Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Fiqh Perubatan » Memahami konsep Istihalah (Pembahagian dan Model Istihalah dalam Proses Pembuatan Makanan)

Memahami konsep Istihalah (Pembahagian dan Model Istihalah dalam Proses Pembuatan Makanan)

PEMBAHAGIAN DAN MODEL ISTIHALAH DALAM PROSES PEMBUATAN MAKANAN

 

Bosnia Halal Food

Kerancakan perkembangan sains dan teknologi secara tidak langsung menyebabkan para fuqaha lebih bersikap progresif dan peka dengan perkembangan yang ada.

 

Ini kerana sains diambil kira sebagai nilai semasa dalam menetapkan sesuatu ketetapan hukum yang lebih tepat. Ia selaras dengan dinamisme fiqh yang merentasi masa dan tempat terhadap penentuan persoalan-persoalan baru.

 

Pengaplikasian teori istihalah sebagai instrumen purifikasi alternatif dapat membantu dalam menyelesaikan beberapa polemik baru yang dikembangkan oleh kemajuan sains dan teknologi khususnya terhadap penghasilan dan pemprosesan makanan secara moden di Malaysia.

 

Walaupun begitu, ia memerlukan penelitian serta kajian yang lebih mendalam dan terperinci supaya pengaplikasiannya dapat dilakukan dengan berjaya.

 

Justeru, instrumen ini perlu dikembangkan dalam mengiringi kemajuan sains dan teknologi. Sungguhpun begitu, para sarjana hukum Islam perlu berhati-hati dalam mengaplikasikan instrumen ini agar tidak terlalu konservatif atau liberal.

 

Begitu juga, penggabungan teknik dalam sains serta teknologi dapat membantu dengan lebih tepat untuk mengenal pasti penguraian yang berlaku apabila melibatkan sumber bahan yang haram.

 

Pihak masyarakat perlu sedar dan prihatin terhadap isu-isu makanan semasa agar makanan yang dimakan adalah halal lagi suci (halalan tayyiba).

 

Pada dasarnya, dalam perbincangan perspektif fiqh klasik, tiada satu pembahagian yang jelas dilakukan terhadap teori istihalah.

 

Namun, istihalah sebagai sebuah konsep yang berkembang adalah wajar dilakukan pembahagian yang sistematik. Pembahagian ini sesuai dengan prinsip biasa yang terdapat dalam ilmu Usul al-Fiqh.

 

Berasaskan perbincangan struktur teori istihalah,ia dapat diklasifikasikan kepada dua bahagian utama.

 

1.Pertama, istihalah sahihah (perubahan diterima). Ia adalah perubahan yang diterima di kalangan ulama. Ia melibatkan perubahan dari satu bahan kepada bahan lain melalui agen semula jadi atau tidak semula jadi yang mana bahan akhir yang terbentuk adalah halal.

 

2.Kedua, istihalah fasidah (perubahan rosak). Ia merupakan proses perubahan yang rosak atau tidak diterima. Proses ini melibatkan perubahan dari satu bahan yang halal kepada bahan baru yang haram melalui agen perubahan yang halal atau haram. Setelah mengalami proses tersebut, bahan akhir yang terhasil dikategorikan sebagai haram. Namun begitu, dalam kes-kes tertentu, ia boleh berkemungkinan berubah menjadi halal kembali.

 

Daripada pengklasifikasian tersebut, dapat dirumuskan enam bentuk formula dan model istihalah.

 

1. Model Istihalah Pertama (ModelI1)

Model I1 merupakan istihalah sahihah. Perubahan ini melibatkan bahan asalnya adalah halal, kemudian bercampur dengan agen perubahan yang juga halal sehingga menyebabkan berlaku proses perubahan.

 

H1

 

Contohnya, dalam penghasilan bebola ikan dan udang, penggunaan enzim transglutaminase rekombinan dicampur bersama dengan dough (bahan asal) yang halal. Enzim ini berperanan sebagai agen pengenyal untuk menghasilkan produk yang lebih baik. Bahan akhir yang terhasil adalah bebola ikan dan udang yang bermutu lagi halal.

 

2. Model Istihalah Kedua (Model I2)

Model I2 menunjukkan proses istihalah sahihah. Dalam proses perubahan ini, bahan asalnya adalah haram, bertindak balas melalui proses percampuran dengan agen perubahan yang halal. Seterusnya berlaku proses perubahan dan menghasilkan bahan akhir yang dikategorikan sebagai halal. Ia dapat dilihat dalam :

 

I2

Misalnya, haiwan seperti khinzir yang terjatuh ke dalam lautan garam. Dalam keadaan ini, daging khinzir sebagai bahan asalnya yang haram terurai dalam air garam. Dalam proses yang lama, garam sebagai agen perubahan yang halal telah mengubah struktur dan molekul daging tersebut menjadi butiran garam. Dalam hal ini, garam yang terhasil (bahan akhir) adalah halal.

 

Selain itu, proses ini juga dapat dilihat di dalam pengkuarantinan haiwan al-Jallalah. Haiwan al-Jallalah seperti ternakan ikan yang diberi makan usus khinzir yang asalnya haram dimakan boleh berubah menjadi halal setelah melalui proses pengkuarantinan dalam tempoh tertentu.

 

3. Model Istihalah Ketiga (Istihalah I3)

Model I3 menjelaskan proses istihalah sahihah. Proses ini melibatkan bahan asalnya yang halal, melalui agen pemprosesan yang haram dan akhirnya menghasilkan bahan baru yang halal. Ia dapat dilihat dalam :

 

I3

 

Umpamanya, dalam pokok buah-buahan yang dibajai dengan najis khinzir. Proses ini melibatkan percampuran bahan asal yang halal iaitu pokok tanaman dengan agen perubahan yang haram iaitu najis khinzir. Najis khinzir yang bertindak sebagai agen pengurai kepada nutrien tanah telah menghasilkan buah- buahan yang halal malah lebih baik dan bermutu.

 

Dalam hal ini, najis khinzir tersebut hanya berperanan sebagai agen luaran yang bertindak menyuburkan tanah supaya menghasilkan buah-buahan yang lebih subur.

 

4. Model Istihalah Keempat (Model I4)

Model I4 menunjukkan model proses istihalah fasidah. Proses ini melibatkan bahan asalnya adalah daripada sumber yang halal, kemudian bercampur dengan agen perubahan yang halal sehingga menghasilkan bahan akhir yang haram.

 

I4

 

Sebagai contoh, dalam pemprosesan buah anggur menjadi arak. Bahan asal yang halal bertindak balas dengan agen perubahan yang halal sehingga berubah menjadi arak. Dalam hal ini, bahan akhir yang terhasil diklasifikasikan sebagai haram. Walaupun begitu, ia dapat berubah menjadi halal kembali setelah melalui proses pemeraman kali kedua sehingga menghasilkan bahan akhir yang baru dan halal iaitu cuka.

 

5. Model Istihalah Kelima (Model I5)

Model I5 menggambarkan proses istihalah fasidah. Proses perubahan ini melibatkan bahan asal yang halal, kemudiannya melalui agen perubahan haram sehingga menghasilkan bahan akhir yang juga haram.

 

I5

 

Contohnya, penggunaan enzim transglutaminase yang bersumberkan darah haiwan dalam penghasilan produk makanan. Umpamanya seperti penghasilan sosej ayam dan daging, keju dan yogurt. Bahan-bahan asal yang halal dicampur dengan enzim transglutaminase sebagai agen perubahan yang haram untuk menghasilkan bahan akhir yang lebih baik.

 

Walaupun berlaku proses percampuran dan perubahan tersebut, bahan akhir demikian tetap dikategorikan sebagai haram kerana telah bercampur dengan agen yang haram. Ini kerana setelah dianalisis menggunakan teknologi makmal, bahan akhir yang bercampur dengan darah dan mengalami proses perubahan masih dapat dibuktikan wujud pada bahan akhir tersebut.

 

Selain itu, istihalah fasidah juga berlaku dalam penghasilan kek sama ada disapu atau dicampur dengan wain untuk tujuan mencantikkan dan menambahbaikkan struktur luaran dan kandungannya.

 

Dalam hal ini, kek sebagai bahan asal yang halal telah disapu atau dicampur dengan wain sebagai agen perubahan yang haram. Walaupun sifat wain yang meruap (evaporated) dan menyebabkan kek tersebut mengalami perubahan yang lebih baik, ia tetap haram dimakan. Ini kerana kandungan wain yang digunakan masih wujud walau sedikit. Ini bersesuaian dengan hadis “jika penggunaan banyak diharamkan, maka yang sedikit pun turut haram”.

 

6. Model Istihadah Keenam (Model I6)

Model I6 merupakan proses istihalah fasidah. Proses perubahan ini melibatkan bahan asal yang haram, kemudiannya melalui agen perubahan yang halal sehingga menghasilkan bahan akhir yang juga haram.

 

I6

Contohnya dalam penyediaan stik khinzir. Bahan asal yang berasaskan khinzir dicampur dengan sos yang halal sehingga menghasilkan bahan akhir yang tetap haram. Bahan asal yang haram tidak memberi kesan terhadap bahan campuran yang halal.

 

Justeru berasaskan model tersebut, ia dapat di aplikasi sebagai instrument purifikasi alternatif yang relevan terutamanya dalam penghasilan produk makanan.

 

Wallahu a’lam

 

Artikel di atas adalah sebahagian dari kertas kerja yang dibentangkan di International Seminar on Research in Islamic Studies, anjuran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 17-18 Disember 2008.

 

Tajuk kertas kerja ini adalah “Teori Istihalah menurut perspektif Islam dan Sains: Aplikasi terhadap beberapa penghasilan produk makanan” yang ditulis oleh Mohammad Aizat Jamaludin, bersama Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi.

 

Ia juga diterbitkan dalam  Jurnal Syariah, Jil. 17, Bil. 1 (2009) 169-194

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: