Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bayi/Kanak-kanak » Menentukan Penglihatan Bayi Yang Normal
Menentukan Penglihatan Bayi Yang Normal

Menentukan Penglihatan Bayi Yang Normal

Baru-baru ini seorang ibu bertanyakan kepada saya mengenai penglihatan anaknya yang baru berusia 3 bulan. Beliau sangat risau kerana anaknya seolah-olah masih tidak dapat melihat apa-apa.

Saya tidak berkesempatan memeriksa bayi beliau kerana beliau hanya menelefon saya untuk mendapatkan kepastian.

Saya hanya memberikan nasihat agar beliau bertenang dan memberikan sedikit masa untuk anaknya mengalami perkembangan fizikal. Oleh kerana anaknya masih belum mencapai usia enam bulan, terlalu sukar untuk memastikan sama ada anaknya mempunyai masalah penglihatan.

Bayi yang baru dilahirkan sebenarnya tidak mempunyai daya penglihatan yang baik seperti orang dewasa. Mereka hanya mampu mengesan cahaya dan bentuk bayangan secara kabur. Itu pun dalam jarak antara satu hingga satu setengah kaki, cukup untuk bayi melihat ibu yang memegang mereka.

Di usia bayi kurang dari enam bulan, wajah ibu yang memegang dan menyusu bayi adalah gambaran yang paling menarik dalam kehidupannya. Bayi akan merenung muka ibu dan mengkaji bentuk muka ibunya. Oleh itu banyakkanlah memegang bayi dan merenungnya agar hubungan peribadi secara ‘facial contact’ dapat berlaku sebelum bayi  berumur 6 bulan. Saya selalu mengingatkan para ibu agar jangan lupa berinteraksi dengan bayi ketika menyusukan bayi-bayi mereka.

Apabila bayi sudah mencapai umur satu hingga dua bulan, mereka akan cuba memberikan fokus dan merenung pergerakan objek yang bergerak ke ‘kiri dan ke kanan’ dan ‘dari jauh kepada dekat’ . Untuk menggalakkan bayi memberikan fokus menggunakan kedua belah matanya, ibu digalakkan mendekatkan muka ke pada bayi dan perlahan-lahan menjauhkan darinya.

Secara tidak langsung ini akan menggalakkan bayi menggerakkan otot yang mengawal pergerakan kedua-dua belah matanya ke kanak dan ke kiri. Bayi juga akan ‘dilatih secara tidak langsung’ menggunakan otot-otot pada anak mata (pupil) dan otot-otot yang mengawal lensa bagi melihat objek yang jauh dan dekat. Pergerakan objek dari dekat dan bergerak menjauhi mata akan membantu ‘melatih’ otot-otot penting dalam mata ini.

Bayi akan mula mengesan perubahan warna secara perlahan-lahan dan mengenal warna-warna yang cerah dan terang apabila memasuki usia 2 bulan. Dalam usia ini, sel-sel yang mengenal warna mula terbentuk dalam retina, iaitu dinding dalam mata.

Cuba latih bayi melihat gambar-gambar dan bahan mainan yang berwarna terang bagi menggalakkan perkembangan sel-sel warna dalam retina mereka.

Para ibu juga boleh menunjukkan kad gambar yang mempunyai warna kepada bayi-bayi mereka. Sungguh pun bayi tidak dapat memberikan respon, namun mereka sebenarnya sedang mempelajari membezakan warna-warna asas seperti merah, biru dan kuning.

Permainan yang berbentuk objek dan mempunyai warna yang terang harus ditunjukkan kepada mereka agar penglihatan mereka menjadi lebih tajam membezakan warna-warna yang bertindan seperti hijau, jingga dan ungu. Bayi-bayi ini juga sedang cuba membezakan bentuk-bentuk mainan ini seperti bentuk tiga segi, bulat dan empat segi.

Namun jangan berikan mainan itu pada bayi dan membiarkan bayi ini bermain sendirian dengan alat mainan mereka kerana ia boleh membahayakan bayi jika alat mainan ini dimasukkan ke dalam mulut.

Selepas berumur 5 bulan, bayi dapat melihat objek-objek kecil dan boleh membezakan bentuk-bentuk objek yang ditunjukkan kepada mereka pada jarak yang dekat. Apabila mencapai umur 8 bulan, bayi boleh melihat objek-objek yang berada lebih jauh di hujung katil. Ketika ini bayi juga dapat mengenal wajah ibubapanya dengan lebih jelas.

Perkembangan penglihatan mereka akan berlaku dengan lebih cepat selepas itu. Apabila berumur 2 tahun, kebanyakan bayi boleh melihat dengan baik walaupun belum sempurna seperti orang dewasa.

Perkembangan peglihatan mereka akan lebih baik apabila memasuki usia pra sekolah. Bahagian otak yang mengawal penglihatan akan membentuk dengan sempurna apabila mencapai umur 8 tahun. Tetapi bagi kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan ketika bayi, mereka berisiko untuk  mengalami kecacatan penglihatan yang kekal apabila mereka semakin besar.

 

Bagaimana menentukan penglihatan mereka baik atau tidak?

Setiap kanak-kanak boleh diuji penglihatan mereka dengan menggunakan ‘eye-chart’, sama ada mereka mempunyai masalah penglihatan. Tetapi ujian ini hanya boleh digunapakai apabila mereka telah mencapai umur 5 tahun kerana pada usia ini kanak-kanak mula dapat melihat barang-barang yang kecil dan boleh memberitahu perbezaannya.

Selain itu mereka boleh menterjemahkan bentuk objek-objek dengan baik dan memberitahu kita. Kanak-kanak yang tidak boleh berkomunikasi dengan baik, sukar untuk dikenalpasti jika mereka mengalami masalah penglihatan.

 

Bagaimana hendak mengetahui anak kita mempunyai masalah penglihatan?

Secara amnya bayi apabila mencapai 6 bulan sudah mempunyai kemampuan untuk memandang wajah ibu atau orang yang memegang botol susu ketika diberikan susu. Bagi bayi yang ‘merenung jauh’ dan tidak memandang wajah ibunya yang menyusukan haruslah dibawa berjumpa doktor.

Doktor akan memeriksa sama ada bayi itu mempunyai masalah penglihatan dan mungkin akan merujukkannya pada pakar mata (ophthalmologist).

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (180412)

One comment

  1. Salam Dr, saya perasan mata anak saya (7 bulan) sebelah kirinya mcm juling sedikit. Saya amat risau akan hal ini, apa yg saya boleh lakukan untuk membolehkan biji matanya tidak juling?
    Adakah penggunaan kamera berflash akan merosakkan mata bayi?

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: