Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bina Keluarga » Keperluan Menilik Jantina Bayi Menggunakan Ultrasound

Keperluan Menilik Jantina Bayi Menggunakan Ultrasound

Doktor, bolehkah saya tahu jantina bayi yang sedang saya kandung ini?” 

Ramai doktor yang teragak-agak untuk menjawab soalan itu. Perasaan bersalah dan berdosa pernah menjelma di jiwa saya. Adakah saya mengganggu qadar Allah yang menentukan sama yang bakal dilahirkan itu lelaki atau perempuan?

Selama ini saya menganggap apa yang berada di dalam rahem seorang ibu adalah rahsia Allah. Walhal rahsia Allah ialah sesuatu yang ditentukan oleh Allah sebelum benih lelaki dan wanita disenyawakan di dalam rahem.

Namun apabila persenyawaan telah berlaku, jantina bayi telah ditentukan, bayi ditempatkan di sebuah ruang sementara bernama rahem. Segala-galanya telah ditentukan Allah dan bukan menjadi rahsia lagi.

Terdapat perbezaan antara ’menilik’ jantina bayi yang telah berada dalam kandungan rahem (jantinanya telah ditentukan) menggunakan peralatan ultrasound, dengan ’menilik’ dan meramal seseorang itu akan mendapat anak lelaki atau perempuan sebelum persenyawaan terjadi.

Menilik jantina bayi ketika berada di dalam rahem hanya suatu kaedah ‘melihat apa yang telah disurat’. Manakala menilik jantina bayi yang belum disenyawakan, selalunya menggunakan khidmat perantara jin atau syaitan mendekatkan kita pada syirik.

Teknologi moden membantu doktor mengagak jantina bayi walaupun masih dalam kandungan rahem. Selain itu, ia bertujuan membantu doktor mengesan kecacatan fizikal dan umur bayi. Malah ultrasound telah dikira sebagai pancaindera tambahan bagi doktor.

Mengenai persoalan sama ada doktor dikira mencerobohi rahsia Allah, 

Al Syeikh Walid bin Rasyid Al-Su’aidan memberitahu perkara yang mereka(doktor) amati (keadaan bayi dalam rahem) itu menjadi benda yang mereka saksikan dengan pancaindera lahir (penggunaan ultrasound). Janin apabila diletakkan di bawah gelombang bunyi ultrasound, dia (imej) akan keluar dari alam yang tersembunyi kepada alam yang dapat dilihat dengan mata kasar. Perkara ini langsung  tidak ada sangkut paut dengan pencerobohan ke atas alam ghaib, sehingga melayakkan ia dihukum sebagai bercanggah dengan nas”

Saya merasa lega membaca hujah beliau. Hilanglah bebanan perasaan saya yang ditanggung selama ini akibat kejahilan beragama. Ia bertukar menjadi perasaan gembira membantu ibubapa mendapat keceriaan sebelum kelahiran bayi mereka.

Hukum melihat jantina bayi yang belum dilahirkan adalah harus dan dibolehkan. Isu itu tidak berakhir di situ. Selepas mengetahui jantina anak yang dikandung, apakah tindakan ibubapa? Apakah menerima dengan rela hati atau terlintas untuk ’menukar’ jantina bayi jika mereka diberikan peluang? Atau mahu membunuhnya?

 Jika ibubapa ada niat untuk ”memilih jantina”, sudah tentu ianya HARAM. Ia ibarat menolak ketentuan Allah. Mungkin ibubapa telah berusaha menggunakan teknik dan teknologi moden untuk mendapatkan anak lelaki atau perempuan, namun kita sebagai hambaNya, kita mempunyai usaha yang terbatas. La haula wa qu wata illa billah.

Usaha kita tidak dapat mengatasi ketentuan Allah yg telah menetapkan jantina bayi. Jadi jika ada ’niat mempersoalkan jantina setelah ianya ditetapkan’(dilahirkan), ialah adalah suatu musibah akidah.

Apatah lagi jika dengan terang berkata ”Saya tak mahu anak lelaki/perempuan” setelah bayi itu ditakdirkan (dilahirkan). Itu menghampiri kepada sifat ’menolak takdir’.

 Malah jika ada terlintas di hati, ”kalaulah” atau ”alangkah bagus” juga menghampiri musibah akidah. Contohnya seperti ”Alangkah bagus kalau anak kita ini lelaki”, pada hal anaknya perempuan.

 Atau berkata, ”Kalau boleh saya nak anak perempuan sebab saya sudah ada dua orang anak lelaki”. Berhati-hatilah meluahkan perasaan setelah  jantina bayi telah ditentukan oleh Allah dan berada di dalam rahem mereka.   

Semua perkataan dan ayat-ayat sebegini terlalu mudah diucapkan namun ianya cukup bahaya. Sebagai doktor , saya berhak bertanya

”Untuk apa puan mahu tahu anak yang puan kandung itu?”

Soalan inilah yang akan mendapatkan jawapan bagi persoalan keteguhan iman dan akidah kita. Sesungguhnya syaitan cuba menyesatkan manusia dengan bisikan yang membuai perasaan, mengimpikan sesuatu lain dari kehendak Allah.

Dibimbangi jika ’menilik’  jantina anaknya, menjadikan ibubapa lebih jauh dari mensyukuri nikmat Allah dan mempersoalkan takdir. Saya sendiri amat khuatir mendapat ’dosa kering’ walaupun asalnya saya berniat untuk membantu.

 Sebagai manusia, kita mesti berusaha untuk mendapatkan impian kita. Jika kita mahu anak lelaki atau perempuan, berusahalah. Buatlah persediaan-persediaan, gunakan segala teknologi dan kaedah-kaedah yang betul dalam usaha kita.

Namun apabila takdir Allah telah menetapkan, walaupun berlawanan dengan hasrat kita untuk mendapatkan anak lelaki atau perempuan, percayalah bahawa Allah saja yang mengetahui apa yang terbaik untuk kita di masa depan.

 Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dia-lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (Luqman:34)

Semoga apa yang kita usahakan akan memberi manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (211110)

http://www.facebook.com/drzubaidi

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!