Mengapa Anak Saya Batuk waktu Malam?

“Assalamualaikum, doktor. Saya mempunyai anak berusia 5 tahun yang sering mengalami batuk yang kuat terutama malam dan subuh. Dia telah membuat pemeriksaan di klinik dan doctor memberitahu memberikan rawatan nebulizer untuk mengurangkan batuknya tetapi masih tidak lagi sembuh. Mohon pencerahan doctor.”

Wa alaikum mus salam.

Ibubapa selalu membawa anak mereka ke klinik kerana anak mereka mengalami batuk. Adakalanya batuk mereka tidak disertai dengan demam, hanya batuk kering yang berterusan sebaik saja batuk bermula.

Batuk berlaku sebagai satu tindak balas apabila ada bendasing sama ada kahak, habuk dan sebagainya yang memasuki saluran pernafasan. Dengan cara ini, paru-paru kita dapat mengelak daripada dicemari dengan bendasing itu.

Jadi batuk sebenarnya memberikan faedah kepada kita. Oleh itu, batuk hanya sebagai tanda bahawa system pernafasan kita sedang mengalami masalah, bermakna batuk bukanlah penyakit tetapi tanda suatu penyakit.

Maka doctor tidak seharusnya merawat batuk, tetapi merawat punca batuk.

Batuk boleh disebabkan oleh penyakit ‘asthma’ akibat  pembentukan kahak (lendir) dalam saluran pernafasan dan menyebabkan anak puan batuk dan sukar bernafas.

Penyakit  ‘asthma’ jika menyerang dengan teruk akan menyebabkan pesakit menjadi sesak nafas, bernafas laju dan keletihan, harus dibawa untuk pemeriksaan doktor dan diberikan rawatan nebulizer.

Jika anak puan hanya batuk-batuk tetapi masih boleh tidur dan selesa, beliau boleh diberikan rawatan ‘inhaler’ di rumah.

Selain asthma, anak puan mungkin hanya mengalami batuk pada waktu malam akibat ‘post-nasal drip’. Ia berlaku apabila terdapat banyak lendiran hingus yang pekat di dalam rongga hidung.

Apabila anak puan tidur dalam keadaan terlentang, lendiran hingus akan mengalir ke belakang kerongkong dan berkumpul di situ dan mengakibatkan batuk.

Selalunya doctor akan memberikan ubat antihistamine jika anak puan berumur 3 tahun ke atas, untuk melegakan masalah hidung tersumbat dan batuk. Tetapi ubat ini menyebabkan anak mengantuk.

Saya selalu mencadangkan agar puan memastikan anak puan minum air yang secukupnya bagi melonggarkan lendiran hingus yang berada dalam hidung, kerongkong atau berada dalam paru-paru.

Cara ini lebih selamat dan tidak menyebabkan anak puan mengantuk.

Wallahu’alam.

Leave a Reply

error: Content is protected !!