Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bina Keluarga » Menghasilkan susu ibu untuk anak angkat?

Menghasilkan susu ibu untuk anak angkat?

Tradisi lama diamal semula

Menyusukan bayi oleh seorang wanita yang bukan ibu kandung telah lama dipraktiskan. Sejarah kehidupan Nabi Muhammad s.a.w telah membuktikan amalan sebegitu bukan suatu amalan yang asing.

Bagi ibu yang menyusukan bayi sendiri, sudah tentu tiada masalah untuk memberikan susunya kepada bayi yang bukan anaknya, sama ada anak yatim yang kematian ibu, atau mungkin ibunya sakit tenat.

Namun sekarang ini ramai gadis yang tidak berkahwin (atau andartu) dan ibu yang tidak boleh hamil, mengambil anak angkat dan mengharapkan anak itu menjadi anak susuannya bagi membolehkan mereka menjadi mahram.

Kaedah syarie untuk menjadikan anak itu anak susuan boleh dirujuk kepada mana-mana agamawan. Oleh kerana saya juga mengikuti pengajian tidak rasmi (bukan di universiti bidang syariah), dan saya diberitahu bahawa ianya dibolehkan.

Sekali lagi harap rujuk pada ulama, saya hanya cuba memberikan kemudahan dengan cara menyampaikan nasihat perubatan untuk mereka yang ingin menjadi ibu susuan.

(Puan-puan dan tuan-tuan, jangan ‘quote‘ sebagai “Dr Zubaidi kata ianya harus dari segi syariah..please!”)

Sebelum itu, seperti biasa saya ingin mengalungkan ucapan terima kasih pada rakan-rakan yang membantu menyumbangkan pendapat pakar (professional opinion).

Antara artikel-artikel yang disarankan oleh rakan untuk rujukan ialah

1.Auerbach, K. and Avery, JL. “Induced Lactation: A study of adoptive nursing by 240 women,” American Journal of Diseases of Children, 1981, 135:240-243.

2.Jelliffe, D.B. and Jelliffe, E.F.P. “Non-Puerperal Induced Lactation,” Pediatrics, 1972, 50:170-171.

3.Sutherland, A. and Auerbach, K. “Relactation and Induced Lactation,” Lactation Consultant Series (Unit 1), 1985, La Leche League International.

Berikanlah kasih sayang, bukan susu saja…

Penyusuan bayi yang bukan anak sendiri ada dicatit dalam rujukan di atas. Selain itu ia juga ada tercatit dalam artikel “Human Milk in the Modern World”, Oxford University Press, New York, 1978 (.Jelliffe, DB and Jelliffe, EFP)

Penyusuan sebegini bertujuan untuk survival bayi itu. Menurut artikel itu, pada masa dahulu, ramai bayi-bayi kecil dan yatim telah terbiar mati disebabkan kekurangan zat makanan. Bayi-bayi itu tidak diberikan susu ibu akibat ketiadaan ibu mereka, sama ada telah meninggal dunia, sakit atau telah diberikan oleh ibu mereka akibat kedudukan ekonomi yang melarat.

Kehidupan bayi-bayi itu terbiar dan tidak diberikan susu ibu di awal usia mereka. Maka langkah pemberian susu ibu oleh ibu-ibu yang lain membolehkan bayi-bayi ini dipelihara kebajikannya. Keadaan ini berubah setelah susu formula diperkenalkan.

Sebenarnya terlalu banyak kebaikan dari penyusuan ibu. Ia bukan setakat membekalkan nutrisi makanan pada bayi. Apa yang penting ialah penyusuan ibu harus disertai dengan peluk dan belai yang menyebabkan terjalinnya perhubungan (bonding) antara seorang anak dan ibu.

Keistimewaan keakraban yang diberikan sukar digambarkan. Maka saya amat menggalakkan pemberian susu ibu oleh seorang ibu kepada anaknya (walaupun kuantiti susu terlalu sedikit) kerana hubungan ini amat penting terutama pada bayi mereka.

Saya sendiri pernah merasakan keseronokan untuk berbaring di riba ibu semasa berumur tiga tahun, merasakan kasih sayang ibu, kadang kala merasa kerinduan untuk berbaring di situ, hanya mengharapkan pengalaman berkasih sayang dengan ibu.

Bagaimana susu ibu dikeluarkan?

Untuk pengeluaran susu, dua hormon yang amat diperlukan iaitu prolactin dan oxytocin. Kedua-dua hormon ini dikeluarkan oleh kelenjar pitutari dan bukannya kelenjar ovari atau organ rahem (uterus).

Sementara hormon estrogen yang sangat diperlukan untuk mengandung atau mungkin dibekalkan pil perancang keluarga adalah hormon yang menghalang pembentukan susu.

Prolactin adalah hormon yang digunakan untuk menghasilkan susu sementara oxytocin pula adalah hormon untuk mengeluarkan (release) susu ibu. Hormon Oxytocin adalah hormon yang dikeluarkan akibat ransangan kepada puting (nipple suckling).

Ini bermakna jika seorang wanita tidak mengandung atau rahemnya bermasalah disebabkan penyakit atau telah dibedah-buang melalui proses hysterectomy, wanita itu masih lagi mampu mengeluarkan susu ibu sendiri.

Rawatan hormone atau rangsangan puting?

Banyak kaedah yang digunakan oleh para doktor untuk menggalakkan penghasilan dan pengeluaran susu ibu. Namun ramai doktor yang mengambil mudah memberikan ubat berupa pil pada wanita itu, tanpa memberikan nasihat dan panduan yang betul.

Natijahnya ramai wanita yang putus asa, akibat hanya mengharapkan keajaiban dari pil yang diberikan. Harus difaham bahawa fisiologi badan kita tidak semudah membalik tapak tangan. Iamemerlukan rawatan yang berkekalan dan nasihat serta motivasi dari doktor yang membekalkan ubat itu.

Sekali lagi saya mengharapkan agar rakan doktor bukan setakat memberikan pil tetapi memberikan panduan yang lengkap. Bagi mereka yang memerlukan nasihat saya, insya Allah saya akan memberikan panduan yang lengkap nanti.

Ada beberapa teknik penghasilan susu ibu, iaitu dengan menggunakan ubat pil dan satu lagi ransangan puting. (Kedua-dua teknik ini saya akan tuliskan dalam buku panduan itu secara detail, insya Allah)

Cuma yang mahu saya tekankan ialah walau pun rawatan ubat pil yang digunakan untuk merangsangkan pembentukan susu, namun teknik merangsang puting haruslah digunapakai juga. Ini akan mengurangkan kesan sampingan ubat pil itu malahan cara teknik ransangan puting adalah mudah dan berkesan.

Teknik ransangan puting ini termasuk urutan payu dara, urutan puting dan menghisap puting sama ada oleh bayi atau mesin pam payudara. Rawatan ubat pula haruslah diberikan oleh doktor

Saya mengharapkan agar selepas membaca artikel ini, tidak ada wanita yang cuba pergi ke farmasi untuk membeli dan menggunakan ubat yang saya sebutkan. Saya tidak akan bertanggungjawab atas tindakan sendiri yang puan-puan akan lakukan. (Sila rujuk disclaimer).

Matlamat saya adalah memberikan fakta sebagai panduan di mana puan-puan boleh berbincang dengan doktor keluarga atau doktor peribadi puan.

Rawatan hormone yang dibiasa digunakan ialah rawatan estrogen yang digunakan untuk menyerupai (mimicking) kehamilan. Rawatan ini dihentikan serta-merta agar tahap kepekatan hormon itu tiba-tiba jatuh rendah.

Keadaan ini menyerupai seolah-olah wanita itu sedang hamil dan kemudian melahirkan anak. Ubat yang menggalakkan pengeluaran prolactin kemudian diberikan (nama ubat bolehlah consult mana-mana doktor atau saya sendiri. KKM tidak membenarkan preskripsi diberikan secara umum). Selepas itu barulah rangsangan puting (sucking stimulation) dilakukan.

Susu tidak keluar secara serta merta

Pengeluaran susu selalunya bermula antara seminggu hingga sebulan selepas rangsangan puting dilakukan.

The Journal of Tropical Pediatrics 1994 40:240-242 telah menerbitkan satu artikel Induced Lactation: A Study of 37 Non-puerperal Mothers menyatakan bahawa pengeluaran susu menggunakan rawatan ubat biasanya bermula antara lima hingga tiga belas hari, yakni serupa dengan pengamalan rangsangan puting. Ini bermakna seseorang itu boleh mengamalkan rangsangan putting sahaja jika bimbangkan kesan sampingan ubat yang diambil, namun tekniknya haruslah betul.

Perubahan pada payudara

Perubahan awal yang berlaku adalah penghasilan susu setitik dua. Kemudian wanita itu merasakan perubahan warna puting dan kawasan sekitarnya (areolar). Payudara terasa sakit dan penuh. Sesetengah wainta merasa haus dan perubahan pada nafsu sex (libido) serta kitaran haids.

Adakah susu ibu yang dihasilkan itu serupa dengan susu ibu yang melahirkan?

Persoalannya yang sering ditanyakan adakah susu ibu yang dihasilkan dengan cara ini mempunyai nutrisi yang cukup untuk pertumbuhan bayi (infant growth) ?

Satu kajian menarik diterbitkan dalam The Journal of Pediatrics 1980, bertajuk “Protein Values of Milk Samples from Mothers without Biological Pregnancies,” oleh Dr R. Kleinman mendapati komposisi protein susu yang dihasilkan secara rangsangan ini adalah sama dengan komposisi purata protein yang dihasilkan oleh ibu yang hamil.

Cuma kandungan nilai kepekatannya kurang. Ini bermaksud dalam susu ibu, susu itu mengandungi protein tetapi kepekatannya kurang. Kekurangan ini ketara pada kandungan albumin, antibodi immunoglobulin dan lactalbumin. Komposisi nutrisi itu banyak terdapat pada susu yang dihasilkan pada peringkat kolustrum.

Namun kajian yang dilakukan oleh Dr Kleinman menumpukan terhadap kandungan protein saja, tetapi tidak meneliti terhadap kandungan lain seperti kandungan lemak, karbohidrate dan mikronutrien yang lain.

Kolustrum susu ibu

Kolustrum (Colostrum) adalah susu yang dihasilkan oleh kelenjar mamary (payudara bagi manusia) di akhir peringkat kehamilannya. Kebanyakan mamalia menghasilkan kolustrum dalam masa sehari selepas atau sebelum kelahiran bayi.

Kolustrum kaya dengan protein, vitamin A dan sodium klorida, namun rendah kandungan karbohidrat, lipid dan potassium berbanding dengan susu yang normal. Ianya juga mempunyai bioaktif komponen seperti hormon growth factor dan antibodi yang melawan kuman dan virus.

Menghisap puting saja tidak mencukupi untuk mengeluarkan kolustrum. Ia memerlukan rangsangan dari hormone yang digunakan semasa mengandung. Ini bermakna susu yang dihasilkan oleh ibu yang tidak mengandung tidak melalui fasa colastral dan ia menyerupai susu ibu yang matang.

Persoalan nutrisi atau syarie?

Namun kebanyakan wanita yang bertanya saya tidak berapa minat dengan kandungan nutrisi susu yang dihasilkan itu walaupun ia tidak sempurna berbanding dengan susu yang dihasilkan oleh wanita hamil. Kekurangan ini kemudian ditampung dengan susu formula.

Persoalan syarienya, sudah semestinya apabila syarat menyusu dipenuhi, ianya akan dikira sebagai ibu susuan. Namun harus difahami, kaedah syarie itu ditetapkan kepada susu yang dihasilkan oleh ibu yang hamil. Susu yang dihasilkan oleh proses kehamilan mempunyai nutrisi yang cukup lalu bayi tadi mendapat faedah.

Masalah yang timbul sekarang, adakah susu yang dihasilkan oleh ibu yang tidak hamil juga dikira sebagai susu yang memenuhi kriteria untuk menjadi ibu dan anak susuan?

Wallahu a’lam.

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (040610)[subscribe2]

3 comments

  1. Very good article.

  2. Doktor, adakah pengambilan ubat2an seperti steroid akan mengurangkan penghasilan susu ibu dan merendahkan kualiti susu ibu yg dhasilkan?

    saya pernah mengambil pil perancang noriday sewaktu berpantang anak pertama pd ogos 2008 dan saya dapati pengeluaran susu semakin berkurangan dan selepas 3 bulan susu dh keluar dlm bentuk lendir pekat dan terus x keluar lagi..kemudian sy bertukar kepada mercilon pula selepas itu sehinggalah saya berhenti pd march 2010 krn bercadang ingin hamil lagi..

    saya bercadang mengambil jamu tradisional utk merancang kehamilan selepas melahirkan ank kedua nnti feb 2011 dan saya berharap pengeluaran susu saya akn lebih byk supaya sy bleh menyusukan ank dgn lbih lama..adakah ini pilihan yg tepat?

  3. salam. doktor, saya br mengambil anak angkat dalam 5 bln lps. saya pernah ke klinik bertanyakan cara mendapatkan susu. doktor mengatakan tiada ubat yg blh dapatkan susu badan. doktor hanya rekemen mkn vitamin b bnyk2.
    soalan sy
    1.sehingga kini tiada perubahan berlaku.
    2.klinik yang sepatutnya sy refer ialah di mana.
    3.masihkah ada harapan untuk sy menyusukan bayi ini kerana sy menghidap penyakit cyst.
    terima kasih doktor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!