Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bina Keluarga » Makanan Tambahan DHEA dan Kesuburan

Makanan Tambahan DHEA dan Kesuburan

Saya amat terkejut bila membaca pertanyaan dalam inbox saya. ‘Klinik FB’ saya nampaknya dicurahi pelbagai warna. Pertanyaan kali ini memang menyentuh perasaan saya.

Selama ini saya meluang masa dan tenaga dari kesibukan hidup semata-mata hanya untuk tujuan ini iaitu membantu orang ramai terutama rakan fb saya mendapat kecerahan dari kekusutan akibat musibah dan ujian yang Allah berikan.

Semakin lama saya menguruskan ‘klinik’ ini, semakin saya dapati tahap pengetahuan masyarakat kita terhadap kesihatan dan perubatan sebenarnya tidaklah setinggi mana.

Kemudahan jalur lebar atau broadband nampaknya mengusutkan lagi keadaan. Sepatutnya pengetahuan yang sahih mengenai kesihatan dan perubatan semakin bertambah. Malangnya terlalu banyak kekeliruan yang disampaikan dengan mudah.

Maka menjadi tanggungjawab saya yang dipinjamkan sedikit ilmu untuk mencerahkan kekeliruan itu. Saya mengharapkan lebih banyak professional di bidang kesihatan dan perubatan menulis di blog membantu orang ramai mendapatkan kecerahan dari kekusutan mereka.

Salam doktor, saya hendak bertanya mengenai makanan tambahan yang mengandungi DHEA. Saya terbaca di internet, DHEA ini adalah hormon penggalak kesuburan dan lebih baik dari kaedah IVF”

“Tidak lama selepas itu saya ada terbaca dalam satu laman web memberitahu DHEA boleh merosakkan hati. Pada masa yang sama saya menerima email dari sebuah syarikat yang menjual makanan supplement mengatakan DHEA bertujuan untuk menstabilkan hormon dan membolehkan saya hamil.  Saya jadi keliru”

“Saya sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat. Saya sudah berkahwin selama 6 tahun. Saya pernah mengandung pada tahun 2004 tetapi bayi saya meninggal dunia ketika dilahirkan. Selama 2 tahun setengah saya mengamalkan pil perancang keluarga. Atas nasihat doktor, saya berhenti kerana hormon menjadi tidak stabil”

“Harap Dr dapat memberi cadangan atau nasihat pemakanan / supplement ke arah untuk memudahkan kehamilan. Segala penerangan daripada Dr amatlah saya hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih. Wassalam

Saya amat sedih atas ‘ketamakan’ kita yang sanggup berkata sesuatu yang tidak diketahui semata-mata untuk mendapat keuntungan dunia. Saya tidak menghalang sesiapa yang mahu berjaya dan cepat kaya melalui perniagaan MLM dengan menjual produk-produk kesihatan. Tetapi biarlah apa yang disampaikan hendak mengikut tahap pengetahuan berdasarkan apa yang seseorang itu belajar dari pendidikan formal.

Saya bawakan contoh yang mudah difahami. Apa akan jadi jika seorang berpendidikan sains berbahas mengenai tafsir quran? Bagaimana seorang guru diminta menyelesaikan masalah kerosakkan satu bangunan? Atau seorang yang tiada latar belakang pendidikan perubatan bercakap tentang kanser dan kesuburan?

Apatah lagi jika tujuan kita bercakap itu untuk melariskan produk jualan kita sedangkan kita sendiri tidak tahu apa yang kita jualkan. Bagaimana produk kesihatannya mampu mengubati secara sunatullah seseorang yang menghidap penyakit kanser? Lebih menyedihkan jika apa yang disampaikan hanyalah perkataan yang diajar oleh pakar-pakar dalam bidang MLM. Atau bukti testimonial yang diada-adakan atau kajian saintifik yang lemah.

Anda mungkin tidak bersependapat dengan saya. Tetapi itu bukan isunya. Kita mempertaruhkan nyawa orang lain dalam kita meraih keuntungan. Berkata sesuatu yang kita tahu.

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta dipertanggungjawabkan” ( Al Israa’:36)   

Saya juga hairan bagaimana seorang pesakit sanggup menerima nasihat dari seorang yang tidak mempunyai pengetahuan perubatan. Fenomena ini ibarat si buta memimpin si buta, sama-sama masuk ke dalam longkang.

Doktor, produk ini dari US. Ini bukan produk yang dibuat di belakang rumah. Ia dicipta oleh saintis US

Saya faham produk yang dikeluarkan dari US selalunya hebat. Hebat dari segi packanging, promosi dan marketing. Namun produk yang sehebat ini bukannya produk yang bebas dari kesalahan dan penipuan.

Secara logiknya jika sesuatu produk itu berkesan dan hebat, sudah tentu ianya telah diterima oleh aliran perubatan semasa dan digunapakai di hospital dan dijadikan rawatan piawai bagi merawat sesuatu penyakit.

Di US, makanan tambahan yang mengandungi DHEA telah dipromosikan dengan pelbagai dakwaan yang keterlaluan. Malah ianya dipasarkan sebagai makanan tambahan yang sepatutnya dijual dengan preskripsi dari doktor. Hal ini telah diterangkan dalam satu jurnal yang menghalang pengambilan supplement hormon DHEA oleh para atlet muda.

(Rujukan : Calfee, R.; Fadale, P. (March 2006). “Popular ergogenic drugs and supplements in young athletes”. Pediatrics 117 (3): e577–89).

Begitu juga satu   ulasan mengenai DHEA dituliskan di dalam American Journal of Sports Medicine menyatakan “Keberkesanan mengenai supplement ini diberitahu secara berlebihan dari apa yang boleh dibuktikan melalui pembuktian sains.”

Rujuk Tokish, J. M.; Kocher, M. S.; Hawkins, R. J. (2004). “Ergogenic aids: a review of basic science, performance, side effects, and status in sports”. The American Journal of Sports Medicine 32 (6): 1543–53.

Ini kerana DHEA merupakan prohormon yang harus ditukarkan pada androstenedione dan kemudian testosterone pada lelaki, atau menjadi hormon estrogen. Oleh itu, ada kemungkinan lelaki yang mengamalkannya akan mengalami penambahan hormon estrogen dan pada wanita pula mengalami penambahan hormon testosterone (yang sepatutnya tidak berlaku seperti ini).

Maka kadang-kala pengambilan DHEA tidak memberikan kesan sepatutnya malah memberikan kesan sampingan yang buruk.

”Doktor apa sebenarnya hormon DHEA. Saya menjadi takut dan keliru pula sekarang?”

Dehydroepiandrosterone (DHEA) adalah prohormon semulajadi yang dikeluarkan oleh kelenjar adrenal. Ia akan ditukarkan kepada hormon sex (estrogen-bagi wanita dan testosterone-bagi lelaki). Tubuh manusia akan mengeluarkannya antara 10-15 mg dalam sehari.

DHEA memberikan kesan yang banyak terhadap sistem biologi manusia. Pengeluaran DHEA ini bermula apabila seseorang itu memasuki alam remaja, mencapai kemuncaknya pada umur 30 tahun kemudian akan menurun secara perlahan-lahan dengan bertambahan usia.

Oleh kerana tahap kepekatan DHEA menurun apabila usia bertambah dan pada masa yang sama  tahap kesuburan wanita semakin menurun dengan usia, DHEA ditonjolkan sebagai “penyelamat” untuk merawat masalah ketidaksuburan di kalangan wanita yang mula meningkat usianya.

”Habis bagaimana internet boleh mempromosikan DHEA?”

Dalam dunia yang mengamalkan free market, semua orang berhak menjual produk mereka dan orang ramai pula berhak memilih produk yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Akibat dari kebebasan pasaran seperti ini, apa saja boleh dijual di internet. Malah barang-barang yang ditegah (illegal) juga dijual di situ. Tidak semua yang ada di internet itu semuanya betul dan sahih.

Saya meragui seorang yang menjual DHEA sebagai makanan tambahan kesihatan boleh merawat ketidaksuburan wanita tanpa melalui pemeriksaan doktor. Bagaimana dia mahu menyelesaikan sesuatu penyakit jika dia tidak mengetahui punca sesuatu penyakit.

 “Bagaimana pula kesan DHEA terhadap kesuburan wanita?”

DHEA dianggap sebagai “superhormone” atau “the youth and health hormone.” Setakat ini belum ada kajian saintifik yang jitu dan sahih mengatakan bahawa DHEA memberikan kebaikan sebagai penawar bagi ketidaksuburan bagi wanita yang semakin berumur.

Malah bukti kukuh yang menyatakan bahawa makanan supplement yang mengandungi DHEA  akan memperlahankan, menghentikan proses penuaaan atau mengembalikan kemudaan juga belum ditemui.

Terdapat satu kajian yang dilakukan mengenai kesan DHEA terhadap kesuburan wanita, tetapi ianya ibarat ‘hadis mauduk’. Ianya suatu kajian yang lemah.

Kajian itu dilakukan oleh Dr Albert Einstein di College of Medicine mengatakan terdapat kesan peningkatan penghasilan telur wanita ovum selepas rawatan dengan dehydroepiandrosterone. Tetapi kajian ini hanya melibatkan seorang saja wanita yang berumur 42 yang teah menjalani rawatan IVF sebanyak lapan kali dalam masa setahun bersama dengan tambahan hormone DHEA. (Fertil Steril. 2005; 84(3):756)

Harus diingatkan bahawa wanita itu tidak mengambil DHEA sebagai makanan tambahan. Telurnya pula berjaya disenyawakan, dan disimpan secara frozen. Namun tiada laporan yang diterima menyatakan sama ada embryo berjaya dilahirkan sebagai bayi.

Oleh itu ianya bukan suatu kajian yang membuktikan bahawa DHEA akan menambahkan telur akibat usia yang bertambah.

Satu lagi kajian yang dibincangkan dalam 2005 ASRM Conference oleh Dr D. H. Barad dan Dr N. Gleicher). Kajian ini hanya memeriksa 45 orang wanita yang mempunyai masalah kekurangan telur dalam ovari (decreased ovarian reserve) dan dirawat dengan 25 mg DHEA selama 40-48 minggu sebelum menjalani rawatan IVF.

Kajian yang tidak lengkap ini memberikan kesimpulan bahawa DHEA akan meningkatkan keupayaan ovari mengeluarkan telur ovum. Namun begitu hasil persenyawaan telur ini tidak dilaporkan sama ada berjaya menghasilkan bayi yang sihat atau mengalami keguguran.

“Bahaya ker jika ia diambil, walaupun ianya hanya sebagai makanan tambahan?”

Mengambil mana-mana ubat sendiri tanpa kawalan dan pengawasan dari doktor dinamakan “Self-medicating”. Makanan tambahan atau supplement yang mengandungi DHEA sebenarnya rawatan hormone yang mungkin merbahaya.

Sebelum memulakan rawatan makanan tambahan haruslah sedar akan keselamatan dan kesan sampingan yang mungkin ada. Terutama jika ianya dibeli tanpa nasihat doktor atau pakar perubatan. Mengambil DHEA adalah suatu pertaruhan yang melibatkan nyawa.

Kesannya tidak sama pada semua orang. Antara kesan sampingan yang pasti akan terjadi ialah masculine effects iaitu lebat bulu di muka, jerawat dan suara menjadi garau. Selain itu pertambahan berat badan, mengganggu mood, payudara terasa sakit dan bengkak, sakit kepala dan kitaran haids yang terganggu.

Malah ada kajian yang menunjukkan bahawa pengambilan DHEA pada dos yang tinggi akan meningkatkan risiko kanser payudara dan prostate pada lelaki.

Oleh itu jika seseorang itu mempunyai risiko mendapat kanser yang tinggi, maka tidak digalakkan mengambil DHEA. Begitu juga pesakit yang mempunyai penyakit kronik, haruslah berbincang dulu dengan doktor. Wanita yang hamil dan menyusukan anak juga tidak boleh mengambilkan hormon DHEA.

Secara ringkas, janganlah terlalu mudah mengambil keputusan untuk mengambil apa-apa hormon sebagai makanan tambahan, lebih-lebih lagi tanpa perbincangan dengan doktor.

Mengambil makanan supplement DHEA sebagai rawatan ketidaksuburan wanita tanpa mengetahui punca ketidaksuburan itu, merupakan satu ’suicide’ yang harus dielakkan.

Kesuburan wanita disebabkan banyak perkara dan ketidakstabilan hormon adalah sebahagian kecil darinya. Kalau pun disebabkan ’ketidakseimbangan hormon’, pemeriksaan darah harus dilakukan untuk memastikannya.

Banyak lagi kajian harus dilakukan untuk menentukan keberkesanan DHEA dalam merawat kesuburan wanita. Bagitu juga dengan kajian yang memastikan keselamatan bagi makanan kesihatan yang mengandungi DHEA ini.

Allahu a’lam.

 

Susunan Dr Zubaidi Hj Ahmad (250111)

Saya mendapat maklum balas dari FB http://facebook.com/DrZubaidiHjAhmad

salam. maaf dr. sy nk bertanya sedikit tentang suplemen Hormon DHEA mgu lpas suami sy berjumpa kwn lamanya seorang doktor di Danau Desa suami sy ada bercerita dgn doktor tersebut berkenaan sakit gastrik dan acid yg dialami sejak beberapa tahun ni. selepas itu doktor tersebut terus memberi suami sy makan supplemen hormon DHEA tu katanya result akan dpt diketahui selepas 10 hari suami sy makan sy nk mohon penjelasan dr doktor berkenaan supplemen tersebut.

Dr Zubaidi Hj Ahmad: Wa alaikum mus salam. DHEA MUNGKIN SELAMAT (POSSIBLY SAFE) bagi kebanyakan pengguna jika digunakan dalam dos yang kecil untuk beberapa bulan, kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan seperti jerawat, keguguran rambut, pedih perut, dan tekanan darah yang tinggi. Bagi sesetengah wanita ia boleh menyebabkan kitaran haid yang tidak menentu, melebat bulu-bulu di muka, dan suara yang garau.

DHEA MUNGKIN TIDAK SELAMAT (POSSIBLY UNSAFE) jika digunakan dalam dos yang tinggi dan dalam jangkamasa yang panjang. Jangan gunakan dos DHEA melebihi 50mg sehari atau pada jangka masa yang panjang kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan yang disebutkan tadi.

2 comments

  1. norhayatikhairunisah kamaruddin

    Assalamualaikum DR,
    setelah membaca artikel Dr mengenai DHEA, saya agak runsing memandangkan saya juga sedang mengambil DHEA.
    Untuk makluma Dr, saya telah mengalami allergik pada seluruh badan dan telah berjumpa dengan lebih dari 3 org doktor di klinik yang berlainan.
    saya sering mendapatkan suntikan seperti piriton untuk melegakan allergy (seperti yang sering saya alami sebelum berkahwin) namun allergy saya baru-baru ini tidak berjaya dirawat dengan suntikan tersebut. sehinggakan seorang doktor mengatakan yang saya mendapat jangkitan scabbies. namun saya kurang yakin dengan diagnosis tersebut kerana simptom scabbies yang saya rujuki di internet tidak sama dengan allergy yang saya hadapi (bintik/bintat pink). lagipun, penggunaan cream anti scab hanya akan berkesan sekiranya saya mengambil steroid. telahan saya bertambah kuat apabila doktor lain (2 org) turut mengatakan allergy tersebut bukan disebabkan oleh scabbies. doktor yang saya temui sekarang mencadangkan saya membuat ujian darah kerana kemungkinan apa yang saya alami berkaitan dengan hormon, apatah lagi saya belum mengandung sejak 7 tahun berkahwin, haid tidak teratur, mengalami PCOS dan juga mempunyai 2 cyst. setelah result keluar, doktor tersebut mengatakan jumlah hormon (lupa namanya, tetapi lebih dr satu jenis hormon) sangat jauh dari paras normal (amat rendah). oleh yang demikian, beliau memberikan saya DHEA 15mg diambil sebiji sehari. sambil itu, beliau turut memberikan ubat untuk mendatangkan haid, Utrogestan 100mg untuk dimakan dan oestrogel untuk disapu selepas haid. Apakah selamat dan bersesuaian saya mengambil DHEA dalam situasi saya ini? Mohon nasihat Dr, saya amat memerlukan 2nd opinion apatah lagi selepas membaca artikel Dr d atas.
    Sekian, Assalamualaikum…….

  2. Assalamualaikum.. dr.

    Saya ingin membuat pertanyaan tentang ubat DHEA 25.
    saya telah berjumpa dengan seorang dr pakar sakit puan..dia telah menyarankan saya mengambil ubat DHEA 25.. 2 biji mlm. saya telah 6 thn kahwin sudah mempunyai seorang anak umur 4 thn. saya ingin mendapatkan seorang zuriat lagi sudah bermacam cara dibuat… saya pregnet tetapi 2 x gugur….dr dah ambil darah saya tapi takde masalah.. akhirnya di bagi ubat DHEA 25 dan clomid 10 biji untuk 5 hari..setelah membaca artikal dr saya merasa takut untuk makan ubat DHEA 25..kerana kesan2 sampingan akan saya hadapi..
    Adakah selamat dan bersesuaian saya mengambil ubat DHEA 25 dalam situasi saya ini? mohon nasihat drp dr tentang permasaalahan saya ini.Terima kasih.
    Sekian Wasalam..

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: