Advertorial

Mengapa Suntikan BCG Menjadi Parut?

Ramai ibubapa muda tidak faham mengapa anak mereka yang baru dilahirkan memerlukan suntikan vaksin BCG. Malah mereka risaukan parut BCG yang timbul di bahu anak.

Sudah menjadi tugas doktor dan jururawat di pusat kesihatan ibu dan anak menerangkan dengan jelas tentang suntikan vaksin ini dengan lebih terperinci. Jika tidak, banyak salah faham yang mungkin timbul.

Minggu lepas saya ada membaca satu blog seorang ibu muda yang bertanyakan soalan mengenai parut BCG secara terbuka. Saya pasti ada nasihat-nasihat yang tidak tepat akan diberikan oleh pembaca blog.

 

“Do you have any petua untuk hilangkan parut BCG?  My baby girl dah masuk dua bulan & it seems like she will have parut BCG yang visible tu.  Kesian lah budak ni bila besar nanti tak lawa kalau pakai baju sleeveless”

Banyak lagi contoh yang saya jumpa di mana persoalan vaksin BCG ini menjadi perdebatan. Saya juga ada menulis mengenai suntikan vaksin BCG ini dalam entri http://drzubaidi.com/blog/?p=2499.

Sebenarnya polisi pemberian suntikan vaksin suntikan BCG sangat berbeza antara satu negara dengan negara yang lain. Bacille Calmette et Guerrin (BCG), mengandungi kuman bakteria Tubercule Bacillus yang tidak aktif dan tidak merbahaya.

WHO mencadangkan agar suntikan vaksin BCG ini diberikan pada semua kanak-kanak yang lahir dalam Negara yang banyak kes jangkitan TB, bagi melindungi kanak-kanak ini daripada jangkitan TB yang teruk iaitu miliary TB yang menyerang paru-paru dan TB meningitis yang menyerang selaput otak.

Di Malaysia, suntikan vaksin BCG diberikan kepada bayi yang baru dilahirkan. Semenjak 2002, Kementerian Kesihatan Malaysia tidak lagi menyuntik vaksin BCG sebagai booster apabila kanak-kanak mencapai umur 12 tahun.

Suntikan vaksin BCG diberikan sebagai suntikan intradermal, pada bayi yang baru dilahirkan. Ini bermakna jarum suntikan itu harus memasuki lapisan antara dermis dan epidermis pada kulit.

Jika suntikan itu termasuk ke dalam sedikit, iaitu memasuki lapisan subcutaneous, maka selalunya akan berlaku jangkitan kuman dan membentuk nanah. Dalam hal ini, rawatan harus diberikan.

Walaubagaimanapun tidak semua bengkakan nanah itu disebab oleh teknik suntikan yang salah. Ia adalah sebahagian komplikasi yang berlaku semasa suntikan.

“Doktor anak saya baru-baru ini telah disuntik dengan suntikan vaksin BCG oleh jururawat. Beberapa hari selepas itu saya mendapati anak saya mengalami demam dan bahunya bengkak. Dia asyik menangis dan tidak mahu disusukan. Apabila saya bawa ke hospital, doktor memberitahu anak saya mengalami jangkitan kuman di tempat suntikan. Apa yang menyedihkan tangan anak saya masih lagi tidak dapat digerakkan.”

Saya bersimpati dengan kejadian serupa ini. Namun saya tidak dapat memberikan komen.

Apa yang penting, jika terjadi jangkitan kuman atau nanah di tempat suntikan, bayi haruslah dibawa berjumpa doktor terutama jika mengalami demam dan mempunyai bengkakan kelenjar di bawah ketiak atau di leher.

Doktor akan menentukan sama ada perlu diberikan rawatan antibiotik atau tidak. Jangan cuba merawat anak sendiri dengan membeli antibiotik di farmasi atau membeli ubat sapu di kedai sengseh.

Banyak kajian menunjukkan nanah akibat suntikan BCG tidak perlu rawatan antibiotik. Penggunaan antibitotik juga tidak menpercepatkan penyembuhan. Kebanyakan nanah akibat suntikan BCG akan baik dengan sendirinya selepas nanah dikeluarkan, dengan syarat tiada bengkak kelenjar (lymphadenitis).

(rujuk: Nick Makwana and Andrew Riordan (2004), “Is medical therapy effective in the treatment of BCG abscesses?”, Birmingham Heartlands Hospital)

“Doktor adakah nanah yang doctor maksudkan sama dengan luka yang biasa terjadi pada bayi yang disuntik? Adakah luka ini merbahaya?”

Sebenarnya apabila suntikan vaksin BCG diberikan ke dalam lapisan intradermal, ia tidak menyebabkan pembentukan nanah. Pembentukan nanah hanya akan berlaku apabila suntikan itu masuk ke dalam lapisan lebih dalam, iatu ke bahagian subcutaneous.

Oleh kerana suntikan BCG mengandungi hanya kuman bakteria Tubercule Bacillus yang tidak aktif, suntikan ini tidak merbahaya atau menyebabkan jangkikan TB. Suntikan ini hanya menyebabkan luka dan meninggalkan parut pada kulit saja.

Suntikan vaksin BCG akan menyebabkan rangsangan kepada sistem immuniti tubuh di mana tindakbalas yang dinamakan ‘cell-mediated immune response‘ akan berlaku pada kuman bakteria itu.

Selepas suntikan vaksin BCG pada bahu bayi, kawasan yang disuntik akan mengalami bengkak dan berlangsung untuk 6-8 jam. Selepas itu bengkak akan hilang, dan ia kelihatan seperti gigitan nyamuk. Saiznya akan membesar secara perlahan-lahan dan membentuk nodule. (Nodule berbentuk seperti kacang tanah yang keras) .

Tidak lama kemudian, nodule akan pecah dan menjadi luka selepas 2-5 minggu. Luka akan sembuh dan akhirnya membentuk parut. Kadangkala proses ‘luka dan sembuh’ ini berulang-ulang beberapa kali.

Luka akibat suntikan BCG tidak perlu dirawat. Tidak perlu diberikan bandage atau disapukan apa-apa krim. Ia akan pulih dengan sendiri.

Akhirnya kupingan (scabs) akan terbentuk dan luka akan sembuh dan menjadi parut yang kekal dalam masa 3 bulan selepas suntikan vaksin diberikan. Biasanya parut akan mencapai maksima saiz 5 mm diameter.

(rujuk: Irvine KN. BCG and vole vaccination. A practical handbook. London: National Association for the Prevention of Tuberculosis, 1957).

Jika luka pada tempat suntikan berlaku lebih cepat (dalam masa seminggu selepas suntikan), dikhuatiri bayi itu sudah pun dijangkiti kuman TB.

Tindakbalas yang terlalu cepat selalunya menunjukkan tubuh bayi itu sudah diserang kuman tuberculosis sebelum ini. Bawalah anak berjumpa doktor.

Kadangkala parut BCG membentuk parut yang agak melampau sama ada dinamakan ‘hypertrophic scars’ atau ‘keloid  scars’. Namun ia bukanlah komplikasi yang merbahaya.

Dalam satu jurnal yang saya baca menyatakan bahawa kanak-kanak yang mempunyai parut suntikan BCG membesar dengan lebih baik daripada kanak-kanak yang tidak mempunyai parut suntikan BCG.

Parut suntikan BCG menandakan kanak-kanak itu telah membina daya tahan immuniti dalam tubuhnya berbanding dengan kanak-kanak yang tidak mempunyai parut BCG.

(rujuk: “BCG vaccination scar associated with better childhood survival in Guinea-Bissau” International Journal of Epidemiology, Volume 34, Issue3, Pp. 540-547).

Jadi jangan dirisaukan sangat parut BCG anak anda. Parut yang melampau tidak berlaku pada semua kanak-kanak. Apabila mencapai umur yang lebih dewasa, parut itu dapat dirawat.

Allahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (110112)

18 comments

  1. saya ada parut BCG yg agak besar. apa yg saya dengar, klau parut bcg kita besar, maknanya badan kita bertindak aktif dengan suntikan tu n membentuk antibodi yg kuat. betul ke?

  2. assalamualaikum..
    doktor, kalau parut bcg tu tiada, ada apa2 risiko ke? sebab anak kedua saya tidak mempunyai parut.

  3. Salam Doktor,

    Saya mempunyai parut bcg pada bahu dan beberapa hari lepas parut tersebut terkena benda tajam dan luka. Di sekeliling parut tersebut rasa sakit dan ada seperti benang halus yang keluar. Bila ditarik benang halus tersebut terasa amat sakit dan makin panjang. Jadi saya potong benang tersebut dan sehingga sekarang luka dan bahu terasa sakit. Apa pendapat doktor?perlu kah saya ke klinik atau luka tersebut tidak mendatangkan apa2 kesan?

  4. terima kasih berkongsi ilmu ini. sekarang sy tahu dah tentang ni.

  5. salam doktor..
    masalah saya..anak baru lahir..berusia 15 hari..telah mendapat suntikan sebelum discharge dr hospital..namun tiada nodule/bengkak spt anak2 sebelum ini..hanya ada bekas merah seperti gigitan nyamuk sahaja..adakah ini bermakna BCG tu tak menjadi atau bagaimana?

  6. Salam doktor..
    Saya berumur 36 thn, masalah saya bekas parut bcg saya besar dan kadangkala berdenyut disekitar parut tersebut. Tetapi sejak 2 hari ini, saya kerap rasa sakit dan berdenyut pada tempat tersebut. Tangan saya rasa lemah bila hendak diangkat.Saya harap doktor dapat jelaskan kenapa dan bagaimanakah caranya untuk saya hilangkan rasa sakit dan denyutan ini. Terima kasih…

  7. Sebuah artikel yang menarik. Sekarang baru saya tahu kenapa kita semua ada parut BCG. Ianya bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti…

  8. teringat apa yg dipaparkan dlm Vitamin kat KBS last years

  9. asmaini bt hanif

    salam,, dokter beby saya dapat suntikan BCG sampai 2x,,ada tak apa2 efek yg boleh memudarat kan beby saya,,akibat dari ter lebih suntikan BCG???
    terima kasih.

    • Salam Doc & Asmaini,
      Serupa macam kes anak saya yg kini berusia 4 bulan. Dia tidak mempunyai parut BCG that’s why nurse menyarankan next appointment kena inject sekali lagi.

  10. Salam dr,
    Anak saya ada nanah di tpt suntikan BCG. Tapi baru2 ni nanah tu kluar dgn sendirinya. Sekarang tpt suntikan tu dh mula kering. Info yg membantu saya.

  11. As salam dr..

    Anak perempuan sy brumur 2thn 4bln.baru2 ni sy bawa anak ke klinik kesihatan kjaan dan nurse mndapati tiada parut bcg kelihatan di bahu anak sy.adakah perlu anak sy di suntik bcg kali kedua?

  12. Dr., ank sy berusia 7 thn, dan tiada parut. perlukah ank sy ambil suntikan sekali lagi, sdg kn, BCG hanya perlu diambil seumur hidup sekali.

  13. saya berumur 15 tahun. tiada parut bcg. adakah ini normal ?

  14. Morning. Saya sekarang berumur 32 thn. ketika berusia 12 tahun(darjah 6 tahun 1992) saya & rakan2 sekelas di satu sekolah rendah tidak diberikan suntikan yang sepatutnya wajib deberikan pasa masa itu. Saya khuatiri suntikan itu adalah BCG dan ini bermakna saya tidak mempunyai perlindungan terhadap penyakit TB. apa yang perlu saya lakukan? perlukah saya mengambil sutikan itu dalam usia ini.

  15. salam dr.
    ank saya baru shj b’umur 2bln.apa yang merisaukn saya ialah bcg nya tdk pecah shgga skrg.adkh ini normal.bcgnya hnya mmbgkak sbesar kacang namun tiada tnda2 utk pcah dn bparut.adkh ini akn mpgaruhi kshtn ank sy.mohon pnjlasan dr utk mmbantu.

  16. BCG adalah lambang kerakyatan MALAYSIA….. biar ilang ic…… skalipun kita kena tahan bersama pdatang asing, masa tu plak ilang ic…. tanda BCG la mnjadi tanda kerakyatan kita. mmg unik….

    • BCG adalah lambang kerakyatan MALAYSIA….. biar ilang ic…… skalipun kita kena tahan bersama pdatang asing, masa tu plak ilang ic…. tanda BCG la mnjadi tanda kerakyatan kita. mmg unik….

      Dr Zubaidi: Kebanyakan rakyat asing yang menjadi pekerja sementara di Malaysia, tidak mempunyai parut BCG. Andaikata pihak polis menjumpai mayat tiada parut BCG, KEMUNGKINAN BESAR mayat itu bukan rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top