Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Ulasan Berita » Kematian MJ dan Ubat Bius Propofol

Kematian MJ dan Ubat Bius Propofol

Rakan saya yang juga seorang doktor, mencampakkan akhbar harian ke meja saya. Dia kelihatan tidak puas hati dengan hukuman yang dijatuhkan kepada Dr Conrad Murray.

“Setiap hari ada ribuan orang mati. Tidak ada seorang pun rasa mahu tahu apa yang berlaku. Tapi apabila seorang yang terkenal mati, satu dunia heboh..”

Saya membaca laporan berita bertarikh 9 Nov 2011. Berita sensasi kematian penyanyi terkenal Michael Jackson telah pun sampai ke hujung penamat. Ramai yang mahu mengetahui adakah doktor peribadi penyanyi terkenal itu bersalah.

Hari ini para juri telah memberikan pendapat mereka mengatakan Dr Conrad Murray telah didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa sengaja (involuntary manslaughter) pada 25 Jun 2009.

Dr Conrad Murray didakwa telah memberikan ubat bius propofol 25mg yang dicairkan dengan lidocaine, sedangkan sebelum itu MJ telah menelan beberapa biji ubat tidur lorazepam.

Walaubagaimanapun ketika mempertahankan diri, peguam Dr Conrad Murray mengatakan bahawa MJ telah pun mengalami ketagihan ubat bius itu. Peguam itu menambah lagi, Dr Conrad Murray tidak mengetahui bahawa MJ telah mengambil dan menelan beberapa biji bil penenang sebelum itu. Apabila ubat bius propofol diberikan, MJ telah mengalami kesukaran bernafas dan akhirnya meninggal dunia.

Isu ini hangat diperkatakan dalam masyarakat perubatan, sama ada wajar Dr Conrad Murray memberikan ubat itu pada ‘penagih’ terkenal seperti MJ.

Saya dapati ramai doktor yang terperangkap dalam keadaan serba-salah apabila mereka meninggalkan etika perubatan, semata-mata mahu memuaskan nafsu pelanggan (pesakit) mereka yang kaya dan terkenal.

Sebelum ini mungkin perbuatan mereka memberikan ubat-ubat terkawal dan merbahaya kepada pesakit-pesakit VIP, tidak mendatangkan masalah. Namun sedarlah, perbuatan yang salah akhirnya akan tertangkap jua.

Saya sendiri pernah ‘dipaksa’ dan diugut oleh pesakit VIP untuk memberikan pelbagai ubat terkawal, padahal sepatutnya ubat terkawal seperti ini harus diberikan dengan berhati-hati. Mereka sudah mengalami ketagihan ubat terkawal ini dan apabila tidak mendapat bekalan ubat dari doktor yang selalu merawat mereka, mereka akan mengamuk dan mengugut.

Bayangkan jika pesakit VIP ini terpaksa menelan 3-4 biji ubat tidur dalam sehari, semata-mata untuk mendapatkan kenikmatan tidur. Ini menandakan pesakit telah mengalami ketagihan. Penyakit ketagihannya tidak akan dapat dirawat dengan memberikan bekalan ubat seterusnya. Langkah terbaik dalam usaha merawat mereka ialah dengan mendapatkan rawatan di pusat pemulihan.

Oleh kerana mereka mempunyai kedudukan yang tinggi dan nama yang terkenal, mereka menggunakan pengaruh untuk memeras dan memaksa doktor yang ‘terperangkap dalam situasi gelap’ itu, untuk terus memberikan bekalan ubat terkawal itu.

 

Mengapa Propofol?

Dalam isu ini juga saya tertanya-tanya mengapa Dr Conrad Murray memberikan ubat bius propofol kepada MJ?

Penyalahgunaan ubat bius propofol bukanlah isu yang baru. Banyak terbitan jurnal terkenal telah membincangkan penyalahgunaan ubat bius ini. Ia mustahil disalahgunakan oleh orang awam kerana bukan mudah mendapat bekalan ini, kecuali dengan bantuan doktor yang mempunyai lesen untuk membeli ubat ini.

(rujuk: Bonnet U, Harkener J, Scherbaum N (June 2008). “A case report of propofol dependence in a physician“. J Psychoactive Drugs 40 (2): 215–7)

Ubat propofol seharusnya diberikan di hospital untuk membius pesakit ketika pembedahan, bukannya untuk suka-suka atau untuk membantu tidur. Ini kerana  ubat bius Propofol, (dijual dengan nama Diprivan) adalah ubat penenang (hypnotic) yang sangat kuat dan boleh menyebabkan tekanan darah pesakit menjadi sangat rendah.

Kadang-kala pesakit boleh mengalami apnea, iaitu keadaan di mana pesakit tidak dapat bernafas dengan sendiri kerana otot-otot pernafasannya lemah dan tidak dapat berfungsi. Propofol boleh juga menyebabkan masalah degupan jantung yang tidak teratur.

(rujuk: Riezzo I, Centini F, Neri M, Rossi G, Spanoudaki E, Turillazzi E, Fineschi V (2009). “Brugada-like EKG pattern and myocardial effects in a chronic propofol abuser”. Clin Toxicol (Phila) 47 (4): 358–63.)

Penggunaan ubat bius ini juga boleh menyebabkan ketagihan.

(rujuk: Roussin A, Montastruc JL, Lapeyre-Mestre M (October 21, 2007). “Pharmacological and clinical evidences on the potential for abuse and dependence of propofol: a review of the literature“. Fundamental and Clinical Pharmacology 21 (5): 459–66.)

Proporfol adalah ubat penenang yang kuat, bukan seperti menelan ubat painkiller yang lain. Oleh sebab kesan sampingan yang berbahaya, propofol harus diberikan di hospital dan dipantau oleh kakitangan perubatan yang terlatih di hospital.  Andai kata pesakit menghadapi masalah pernafasan atau jantung, maka mudah diberikan bantuan kecemasan.

Dr Conrad Murray telah dikatakan melakukan ‘negligent’ (kecuaian) ketika memberikan ubat bius itu walaupun ubat itu dikatakan sering diminta oleh MJ untuk membantunya tidur.

Pendakwa menuduh Dr Conrad Murray telah cuai kerana memberikan ubat itu di rumah (bukan di hospital), gagal memantau kestabilan diri MJ (tidak ada jururawat terlatih di samping MJ ketika diberikan ubat itu). Dr Murray juga dituduh lambat memanggil bantuan kecemasan apabila mendapati MJ tidak bernyawa dan beliau tidak memberitahu doktor di hospital bahawa dia telah memberikan MJ ubat  propofol.

Peristiwa ini harus dijadikan iktibar bagi pengamal perubatan dan penuntut-penuntut jurusan perubatan terhadap cabaran yang mereka hadapi masa kini.

Doktor tidak seharusnya tunduk pada ugutan dan ancaman pelanggan/pesakit yang mahukan sesuatu yang boleh memudharatkan mereka. Jika mereka merasakan permintaan pesakit mereka itu sebagai ‘tindakan memudharatkan’, doktor perlu berkata TIDAK terhadap pelanggan/ pesakit mereka.

Maka sebagai seorang doktor, harus berpegang teguh pada prinsip “if cannot do good, then do not do harm”.

Semoga apa yang dikejar ialah keredhaan Allah dalam usaha merawat pesakit yang memerlukan, dan bukanlah wang semata , pangkat apatah lagi glamour.

Wallahu a’lam.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (121110)

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: