Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Kematian di Jalan Raya Bagaikan Mangsa Perang Palestine
Kematian di Jalan Raya Bagaikan Mangsa Perang Palestine

Kematian di Jalan Raya Bagaikan Mangsa Perang Palestine

Saban tahun saya akan mengira purata kematian di jalan raya. Saya bukannya sudah tidak siuman mencatit jumlah kematian setiap tahun. Tiada kegembiraan di hati saya. Saya cuma menduga-duga, bahawa kematian rakyat Malaysia di jalan raya memang sesuatu yang tidak berbaloi.

Saya membuat pengiraan kematian rakyat Malaysia setiap tahun secara puratanya 15 orang sehari di jalanraya. Di hospital kerajaan di tempat saya bekerja dulu pun tidak kurang 3 hingga 5 orang  mangsa yang meninggal dunia di Jabatan Kecemasan.

(Semasa saya bekerja di hospital dahulu, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru adalah hospital yang menerima rujukan kes-kes berat dari bahagian selatan. Banyak kes-kes kemalangan berat dari Kota Tinggi, Kulai, Pontian, Segamat, Batu Pahat dihantar ke hospital ini).

Alangkah ruginya tenaga muda mereka. Kematian mereka mungkin bermakna jika mati akibat menentang pencerobohan Israel di bumi Palestin. Sekurang-kurang mendapat anugerah mati syahid.

Mereka ini anak-anak muda yang berusia antara 18-35 tahun. Secara tidak langsung, kehilangan mereka tentu memberikan kesan negatif pada produktiviti negara.

Mereka juga mati meninggalkan ibubapa yang mengharap, isteri yang menjanda atau anak-anak yang yatim. Matilah dalam apa saja keadaan ketika bekhidmat untuk agama dan negara, tetapi janganlah  mati sia-sia di jalanraya.

”Abang saya meninggal dunia di wad kecemasan. Dia mengalami kemalangan jalan raya. Tapi doktor hanya tengok saja, tak buat apa-apa”

Itu luahan seorang remaja yang kehilangan abang akibat nahas jalanraya. Dia meluahkan rasa sedihnya ketika saya berfacebook dengannya. Saya membayangkan keadaan di Jabatan kecemasan yang selalu penuh sesak dengan pesakit. Pesakit yang dalam kecemasan akibat kemalangan selalu diberikan keutamaan.

Bagaimana dia kata doktor hanya melihat dan membiarkan sahaja? Sudah ’buang tabiat’ kah pembantu perubatan dan doktor di situ? Jururawat pula makan gaji buta, goyang kaji saja. Tak mungkin…

Saya masih ingat satu kemalangan ngeri melibatkan seorang pemuda Melayu yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.

Pagi itu saya baru saja menamatkan ’on call’ selama 24 jam di Jabatan Pembedahan. Sepanjang malam itu saya tidak tidur kerana banyak kes pembedahan di wad yang terpaksa saya uruskan.

Jadi sebelum saya memulakan rutin kerja pada hari berikutnya sehingga ke pukul 5 petang nanti, saya ingin membersihkan diri. Mandi dan bertukar pakaian. Sekurang-kurangnya cuci muka yang tidak cukup tidur ini.

Nasib saya tidak berapa baik. Belum sempat menanggalkan pakaian untuk mandi di bilik doctor, pager di pinggang saya berbunyi kuat. Tertera ayat “Sila ke Wad Kecemasan Sekarang”.

Setibanya saya di Jabatan Kecemasan, saya melihat seluruh pasukan kecemasan sedang berusaha keras melakukan resuscitation menyelamatkan nyawa seorang pemuda yang sedang terbaring di atas katil pesakit. Suasana tidak ubah seperti cerita ER di televisyen.

Ada yang sedang memasang IV drip di tangan, ada yang sedang mengambil darah untuk cross-matching sebelum memindahkan darah ke tubuh pesakit, ada yang sedang menekan dada mangsa sebagai usaha melakukan CPR.

Sudah sejam kami buat CPR sebelum panggil doktor” kata nurse di sebelah saya.

“Mungkin dia mengalami pendarahan dalaman..” fikir saya pada masa itu.

Saya melihat ke skrin ECG. Seharusnya skrin ini menunjukkan aktiviti degupan jantung. Namun bacaan asystole, hanya satu garis memanjang. Itu menunjukkan jantungnya tidak bertindakbalas dengan suntikan ubat bagi merangsang degupan jantung.

Saya meminta aktiviti CPR dihentikan. Prosedur biasa di Jabatan Kecemasan apabila tiada tindakbalas dari pesakit setelah 45 minit usaha CPR dilakukan, ianya harus dihentikan. Usaha akan menjadi sia-sia.

Pesakit telah mengalami brain death. Otaknya sudah mati. Begitu juga dengan fungsi jantung dan paru-paru telah terhenti. Rohnya berada di dalam alam arwah.

Saya mengambil sthethoscope dari seorang pembantu perubatan. Saya letakkan di dada pesakit tadi. Tiada degupan jantung dan tiada aktiviti pernafasan. Saya melihat matanya. Anak mata membesar dan tidak ada tindakbalas terhadap cahaya.

Inna lillahi wa inna ila hi rojiun.. Saya declare dia sudah meninggal dunia. Tolong catatkan masa kematiannya sekarang..”

Pesakit kini sudah menjadi mayat. Walaupun begitu saya harus menghormatinya kerana dia tetap merasa sakit dan ada kehormatan diri. Namun ada beberapa prosedur yang perlu saya lakukan.

Untuk mengelakkan prosedur post-mortem bagi mengetahui sebab kematian, saya mengambil keputusan untuk melakukan clinical post mortem. Dengan ini pembedahan untuk mengetahui punca kematian tidak perlu dilakukan.

Saya mengambil jarum yang agak besar bersama syringe (picagari 50ml). Saya cucukkan di dada mayat dari sebelah kiri. Bila saya menarik ianya dipenuhi darah. Saya mencucuk jarum di perutnya dari sebelah kiri. Bila saya menarik, ia juga penuh dengan darah.

Jadi saya memutuskan punca kematiannya disebabkan oleh “Kemalangan Jalan Raya yang menyebabkan Pendarahan Dalaman akibat (kemungkinan) paru-paru dan hati yang hancur”. Itu yang saya tuliskan dalan laporan kematian, tetapi dalam istilah perubatan.

Setelah menulis laporan kematian, saya minta mayat dikemaskan dan dihantar ke bilik mayat bagi direkodkan dan menunggu ketibaan sanak-saudara. Agaknya ketika inilah ’senario tenang’ yang dilihat oleh ramai keluarga pesakit. Doktor tidak buat apa-apa.

Nota: Pendarahan dalaman ialah pendarahan yang tidak dapat dilihat pada luaran badan. Ia adalah pendarahan yang berkumpul di dalam rongga badan atau di dalam tisu tubuh. Antara rongga badan yang boleh mengumpul pendarahan dalaman ialah kepala, dada dan abdomen.

Pendarahan dalaman memang sukar dikenalpasti. Pendarahan dalaman yang terkumpul di dalam abdomen disebabkan oleh pecah organ hati (liver) dan limpa (spleen). Pendarahan di dada selalunya disebabnya organ paru-paru (lung) yang pecah. Pendarahan yang terlalu banyak menyebabkan kematian serta-merta.

Hari ini akhbar melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mencatatkan sebanyak 1,386 kemalangan dilaporkan berlaku pada hari ke-empat Ops Sikap ke-23 dilancarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina 2011. Saya berasa sedih.

Agaknya bagaimana kita boleh mengurangkan perangkaan yang tidak jauh berubah setiap tahun. Saya sendiri sentiasa mengamalkan doa naik kenderaan ketika bermusafir dalam perjalanan jauh.

Doa ini dapat dibaca dalam surah Az Zukruf ayat 13-14

Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya.
Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”

Begitu juga dengan doa ketika menaiki kenderaan. Antara doa yang dicadangkan ulama ialah ayat 41 surah Hud.

“Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihan

Memang benar ada kalanya kesilapan orang lain menyebabkan kita menerima musibah. Begitu juga dengan kenderaan kita, walaupun telah pun di’service’ ada kalanya ianya tidak dapat dikawal atas banyak sebab. Hanya kepada Allah kita menyerahkan qada’ setelah berusaha memastikan kenderaan kita selamat dipandu.

Wallahu a’lam

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (070211)

2 comments

  1. zablina bilmas

    setuju dengan pandangan Dr dlm artikel ini…..tapi ramai anak muda tidak menghargai nikmat nyawa (kehidupan ) yg Allah beri pinjam. saban malam depan rumah saya akan bingit dengan bunyi motor yg di tunggang dengan pelbagai aksi…..dan ramai antara kita menghabiskan masa 2-3 jam sehari ataulebih untuk berada dlm kenderaan sepanjang perjalanan menuju destinasi. Jadikan keselamatan agenda utama kita.TK Dr atas perkongsian yang menarik.

  2. terima kasih dr. kerana telah mmbantu sy menyiapkn cerpen sy yg memerlukan penjiwaan ketika berada dlm unit kecemasan. sy juga bercita cita ingin menjadi seorg doktor. sy berumur 17 tahun. jika x keberatan, munkin dr. boleh berkongsi dgn sy cabaran2 sebelum menjadi seorg dr. sy amat berbesar hati menerimanya 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!