Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Komplikasi Rawatan Gigitan Lintah
Komplikasi Rawatan Gigitan Lintah

Komplikasi Rawatan Gigitan Lintah

“Doktor, saya nak marah ini. Kenapa leher anak saya berdarah tak berhenti-henti. Saya nak samanlah..”

Saya terpaku apabila mendengar perkataan saman.

“Masa buat rawatan, sudah diberitahu tentang risiko?”

“Manalah diberitahu. Dia cuma kata boleh keluarkan darah kotor. Ini darah bersih pun keluar. Sudah tiga hari tidak berhenti…”

Sama ada percaya atau tidak, saya pernah merawat seorang gadis yang datang ke pusat kesihatan di tempat saya bertugas kerana dia mahu menghentikan pendarahannya di leher.

Ia bermula tiga hari sebelum itu apabila gadis ini bersama ibunya cuba mendapatkan rawatan alternatif lintah kerana selalu menghidap sakit kepala.

Perawat yang hanya berkelulusan SPM itu, dan gagal dalam mata pelajaran Sains Paduan itu mengatakan lintah boleh menyedut darah kotor yang menyebabkan sakit kepala.

Sakit kepala pun tidak sembuh, ditambah pula pendarahan yang tidak berhenti berlaku di lehernya. Lima ekor lintah tergolek akibat kekenyangan, dan gadis itu dicaj RM50/=.

Mahu ketawa saya mendengar cerita ibu gadis itu.

 

Risiko pendarahan akibat kecairan darah

Saya minta gadis itu ke bilik rawatan dan ditemani oleh ibunya. Saya cuba menekan di tempat luka dengan kain kasa, namun pendarahan tetap berlaku. Tidak ada pilihan lain, saya terpaksa menjahit luka gigitan lintah itu.

Terperanjat ibu gadis itu. Malang yang bertimpa-timpa…

Selepas tiga hari, dia datang semula dan saya berpuas hati lukanya sudah kering dan tidak berdarah, lalu saya melakukan STO, iaitu meleraikan jahitan.

Rawatan menggunakan lintah juga selalu dikaitkan dengan kehilangan darah. Dalam buku Medicinal Leech Therapy oleh Dr P. Daniel Ward, dan Dr Shan R. Baker, secara purata kehilangan darah sebanyak  0.7 mg/dL direkodkan bagi gigitan seekor lintah.

Walaupun ianya dianggap sedikit, namun bayangkan jika seorang pesakit yang anemia mengadu sakit kepala, dirawat dengan lima ekor lintah. Jika tahap haemoglobinnya 12.0 mg/dl, tetapi setelah ‘dirawat’ lintah, ia boleh berkurang kepada 8.5 mg/dl sahaja. Ini suatu keadaan yang serius.

Mengikut satu rekod yang dicatatkan oleh Hospital Essen-Mitte di German, terdapat satu kes kehilangan darah (haemoglobin) melebihi 3mg/dl dan pesakit terpaksa diberikan pemindahan darah.

(laman web hospital ini boleh dirujuk di link: http://www.kliniken-essen-mitte.de/index.php?id=1230&print=1&no_cache=1)

Saya membayangkan jika seorang yang menghidap sakit jantung dan mengamalkan ubat yang diberikan oleh doktor (seperti aspirin, clopidogrel, Iscover, atau Plavix bagi mencairkan darah), tentu pendarahan yang teruk akan terjadi.

 

Kegatalan dan alahan yang teruk

Selain daripada masalah pendarahan, luka gigitan lintah juga selalunya menyebabkan kegatalan yang mungkin berlangsung untuk beberapa hari. Jangan digaru parut luka itu kerana ia akan menyebabkan komplikasi seperti jangkitan kuman atau parut menjadi lebih tebal (hyperthropy scar).

Ada beberapa rakan FB yang bertanya melalui e-mail mengenai hal yang sama.

“Salam doktor, maaf kalau saya mengganggu.Saya ada masalah terkena gigitan lintah dan pacat di sekitar kaki dan bahagian perut. Masalahnya kegatalan tidak hilang dan sekitar luka gigitan itu menjadi berbintik-bintik kecil dan berair.Saya ada pergi ke farmasi dan diberikan tablet loratadine dan krim fucicort. Adakah ubat-ubat ini sesuai?”

Untuk mendapatkan rawatan terbaik, seharusnya berjumpalah dengan doktor yang berpengalaman. Ini kerana parut luka gigitan lintah bukan hanya menyebabkan kegatalan tetapi juga jangkitan kuman.

Oleh itu ubat antihistamine second generation selalunya tidak berkesan. Ubat seperti loratidine yang dinyatakan di atas selalunya tidak menyebabkan rasa mengantuk dan ia tidak begitu berkesan untuk mengurangkan kegatalan.

Jadi saya menasihatkan agar pesakit berjumpa doktor dan mintalah nasihat. Pil antihistamine yang lebih ‘kuat’ dan mengantuk seperti Piriton tidak boleh diberikan secara sembarangan terutamanya bagi wanita hamil dan penghidap darah tinggi. Pil itu juga harus diambil beberapa hari, kerana kegatalan yang teruk memakan masa beberapa hari untuk sembuh.

Selain menggunakan ubat antihistamine, boleh letakkan krim pelembab untuk mengurangkan kegatalan pada parut luka gigitan lintah. Jika masih lagi gatal, boleh tuamkan dengan ais. Ais juga akan mengurangkan bengkak parut itu.

Selalunya jika terdapat tanda-tanda jangkitan kuman, doktor akan memberikan preskripsi antibiotik sama ada yang berbentuk tablet yang perlu dimakan atau berbentuk krim yang perlu disapu.

Alahan pada gigitan lintah dan pacat bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Ada kalanya pesakit mengalami keadaan alahan yang lebih serius iaitu “anaphylactic reactions” dan memerlukan rawatan kecemasan. Pesakit boleh pitam malah pengsan dan mengalami bengkak pada muka, kelopak mata dan bibir. Tanpa rawatan segera, pesakit boleh kehilangan nyawanya.

(rujuk : Victorian Poisons Information Centre: Leeches Victorian Poisons Information Centre. Retrieved on 2007-07-28)

 

Lintah menghilangkan atau memberi penyakit?

Sebelum membincang dengan dengan lebih dalam, elok juga diperkenalkan makhluk Allah yang unik ini.

Lintah (Leeches) berada dalam kelas Hirudinea. Lintah adalah binatang tanpa tulang belakang yang tidak mempunyai jantina (hermaphrodite). Lintah mempunyai dua kepala, kepala belakang dan hadapan yang boleh menggigit. Tidak seperti mana yang kita sangkakan, tidak semua lintah menghisap darah (hematophagous).

Kebanyakan lintah ini, menghisap darah dari luka yang terdedah pada haiwan-haiwan amfabia, reptalia, ikan-ikan atau mamalia. Kebanyakan lintah juga tidak banyak yang boleh menggigit pada kulit dan menyebabkan luka.

Jika lintah menggigit, selalunya akan melekat pada luka kerana mereka mempunyai gigi-gigi kecil pada kepala belakang dan kepala depan, sehingga kantung perutnya penuh dengan darah yang dihisap.

Semasa menghisap darah enzim hirudin yang bertujuan mencairkan darah yang berada dalam perutnya dimuntahkan pada luka itu. Darah akan terus cair dan mudah bagi lintah menghisapnya. Oleh itu apabila lintah ditanggalkan dari luka, pendarahan terus berlaku untuk beberapa jam.

Darah yang dihisap akan disimpan di dalam kantung perut. Di dalam kantung perut ini mempunyai enzim mencairkan darah (hirudin) yang menyebabkan darah tetap kekal cair. Di dalam kantung perut ini juga mempunyai beberapa kuman bakteria yang menyebabkan darah yang disimpan tadi kekal segar.

Di dalam perut lintah ini terdapat kantung perut yang boleh dikembangkan secara maksimum agar darah yang dihisap dapat disimpan. Apabila kenyang, kantung perut boleh mengembang sebanyak lima kali ganda lebih besar dari saiz tubuhnya.

Selain dari bakteria yang menyebabkan darah dalam kantung perutnya kekal segar, lintah selalunya mempunyai parasit dalam saluran penghadaman mereka. Namun parasit itu tidak mampu hidup dalam tubuh manusia. Maka gigitan lintah dianggap tidak merbahaya.

Walau bagaimana pun, satu kajian mendapati virus HIV dan hepatitis B dalam lintah Afrika  dan boleh disebarkan apabila ia menggigit semula.

(rujuk: Nehili M, Ilk C, Mehlhorn H, Ruhnau K, Dick W, Njayou M (1994). “Experiments on the possible role of leeches as vectors of animal and human pathogens: a light and electron microscopy study”. Parasitology Research 80 (4): 277–90.)

 

Kewajaran rawatan menggunakan lintah

Rawatan menggunakan lintah dinamakan “hirudotherapy”. Ia telah diperkenalan sejak zaman kuno 2,500 tahun dahulu di India. Rawatan ini diterangkan secara terperinci dalam kitab kuno perubatan Ayurverdic.

Ia mula diperkenalkan semula pada tahun 1980an dalam dunia perubatan moden dalam pembedahan plastik dan rekonstruktif. Ia tidak digunakan dalam mana-mana bidang perubatan lain.

Lintah hanya digunakan bagi mengeluarkan darah beku (blood clot/ thrombus) akibat pembedahan. Seperti mana yang diketahui dalam pembedahan terdapat banyak saluran darah yang terputus dan menyebabkan darah tidak dapat mengalir dalam sistem peredaran darah. Darah ini akan berkumpul dan membentuk darah beku.

Darah beku yang banyak akan menghalang peredaran darah di saluran-saluran darah yang tidak terjejas akibat pembedahan. Jika darah beku ini tidak dibuang, darah tidak dapat mengalir ke bahagian itu (venous insufficiency)  dan menyebabkan bahagian ini mati (necrosis and gangrene).

Jadi lintah diletakkan pada bahagian yang membengkak akibat terdapat banyak darah beku di bawah kulit. Akibat dari gigitan lintah, enzim hirudin dikeluarkan dan mencairkan semula darah beku ini. Darah beku ini akan dihisap keluar oleh lintah sehingga lintah ini kekenyangan.

Secara tidak langsung ia akan mengeluarkan darah beku seterusnya melancarkan sistem peredaran darah di bahagian pembedahan itu. Ini memberikan dua kebaikan iaitu menyusutkan bengkak  dan mempercepatkan penyembuhan luka.

Enzim Hirudin ini digunakan dalam rawatan perubatan moden dan teknik pengasingan enzim ini dari air liur lintah dengan menggunakan teknologi moden (recombinant technology) telah menjadikan enzim ini lebih berkesan, bersih dan selamat digunakan. Enzim ini digunakan sebagai suntikan mencairkan darah pada pesakit.

Saya membuat kesimpulan bahawa rawatan menggunakan lintah (hirudotherapy) boleh digunakan dengan syarat:

  1. Ia harus digunakan untuk merawat bengkakan akibat pengumpulan darah beku di bawah kulit (haematoma) akibat pembedahan atau kecederaan trauma.
  2. Ia hanya boleh diletakkan di bahagian yang bengkak, bukannya bahagian-bahagian lain yang tidak bengkak. Kebiasaannya lintah diletakkan secara sebarangan seperti di leher, di betis atau di tangan.
  3. Rawatan ini hendaklah menggunakan teknik aseptic. Perawat haruslah menggunakan sarung tangan plastik ketika menjalankan rawatan. Darah yang dikeluarkan dari orang lain mungkin mengandungi virus Hepatitis B atau HIV boleh disebarkan kepada kita jika perawat mengabaikan aspek kebersihan.
  4. Luka gigitan lintah haruslah dibersihkan menggunakan cecair antiseptik bagi mengelakkan jangkitan kuman pada luka. Bagi pesakit diabetes, sebarang luka di tubuh boleh mendatangkan mudharat yang besar.
  5. Pesakit harus ditemuduga dahulu, sama ada mereka mempunyai penyakit berjangkit, penyakit kronik atau memakan apa-apa ubat yang diberikan doktor. Untuk itu, perawat harus faham serba sedikit tentang penyakit kronik dan kesan ubat-ubatan terhadap luka gigitan.
  6. Pesakit harus dinasihat oleh perawat untuk mengambil langkah-langkah perlu jika pendarahan tidak berhenti dengan sendirinya. Kebanyakan pesakit dibiarkan pulang tanpa diajar teknik menghentikan darah dan pesakit menjadi panik jika pendarahan berlarut sehingga beberapa hari.

Apa yang kita perhatikan rawatan lintah ini diberikan kepada pesakit yang tidak mengalami bengkakan. Perawat mendakwa rawatan itu dapat mengeluarkan “darah kotor” dari tubuh pesakit. Padahal yang dikeluarkan ialah “darah beku” akibat daripada kecederaan trauma atau pembedahan.

Saya mendapati ini satu manupulasi yang membahayakan, apatah lagi kebanyakan perawat tidak mengetahui sains biologi dan bagaimana struktur tubuh manusia diciptakan oleh Allah. Dakwaan boleh mengeluarkan “darah kotor” adalah mengelirukan, dikeluarkan oleh orang yang tidak berilmu untuk tujuan menipu dan dipercayai oleh orang yang tidak berilmu dan mudah tertipu.

Wallahu a’lam.

 

Susunan Dr Zubaidi bin Hj Ahmad (300611)

2 comments

  1. Assalamualaikum Dr.

    Jika sebenarnya lintah hanya mengeluarkan darah beku,bagaimana pula dengan berbekam?

    Adakah dengan berbekam, kita dapat mengeluarkan darah kotor seperti yang diperkatakan?

    Terima kasih.

  2. orang buat bekam dengan lintah…sama tak fungsinya dengan bekam biasa dengan bekam lintah Dr?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!