Kemoterapi Dan Kesuburan

Saya menghadiri satu seminar mengenai kanser payudara tidak lama dulu. Ia diadakan berikutan rendahnya kesedaran wanita Malaysia khasnya wanita Melayu luar bandar mengenai bahaya kanser ini.

“Secara keseluruhan, semua wanita yang menghidap penyakit kanser payudara (breast cancer) dan masih lagi subur haruslah bertanyakan doktor yang merawat mengenai kesan ubat kemotherapi pada kesuburan mereka. Kemotherapi menjejaskan kesuburan setiap wanita

Itulah kata pembukaan yang diberikan oleh penceramah yang namanya saya sudah lupa.

Dalam menggalakkan pesakit kanser payudara untuk mendapatkan rawatan, sebagai doktor, tidak harus berbohong kepada pesakit tentang risiko ketidaksuburan yang bakal mereka hadapi. Memang terdapat risiko ketidaksuburan jika menjalani rawatan kemoterapi.

Namun sepanjang pengalaman saya bekerja di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baru dan memberikan ubat kemoterapi bagi pesakit kanser payudara, tidak pernah pula isu ini ditanya.

Mungkin kerana kebanyakan pesakit ini berumur 35 tahun ke atas dan sudah pun mempunyai beberapa orang anak. Isu ketidaksuburan tidak pernah terlintas di fikiran mereka kerana mereka sedang berjuang untuk hidup. Apa gunanya kesuburan dan berniat menambah ahli keluarga jika mereka sendiri tidak mampu menjaga ahli keluarga yang sedia ada apabila mereka mati kelak.

Kanser payudara amat sensitif dengan rawatan kemoterapi sebelum pembedahan mastectomy dilakukan. Ini bermakna kebarangkalian untuk hidup, insya Allah lebih besar dengan kombinasi kedua-dua rawatan itu. La hau la wala qu wata illah billah..

Saya sering tersenyum dan mengucapkan tahniah pada pesakit-pesakit yang datang semula untuk pemeriksaan berkala setelah tamat rawatan kemoterapi dan pembedahan mastectomy. Pada saya mereka adalah serikandi yang berjuang untuk membesarkan anak-anak dan menjaga suami.

Bayangkan jika mereka mati akibat kanser payudara. ’Syahid’ di medan perjuangan menentang musibah kanser payudara yang Allah turunkan sebagai ujian bagi mereka. Siapakah yang akan membesarkan anak-anak mereka? Siapa yang akan menjaga makan dan pakaian suami mereka?

Saya amat simpati bagi serikandi yang syahid akibat menerima ’nasihat-nasihat’ negatif dari kawan-kawan sekampung. Saya masih teringat seorang ibu muda berumur 35 tahun dan mempunyai tiga orang anak telah meninggal dunia akibat nasihat negatif yang diterimanya.

Beliau tidak meneruskan rawatan kemoterapinya hanya kerana rakan sekampungnya memberitahu DIA AKAN MANDUL JIKA MENJALANI RAWATAN KEMOTERAPI.

Di mana rasionalnya nasihat sebegitu, sedangkan dia sendiri sudah mempunyai tiga orang anak. Agaknya perkataan MANDUL yang menyebabkan dirinya menjadi fobia atau mungkin trauma, sedang ’nyawanya yang berada di hujung tanduk’ tidak lagi dihiraukan. Amat menyedihkan!

Saya amat berharap para pembaca sekalian jika ada rakan-rakan atau saudara mana yang diuji musibah penyakit kanser payudara, berikanlah motivasi kepada mereka supaya mendapatkan rawatan yang betul.

Janganlah pula kita menjadi penasihat atau penghasut yang melemahkan semangat  pesakit daripada mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Akhirnya nanti, kita yang perlu bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak pesakit yang ditinggalkan.

Apakah kita sanggup bertanggungjawab dan sama menanggung dosa jika ada di antara anak-anak itu yang menjadi penagih dadah atau GRO akibat tidak mendapat kasih sayang ibunya?

Maknanya jika saya belum berkahwin, dan menerima rawatan kemoterapi, saya masih boleh hamil?

Soalan ini amat sukar saya jawab. Kesan kemoterapi sebenarnya bergantung kepada dua perkara :

Umur pesakit

Bagi wanita yang normal, organ ovari semakin kurang mengeluarkan telur ovum apabila usia semakin meningkat. Proses ini bermula apabila wanita itu mendekati umur 50 tahun. Selepas itu bermulalah fasa menopause di mana organ ovari tidak lagi mengeluarkan sebarang telur ovum lagi. Oleh itu faktor umur pesakit memainkan peranan yang besar dalam menentukan kesuburan apabila tamat menjalankan rawatan kemoterapi.

Jika umur wanita itu masih muda, insya Allah selalunya organ ovari masih berupaya mengeluarkan telur ovum. Tetapi jika sudah mendekati umur 35, terdapat kemungkinan wanita itu mengalami ketidaksuburan.

Tetapi ianya adalah masalah ketidaksuburan yang sementara. Ini bermakna kitaran haids akan bermula semula walaupun mengambil sedikit masa. Adakalanya kitaran haids akan datang selepas setahun tamat rawatan kemoterapi, namun jangan risau Insya Allah, mengikut kajian yang dijalankan, ia pasti datang.

Bagi pesakit yang sudah mencapai umur 50 tahun, selalunya organ ovari tidak lagi mengeluarkan telur selepas tamat kemoterapi dan wanita itu mengalami menopause. Namun apa yang dirisaukan lagi jika pesakit itu sudah pun mempunyai anak-anaknya sendiri.

Jenis ubat dan dos kemoterapi yang digunakan

Rawatan kemoterapi yang digunakan untuk merawat kanser payudara adalah kombinasi antara 3-5 ubat kemoterapi. Setiap ubat kemoterapi pula mempunyai kesan yang berbeza-beza terhadap kesuburan.

Wanita yang mendapat rawatan kemoterapi dengan dos  yang tinggi selalunya menghadapi masalah ketidaksuburan yang kekal. Rawatan yang sebegini diberikan untuk kanser payudara jenis agresif.

Selalunya jika pesakit itu tidak diberikan dos yang tinggi, rawatan kemoterapi selalunya tidak berkesan, malah kanser payudara itu akan semakin merebak dan boleh menyebabkan kematian dalam masa enam bulan.

Jadi berbincanglah dengan pakar oncologist berkaitan dengan rawatan kemoterapi yang bakal diberikan terutama untuk pesakit yang masih muda dan belum berkahwin atau belum lagi mempunyai anak.

Kesimpulannya, hampir separuh dari pesakit kanser payudara yang berumur 35 ke atas akan mendapatkan kitaran haids semula. Jadi mereka tidak menghadapi masalah untuk hamil. Cuma hanya sebilangan kecil daripada mereka yang menghadapi masalah untuk ketidaksuburan walaupun mereka mendapat semula kitaran haids.

Nasihat saya ialah sebelum merisaukan hal kesuburan, pesakit kanser payudara harus berfikir panjang tentang kanser yang dihadapinya. Bertangguh untuk mendapatkan rawatan kanser akan menyebabkan kanser payudara merebak dengan cepat dan kemungkinan untuk pesakit sembuh sembuh bertambah nipis. Apatah lagi jika kanser yang dihadapi jenis agresif.

“Mengapa ubat kanser menyebabkan ketidaksuburan?”

Banyak kajian dijalankan mendapati bahawa ubat kemoterapi membunuh sel-sel kanser secara rawak dan agresif. Ia juga membunuh sel-sel telur ovum yang masih tidak matang tersimpan dalam organ ovari. Bilangan sel-sel telur ovum ini yang menentukan kesuburan seseorang wanita. Jika bilangan  mereka berkurangan, kebarangkalian untuk wanita itu tidak subur semakin besar. Malah kemungkinan wanita itu mengalami fasa menopause juga bertambah.

Ubat kemoterapi juga akan merosakkan ovum yang telah disenyawakan. Oleh itu selalunya pesakit yang telah tamat menjalankan rawatan kemoterapi diminta untuk tidak hamil dalam masa enam bulan atau lebih. Ini mengelakkan saki baki ubat kemoterapi itu merosakkan janin yang mula membesar.

Nasihat saya, jangan dengar kata-kata dari teman yang tiada ilmu mengenai rawatan kemoterapi ini. Lebih-lebih lagi mendengar kata-kata jurujual MLM yang sedang mempromosikan produk mereka. Mereka adalah golongan yang tiada ilmu mengenai kanser payudara dan rawatannya.

Maka berbincanglah dengan doktor yang merawat. Pastikan pesakit faham risiko dan kebaikan ubat yang diberikan. Kelemahan masyarakat kita ialah kita kurang bertanya dan malu untuk berterus terang.  Semua itu adalah sifat yang membinasakan kita.

Wallahu a’lam

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (241210)

7 comments

  1. sy stuju dgn doktor..jgn percy kata2 negatif yg boleh myebabkan kite takut utk melakukan rawatan kimoterapi.akibat percaya kata2 mcm tulah,sy lmbt mdpt rawatan.alhamdulillah,skrg sy sudah sembuh dari kanser lymphoma. hrp2 sel2 kanser tidak membiak kembali..

  2. salam Dr,

    Saya mempunyai 3 orang anak istimewa(fragile X sydrome)..
    Saya juga bekas pesakit kanser payudara(2008)
    Kemusykilan saya..Bolehkah saya guna IUD terlalu lama?
    5 tahun tukar pasang balik begitulah seterusnya..
    Untuk pengetahuan Dr umur saya 40 thn.Harap dpt penjelasan.
    Terima Kasih..

  3. Salam Dr,

    Saya berumur 36 tahun & ibu kepada 3 org anak telah pun disahkan menghidapi barah payudara pada Jan,2010 dan alhamdulillah pada Feb, 2012 saya telahpun selamat menjalani mastectomy & ancillary clearance. Saya dijadualkan utk menerima keputusan analisis saya dlm masa terdekat seterusnya menjalani proses kemoterapi. Alhamdulillah, article dr ini banyak membantu saya. saya amat berharap selepas kemo nanti,saya akan pulih sepenuhnya, Insyaallah…

  4. Dr, maaf atas kesilapan di atas, saya telah disahkan menghidapi barah pada Jan, 2012 dan bukan 2010.

  5. Saya pesakit kanser payudara berusia 26 tahun belum berkahwin dan baru menjalani pembedahan lumpectomy. Semalam oncologist telah menerangkan kepada saya hasil pembedahan. Alhamdulillah, jenis kanser tidak agresif tetapi telah mencapai stage 2 dan berada di risiko pertengahan. Saya perlu menjalani sesi rawaatan kemoterapi-radioterapi dan oncologist turut memberitahu kemungkinan menopause awal akan berlaku kepada saya. InsyaAllah saya redha dan artikel doktor ini sangat membantu saya. Jazakallah..

    Dr Zubaidi: Saya bersimpati dengan saudari. Saya juga ingin ucapkan tahniah kerana ALLAH telah memberikan saudari kekuatan untuk mengharungi ujian NYA. Ujian ini diberikan kepada semua orang bagi menentukan siapakah amalan yang lebih baik. Semoga ALLAH mempermudahkan saudari mendapat kesembuhan. Ameen.

  6. Doctor,
    Saya adllh pesakit canser- hodgskin lymphoma, and i had 3 times completed chemo on 2005, 2009 and 2012 and i just completed radiotheraphy this year(2013).
    Saya juga tlh mnjalani stem cell donate by my twin.
    Alhamdulillah, Sya tlh mmpunyai 2 org anak yg dilahirkn pd 2004 and 2008….
    Allah Maha Kuasa atas segala2nya…N i still period last month, hrp saya akam sembuh dr canser
    Dn dpt melahirkn zuriat lagi…Amin..

    • Doctor, Saya adllh pesakit canser- hodgskin lymphoma, and i had 3 times completed chemo on 2005, 2009 and 2012 and i just completed radiotheraphy this year(2013). Saya juga tlh mnjalani stem cell donate by my twin. Alhamdulillah, Sya tlh mmpunyai 2 org anak yg dilahirkn pd 2004 and 2008…. Allah Maha Kuasa atas segala2nya…N i still period last month, hrp saya akam sembuh dr canser. Dn dpt melahirkn zuriat lagi…Amin..

      Dr Zubaidi: Subhana ALLAH, ALLAHu akbar … ALLAH telah menguji puan dan puan telah bersabar dan berjaya menghadapinya, lalu ALLAH menunjukkan kekuasaannya..

Leave a Reply

error: Content is protected !!