Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Mengapa minum air sejuk menyebabkan sakit kepala?

Mengapa minum air sejuk menyebabkan sakit kepala?


Saya ditanya oleh seorang remaja ketika mengadakan satu ceramah kesihatan bersama KEMAS JOHOR. Remaja itu bertanya mengapa beliau mengalami sakit kepala yang teruk apabila meminum air Coca-cola bersama ais. Apabila beliau menyedut air itu menggunakan straw, kepala beliau tiba-tiba menjadi sakit.

 

Saya tidak menafikan ramai orang yang mengadu sakit kepala yang keterlaluan apabila sedang minum air yang sangat sejuk (apabila bercampur dengan ais).  Rasa sakit kepala yang menyucuk-nyucuk itu berlangsung beberapa saat hingga beberapa minit.

 

Punca sakit kepala ini sebenarnya adalah disebabkan apabila ais yang mempunyai suhu yang rendah menyentuh lelangit menghasilkan satu tindak balas yang mengakibatkan saluran darah yang membekalkan darah ke kepala mengecut dan menyebabkan isipadu darah yang mengalir ke otak menjadi kurang.

 

Namun begitu, rasa sakit bukan disebabkan isipadu darah yang dibekalkan ke otak menjadi kurang, tetapi apabila saraf yang mengawal saluran darah ini menghantar isyarat kepada otak. Saluran darah dikawal oleh saraf yang membolehkan saluran darah ini mengecut dan mengembang.

 

Seperti mana orang yang mengalami migraine akan berasa sakit, kerana saluran darah mereka mengembang, begitu juga isyarat rasa sakit akan diterima oleh otak apabila saluran darah mengecut.

 

Ini adalah tindak balas fisiologi yang normal dan tidak merbahaya. Para saintist berpendapat tindakbalas ini lebih mudah berlaku pada orang yang mengalami migraine.

 

Cara untuk mengelakkannya ialah dengan cara meminum air yang sejuk (ais) secara perlahan-lahan atau mengelakkan darai meminum air yang terlalu sejuk.

Jika sakit kepala itu keterlaluan, muntahkan saja air yang sejuk itu. Jika tidak suhu yang rendah itu akan merangsangkan tindakbalas yang lebih lama.

 

Selain itu boleh cuba menutupkan mulut dan hidung dengan tangan kemudian menarik nafas secara perlahan-lahan tetapi dalam. Jika perlu cepat-cepat minum air suam.

 

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (081612)

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top