Keperluan Vaksin Rotavirus

rotavirus vaksin

Jangkitan rotavirus  adalah penyebab utama bagi gejala cirit-birit yang serius di kalangan bayi dan kanak-kanak di seluruh dunia. Cirit-birit yang disebabkan oleh virus ini boleh menyebabkan demam, muntah, kekurangan air (dehidrasi) dan boleh menyebabkan kematian. Ia mudah merebak dari seorang ke seorang yang lain hanya dengan sentuhan.

Penjagaan kebersihan sahaja tidak mencukupi bagi mengawal jangkitan rotavirus ini. Vaksin rotavirus adalah salah satu cara terbaik bagi mencegah jangkitan ini. Kebanyakan bayi yang diberikan vaksin ini tidak mengalami cirit-birit akibat jangkitan rotavirus di mana ia menyebabkan dehirasi yang serius dan kematian.

Menurut statistik di U.S. Centers for Disease Control (CDC), sebelum vaksin ini diperkenalkan pada tahun 2006, kebanyakan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun mengalami gejala cirit-birit akibat jangkitan rotavirus.

Rotavirus telah menyebabkan lebih 400,000 kes yang dirawat di klinik, lebih 200,000 yang dirawat di jabatan Kecemasan dan dianggarkan antara 55,000 hingga 70,000 bayi dan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital. Jangkitan rotavirus ini juga menyebabkan kematian antara 20 hingga 60 bayi dan kanak-kanak setiap tahun di US.

Pada tahun 2010, setelah vaksin diperkenalkan kes-kes ini telah berjaya dikurangkan sebanyak 85 peratus.

Di Malaysia pula kajian mengenai bebanan kerja dan kewangan disebabkan jangkitan rotavirus telah dijalankan dan diterbitkan dalam satu jurnal.

Menurut penulisan itu, terdapat bebanan kerja dan kewangan yang berkaitan dengan jangkitan rotavirus akibat rawatan mereka di hospital dan di jabatan Pesakit Luar (atau di klinik swasta dan awam). Lalu pengkaji-pengkaji ini mencadangkan agar bebanan ini dapat dikurangkan dengan pemberian vaksin terhadap rotavirus.

(Rujuk: J Infect Dis. 2005 Sep 1;192 Suppl 1:S80-6. “Estimates of the burden of rotavirus disease in Malaysia”, Hsu VP, Abdul Rahman HB, Wong SL, Ibrahim LH, Yusoff AF, Chan LG, Parashar U, Glass RI, Bresee J.)

Mereka menganggarkan antara tahun 1999 dan 2000, secara purata sebanyak 13,936 kanak-kanak atau 1 dalam 187 kanak-kanak telah dimasukkan ke hospital setiap tahun akibat gejala cirit-birit.

Di Jabatan Pesakit Luar atau di klinik awam pula, dianggarkan secara purata sebanyak 60,342 kes setiap tahun antara 1998-2000. Manakala kadar kematian sebanyak 2.5 kanak-kanak dalam 100, 000 kanak-kanak yang dirawat setiap tahun. Sebanyak 50% dari kes-kes ini disahkan akibat jangkitan rotavirus.

Oleh itu wabak jangkitan rotavirus bukanlah suatu yang asing di Malaysia. Dalam akhbar Berita Harian pada 10 Februari 2012 lalu, melaporkan seramai dua orang bayi berusia dua dan 10 bulan maut akibat dijangkiti sejenis virus dikenali ‘Rotavirus’ yang menyebabkan kes ‘Acute Gastroenteritis’ (AGE).

Tidak sampai tempoh sebulan iaitu sejak 27 Januari hingga 10 Februari 2012, seramai 2,236 kes AGE dengan gejala cirit-birit dan muntah dikesan di dua daerah, iaitu Hilir Perak dan Batang Padang.

Pendidikan kesihatan di kawasan terbabit melalui risalah dan poster berhubung gejala AGE serta rawatan dan langkah pencegahan, pemantauan kualiti air bersama-sama Lembaga Air Perak (LAP) di samping pemantauan terhadap premis makanan di sekitar lokasi wabak turut dilakukan.

Apakah vaksin ini selamat?

Terdapat dua vaksin rotavirus yang ada di pasaran, iaitu vaksin Rotarix (keluaran GlaxoSmithKline) dan vaksin Rotateq (keluaran Merck & Co).

Vaksin Rotateq telah dibenarkan berada di pasaran pada tahun 2006. Sementara  Rotarix mendapat pelepasan FDA pada 2010.

Sebelum ini terdapat banyak laporan yang meragui samada pemberian vaksin ini selamat untuk bayi. Pada 16 may 2010 FDA US telah memberikan jaminan keselamatan bagi penggunaan vaksin ini.

Dalam kenyataan yang bertajuk “Rotarix Vaccine: Update to Clinicians and Public Health Professionals”, FDA memberitahu dalam ujian klinikal yang melibatkan puluh ribuan kanak-kanak dan berjuta-juta pengalaman yang dicatatkan sebagai clinical experience, kedua-dua jenis vaksin Rotarix dan RotaTeq adalah selamat digunakan.

Kenyataan ini boleh dirujuk di http://www.fda.gov/Safety/MedWatch/SafetyInformation/SafetyAlertsforHumanMedicalProducts/ucm205640.htm

FDA mendapati bahawa dua jenis rotavirus yang digunakan iaitu porcine circovirus (PCV1 or PCV2) tidak memberikan apa-apa kesan negatif kepada manusia.

Dos yang dicadangkan

Vaksin ini diberikan kepada bayi yang belum mencapai umur 8 bulan. Ia tidak diberikan pada bayi bermur 8 bulan ke atas kerana banyak kajian mendapati ia tidak berapa berkesan dan lebih mudah mendapat demam. Vaksin ini diberikan secara titisan ke mulut, bukan suntikan.

Vaksin Rotarix diberikan kepada bayi berumur 2 dan 4 bulan sementara vaksin Rotateq diberikan kepada bayi berumur 2, 4 dan 6 bulan. Vaksin ini boleh bertahan selama 3 tahun.

Fatwa mengenai vaksin rotavirus

Sayangnya kedua-dua vaksin ini menggunakan dua jenis rotavirus, porcine circovirus (PCV1 or PCV2) yang berasal dari haiwan babi.

Maka satu fatwa mengenainya telah diwartakan dan boleh dibaca di http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-penggunaan-vaksin-rotateq

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya. Dalam hal ini kedua-dua Rotarix dan Rotateq adalah haram kerana mengandungi unsur haiwan babi.

Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vaksin Rotateq adalah tidak dibenarkan kerana pada ketika itu  ia dianggap tidak dharurat dan tiada data sokongan yang kuat untuk membuktikan rakyat negara ini memerlukan kedua-dua vaksin ini.

Kebanyakan ulama fiqh dari Mazhab Syafie berpendapat berubat dengan suatu yang najis adalah haram dan tidak harus.

Islam hanya mengharuskan berubat dengan benda-benda yang diharamkan sekiranya dalam keadaan darurat iaitu tiada ubat alternatif yang lain adalah berpandu kepada Firman Allah s.w.t.,

Maksudnya : Dan tidak ada sebab bagi kamu, yang menjadikan kamu tidak mahu makan sari sembelihan binatang-binatang halal yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan ke atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya. (Surah al-An’am : 119)

Oleh itu fatwa itu memberikan kelonggaran jika negara benar-benar memerlukan vaksin ini akibat wabak cirit birit yang teruk melanda di kalangan kanak-kanak, dan jika tiada alternatif lain.

Sebagai doktor Muslim, saya mencadangkan agar berbincang dengan doktor sebelum mengambil vaksin ini. Jika seseorang itu berada di daerah yang mengalami wabak, sudah tentu terdapat keperluan mengambil vaksin ini.

Jika tidak, langkah berjaga-jaga harus diberikan. Pastikan bayi kita dijaga kebersihan dirinya, meminum air yang dimasak dan ibubapa juga harus selalu mencuci tangan bagi mengelakkan rotavirus tersebar menjangkiti orang lain.

Langkah berjaga-jaga

Kanak-kanak yang mempunyai demam yang rendah boleh mengambil vaksin ini. Walaubagaimanapun, jika ada keperluan memberikan vaksin rotavirus, haruslah berbincang dengan doktor. yang merawat.

Vaksin rotavirus ini tidak boleh diberikan kepada bayi/kanak-kanak yang mempunyai daya tahan yang lemah (compromised immune systems). Begitu juga dengan kanak-kanak yang mengalani penyakit berkaitan usus dan penghadaman.

Oleh kerana vaksin ini mengandungi virus yang hidup, maka penjagaan yang lebih harus diberikan ketika membersihkan najis dan membuang lampin anak yang telah diberikan vaksin. Dalam masa seminggu selepas diberikan vaksin, najis berkemungkinan mempunyai virus rotavirus.

Wallahu a’lam.

Susunan: Dr Zubaidi b Hj Ahmad (160212)

21 comments

  1. assalamualaikum..bayi sy mndapat suntikan bulanannya di hspital swasta.ketika berusia 4bln doktor myarankan supaya bayi diberi vaksin ratavirus.sy bersetuju dgn cadangan dktor tnpa selidik trlbh dulu ttg kandungan vaksin trsbut.anak sy dh pn mndapat dos yg lengkap dn kini sdg mgmbil suntikan pneumococal di hsptl yg sm..sy sgt rsau jika benar rotateq yg diberi keatas ank sy mngndungi unsur babi.adekah sy dan suami brdosa didalam stuasi ini krn mmbenarkan ank sy dberi vksin trsebut dan bagaimana pula halnya dgn ank sy yg secara tdk sgja diberi ssuatu yg haram bgnya..nauzubillah..sy tidak bermaksud utk mmberinya ssuatu yg haram ttapi hanya mahu beri perlindunan kpd bayi dari jgkitan rotavirus..

    • Salam Suzana,

      Jika tidak sengaja adalah dimaafkan. Cuma lain kali berhati2 sahaja ketika menerima maklumat sesuatu yang baru..

      Dari Ibnu Abbas radhiyallahu anhuma, sesungguhnya Rasululloh Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah bersabda : ” Sesungguhnya Allah telah mema’afkan kesalahan-kesalahan uamt-Ku yang tidak disengaja, karena lupa dan yang dipaksa melakukannya” (HR. Ibnu Majah, Baihaqi dll, hadits hasan)

      “Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai kemampuannya. Ia akan mendapatkan pahala atas usahanya dan mendapatkan siksa atas kesalahannya, (lalu ia berdo’a) : ‘Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau tersalah”. (QS. 2 : 286)

      Wallahuaklam.

  2. Aswt,
    mengenai penyakit rotavirus…saya ingin bertanya apakah tanda2 awal penyakit ini..dan selalunya ia menyerang kanak2 dlm lingkungan umur berapa tahun?

  3. Terima kasih Dr. Saya lama dah mencari jawapan kepada Vaksin Rotavirus ni sejak anak pertama (tahun 2009) saya mengharapkan ada perubahan kepada status halal kedua2 vaksin ini. tetapi dari artikel Dr. ini baru saya pasti akan status nya yg masih tidak halal. Jadi sy tidak akan beri vaksin ini kepada anak kedua yang sudah 5 bulan. terima kasih.

  4. Saya baru tahu mengenai perkara ini setelah selesai bagi 3 dos rotateq pada anak saya. yang saya sedihkan kenapa Paed yang sarankan vaccine ni tak pernah mentioned pasal source vaccine ini. Padahal dia juga adalah Muslim. sedihnya :(

  5. Saya pun baru tahu kandungan vaksin rotavirus ..tp baby sy sudah pun lengkap pengambilannya..di hospital swasta.. knp doktor wanita muslim di hospital tu tidak mention kandungan vaksin ini..sediah dan terkejut bila membaca penerangan di artikel doktor ni.. :'(

  6. Assalamualaikum Dr.

    Saya pun baru mengetahui bahawa Rotateq ini tidak halal. Apa yang dikesalkan adalah anak saya telah diberi 2dos rotateq..ada lg 1 lg rotateq yang belum diselesaikan. Jadi saya ingin bertanya kepada Dr., seandainya 1 lagi dos tidak saya ambil (kerana saya sudah tahu status tidak halal ini), adakah ada kesan sampingan jangka pendek atau panjang ke atas anak saya?

  7. saya baru bertanya dgn doktor swasta berkenaan vaksin ni… katanya keluaran glaxosmithkline halal… camana ni kalo doktor sendiri mcm2 pendiriannya.. anak kawan saya baru je masuk sepital sbb kene rotavirus ni… so pada saya prevention is better la at this point kan… tapi kalo betul haram kita terpaksa berhati2 ngan virus ni.. sbb anak2 kita tak boleh ambil vaksin ni…

    • Kedua dua keluaran vaksin itu ada unsur binatang babi, jadi hukumnya haram. Namun syarak membenarkannya jika ia terpaksa akibat wabak. Sila fahamkan semula penulisan saya.

  8. Salam.. Anak saya berusia 2 dan 4 thn baru dijangkiti virus ini.. Dimasukkan ke hosp selama4 hari. Drip sebnyak 7 botol.
    Adakah kmungkinan anak saya dijangkiti lagi dan berapa lamakah virus ini benar2
    tiada pada anak saya?
    Sekian.. T kasih

  9. Salam doc,
    Saya pun baru jer mengetahui yg vaksin ini tidak halal.
    Tapi anak saya dh ambil 1 dos. and ade lg satu yg akan diambil. adakah akan ade effect sekiranya saya tidak melengkapkan dos tersebut?

  10. anak saye mengalami cirit-birit..hari ni hari ke-8 tp tidak ade muntah dan demam hanyalah BO je..adakah itu penyakit rotavirus? kesian merah pnggung dan sakit apabila nak cuci BO..

  11. Salam Dr, saya ada membaca berkenaan dengan pemberian suntikan vaksin pada bayi. ada dikalangan doktor sendiri yang tidak bersetuju dengan pemberian vaksin disebabkan sumber-sumber yang digunakan. Saya agak keliru pada pihak mana kebenarannya.
    Jadi bagaimana status halalnya pada vaksin-vaksin yang lain? pneumococcal vaksin pula apa statusnya? bagaimana nak pastikan isi kandungan setiap ubat yang diberikan?
    harap dapat ulasan lanjut. Terima kasih

  12. salam.. nk bertanya, mcmane plak dgn pheumochocal? adakah injection ni halal di sisi agama buatannya?

  13. Untuk makluman pihak puan, kami telah menyemak dengan pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) yang bertanggungjawab dalam pendaftaran produk farmaseutikal. Menurut BPFK, pihak syarikat GlaxoSmithKline (GSK), iaitu pengeluar bagi produk Rotarix, tidak ada mengisytiharkan sebarang sumber haiwan dalam produk Rotarix.

    3. Pemegang perakuan pendaftaran ubat-ubatan perlu melabel dan mengisytiharkan pada label sekiranya terdapat bahan berasaskan sumber haiwan seperti magnesium stearate, gliserin atau gelatin pada produk farmaseutikal. Jika gagal berbuat demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia berhak untuk membatalkan atau menggantung pendaftaran ubat tersebut.

    4. Rotarix mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan seperti muntah, cirit-birit, kembung perut, kurang selera makan, sakit pada bahagian abdomen, keletihan atau demam. Sekiranya pesakit dikesan mengalami sebarang kesan sampingan akibat pengambilan vaksin tersebut, berbincang dengan doktor berkenaan cara mengurangkan atau mengelakkan kesan sampingan tersebut.

    Diharap maklumat tersebut dapat membantu pihak puan.

    Sekian, terima kasih.

    Bahagian Perkhidmatan Farmasi
    Kementerian Kesihatan Malaysia
    Lot 36, Jalan Universiti,
    46350 Petaling Jaya, Selangor.
    Tel : 03-78413200
    Faks : 03-79682222

  14. Salam Dr,

    Anak saya telah mengambil 2 dos vaksin rotavirus ini. Boleh tak kalau saya taknak completekan dos yg selebihnya?

    terima kasih

  15. doktor, anak saya baru ambil 1 dos, boleh tak lepas ni saya tak ambil dah?apakah kesannya kalau tak complete?

  16. Terima kasih atas penjelasan dr. mungkin ada yg masih ragu2 dgn status kehalalan vaksin tersebut. begitu juga saya pd mulanya.anak sy yg berusia 1 tahun 10 bulan bru je discharge dr wad kes infection Rotavirus.admitted di hosp swasta berkonsep islamic.paed lansung x recommend and x sebut pasal vaksin.now i know why.

    • Terima kasih atas penjelasan dr. mungkin ada yg masih ragu2 dgn status kehalalan vaksin tersebut. begitu juga saya pd mulanya.anak sy yg berusia 1 tahun 10 bulan bru je discharge dr wad kes infection Rotavirus.admitted di hosp swasta berkonsep islamic.paed lansung x recommend and x sebut pasal vaksin.now i know why.

      Dr Zubaidi: Semoga ALLAH melindungi anak puan dari penyakit yang bahaya.

Leave a Reply

error: Content is protected !!