Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Menebuk Lidah (tongue-piercing) Perbuatan yang Memudaratkan

Menebuk Lidah (tongue-piercing) Perbuatan yang Memudaratkan

Saya tidak sangka, FB saya juga dibaca oleh rakyat Indonesia yang memahami bahasa Malaysia. Saya bersyukur dan berterima kasih kerana FB dapat memanjangkan info yang berguna hingga ke luar negara.

Assalamualaikum doctor, nama saya Hendry dari Indonesia . Saya mahu bertanya tentang “PIERCING”. Lidah saya ditebuk dan sekarang membesar sebesar jari tangan saya sendiri. Namun saya tidak merasakan sakit pada pada lidah saya. Doctor,  apakah kesan jangka panjang pada lidah saya ini ?

Sebagai Muslim, saya tidak dapat mengelakkan perbahasan hukum Islam dalam hal ini.

Menebuk (menindik) lidah atau ‘tongue piercing’ adalah sebahagian amalan menebuk anggota badan yang diamalkan oleh orang barat bagi mengekspresi diri mereka. Lidah adalah bahagian badan yang biasa ditebuk selepas telinga dan hidung.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1-3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Wanita Membotakkan Kepala Dan Berhias Secara Aneh.

Dalam muzakarah itu telah memutuskan bahawa ”Perbuatan berhias secara aneh dan berlebih-lebihan seperti bertindik anggota badan selain daripada cuping telinga adalah dilarang oleh Islam”.

Fatwa ini boleh dilihat di http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-wanita-membotakkan-kepala-dan-berhias-secara-aneh.

Menurut seorang ulama, Moulana Muhammad Karolia yang mengajar di Madrasah Jameah Mahmoodiyah, Afrika Selatan, amalan ini bukan cara berhias yang dibenarkan.

Beliau berkata amalan menebuk badan di bahagian pusat, dan bahagian lain seperti lidah, bibir, kening mata dan sebagainya tidak dianggap sebagai cara berhias wanita Islam. Hanya telinga dan hidung saja dibenarkan.

Malah amalan ini ditegah kerana ia merosakkan tubuh, yang mana dilarang oleh Islam. Amalan ini meniru orang bukan Islam (tashabuh), yang tidak memberikan apa-apa faedah. Ia boleh menyebabkan kecacatan yang kekal. Oleh itu ia tidak digalakkan malah dilarang dalam Islam.

 

Fesyen dari barat

Menebuk lidah adalah sebahagian dari budaya masyarakat barat yang dimulakan dalam era 80an sebagai satu fesyen dalam kehidupan. Mereka menggunakan bahan hiasan plastik atau besi yang berbentuk barbell yang diletakkan ke dalam lubang yang ditebuk di lidah.

Untuk itu selalunya lidah ditebuk sebesar 1.6mm dengan menggunakan jarum bersaiz 14G. Kemudian ia akan direnggangkan untuk mendapatkan saiz tebukan yang lebih besar.

Malah ada yang menggunakan jarum yang lebih besar 12G untuk mendapatkan tebukan sebesar 2.0mm, atau menggunakan 10G untuk mendapatkan saiz sebesar 2.4mm. Jika saiz tebukan itu tidak cukup besar, tebukan kedua akan dilakukan.

Dengan ini bahan hiasan itu dapat dimasukkan dengan mudah. Malangnya jika lubang terlalu besar, ia menyebabkan barang biasan itu bergerak-gerak dan menyebabkan saiz tebukan menjadi lebih besar sehingga sebesar saiz jari.

Selepas tebukan dilakukan, lidah selalunya biasanya akan membengkak, adakalanya sehingga menyebabkan individu tersebut merasa sukar untuk bercakap atau menelan. Selalunya ia tidak lama dan saiz lidah yang membengkak ini akan susut semula.

Doktor akan memberikan ubat penahan sakit (pain killer) seperti ponstan atau ibuprofen bagi mengurangkan bengkak atau kesakitan itu. Selepasa penebukan, orang itu dilarang untuk minum minuman beralkohol, merokok, dan makan makanan yang pedas.

Cecair untuk berkumuh seperti alcohol-free mouthwash digunakan untuk mencuci luka tebukan, terutama selepas makan.

Selepas bengkakan lidah menjadi susut, lapisan mukosa dalam mulut boleh mendapat radang akibat geselan bahan hiasan pada lidah. Ini boleh menyebabkan luka. Jika menyebabkan kesakitan yang kuat, pengguna terpaksa menanggalkan bahan hiasan pada lidahnya.

Jika ia ditanggalkan dalam masa yang terdekat, selalunya luka akan menjadi cepat sembuh. Namun jika ia sudah lama ditebuk, mungkin memakan masa yang lebih lama atau tidak sembuh langsung. Waktu yang diambil untuk sembuh antara 2 hingga 6 minggu dan ada yang lebih lama sehingga 6 bulan.

Menebuk lidah bukanlah boleh dilakukan oleh semua orang. Jika dilakukan oleh orang yang tidak berpengalaman, dikhuatiri tebukan itu akan  tercucuk saluran darah besar di bawah lidah dan menyebabkan pendarahan yang tidak berhenti.

Selain itu ia juga boleh menyebabkan kerosakan saraf, sama ada kerosakan yang sedikit atau kerosakan yang teruk sehingga seseorang itu tidak dapat menggerakkan lidah, menyebabkan tidak boleh menelan dan bernafas.

Ada juga amalan yang menyucuk di bahagian frenulum di bawah lidah. Ia juga amalan yang bahaya dan tidak hygenic.

Menurut International Dental Society (ICA), terdapat risiko kerosakan gigi dan jangkitan kuman pada gusi, walaupun risikonya rendah. Walaupun rendah, jika ia berlaku ia boleh menyebabkan jangkitan kuman yang serius. Malah jangkitan kulat Candida albican juga boleh berlaku menyebabkan keputihan pada lidah pemakainya.

Apa yang lebih membimbangkan ialah, jika bahan perhiasan yang diletakkan pada lubang tebukan itu tanggal dan menyebabkan pemakainya tertelan. Ia boleh menyebabkan keadaan tercekik apabila bahan itu memasuki saluran pernafasan.

Wallahu a’lam.

 

Rujukan

  1. Levin Liran, Zadik Yehuda, Becker Tal (December 2005). “Oral and dental complications of intra-oral piercing”. Dent Traumatol 21 (6): 341–3
  2. Levin Liran, Zadik Yehuda (October 2007). “Oral Piercing: Complications and Side Effects”. Am J Dent 20 (5): 340–344.
  3. Zadik Yehuda, Burnstein Saar, Derazne Estella, Sandler Vadim, Ianculovici Clariel, Halperin Tamar (March 2010). “Colonization of Candida: prevalence among tongue-pierced and non-pierced immunocompetent adults”. Oral Dis 16 (2): 172–5.

One comment

  1. Dengan teknologi kini, artikel ini sudah merentas sempadan negara hingga ke Indonesia. Syabas Doktor Zubaidi.

    Saya sentiasa menanti-nantikan artikel bernas dari Doktor. Teruskan menulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top