Menjadi kurus, tiada selera, demam rendah, batuk berdarah ..tanda santau, kata rakannya

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Saya masih ingat apabila saya dipanggil ke sebuah rumah kongsi yang dihuni oleh pekerja warga asing. Ketika itu saya masih bekerja di HSA JB sebagai MO di Jabatan Pembedahan.

Petang itu 5.30pm baru selesai kerja. Semalamnya oncall seharian dan wad pembedahan macam biasalah penuh dengan pesakit. 5 pesakit baru yang masuk.

Dua kes disyaki acute appendicitis, satu kes kecederaan dalaman (intraabdominal injury) dari Kluang akibat jatuh dari bumbung, satu kes juga kecederaan dalaman setelah jatuh dari motorsikal di Tambak Johor dan satu kes polis apabila seorang lelaki Cina ditikam di perut di hadapan pub.

Saya boleh saja cakap “Saya penat, saya datang lain kali..” Namun tak sampai hati.

Saya datang ke sana kerana seorang warga Bangladesh yang selalu berjumpa saya di sebuah masjid menemui saya. Jadi saya datang atas dasar persaudaraan Islam.

Apabila saya datang, keadaan rumah kongsi itu agak teruk. Tiada pengudaraan kerana tiada tingkap. Dalam rumah sebesar rumah kedai itu dihuni oleh 40 orang. Bau hapak tidak boleh dicakap lagi.

Memang zalim betul majikan mereka yang menempatkan pekerja sedemikian rupa. Bilik air hanya dua untuk 40 orang. Mentang-mentang mereka datang dari Bangladesh. Saya sedih sebab Bangladeshi juga saudara seagama saya.

Saya dibawa berjumpa dengan seorang lelaki yang kecil badannya dan kurus sedang berbaring dan terbatuk-batuk di atas katil. Mukanya cengkung.

Saya bertanyakan apa masalahnya. Rakannya memberitahu bahawa rakannya telah mula sakit 2 minggu lalu. Dia telah diberikan ubat oleh doktor panel di tempat kerjanya. Ubat batuk dan antibiotik…

Namun tiada kesembuhan. Menurut rakan mereka yang bekerja di tempat yang sama, seorang warga Indonesia, jika seseorang itu demam tidak kuat, badan menjadi kurus akibat tidak selera makan, dan batuk berdarah, berkemungkinan besar dia disantau.

Saya diam saja. Saya mencadangkan membawa beliau ke hospital. Rupanya dia telah dibawa ke sana dan doktor memberitahu dia normal.

Saya mencadangkan agar melakukan pemeriksaan xray dada di klinik tempat rakan saya bekerja kerana saya tahu kebarangkalian dia dijangkiti TB sangat besar.

Mungkin dia telah dijangkiti TB di negara asal, tetapi pada masa itu kuman TB berada dalam keadaan tidak aktif.

Apabila bekerja teruk di Malaysia 12 jam sehari, tidak cukup rehat, makan dan minum tidak sempurna, keadaan tempat tinggal yang daif, kuman TB akan menjadi aktif.

Akhirnya sangkaan saya betul. Setelah di xray, paru-parunya penuh dengan tanda-tanda jangkitan TB.

Saya turut melawati beliau di wad perubatan di hospital. Saya membayangkan kesedihan beliau. Ketika itu beliau sedang tercungap-cungap seperti ikan berada di daratan. Saya tahu dia tidak akan hidup lama kerana paru-parunya sudah rosak.

Akhirnya beberapa hari selepas itu, dia telah meninggal di wad hospital.

– Dr Zubaidi Hj Ahmad

Leave a Reply

error: Content is protected !!