang patah itu hampir terkeluar dari kulitnya.

Saya percaya penyelamat tidak mengangkat masa dengan cara yang betul. Kesannya mangsa mengalami lumpuh separuh badan dari pinggang ke bawah.

Begitulah sifat orang Malaysia yang mudah panik melihat suautu kemalangan dan tidak menyedari tindakan mereka boleh mengundang kemudaratan pada mangsa.

Namun apa yang lebih penting keselamatan penyelamat juga harus diambil kira. Penyelamat tidak boleh tergopoh-gapah menyelamatkan mangsa sehingga menyebabkan nyawa mereka sendiri melayang.

Sebenarnya tragedi di mana nyawa penyelamat terkorban ketika menyelamatkan mangsa sudah banyak kali saya dengar.

Beberapa tahun dahulu di KL, beberapa pelajar UM sedang makan di sebuah restaoran 24 jam, mungkin minum-minum untuk menghilang tekanan belajar. Tiba-tiba berlaku kemalangan di hadapan mereka melibatkan perlanggaran teruk antara sebuah kereta Proton berlanggar dengan sebuah kereta Mercedes.

Akibat ghairah membantu, pelajar-pelajar yang berhati mulia ini lupa soal keselamatan diri mereka sendiri. Akhirnya 3 orang pelajar UM meninggal dunia akibat dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu laju di jalanraya yang sibuk itu.

Ketika memberikan tunjuk ajar, saya selalu membawakan satu gambaran yang mudah difahami. Seorang lelaki mengecat rumah, jatuh dari tangga. Sebagai penyelamat, sebelum membantu pengecat rumah itu pastikan tangga tidak menghempap kepala penyelamat.

“Jadi biarkan sajalah, doktor?”

Jika keadaan merbahaya untuk kita dan usaha kita mungkin boleh memudharatkan mangsa, panggillah bantuan segera, sama ada bomba atau ambulan. Mereka mempunyai kelengkapan peralatan yang lengkap. Dengan skill dan kemudahan peralatan, mangsa mudah dikeluarkan dari tempat kemalangan dengan lebih selamat.

Penyelamat boleh membantu dengan cara yang lain. Antaranya berada di sisi mangsa, bercakap-cakap dengan mangsa memberikan motivasi, cuba hentikan pendarahan dan segera menelefon untuk mendapatkan bantuan.

Apa rasionalnya penyelamat berusaha untuk membantu jika keadaan mangsa lebih parah atau mengancam keselamatan penyelamat sendiri?

Kalau kita perhatikan di mana-mana filem atau drama barat, dalam scene kebanyakan kemalangan, orang awam tidak membantu.

Mereka hanya mendekati mangsa dan memberitahu, “don’t worry, the ambulance will come” atau ayat-ayat senada dengannya.

Jadi sebelum mambantu pastikan tempat itu selamat kerana hal ini (memastikan tempat itu selamat), termasuk dalam tatacara membantu dan memberikan pertolongan kecemasan.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi bin Ahmad (151111)

Leave a Reply

error: Content is protected !!