Mufti: Islam haruskan guna vaksin bahan terlarang

MUFTI: ISLAM HARUSKAN GUNA VAKSIN BAHAN TERLARANG

Islam mengharuskan penggunaan vaksin walaupun ia mengandungi bahan terlarang jika tiada pilihan ubat-ubatan yang lebih baik, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Beliau berkata Islam menekankan penganutnya untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, dan suntikan vaksin merupakan satu daripada cabang yang dibenarkan untuk menjaga kesihatan.

“Vaksin ini memang diharuskan oleh Islam kerana ia merupakan satu daripada ‘al-Wiqoyah’ iaitu satu (kaedah) penjagaan (kesihatan) dalam Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan program wacana pendidikan fatwa yang turut dihadiri Pengarah Bahagian Pengurusan Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Mazlan Abdullah di Kota Bharu semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam sebelum ini dilaporkan berkata kes dan wabak campak serta ruam meningkat di negara ini berikutan tentangan gerakan antivaksin yang menolak pemberian vaksin kerana khuatir ia mengandungi DNA khinzir.

Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata walaupun dakwaan mengatakan vaksin yang disuntik kepada kanak-kanak itu mengandungi barang terlarang, namun ia tetap diharuskan jika kerajaan tidak mempunyai pilihan lain.

“Andai kata benar dakwaan itu dan pihak kerajaan tidak ada pilihan maka ia (suntikan vaksin) dibenarkan. Ia dipanggil keadaan darurat.

“Saya nasihatkan umat Islam supaya mengambilnya (suntikan vaksin) sebab imunisasi ini kita sudah ambil sekian lama, dan bukannya perkara baharu. Maka ia tiada masalah,” katanya.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini sudah memutuskan hukum pemberian vaksin, sebagai satu usaha mengelakkan penyakit mudarat, adalah harus.

– Bernama 

https://www.malaysiakini.com/news/340921

Leave a Reply

error: Content is protected !!