Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bayi/Kanak-kanak » Mengapa Bayi Menangis di Waktu Malam?

Mengapa Bayi Menangis di Waktu Malam?

Saya on call malam itu di sebuah pusat kesihatan yang beroperasi 24 jam. Saya sempat memejamkan mata selama dua jam sebelum bilik rehat doktor diketuk.

Doktor, ada pesakit sedang didaftarkan” suara staff yang mengejutkan saya.

Saya memandang ke jam di tangan. Waktu sudah menunjukkan pukul 4.30 pagi. Saya menggeliat dan membasuh muka.

Doktor, baby saya ni tak berhenti menangis sejak 1.00 pagi tadi. Saya tak tahu nak buat apa. Cuba doktor tolong periksa”

Saya perhatikan bayi itu yang berada di pelukan ibunya. Bayi itu seolah-olah tersenyum melihat saya. Agaknya gelihati melihat saya seakan-akan mamai bila dikejutkan di awal pagi.

Tapi dia diam sekarang ni…” saya cuba mencari penjelasan. Belum ayat saya habis, suara hebat meletup.

Ya Allah ! Doktor ingat saya ni bohong ke?!” Bentak suaminya yang barangkali kepenatan dan mengantuk tidak dapat tidur semalaman.

Sabar ya, saya pun tak cukup tidur dan penat. Saya hanya bertanya untuk kepastian, bukan tuduh sesiapa bohong. Saya lihat anak awak ni senyap saja. Itu yang saya agak pelik

Kami pun pelik. Dah tiga jam dia meraung di rumah. Bila sampai sini, dia terus diam” terang isterinya.

Saya senyum melihat gelagat ibubapa muda itu. Mereka dan saya sama-sama penat, mengantuk dan berasa pelik. Ya, saya amat pelik, apabila bayi yang dikatakan menjerit melolong di rumah tiba-tiba diam bilik sampai ke pusat kesihatan.

Mungkin aircond yang menyamankan, mungkin dia seronok melihat saya yang berwajah lucu bila bangun tidur atau mungkin bayi itu telah penat menjerit sepanjang malam.

Ini bukan pertama kali saya menerima bayi yang menangis di tengah malam, bila sampai ke pusat kesihatan, bayi itu senyap dan selesa dipelukan ibunya.

Fenomena bayi yang menangis di tengah malam sebegini kadang kala diterjemahkan dengan pelbagai terjemahan. Ada yang percayai bayi mereka di’usik’ oleh makhluk halus. Yang lebih hairan, kalau minda mereka sudah ’dicetak’ dengan pemikiran begitu, mengapa harus dibawa ke perubatan moden pula.

Apakah agaknya punca anak menangis di waktu malam? Apa sebenarnya yang berlaku? Apa yang sebenarnya bayi ini mahu? Apa yang perlu dilakukan untuk menghentikan mereka menangis?

Banyak alasan mengapa mereka menangis. Pakar psychology kanak-kanak memberitahu bahawa bayi sebenarnya cuba berkomunikasi dengan ibubapanya. Ayat yang mereka gunakan ialah tangisan yang lebih menarik perhatian ibubapa.

Antara sebab mereka menangis di waktu malam kerana mereka lapar. Bayi yang berumur kurang dari setahun terutamanya kurang dari enam bulan kerap mereka lapar dan perlu disusukan. Ini disebabkan perut mereka yang kecil. Mereka menyusu dengan sedikit tetapi kerap. Mereka harus disusukan setiap 4-6 jam.

Ramai ibubapa yang tidak menyangka bahawa bayi mereka mempunyai perasaan. Bayi bukannya seperi pokok bunga yang hidup tanpa perasaan. Mereka adalah makhluk yang hidup dan berperasaan. Pembentukan emosi mereka di peringkat baru dan sedang dibentuk.

Mereka sebenarnya mahu dimanjai. Ibubapa haruslah mendodoi mereka dan jangan biarkan mereka baring dan disusukan begitu. Walaupun disusukan dengan susu formula menggunakan botol, namun dakapan ketika menyusukan bayi amat bernilai dari segi psikologi dan pembentukan mental mereka.

Mereka akan rasa lebih disayangi dan selamat. Jadi sebelum bayi kita menjerit di tengah malam, pastikan kita memberikan sedikit masa untuk mendakap mereka dan mendodoikan mereka. Apabila bayi sudah menjerit, tidak banyak yang boleh dilakukan lagi untuk meredakan tangisannya.

Pastikan bayi anda tidak tidur sepanjang waktu siang. Ada bayi yang di waktu siang akan rehat dan tidur, sementara di waktu malamnya pula masih bertenaga. Mereka masih mahu bermain sedang ibubapa pula sudah kepenatan kerana bekerja sepanjang hari di tempat kerja.

Untuk membaiki keadaan ini, beritahu pengasuh bayi kita supaya tidak membiarkan mereka terus tidur sepanjang waktu siang. Kalau ada kesempatan, bermain dan bercakap-cakap dengan bayi akan membuatkan mereka letih di sebelah petang.

Gelapkan atau suramkan lampu di bilik mereka. Ini akan membuatkan otak mereka  tidak berfikir secara aktif. Ramai ibubapa yang berasa tidak selamat membiarkan bayi mereka tidur dalam cahaya yang suram.

Sebenarnya ia adalah selamat selagi kita memastikan tiada barang-barang atau selimut yang boleh menyebabkan mereka susah bernafas. Bayi selalunya akan menangis jika mereka bermasalah  dan perlukan perhatian. Lampu yang terang menyebabkan mereka aktif bermain sendirian.

Ramai yang tidak percaya jika saya memberitahu bahawa bayi mereka menangis kerana mereka kepenatan. Lebih mudah untuk memberitahu bahawa bayi mereka diganggu makhluk halus. Ibubapa sering menganggap bayi mereka ibarat patung ’babydoll’ yang tidak boleh berasa penat.

Bayangkan kalau sepanjang hari ibubapa bermusafir dari Alor Star ke Johor Bahru dengan berkereta. Jika posisi bayi tidak berubah, tentu otot-otot mereka berasa lenguh. Jika bayi berumur 6 bulan ke atas, mereka boleh diurut perlahan-lahan dengan teknik yang betul. Ini akan menyebabkan bayi akan berasa selesa dan mudah untuk tidur.

Bilik tidur yang gelap sememang membantu untuk otak bayi ”turn off”. Walaupun kepenatan, bayi tidak mampu untuk lena jika keadaan bilik mereka terang benderang. Otak mereka akan sentiasa “standby”, dan akan ”turn on” bila-bila masa jika ada ransangan seperti bunyi angin atau bunyi air yang menitik. Perkara yang sama berlaku pada orang dewasa yang tidak dapat lena.

Saya percaya ramai ibubapa yang keliru dengan jeritan bayi. Apabila mereka dikejutkan dari tidur oleh suara teriakan bayi, mereka terus ke dapur dan membuatkan susu untuk bayi mereka. Tanpa menyedari apa yang berlaku, mereka menyumbatkan mulut anak mereka dengan puting botol susu.

Seharusnya ibubapa haruslah perhatikan persekitaran bayi. Suhu bilik di mana kita letakkan bayi juga haruslah diberikan perhatian. Jika suhu bilik terlalu sejuk atau terlalu panas, tentu ianya tidak selesa pada bayi. Bayi mungkin akan berpeluh dan menambahkan ketidak selesaan. Pasangkanlah kipas yang berpusing dengan kelajuan sederhana. Tujuannya agar udara di bilik itu  bergerak dan perudaraannya baik. Tidak perlu meletakkan bayi di sebelah kipas kerana apabila bayi terkena udara secara langsung, bayi itu mungkin lebih tidak selesa.

Perhatikan juga lampin bayi yang mungkin basah dan kotor. Jika lampin tidak ditukarkan, ia kan memberikan kesan kegatalan pada kulit dan menyebabkan bayi akan tidak selesa. Mereka menjerit minta ditukarkan lampin yang basah dan kotor.

Ahli psikologi kanak-kanak juga mengandaikan bayi juga mempunyai mood perasaan. Adakalanya bayi menjadi cerewet dan mudah meradang. Malah mereka mungkin berasa ceria dan mempunyai mood yang baik. Ini semua boleh dirangsangkan apabila ibubapa berkomunikasi dengan bayi dengan baik.

Bercakap, bercerita, berlawak dengan bayi akan meningkatkan mood mereka. Jika mereka dibiarkan tanpa komunikasi dan interaksi, mood bayi tidak diceriakan dan bayi akan mudah marah dan menangis.

Walau bagaimana pun, mood ibubapa juga mempengaruhi mood bayi mereka. Ahli psychology kanak-kanak berpendapat bahawa ibu  yang marah, kecewa, sugul, penat dan  murung selalunya bayi akan menangis sekuat hati. Selain itu bayi juga akan menangis lebih lama. Begitu juga ibu mereka mempunyai masalah dengan suami atau terasa diabaikan.

Jadi sebelum bergegas membawa bayi kita ditengah malam berjumpa doktor, elok juga jika kita mempelajari dan mempraktikkan apa yang kita ketahui.

Namun punca-punca bayi menangis tadi haruslah dibezakan dengan dua punca yang lain, iaitu colic dan demam. Punca-punca ini lebih serius dan memerlukan perhatian, dan harus dibawa berjumpa doktor.

Colic adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan bayi yang menangis di tahap melampau. Ia selalunya bermula dari umur dua minggu hingga 4  bulan. Namun ada bayi yang masih lagi menangis walaupun berumur lebih empat bulan.Mereka menangis  sepanjang petang dan kadang kala berlarutan ke malam.

Colic disebabkan oleh pengecutan otot usus menyebabkan rasa senak dan memulas-mulas selepas menyusu bayi. Pakar Pediatrik memberikan teori bahawa ianya disebabkan susu yang tidak dapat dihadamkan.

Susu yang tidak dihadamkan menghasilkan lebih banyak gas. Setengah bayi mempunyai alahan pada susu lembu dan kambing. Perut mereka menjadi kembung.

Gas yang berada dalam usus tidak dapat menyerap dalam badan, ia harus dikeluarkan. Otot usus mengecut semaksima mungkin agar gas ini dapat dikeluarkan samada sebagai muntah atau kentut/ceret beret.

Banyak ubat yang boleh didapati di farmasi yang membantu mengurangkan colic pada bayi. Antaranya ialah gripe water dan colimix. Namun haruslah bertanyakan kepada farmasi yang bertauliah atau doktor tentang masalah bayi anda sebelum memberikan apa-apa ubat kepadanya.

Mengurut dan mengusap bayi dengan teknik yang betul mampu melegakan bayi. Caranya ialah dengan melakukan pergerakan yang berulang-ulang aksi seolah-olah bayi sedang menunggang basikal.

Kaki mereka berada di udara dan ‘mengayuh’ dalam keadaan telentang. Pergerakan pasif yang dilakukan oleh ibubapa mereka sangat membantu bayi merasakan kelegaan.

Mengusap dengan lembut perut bayi akan mengurangkan rasa tidak selesa. Bayi ditiarapkan dan diusap dari belakang terutama kaki dan bahunya. Urutan yang lembut sebegini tidak menggunakan minyak panas, hanya sekadar minyak ’baby oil’ yang melicinkan pergerakan tangan ketika mengurut.

Saya amat mencadangkan ibubapa membeli termometer yang ringkas agar dapat mengukur suhu badan bayi. Ianya akan membantu ibubapa mengetahui samada bayi mereka sedang demam atau tidak.

Bayi yang demam adalah antara masalah yang serius dan harus dibawa berjumpa doctor. Demam yang tinggi dan berlarutan boleh memberikan kesan buruk pada bayi.

Jadi perhatikan keadaan bayi sebelum kita membawanya ke pusat kesihatan. Adakalanya bayi akan diam dengan sendirinya tanpa perlu memakan apa-apa ubat.

11 comments

  1. assalamualaikum…

    Dr, sye nk tye ade tak isu berkenaan keracunan susu pada bayi akibat ibu tidak membaca label nutrisi pada produk susu berkenaan. maksud sye, bayi keracunan ataupun mendapat alahan pada produk susu yg di minum akibat terdapat bahan di dalam produk susu yang tidak boleh di minum akibat ibu tidak membaca label nutrisi. kalau ade sye berharap sgt2 agar Dr bole share dkt sye, sbb sye tgah buat research..sekian terima kasih.

  2. Thanks atas post doctor ni.Baby saya menangis 2-3 jam pada waktu malam (Selalu bermula 7pm-10pm) dan tangisan memang tahap jeritan sampai biru muka. Ini berlaku setiap malam sejak kelahiran (Sekarang umur 3 bulan). Saya sebagai ibu tak berjaya menenangkan dia dengan apa cara sekali pon (urutan, diapers, suhu bilik, dakapan, susu, etc) dan dia cuma akan berhenti selepas kepenatan 2-3 jam. Tapi memang saya dapati yang most of the time perut dia kembung dan keras. Adakah ini colic? Perlukah saya bawa berjumpa paediatrician? Untuk pengetahuan doc, saya memang exclusively breastfeeding dan bekerja. Tapi pemakanan memang saya jaga untuk mengelak angin.

  3. thanks doctor!artikel doctor sememangnya amat berguna bagi ibu seperti saya.

  4. InsyaAllah saya akan cuba untuk semua yg di atas. Ini adalah pangalaman yg pertama bg kami walupun anak yg kedua kerana anak yg pertama kami tidak mengalami bayi yg menagis seperti sekarang mula pukul 1 pg hingga lah 4 atau 5 pagi baru kami tidur….

    time kasih doc.

    • linda, pengalaman yg sama baby saya meragam dari pukul 1 hingga 4 atw 5 pagi, baby pertama pun tak meragam mcm ni so ini pengalaman pertama, tq for doc artikel yg sangat bermanfaat buat saye

  5. assalamualaikum….

    saya telah mengalami berkenaan bayi menangis bila msk saja waktu malam….
    ada yg mengatakan yg bayi tue dirasuk n ada makhluk halus yg memasuki badanye…
    adakah pekara2 ini berkemungkinan akan berlaku….
    boleh kah saya mempercayainye….

  6. Salam, terima kasih atas tips yg diberikan, panduan yg berguna buat semua ibu dan ayah baru. mmg terjadi bila bayi menangis waktu malam akibat ‘gangguan’, itu yg telah ditanamkan difikiran ibu n ayah muda seperti kami. anak sy berumur 4 bulan dan akhir2 ini kerap menangis atas sebab yg xpasti, sejak 4 hari lepas bayi saya tidak ‘berak’. adakah ini tidak normal bg seorang bayi? tq doktor.

  7. salam doktor….anak saya kini berusia hampir setahun ttapi tidak boleh meniarap lagi mahupun memegang benda….macam mana saya nak buat yer doktor….

  8. Thanks for info doctor..ni i nak tanya doctor..ape sebabnya baby kurang menyusu coz my baby dah 3 m +++ tapi kurang menyusu dia hanya dapat habiskan 2oz je itupun kalau lapar sangat..adakah ini bmaksud baby i ada mslah? Bt pengetahuan doctor i dah byak kali tkr susu..s26,enfalac ,anmmum dan skg minum i bagi mamex gold tapi tetap jga sama..apa patut i buat doctor?

  9. As-salam doctor. Anak saya berumur 4 tahun. Dari bayi lagi anak saya terlalu kuat berpeluh terutama bhgn kepala semasa tidur malam..berpeluh sehingga bantal pun lembab dan basah.
    1) adakah dgn rambut/kepala yg basah semasa tidur akan memberi kesan kepada anak saya?
    2) bolehkah dgn memastikan rambut sentiasa pendek akan mengurangkan peluh di kepala?
    3) adakah kepala berpeluh ini boleh menyebabkan anak saya demam dan selsema?

    Anak perempuan saya berumur 7 bulan juga sudah mula mengalami situasi diatas sama seperti abangnya.

    Saya memang ingin mengetahui apakah kesan situasi di atas.

    Terima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top