Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bina Keluarga » Masalah Kesuburan Di Kalangan Pasangan Muda

Masalah Kesuburan Di Kalangan Pasangan Muda

Saya kerap mendapat pertanyaan dari email atau inbox mengenai masalah kesuburan bagi pasangan-pasangan muda yang baru berkahwin. Ramai pasangan yang telah menunggu beberapa tahun, tetapi masih belum lagi dikurniakan zuriat.

Adakah ini satu fenomena yang normal? Satu kajian di UK mendapati bahawa setiap satu daripada tujuh pasangan di sana menghadapi masalah ketidaksuburan.

Di Malaysia, perangkaan pasangan yang menghadapi masalah kesuburan sama dengan perangkaan di UK, walaupun tiada kajian yang dilakukan. Kesimpulannya, masalah ini adalah masalah yang biasa berlaku di kalangan pasangan yang baru berkahwin. Mereka rasa malu dan terpencil, tetapi harus mendapatkan nasihat dan rawatan.

Pada kebiasaannya 85% dari pasangan yang telah berkahwin dan melakukan jima’ secara kerap (selang 2 atau 3 hari) dan tidak menggunakan alat pencegah kehamilan akan hamil dalam masa setahun. Sementara 15% lagi hamil selepas dua tahun mencuba.

Doktor, berapa lama saya mahu tunggu…?” tanya seorang wanita yang sudah 3 tahun berkahwin.

“Tunggu apa?” sengaja saya meduga perasaan beliau.

“Tunggu nak pregnant lah doctor..”

Beliau kecewa kerana saya tidak menjawab soalan dan seolah-olah mempersendakan beliau.

“Kalau soalan itu susah saya nak jawab. Itu ketentuan Allah. Allah saja yang menentukan takdir seseorang sama ada seseorang itu dikurniakan zuriat atau tidak. Oleh kerana kita tidak tahu takdir kita, kita kena berusaha untuk mendapat apa yang kita hajati. Jadi puan dan suami kenalah berusaha dengan mendapatkan rawatan yang betul, barulah menepati tawakal”

Kalau macam itu lama lagilah saya kena tunggu..”

“Sekali lagi puan, sama ada puan hamil atau tidak, itu ketentuanNYA dan puan dan suami harus  berusaha. Insya Allah, ALLAH tidak akan mensia-siakan usaha orang yang berusaha..”

Saya melihat wajahnya yang muram. Fikirannya beku.

“Jika puan tanya saya, berapa lama puan harus menunggu sebelum berjumpa pakar, soalan itu saya boleh jawab”

Wanita itu mula mengangkatkan muka. Bersinar-sinar semula. Mungkin dia mula memahami apa yang saya maksudkan.

Saya tidak tahu takdir seseorang, sama ada dia dikurniakan anak atau tidak, kerana itu adalah takdir dari ALLAH. Kita harus berusaha untuk mendapat apa yang kita hajatkan di samping berdoa dengan penuh tawajuh kepadaNYA. Itulah kesempurnaan tawakal. Tawakal bukan bermakna duduk diam tanpa melakukan apa-apa usaha dan dalam hati mengharapkan zuriat.

Jadi bila harus saya berjumpa doktor pakar kesuburan?”

Masa yang terbaik untuk berjumpa dengan pakar kesuburan bergantung kepada umur seorang wanita dan berapa lama dia telah berkahwin.

Seseorang wanita itu dikatakan mengalami masalah kesuburan dan harus berjumpa pakar kesuburan apabila

  • berumur bawah 35 tahun dan tidak hamil setelah berkahwin 12 bulan tanpa menggunakan mana-mana alat pencegah kehamilan ketika berjima’ atau
  • berumur lebih 35 tahun dan tidak hamil setelah berkahwin 6 bulan tanpa menggunakan mana-mana alat pencegah kehamilan ketika berjima’

(rujuk :Makar RS, Toth TL (2002). “The evaluation of infertility“. Am J Clin Pathol. 117 Suppl: S95–103. )

Mereka harus mendapatkan rawatan segera. Saya mendapati ramai wanita yang bertangguh-tangguh dalam usaha ini. Apabila bertangguh, usia akan bertambah dan kesuburan mereka juga semakin menurun.

Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan kesuburan seorang wanita berkurangan apabila usia mereka bertambah. Secara keseluruhan, pakar-pakar perubatan bersetuju bahawa bagi wanita berumur 35 tahun ke bawah, 95% dari mereka yang melakukan hubungan jima tanpa alat perancang akan hamil dalam masa 3 tahun. Bagi wanita yang berusia 35 tahun dan ke atas, 75% dari mereka akan hamil dalam masa yang sama.

Oleh itu saya amat menggalakkan jika seorang wanita tinggal bersama suami dan melakukan jima’ 2-3 kali seminggu tetapi masih belum hamil, eloklah segera berjumpa doktor. Semakin lama wanita itu bertangguh, semakin sukarlah rawatan untuk beliau.

Satu kajian yang dilakukan oleh Attain Fertility Centers menunjukkan hampir 30% dari pasangan yang mengalami masalah kesuburan ini menunggu lebih dari 2 tahun, iaitu satu jangka masa yang dianggap lama. Kebanyakan mereka tidak mendapatkan rawatan perubatan moden kerana menganggap bahawa kos rawatan kesuburan terlalu mahal.

Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa mereka harus berjumpa dengan doktor dahulu dan mencari punca masalah mereka. Kemudian mereka boleh berbincang mengenai jenis rawatan dan kosnya. Jika tidak mampu, mungkin boleh cuba mendapatkan surat rujukan bagi rawatan di hospital kerajaan.

Doktor, masalah saya ialah suami saya tinggal berjauhan. Bagaimana dapat saya atasi masalah ini?”

Inilah soalan yang mencemaskan saya. Keputusan untuk hamil haruslah keputusan bersama, suami dan isteri. Ini kerana proses kehamilan memerlukan dua bahagian – telur ovum dan sperma. Sepanjang tempoh kehamilan juga wanita memerlukan sokongan mental dan fizikal dari suami. Tanpa ada sokongan dari suami, proses kehamilan tidak boleh bermula.

Maaf ya puan, kalau saya bertanya. Puan sudah bincang tentang kehamilan ini dengan suami puan atau belum?”

Wanita itu hanya diam dan tundukkan kepala.

Dia macam tak kisah, doktor. Saya seorang saja yang sangat mengharap..”

Kes macam ini biasa berlaku. Tidak ada doktor yang dapat membantu. Namun saya percaya si suami sebenarnya belum bersedia untuk membina keluarga dan membesarkan anak. Perlulah ada perbincangan antara suami dan isteri.

Dalam keluarga saya, tidak ada sesiapa yang ada masalah ini. Semua adik beradik saya mempunyai anak yang ramai. Malah ada yang mempunyai anak kembar. Saya rasa sangat bersalah..”

Saya simpati. Ini adalah ujian yang Allah berikan. Banyak bersabar dan berusahalah.

“Apakah manusia itu mengira, mereka akan ditingalkan dengan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji (keimanan mereka itu)?” Surah Al-Ankabut ayat 2.

Sebenarnya banyak punca bagi masalah kesuburan di kalangan pasangan muda yang disebabkan oleh suami atau isteri. Jadi tidak wajar si suami menyalahkan isteri dan isteri menyalahkan suami sebelum mengetahui punca sebenar.

Pakar perubatan memberitahu 30 peratus masalah ini disebabkan oleh faktor suami dan 30 peratus lagi dari faktor isteri. Namun apa yang menarik 25 peratus dari kes ketidaksuburan tidak diketahui puncanya dengan jelas. Hal ini akan saya jelaskan kemudian.

Walaubagimanapun, suami dan isteri haruslah melakukan jima’ untuk membolehkan kehamilan berlaku. Tanpa melakukan jima’ yang kerap (sekurang-kurangnya seminggu sekali), mungkin ia antara sebab mengapa seorang wanita tidak berjaya untuk hamil.

Dalam kes saya ni doctor, macam mana pula. Suami saya tinggal jauh dari saya. Untuk melakukan jima’ setiap hari tentulah mustahil..”

Iskh, tak kan itu pun saya nak selesaikan”… detik saya.

Isteri haruslah berbincang dengan suami jika benar-benar inginkan zuriat . Mereka harus mengira waktu ovulasi bagi isteri dan mengambil cuti tahunan untuk melakukan jima’.

Ramai yang memberikan alasan ‘tidak ada masa’ dan ia tidak dapat diterima kerana tidak menunjukkan kesungguhan untuk berusaha. Artikel mengenai pengiraan waktu subur (ovulasi) bagi wanita telah saya tuliskan sebelum ini.

Rujuk: http://drzubaidi.com/blog/?p=610

Seperti yang diberitahu, terdapat 25 % dari masalah ketidaksuburan ini tidak diketahui puncanya dengan jelas. Dalam hal ini, sebenarnya terdapat masalah kesuburan pada wanita itu tetapi ia tidak dapat dikesan oleh teknologi masa kini. Keadaan ini yang sukar dijelaskan kepada pesakit.

Antara masalahnya ialah telur ovum tidak dikeluarkan pada waktu yang sepatutnya untuk disenyawakan, sperma tidak dapat sampai kepada ovum atas pelbagai sebab, persenyawaan tidak berlaku, zygote yang telah disenyawakan tidak dapat dihantar ke rehem, atau zygote yang telah sampai ke rahem tidak dapat ditanam ke dalam endometrium dan pelbagai masalah lain yang tidak dapat dikawal oleh kekuatan ilmu manusia. Hal-hal ini sukar dikesan dan dikawal. Hanya Allah sajalah yang mempunyai kuasa mutlak mengawal proses kejadian manusia.

“Doktor, saya tidak mahu menjadi seperti rakan saya. Dia telah berusaha berjumpa doktor pakar kesuburan dan sudah menjalani rawatan kesuburannya. Malangnya dia belum lagi hamil..”

Saya tidak mampu berkata-kata dan memberikan komen. Terkedu dengan keluhan sebegitu. Saya takut keluhan seperti itu ‘mencabar’ keimanan kita. Adakah beliau mahu menyalahkan doktor?

Seorang doktor hanya dapat membantu berdasarkan ilmu yang dipinjamkan, namun keputusan bagi sesuatu rawatan adalah takdir Allah. Tiada doktor yang berani menjanjikan kejayaan sesuatu rawatan. Jika begitu, adakah kita akan menyalahkan Allah pula? Naúzubillah..

Sebagai hamba, kita harus berusaha dan Allah akan berikan keputusannya yang terbaik kepada kita. Dalam hal ini, kita tidak perlulah merasa terlalu sedih. Semoga usaha yang kita lakukan, akan diberikan ganjaran oleh Allah.

Lagi pun kita tidak tahu apakah yang terbaik untuk kita. Ramai yang menyangka dengan adanya anak, hidup mereka bahagia, namun sebaliknya.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 216:

Dan boleh jadi kamu benci akan sesuatu sedang ia lebih baik bagimu, Dan boleh jadi kamu kasihi sesuatu sedang ia melarat kepadamu. Dan Allah mengetahui tetapi kamu tidak mengetahui

Bagi pasangan muda yang sedang berusaha mendapatkan rawatan kesuburan, saya mendoakan agar Allah berikan yang terbaik untuk kalian.

Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperolehi keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” Hadith riwayat Muslim.

Walau apa jua keputusan yang diberikan oleh Allah, janganlah berputus asa dengan rahmatNYA. Bersyukurlah dengan apa saja keputusan itu, semoga kita termasuk kaum yang beruntung.

Firman Allah, “Bagi Allah jualah hak milik semua yang ada di langit dan di bumi. Ia menciptakan apa yang dikehendakinya. Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki. Atau mengurniakan kedua-duanya-anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakinya,  mandul. Sesungguhnya Ia maha mengetahui, lagi maha kuasa” (asy-Syura 49-50)

Ada beberapa tips yang Rasulullah SAW berikan seperti mana dalam satu riwayat hadis.

Abu Hanifah meriwayatkan dalam musnadnya, dari Jabir bin Abdullah, seorang telah menemui Rasulullah lalu berkata, “Wahai Rasulullah, saya tidak dikurniakan seorang anak pun dan sehingga kini saya tidak memiliki anak”. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda, “Sudahkah kamu memperbanyakkan beristighfar dan bersedekah. Kamu akan dikurniakan (anak) berkat kedua-dua amalan itu”. Dengan izin Allah, orang yang mengadu nasibnya, akhirnya dikurniakan dengan sembilan anak lelaki.

Jadi selain mendapatkan rawatan yang betul, banyakkanlah berdoa, beristighfar dan bersedekah. Semoga Allah mengira usaha kita sebagai tanda kepatuhan kita (ibadah) kepadaNYA.

Wallahu a’lam.

 

Klik sini untuk membaiki kitaran haid yang tidak normal

Klik sini untuk menambahkan kualiti sperma di dalam air mani

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (090811)

Rujukan :

1. Cooper TG, Noonan E, von Eckardstein S, et al. (2010). “World Health Organization reference values for human semen characteristics”Hum. Reprod. Update 16 (3): 231–45.

2. Fertility: Assessment and Treatment for People with Fertility Problems. London: RCOG Press. 2004.

3. Makar RS, Toth TL (2002). “The evaluation of infertility“. Am J Clin Pathol. 117 Suppl: S95–103.

9 comments

  1. Sesungguhnya usaha dan doa adalah yg terbaik..Ujian demi ujian Allah turunkan,tp sy xpernah berputus asa kerana sy yakin dengan rahmat-Nya..Alhamdulillah..sy sudah hamil slps 6 bulan berkahwin..rezeki dari Allah…:)

  2. Salam Dr,

    sy sudah berkahwin masuk 6bulan..Tapi sy hanya period bulan march yg lepas..lepas tu da tak dtg..ada pun last week kluar darah coklat tp sikit dn sehari je.. ada yg cadangkan sy pergi berurut. sy da jmp dr dan da check tp sy xhamil..

    Disebbkn x period jugak, perut sy xselesa..kembung..dan badan sy lemah..

    sebelum kahwin period sy mm tak tetap tp plg lewat pn tak smpai sebulan..

    boleh dr tergkan apa masalah sy dan cadangan dr doktor

  3. saya telah kahwin 8 tahun dan saya mempunyai 3 anak,tahun ini saya dan suami saya inginkan anak ke 4..tetapi kita sudah cuba 3 bulan masih tak hamil.saya telah cuba cari di internet dan guna website untuk mengira tarikh kesuburan tetapi tak tepat mungkin i kira salah.i tak tahu macam mana nak kira tarikh kesuburan…bolehkah membantu:
    bulan july hari pertama haid ialah 27 july 2011
    bulan ogos ini hari pertama haid ialah 22 august 2011
    dan haid saya tak menentu,kadang-kadang datang cepat 2 hari kadang-kadang lambat satu minggu atau 2-3 hari tak menetu.adakah dia menyebabkan saya tidak dapat mengira dengan tepat.apa yang boleh saya lakukan sekarang.saya ingin cuba lagi di bulan ini.

  4. salam doc..
    saya nak tanya, sy berkahwin dgn seorg duda yg pernah 2 kali kahwin sebelum saya.perkahwinan suami saya sebelum ni tak dikurniakan zuriat, kedua dua perkahwinan itu. jarak umur saya dan suami adlah 15 thn.. apakah yang perlu saya buat.
    usia perkahwinan saya ialah 7 bulan. dan kami masih belum dikurniakan zuriat.apakah yang saya perlu buat.. utk pengetahuan doc saya tinggal di sabah. adakah tpt yg boleh saya refer di sabah ni..?

  5. dok,sy uda kahwin 2 thn,tp blum dikaruniakan zuriat,sy uda jumpa pakar kesuburan n kt dokter sy mengalami endometriosis Stage IIIB..Dokter menyarankan sy mengambil injection selama 6 bln untuk stopkan haids,biar endometiosisnya terkontrol,lalu baru plankan hamil lewat IVF..Apakah yang perlu sy buat..ikut arahan dokter untuk injection,apa ada cara lain selain injection..utk pengetahuan dok sy berasal dr negara jiran n sy tdk mampu utk buat IVF,tp teringin sekali punya zuriat..

  6. salam doktor…
    saya telah berkahwin hampir setahun tapi saya masih tidak menunjukkan tanda2 kehamilan..sy juga mnghadapi mslh irregular period..dalam setahun saya hya akan ddatangi sbyk 3x shj…sy telah merujuk kpd dr sakit puan dan beliau mengatakn sya tidak mghadapi mslh rahim bengkak walaupun sudah lama tidak didatangi period dan jg masalah cyst atau fibirod…ujian strusnya hanya akan dteruskan pd thn dpn bdasarkan tmujanji dgn gynae kerajaan…suami pula terlalu mengharapkan zuriat dan sy sering kali disoal oleh ipar2 dan mereka2 yg mengenali sy…dlm pada itu sy juga sering kali mengalami simptom2 pelik spt org mengandung setiap kali hendak ddtangi period sejak berkahwin dgn suami..ttp kputusannya tetap negatif stiap kali diuji sama ada melalui ujian darah, urine test ataupun scan…sy sgt bmbg skiranya sy ini sorg yg kurg subur dan gagal meberikan zuriat..apa yg patt sy buat doktor…kami suami isteri benar2 iginkan zuriat…terima kasih…

  7. Saya sdah kwin 3 tahun,thun yg k3 ni kami p jumpa Dr.ternyata semua soalan tlah terjawap.suami ada masalah dan saya ok..hanya mampu berdoa smoga Keajaiban blaku…jika itu kehendakNya kami berdua terima ngan ikhlas,sesungguhnya Dia itu lebih tau apa yg terbaik utk kami…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top