Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bina Keluarga » Menggugurkan Bayi kerana Cacat (Edward’s Syndrome)

Menggugurkan Bayi kerana Cacat (Edward’s Syndrome)


Assalam mualaikum doktor..

 

Saya hamil 26 minggu. Pada kehamilan saya berusia 20 minggu saya telah menjalani pemeriksaan ultrasound dan mendapati fizikal bayi saya mengalami kecacatan, berkemungkinan disebabkan oleh genetic disorder. Saya juga telah menjalani pemeriksaan amniocentesis dan disahkan mengalami Edward’s syndrome trisomy 18.

 

Saya difahamkan oleh doktor bahawa kebarangkalian untuk bayi saya hidup setelah dilahirkan hanyalah 1%. Sebagai seorang Islam saya masih lagi ragu-ragu lagi dgn keputusan yang bakal saya buat. Serelah berbincang dgn pihak keluarga dan suami, kami bercadang untuk menggugurkan kehamilan saya. Apa pandangan doktor?

 

Wa alaikum mus salam.

 

Saya mengucapkan takziah kepada puan atas dugaan yang diterima. Sesungguhnya setiap ujian diberikan yang kepada hambaNYA dalam pelbagai bentuk. Hanya Allah mengetahui hikmah di sebalik setiap ujian yang diberikan.

Maha Suci Allah SWT yang mencipta setiap sesuatu tanpa sia-sia. Dalam al Quran, Allah SWT menyebut: “Tidakkah Allah yang menciptakan (sekalian makhluk) itu mengetahui ? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!” (Al-Mulk 67:14)

Maka  apabila kita ditimpa bala musibah hendaklah selalu membaca “Inna lillahi wa inna ilahi raajiunn”, tanda kita kur dengan kebesaranNYA.

 

Edwards syndrome (atau disebut Trisomy 18) adalah masalah genetik yang berlaku pada kromosom ke 18. Ia berlaku dalam setiap 6 000 kelahiran dan kebanyakannya berlaku pada bayi perempuan. Kebanyakan bayi seperti ini meninggal dunia sebelum dilahirkan.

 

Kebanyakan bayi ini meninggal dunia akibat kesukaran bernafas dan masalah kecacatan jantung. Sukar untuk mengagak dengan tepat masa depan bayi-bayi ini. Kebanyakan mereka meninggal dunia dalam  masa seminggu setelah dilahirkan. Dianggarkan seramai 10% dari mereka dapat hidup sehingga setahun. Malah ada yang dapat hidup sehingga mencapai umur 10 tahun, jika kecacatan yang dialami mereka tidak begitu teruk. Hanya Allah SWT yang lebih mengetahui.

 

Mungkin selama ini  ketika menyangka bahawa apabila anak yang dilahirkan adalah bayi yang sihat dan normal, maka kita berasa itu adalah  hak kita. Padahal ia merupakan rahmat Allah kepada hamba-hambaNYA.

 

Tanpa rahmat dan kasih saying Allah kepada kita, bayi yang tercipta dari percampuran air mani (sperm) dan benih perempuan (ovum) mengalami kecacatan yang tidak mampu dikawal dan dielakkan oleh mana-mana doktor yang handal di dunia ini.

 

Tidak ada jaminan bayi yang sedang membesar di dalam rahem akan dilahirkan secara sihat dan selamat. Hanya Allah saja yang mampu menghalang musibah ini. Oleh itu apabila seorang ibu sedang hamil, digalakkan banyakkan doa dan amalan-amalan soleh agar proses kehamilan dan melahirkan bayi berjalan baik tanpa mendapat musibah yang berat.

 

Para doktor hanya boleh membuat kesimpulan bahawa bayi Edward’s Syndrome ini berkait rapat dengan umur ibu mereka. Semakin meningkat umur seorang ibu yang hamil, semakin besar kebarangkalian untuk mendapat Edward’s Syndrome. Ia menyamai kebrangkalian untuk mendapat anak Down’s Syndrome.

 

 

Bayi ini mengalami kecacatan pada jantung, ginjal dan pelbagai organ dalaman yang lain. Oleh itu selalunya bayi ini tidak hidup lama di dunia. Selain itu bayi yang mengalami Edwards syndrome mempunyai kepala yang kecil (microcephaly), bibir sumbing, dan pelbagai kecacatan yang tidak dapat digambar untuk seorang bayi yang baru dilahirkan. Bertuahlah ibubapa yang melahirkan bayi yang normal dan sihat.

Masalah kehamilan ketika hamil dapat dikesan semenjak dari dalam rahem lagi apabila pemeriksaan ultrasound dilakukan. Doktor akan mula mengesyaki apabila pemeriksaan ini menunjukkan bayi mengalami masalah jantung, bentuk kepala yang cacat dan terdapat ‘ruang yang mengandungi cecair yang banyak’ di dalam otak. Tetapi ini tidak dapat menyatakan bayi itu mengalami masalah edwrd’s Syndrome sehingga ujian pengesahan dengan mengambil air tuban (amniocentesis) dilakukan untuk mengesan masalah genetik.

 

Masalahnya adakah pengguguran selamat dan dibenarkan oleh Islam?

 

Dalam fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Perundangan Islam, Liga Muslim Sedunia dalam perjumpaan sesi ke-12 pada 15 Rejab 1410 H, (10 Feb 1990) memutuskan bahawa jika dalam suatu kehamilan dapat dibuktikan tanpa ragu-ragu, oleh doktor pakar yang dipercayai, bayi dalam rahem mengalami kecacatan yang sangat teruk sehingga tidak boleh dirawat oleh doktor pakar dengan kaedah yang terbaik, maka hukumnya HARUS digugurkan, dikhuatiri menyebabkan kesusahan dan sengsaraan yang bakal ditanggung  oleh bayi itu bila dilahirkan, ibubapa bayi yang menjaga dan menjadi pada keseluruhan masyarakat (yang mana bebanan itu seharusnya digunakan untuk merawat bayi lain yang mempunyai harapan yang lebih baik), SEKIRANYA ibubapa bayi itu mengizinkan dan SEBELUM kehamilan berumur 120 HARI (kira-kira empat bulan).

 

Keputusan jawatankuasa ini bertepatan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Arab Saudi bersiri 2484 pada 1399 Hijrah.

 

Ini kerana selepas 120 hari, roh telah dimasukkan ke dalam tubuh bayi, oleh itu tidak dibenarkan melakukan pengguguran   adalah tidak dibenarkan, walau pun bayi itu mengalami kecacatan, kecuali jika kehamilan itu membahayakan nyawa ibu yang hamil.

 

Bayi atau janin yang berumur 120 hari telah dianggap sebagai bernyawa dan menggugurkan kehamilan ini bermakna membunuh satu jiwa, yang sepatutnya ibubapa kepada bayi ini harus melindunginya dan memberikan kasih saying, tidak kira sama ada bayi itu mempunyai kecacatan dan penyakit, serta ada harapan untuk sembuh atau tidak.

 

“Membunuh jiwa” dengan menggugurkan bayi yang telah bernyawa adalah suatu kezaliman yang mementingkan diri sendiri. Sedangkan kita tidak mengetahui keadaan bayi itu, adalah kecacatan yang bakal dialaminya adalah kecacatan yang teruk atau hanya kecacatan yang ringan. Tiada doktor yang dapat mengesahkannya.

 

Jika ditakdirkan bayi ini dilahirkan dengan kecacatan yang teruk, sudah tentu dia akan menjadi “tetamu Allah” apabila meninggal dunia. Itu tanda belas kasihan Allah kepada makhlukNYA. Adakah kita berhak menentukan sama ada seorang bayi itu boleh hidup atau pun tidak?

Kecacatan fizikal adalah suatu bentuk ujian yang Allah SWT berikan untuk menguji setiap makhluknya.  Jika musibah ini dapat dihadapi dengan penuh kesabaran dan taat, maka mereka akan mendapat kejayaan.  Bayangkan jiwa kita berada dalam tubuh bayi yang cacat ini. Adakah ucapan kita kepada ibubapa kita yang mahukan kita mati?

 

Jadi sebelum melakukan sesuatu, bincanglah dengan doktor pakar yang merawat, ahli keluarga yang terlibat dan para agamawan yang mahir dalam masalah fiqh.

 

Saya sebagai doktor muslim, hanya memberikan pendapat.

 

Wallahu a’lam  (Dan Allah mengetahui yang terbaik).

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (070612)

Rujukan:

 

  1. Papp C, Ban Z, Szigeti Z, Csaba A, Beke A, Papp Z (2007). “Role of second trimester sonography in detecting trisomy 18: a review of 70 cases”. J Clin Ultrasound 35 (2): 68–72.
  2. “Trisomy 18: MedlinePlus Medical Encyclopedia”. Nlm.nih.gov. 2011-12-14. Retrieved 2012-01-04.
  3. Rodeck, Charles H.; Whittle, Martin J. (1999). Fetal Medicine: Basic Science and Clinical Practice. Elsevier Health Sciences.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!