Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Wanita » Masalah Payudara Berlebihan
Masalah Payudara Berlebihan

Masalah Payudara Berlebihan

‘Malu bertanya akan sesat jalan’ itulah pepatah Melayu yang masih relevan sehingga kini. Harus juga bertanya pada mereka yang ahlinya.

Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Perkara yang berkaitan dengan Islam, tentulah ditanyakan kepada ulama atau paling kurang ustaz yang bertahun-tahun belajar membuka kitab di Asia Barat. Kalau perkara sains, tanyakanlah kepada ahli saintis atau doktor yang mengkaji sesuatu isu atau fenomena.

Saya pernah ditanyakan tentang penyakit ‘susu kucing’ pada  wanita. Apabila saya bertanya dari mana istilah ‘susu kucing’ ini datang, dia hanya menjawab dari seorang wanita tua merangkap tukang urut. Malah bidan itu mengatakan bahawa wanita yang bermasalah itu sebenarnya mengalami saka kucing diturunkan oleh neneknya, melalui ibunya.

Astaghfirullah.. saya mengurutkan dada. Apabila bertanyakan kepada seorang yang jahil dan si jahil tidak mahu mengaku kejahilannya, maka keluarlah pelbagai pendapat dan fatwa.

Saya bukanlah di antara orang yang sangat faham tentang dunia sains biologi, namun insya Allah saya cuba menerangkan mengikut kefahaman saya.

Saya menerima email dari rakan FB.

Assalamualaikum doktor,Saya sekarang sedang hamil 36 minggu. Saya mendapati ada benjolan di bawah lengan saya. Ia tidak sakit dan tidak bernanah. Saya telah merujuk perkara ini kepada doktor dan  beliau memberitahu ia adalah bengkakan kelenjar susu kerana saya sedang mengandung. Doktor mendiagnosa sebagai “accessory mammary glands” dan bukannya sel kanser payudara.

Boleh doktor terangkan lebih lanjut mengenai “accessory mammary glands” itu ?

Sekian, terima kasih kerana sudi membaca email saya.

Bakal Ibu, Negeri Sembilan.

Rupanya baru saya sedar bahawa istilah ‘susu kucing’ yang dimaksudkan ialah terdapat lebihan payudara (extra breast) yang saiznya lebih kecil dari yang asal, terdapat pada tubuh isterinya.

Ia dinamakan ‘Accessory Breasts’, juga kadang kala disebut polymastia, atau dalam bahasa latinnya “mammae erraticae”.

Lebihan payudara ini boleh ‘tumbuh’ dalam bentuk benjolan saja, atau bersama areolar (kulit kehitaman di tengah payudara) atau bersama dengan puting (nipple). Jika terdapat benjolan payudara bersama dengan putting, ia dinamakan sebagai  “polythelia”.

Kehadiran payudara ini menandakan bahawa masih terdapat lagi “milk line” yang dibentuk ketika di alam janin lagi, menyebabkan pembentukan bilangan payudara yang berlebihan pada seorang wanita. (Gasser RF: “Atlas of Human Embryos”. Hagerstown, Harper & Row, 1975)

Kira-kira 67% daripada lebihan payudara ini tumbuh di bahagian ‘thoracic’ atau ‘abdominal’ sepanjang ‘milk line’, selalunya berada pada celahan antara payudara dan dada, terutama di sebelah kiri.

Peliknya fenomena ini boleh berlaku pada 1-3% lelaki terutama lelaki Jepun. Nasib baik, kerana kebanyakan lebihan payudara ini tidak mengeluarkan susu. Saya tidak dapat membayangkan jika ada lelaki Jepun yang mempunyai accessory breast yang boleh mengeluarkan susu.

Secara statistiknya, hanya 2-6% wanita yang mengalami fenomena ini. Kebanyakan mereka merasakan benjolan ini ketika memasuki fasa akhil baligh, atau di akhir kehamilan. Ia boleh berlaku pada sebelah badan atau kedua belah badan. Seperti lelaki, kebanyakannya tidak mengeluarkan susu.

Maha suci Allah, bagaimana agaknya jika kesemua bilangan lebihan payudara itu,mengeluarkan susu? Tentu mereka yang jahil membayangkan bagaimana seorang ibu kucing menyusukan anak-anaknya. Istilah ‘susu kucing’ adalah fantasi orang yang jahil.

Persoalan yang dikatakan misteri ialah, mengapa dulu tidak ada tanda-tanda mempunyai lebihan payudara dan baru sekarang ia muncul? Bukanlah ini menandakan sesuatu yang mistik?

Bagi wanita yang masih lagi mempunyai ‘milk line’, lebihan payudara ini tidak dapat dilihat pada permukaan. Dengan teknologi moden, lebihan payudara pada peringkat permulaan hanya dapat dikesan melauli MRI. Apabila ada pengaruh hormone, lebihan payudara ini semakin membesar dan menonjol.

Ia kelihatan semakin membesar di permukaan kulit, terutama ketika memasuki akhil baligh dan di akhir kehamilan. Malah lebih misteri lagi, apabila lebihan payudara ini boleh muncul di bahagian punggung, belakang badan , muka dan leher. Jadi ia bukan disebabkan oleh saka atau santau.

(rujuk: Laor T, Collins MH, Emery KH, Donnelly LF, Bove KE, Ballard ET (2004). “MRI appearance of accessory breast tissue: a diagnostic consideration for an axillary mass in a peripubertal or pubertal girl”. AJR Am J Roentgenol 183 (6): 1779–81)

Lebihan payudara ini memberikan kesan emosi negatif yang hebat pada remaja perempuan. Gadis yang memiliki payudara lebihan ini selalunya mengalami masalah tekanan emosi dan mempunyai ‘rasa rendah diri’ apabila bersama rakan-rakan mereka. Ia hanya boleh dirawat dengan pembedahan.

Masalah lebihan payudara bukan setakat masalah kosmetik. Ia juga berkait rapat dengan masalah kesihatan secara umum. Ada beberapa kajian yang menunjukkan terdapat hubungan antara penyakit ginjal dan lebihan payudara ini.

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal, telah mengaitkan fenomena mempunyai beberapa puting pada tubuh (polythelia) dengan beberapa penyakit seperti cysts dan ginjal yang tidak berfungsi (unilateral renal agenesis). Penyakit-penyakit ini ditemui pada 15% dari wanita yang mempunyai polythelia.

(rujuk: Pellegrini JR, Wagner RF: “Polythelia and associated conditions”. Am Fam Phys 1983; 28:129-132)

Begitu juga polythelia dikaitkan dengan masalah ginjal yang lain seperti ginjal yang berganda tetapi tidak mempunyai fungsi yang sempurna, dan ada yang mengalami pembentukan ginjal yang sempurna. Kejadian kanser ginjal juga dilaporkan.

(rujuk: Méhes K, Szüle E, Törzsök F, et al: “Supernumerary nipples and urologic malignancies”. Cancer Genet Cytogenet 1987; 24:185-188  dan  Goedert JJ, McKeen EA, Fraumeni J: “Polymastia and renal adenocarcinoma”. Ann Intern Med 1981; 95:182-184 dan  Varsano IB, Jaber L, Garty BZ, et al: “Urinary tract abnormalities in children with supernumerary nipples”. Pediatrics 1984; 73:103-105)

Malah kadang kala ia melibatkan struktur organ yang lain seperti jantung (cardiovascular), sistem saraf tunjang dan sistem pencernaan (gastrointestinal systems). Apa yang lebih merungsingkan, ia mungkin berkait rapat dengan kecacatan kromosom dan sindrom genetic.

(rujuk: Cohen PR, Kurzrock R: “Miscellaneous genodermatoses: Beckwith-Wiedemann syndrome, Birt-Hogg-Dube syndrome, familial atypical multiple mole melanoma syndrome, hereditary tylosis, incontinenta pigmenti, and supernumerary nipples”. Dermatol Clin 1995; 13:211-229)

Dalam satu artikel di Journal America  Family  Physician, 1983 menyebut polythelia juga boleh menyebabkan masalah kardiovaskular seperti kecacatan jantung sejak dilahirkan (congenital heart anomalies), penyakit tekanan darah sejak kecil dan degupan jantung yang tidak teratur (conduction or rhythm disturbances)

(rujuk: Pellegrini JR, Wagner RF: “Polythelia and associated conditions”. Am Fam Phys 1983; 28:129-132)

Bukan setakat ginjal, ada kalanya ia dikaitkan dengan kanser buah zakar (testicular tumors).

(rujuk: Goedert JJ, McKeen EA, Javadpour N, et al: “Polythelia and testicular cancer”. Ann Intern Med 1984; 101:646-647)

Kanser juga boleh berlaku pada lebihan payudara.

Oleh itu saya berpendapat bahawa masalah lebihan payudara bukan masalah kosmetik semata-mata. Bagi doktor yang didatangi oleh pesakit yang mengadu mempunyai lebihan payudara, haruslah membuat pemeriksaan teliti atau merujukkan kepada doktor pakar di hospital agar pemeriksaan yang lebih teliti dapat dilakukan.

Pesakit juga harus melakukan pemeriksaan fizikal dan air kencing (urinalysis) secara rutin terutama jika air kencingnya berdarah atau kurang membuang air kecil, kerana kadang kala di peringkat awal organ ginjal dan jantung mungkin normal, tetapi apabila umur semakin meningkat, fungsi organ-organ itu mula menunjukkan masalah.

Wallahu a’lam

Susunan: Dr Zubaidi bin Hj Ahmad (091111)

5 comments

  1. assalamualaikum….
    DR. saya nak bertanya pula tentang mengenai ketumbuhan lebihan daging yang membesar setelah sekian lama dibiarkan..?
    adakah berbahaya jika dibiarkan..?
    atau perlukan pembedahan untuk membuangnya…?
    bagaimana….?

  2. Slm…saya juga pernah ada benjolan pada bawah lengan dan juga di tepi lengan kiri & kanan ( so ada 4 semua sekali) semasa mengandungkan arwah anak perempuan saya 3 minggu yang lepas….tetapi sebaik sahaja susu saya kering setelah 13 hari melahirkan anak, benjolan hilang dengan sendiri dan warna gelap semakin pudar…semasa mengandungkan anak sulung (boy)tiada benjolan di bawah lengan cuma ada 2 di bahagian kiri dan kanan lengan sahaja dan hilang sendirinya selepas saya kering susu pada usia baby 4 bln….bidan yang mengurut saya selepas bersalin baru-baru menyatakan itu adalah ibu susu….tapi dengan info Dr ini, baru saya faham ianya sebenarnya adalah ‘milk line’dan kewujudannya mungkin tak sama bagi setiap wanita…dan mengikut keadaan
    hormon masing-masing

  3. kembara wanita

    doc, saya ingin bertanya mengenai payudara dimana payudara saya kerap sakit kebelakangan ini. adakah ini disebabkan saya hamil? kini usia kandungan saya 20minggu++. payudara terasa pedih secara tiba2 dan ini amat merunsingkan saya.

    kembarawanita@hotmail.com

  4. assalamualaikum doc … saya berumur 18 tahun . saya mempunyai seakan -akan ketumbuhan seperti jerawat di antara kedua-dua belah payudara saya .untuk pengetahuan doc ketumbuhan ini akan mengeluarkan cecair putih dan kemudian diikuti dengan darah …. adakah ini normal ?

  5. Saya rasa maksud “susu” dalam “susu kucing” tu ialah “tetek” (buah dada), bukannya “milk”.

    Sebab saya pernah dengar nenek saya sebut “susu besar” sambil refer kepada saiz buah dada yang besar pada seorang saudara perempuan saya.

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: