Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Fiqh Perubatan » Kesan membesarkan Payudara menggunakan Suntikan Hyaluronic Acid

Kesan membesarkan Payudara menggunakan Suntikan Hyaluronic Acid

 


TERDAPAT GAMBAR YANG TIDAK SESUAI DILIHAT

Dunia perubatan moden terutama di bidang kecantikan telah berkembang dengan pesatnya. Kalau dulu untuk membesarkan payudara seorang wanita harus menjalani pembedahan besar (major surgery) dan mengambil masa berminggu-minggu untuk sembuh, sekarang banyak prosedur yang ringkas dan tidak menyakitkan dapat dijalankan bagi mencapai tujuan itu.

Masalah yang timbul, adakah ianya selamat? Bagaimana dengan kebolehan untuk menyusukan anak apabila payudara telah disuntik dengan bahan-bahan itu? Tidakkah ia membahayakan bayi apabila susu dari payudara yang disuntik diberikan kepada anak?

 

As salam mua alaikum Doktor.

Saya hendak bertanya, selamatkah bayi yang  diberi susu ibu sedangkan saya pernah menjalani pembesaran buah dada dengan suntikan hyaluronic acid. Suntikan dijalankan sebanyak dua kali iaitu pada awal 2010 dan akhir 2010. Tujuan suntikan ini bukanlah untuk membesarkan payudara, tetapi lebih kepada untuk menegangkan payudara kerana ia kelihatan mengendur selepas melahirkan anak yang ketiga.

Sya bimbang kerana saya ada terbaca bahawa bayi boleh mengalami kecacatan otak apabila terminum susu ibunya yang tercemar dengan kandungan suntikan itu.

Terima kasih.

 

Saya menyedari bahawa terdapat segelintir para wanita yang ingin kelihatan cantik dengan sanggup mengambil risiko menyuntik bahan hyaluronic acid (HA) ke dalam payudara mereka.

 

Suntikan hyaluronic acid injections telah banyak digunakan secara meluas di beberapa buah negeri. Di Malaysia teknik ini dibawa masuk dan telah diamalkan secara terbuka. Suntikan ini sepatutnya dilakukan oleh doktor atau pengamal perubatan yang berdaftar, namun ada juga pengamal kecantikan di beberapa pusat kecantikan melakukannya kerana kelonggaran penguatkuasaan dan undang-undang.

 

Sudah tentu suntikan seperti ini harus dilakukan oleh doktor yang berpengalaman dan terlatih. Kesan sampingan dan bahaya suntikan ini banyak bergantung kepada individu yang menjadi pelanggang dan doktor yang memberikan suntikan. Jika  pelanggan bukan individu yang berisiko tinggi dan diberikan oleh doktor yang berpengalaman dan terlatih, sudah hampir pasti kebarangkalian untuk mendapat kemudharatan amat berkurangan.

 

Jika sebaliknya, sudah tentu ia akan mendatangkan keburukan dan kemudharatan.

 

Hyaluronic acid (HA) adalah bahan semula jadi yang terdapat pada lapisan kulit. Ia berfungsi  sebagai penyerap air dan menyebabkan kulit kelihatan lembap dan muda. Pada orang yang berusia, kekurangan HA pada kulit mereka ini akan menyebabkan kulit mereka menjadi berkedut dan berlendut.

 

Suntikan ini diberikan untuk meluruskan bahagian kulit yang berkedut pada wajah. Selain itu suntikan ini diberikan sebagai alternative bagi pembedahan membesarkan payudara. Ia sesuai bagi wanita yang bimbang dengan proses pembedahan. Ia juga tidak menyebabkan parut yang ketara.

 

 

Suntikan pelali (bius) diberikan pada kulit di antara otot pectoris dan tisu payudara. Kemudian HA disuntikkan di kawasan ini ke dalam payudara, dengan isipadu yang sesuai. Ini menyebabkan tisu payudara akan tertolak ke hadapan dan menyebabkan tegang dan bersaiz lebih besar.

 

Prosedur ini mengambil masa 30-90  min. Oleh kerana HA adalah bahan semula jadi yang terdapat pada tubuh, maka kebarangkalian untuk mendapat  alahan  adalah kecil.  Namun terdapat kesan sampingan yang kecil seperti rasa bengkak dan sakit tetapi akan perlahan-lahan hilang.

 

 

Dalam satu soalan mengenai hukum melakukan pembesaran payudara, Sheikh `Abd al-Rahmân al-Jar`î, Professor di King Khâlid University, Abhâ menjawab :

 

 

 

“Jika payudara seorang wanita bukan semulajadi menjadi kecil dan tidak normal saiznya, kerana ketidakseimbangan hormon, dia boleh menjalani pembedahan kosmetik untuk membesarkan payudara selagi mana pembedahan itu tidak terdedah kepada bahaya demi kesihatannya. Hal ini perlu dipastikan dengan pakar perubatan yang berwibawa sebelum dia membuat sebarang keputusan.

 

 

Pembedahan sebegitu hanya diizinkan jika ia dilakukan sebagai rawatan perubatan untuk memulihkan keadaan kesihatan dan mengembalikan payudara kepada saiz asalnya.

 

 

Pembesaran payudara tidak harus dilakukan untuk meningkatkan kecantikan semata-mata apatah lagi ia mengubah ciptaan ALLAH lantaran mengikut tanggapan jahil tentang kecantikan.

 

 

Dalam hal ini, ia pastinya tidak diizinkan oleh ALLAH. ALLAH berfirman:

 

Yang dilaknati ALLAH dan syaitan itu mengatakan: “Aku benar-benar akan mengambil dari hamba-hamba ENGKAU bahagian yang sudah ditentukan (untuk aku).  Dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (mengubah ciptaan ALLAH), lalu benar-benar mereka mengubahnya.  Barangsiapa yang menjadikan syaitan pelindung selain ALLAH, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.

 

(Surah al-Nisa’: 118-119)

 

Barangsiapa yang terlibat dalam pembedahan kosmetik untuk tujuan kecantikan semata-mata juga tergolong dalam celaan sebagaimana hadith riwayat Ibn Mas`ud r.a. di mana dia mendengar Rasul ALLAH s.a.w. mencela perempuan yang mencabut bulu kening dan sesiapa yang menjarakkan gigi atas alasan mengejar kecantikan. Merekalah yang mengubah ciptaan ALLAH.”

 

 

 

Bahan HA yang berada dipasaran dijual dengan pelbagai jenama. Jenama yang biasa dipasarkan ialah jenama Macrolane. Ia telah mendapat kelulusan di Eropah tetapi belum lagi diluluskan di Amerika Syarikat. Ini kerana produk ini masih baru, dan kesan jangka masih tidak diketahui.

 

Apatah lagi kadar penyerapan HA ke dalam tubuh tidak dapat diagak. Ia bergantung banyak faktor, dan dianggarkan selepas setahun isipadu HA yang masih tinggal dalam payudara antara 5-85%.

 

Ini bermakna selepas setahun kebarangkalian untuk payudara menjadi tidak pejal dan kendur semula adalah tinggi. Oleh itu suntikan kali kedua dan seterusnya harus diberikan untuk mengekalkan bentuk payudara, selalunya antara 9-12 bulan.

 

Setakat ini tiada kajian yang cukup dan sahih mengenai kesan sampingan bayi yang disusukan jika ibu mereka mengambil suntikan ini. Oleh itu doktor dan pelanggan harus menimbangkan kemudharatan dan kebaikan sebelum mengambil keputusan untuk melakukan pembesaran payudara.

 

Wallahu a’lam

 

6 comments

  1. saya ingin bertanya,di manakah saya boleh mendapatkan rawatan suntikan Hyaluronic Acid yang diiktiraf? saya tinggal di kawasan brickfields.harap berikan senarai klinik yang menyediakan rawatan ini.terima kasih.

  2. Di klinik mana Ada myediakan hidmat suntikan ini.

  3. Berapa kah anggaran kos suntikan ini?

  4. dimanakan utk saya mndapatkan rawatan suntikan Hyaluronic acid yg diiktiraf.harap berikan senarai klinik dan kos..

  5. ridzlina riduan

    di mana saya blh mendptkan konsultan tentang suntikan HA…..
    berapa kosnya?!

  6. Doktor di mana saya boleh dapat kan suntikan ini. Dan berapa kosnya? Hrp dpt penjelasan doktor….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!